Lama sudah merancang cuma kali ini sahaja berjaya, itupun dengan secara usahasama dengan Bad seperti biasa. Tiada perancangan yang teliti (seperti penempahan hotel dan pengangkutan), cuma ada membuat sedikit rujukan dengan kawan-kawan tentang 3 tempat tersebut.
Perjalanan dari lapangan terbang Kota Kinabalu 1 (peta disediakan percuma di sini) ke pusat bandar (Jalan Sinsuran) dikenakan bayaran RM30.00 dan cuma dalam 25 minit perjalananan. Hotel murah memang banyak di sini, tetapi kebanyakannya sangat uzur dan seperti tidak selamat. Aku mengambil keputusan berjalan keluar sedikit dari Jalan Sinsuran dan mendapat hotel yang menawarkan harga berpatutan RM65.00 iaitu City Park Inn (backpackers hotel).
Hari Kedua, awal pagi kami berjalan kaki sejauh 15 minit ke Jesselton Point (jeti ke pulau-pulau) untuk ke Pulau Manukan. Di sini banyak agensi pelancongan yang menawarkan tiket, penyewaan snorkel dan jaket keselamatan, pakej parasailing, scuba do dan sea walking. Kami cuma membeli pakej tiket pergi-balik ke Pulau Manukan berjumlah RM17.00, menyewa snorkel dan jaket keselamatan masing-masing RM10.00 serta membeli pakej parasailing berjumlah RM180 untuk dua orang. Pulau Mamutik, Pulau Manukan dan Pulau Sapi terletak bersebelahan, namun adalah lebih baik memilih satu pulau sahaja supaya banyak aktiviti boleh dilakukan.
Jam 9.30 pagi perjalanan ke Pulau Manukan mengambil masa cuma 20 minit menggunakan enjin 75 kuasa kuda, perjalanan pulang telah diatur dengan agensi pada pukul satu namun kita boleh memilih sehingga 5 petang. Pada jam 10.00 pagi kami melakukan aktiviti parasailing (payung terjun ditarik dengan bot laju 250 kuasa kuda) selama 15 minit di antara 3 buah pulau ini dan ia sangat menakutkan tetapi seronok. Kemudian kami melakukan aktiviti snorkeling di sekitar pantai yang mempunyai batu karang (tiada ikan di kawasan berpasir) kerana mempunyai banyak jenis ikan, namun sedikit mengecewakan kerana diserang makhluk kecil yang amat gatal.
Kami check out dari hotel pada jam 3.00 petang (dikenakan bayaran tambahan RM30.00) dan terus mencari bas (van kecil putih) ke Kundasang. Stesen bas tersebut berada di hadapan padang majlis bandaran, dengan tambang RM20.00 (jika menggunakan teksi RM100.00) kami sampai di Kundasang setelah 2 jam setengah perjalanan. Hotel banyak di kawasan sekitar namun perlu mencari teksi sapu kerana terletak agak jauh (5 minit menggunakan kereta) dari pekan. Terdapat beberapa buah hotel yang terletak agak dekat iaitu 15 minit berjalan kaki iaitu Cottage Hotel, Nabalu Resorts dan Kinabalu Pine Resort. Kami mengambil keputusan tinggal di Kinabalu Pines Resort kerana harga yang berpatutan iaitu RM160.00 (harga hotel sekitar sini bermula semurah dari RM30.00-RM250.00) dan menyediakan sarapan pagi dan makan malam.
Hari ketiga awal pagi kami sudah bersiap untuk memastikan tiba di Kinabalu Park sebelum pukul 10.00 pagi kerana selepas itu tiada apa-apa yang dapat dilihat melainkan awan yang menutupi puncak Kinabalu. Di sini pelawat dikenakan bayaran RM3.00, ia adalah laluan para pendaki ke Gunung Kinabalu melalui pintu Timpohon selain pintu Mesilau. Dari sini dapat dilihat puncak Kinabalu yang terdiri daripada batuan pada ketinggian 8 ribu kaki, ia seumpama melihat puncak Gunung Everest dari Kalapattar.
Seterusnya kami terus ke ladang stawberi, dan terus ke Poring (Ranau) kira-kira 40km dari Kinabalu Park. Poring masih terletak di dalam Taman Negara Kinabalu seluas 754 ribu ekar yang menempatkan pelbagai spesis pokok hingga ia diwartakan sebagai warisan dunia oleh UNESCO. Perjalanan tersebut mengambil masa lebih kurang 40 minit (dari Kinabalu Park), di sini terdapat Kolam Air Panas, Canopy Walk, Taman Rama-Rama, Air Terjun Kepungit, Gua Kelawar dan Air Terjun Langanan. Bagi aku cuma Canopy Walk, Air Terjun Kepungit dan Langanan sahaja yang dirasakan berbaloi untuk dilawati kerana kawasan kolam air panas terlalu kecil, Taman Rama-Rama tiada rama-rama dan Gua Kelawar yang sangat kecil.
Pada jam 3.00 petang kami sampai ke Desa Cattle Farm iaitu ladang tenusu, pada ketika ini dirasakan amat sesuai untuk melawat (dikenakan RM3.00) iaitu susu lembu sedang diperah menggunakan mesin moden. Ternakan lembu di sini amat cantik seperti berada di negara sejuk berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu. Tempat yang terakhir ialah Memorial Perang Kundasang yang dibina untuk memperingati kematian askar Australia dan British dibunuh secara kejam oleh askar Jepun, di sini diadakan juga tayangan video mengenai cerita sebenar. Perjalanan kami hari ini dibantu oleh Wan, penduduk kampung di sini dengan bayaran yang berpatutan.
Hari keempat awal pagi kami sudah berada di pekan Kundasang mencari pengangkutan ke Kota Kinabalu. Pengangkutan sukar dicari selepas pukul 10.00 pagi, setelah 15 minit menunggu ditepi jalan yang sarat dengan penjual sayur kami berjaya mendapat pengangkutan tersebut. Jam 8.30 pagi kami meninggalkan kawasan yang paling sejuk di Sabah iaitu suhu di sekitar 21 darjah celcius. Aku rasa sesiapa yang tidak biasa dengan kawasan tinggi sangat senang diserang “altitude sickness” di sini, simptom-simptomnya ialah seperti sakit kepala, telinga berdengung dan loya , mungkin memakan paracetamol dan memakan asam dapat membantu.
Kami check in di hotel yang sama seperti hari pertama supaya memudahkan urusan membeli belah di kawasan pasar. Terdapat beberapa kawasan membeli belah yang menarik di sekitar Pasar Filipina yang menjual pelbagai barangan makanan laut kering seperti rumpai laut, ikan bilis dan sotong. Pasar krafttangan pula menyediakan pelbagai cenderamata seperti barangan mutiara, kain dan key chain. Tetapi sikit mengecewakan kerana tiada pisau atau parang yang dapat dijadikan cenderamata dijual di sini.
Nabalu Lodge 088-889789
Kinabalu Pine Resort -088-368775
Wan (Pengangkutan Kundasang) -013-8572720
Taman Negara Kinabalu-088-889095
Via Ferrata-Gunung Kinabalu-088-268126