Sunday, August 30, 2009

Taman Tumbina, Bintulu 2009

Saturday, August 29, 2009

Taman Tumbina, Bintulu

Taman Tumbina Bintulu ialah integrasi sebuah taman tumbuhan dengan sebuah taman haiwan. Perkataan TUMBINA ialah gabungan perkataan TUMbuhan dan BINAtang. Dari segi sejarahnya ia pernah dikenali dengan nama Mini Zoo, Taman Burung dan Taman Hidupan Liar sebelum ia secara rasminya di namakan dengan nama Taman Tumbina pada 2 Ogos 1991. Ia yang menyediakan satu imbasan kepelbagaian flora dan fauna Sarawak serta merupakan satu warisan dengaan nilai-nilai pendidikan dan rekreasi untuk para pelawat daripada semua lapisan masyarakat.

Taman ini mempunyai keluasan kira-kira 57 hektar merangkumai satu kawasan yang berbukit bukau. Kedudukannya sangat strategik iaitu berhampiran dengan Laut China Selatan (Tanjung Batu) di antara Pusat Bandar Bintulu dan kawasan perindustrian Kidurong membolehkan kita menikmati keindahan Bintulu secara keseluruhan.


Taman ini mengenakan bayaran sebanyak RM2.00 menyediakan banyak kawasan untuk dilawati seperti Koleksi Orkid, Taman Kaktus, Taman Paku-pakis, Taman Palma, Bukit Bunga Kertas, Alam Kelebar (Taman Rama-Rama), Taman Buah-buahan, Kawasan Beruang, Kawasan Harimau, Komplek Reptilia, Kawasan Burung Unta, Koleksi Enggang dan Bukit Rusa. Landskap di sini memang indah dan bersih namun dari segi penyelenggaraannya sangat daif.


Kelihatan pokok-pokok orkid tidak mengeluarkan bunga dan hidup segan mati pun tidak mahu. Di Alam Kelebar aku terpaksa menggunakan teropong mencari dimanakah rama-rama berada dan cuma berjaya menangkap gambar setelah menjadi patung di sebelah pokok jejarum. Binatang-binatang juga tinggal amat sedikit di dalam jagaan taman ini kerana hanya terdapat 3 ekor burung unta dan seekor sahaja harimau.


Namun pengunjung boleh berpuas hati dengan Taman Reptilia, Taman Burung dan Koleksi Enggang kerana terdapat banyak bilangan binatang di situ. Secara keseluruhannya aku cuma dapat memberikan 2.5 bintang kepada pihak penjaga taman ini. Masih terlalu banyak ruang yang perlu diperbaiki mungkin pihak pentadbir mempunyai perancangan jangka panjang untuk mengisi ruang-ruang kosong di taman ini seperti menambah jenis haiwan yang baru. Hingga ke akhir destinasi aku masih tidak berjumpa seekorpun beruang seperti yang tertera di papan tanda di sini!.