Saturday, September 17, 2011

Adakah Kita Sporting Semasa Menganjur Sukan?

Lumba Rakit (Belaga Rainforest Challenges)

Masih kepenatan mengayuh rakit ke Belaga semalam, namun yang paling penting semua warga Segaham yang terlibat sangat gembira menyertai pesta rakit ini. Kami berjaya menamatkan perlumbaan dari Segaham ke Belaga dalam masa 5 jam (jika menggunakan enjin berkuasa kuda 15 ia mengambil masa hampir 1 jam).


Terdapat 15 pesaing yang menyertai acara ini, malangnya kami sendiri tidak tahu kedudukan kami di tempat yang keberapa kerana semasa kami sampai pihak penganjur sudah tiada! Mungkin mereka hilang kerana membuat rumusan bahawa semua rakit di belakang sudah kalah agaknya.

Sepatutnya penganjur tidak boleh berbuat begitu kerana kami adalah peserta yang terakhir yang dilepaskan sudah tentulah kami yang akhir sampai. Sebenarnya aku tidak melihat masalah jika dilepaskan serentak semua rakit kerana bukannya bertanding diperingkat dunia, cuma kadangkala orang kita suka “make life complicated”.



Sikap “sporting” dalam sukan di Malaysia masih jauh dengan negara jiran kita Singapura, pihak penganjur akan lepas tangan terhadap peserta yang akhir sampai walaupun untuk sampai ke garisan penamat sebenarnya memerlukan usaha yang sangat-sangat gaban.



Untuk membuat perbandingan secara “apple to apple” aku mengambil contoh maraton di Kuala Lumpur dan Singapura. Di Malaysia jika seseorang pelari tidak dapat menghabiskan larian 42 km dalam masa 7 jam mereka akan beramai-ramai diangkut dalam van bomba atau ambulans untuk dibawa pulang dengan alasan untuk bergelar pelari maraton mereka perlu berlari kurang 6 jam 30 minit. Penganjur langsung tidak memikirkan usaha berbulan-bulan yang dilakukan oleh pelari yang mahu bergelar "marathoner".


Berbanding di Singapura anda boleh berlari mengikut kemampuan anda dan tiada siapa yang akan menyuruh anda menaiki van jika lambat ke garisan penamat. Jangan terkejut jika pengunjung di taman-taman akan memberikan sandwich yang dipotong kecil-kecil kepada anda jika laluan larian berada di kawasan mereka melepak.



Adalah tindakan betul menyuruh peserta-peserta mengejar tempat pertama tetapi jangan memberi mesej yang salah kepada peserta-peserta yang berada di tempat akhir. Aku sangat memuji usaha yang ditunjukkan oleh warga Segaham daripada proses mencari pokok buluh, membina rakit dan akhirya membawa ia ke garisan penamat. Bagi aku itulah kemenangan total yang harus dimiliki oleh semua orang.





Thursday, September 15, 2011

Ia Datang Lagi

Belaga Rainforest Challenges datang lagi, cuma kedatangannya kali ini tidak dapat disambut dengan acara kegemaran aku. Setiap kali aku singgah di pasar Belaga orang akan bertanya adakah aku akan menyertai maraton dari Bukit Jayong ke Belaga. Walaupun hati memberontak-rontak, bagi aku lutut aku lebih penting dari maraton itu. Setiap peristiwa pahit membawa aku ke dimensi baru, melibatkan diri sudah tentu bagi aku cuma kali ini ia sangat berbeza. Aku akan berakit dari Segaham ke Belaga menggunakan rakit sepanjang 24 kaki dan selebar 6 kaki. Banyak persoalan yang timbul, adakah kami akan menang? Kalah hampir pasti, tetapi bagaimana jika menang?