Friday, March 15, 2013

Doktor Umum


Memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad

Buku setebal 982 muka surat ini melihat secara makro daripada perspektif Tun M bagaimana keadaan Malaysia dari sebelum perang dunia ke 2 hingga ke zaman pemerintahan Tun  Abdullah. Antara yang menarik perhatian saya ialah kepercayaan, teknologi, arahan kerja yang jelas, pengswastaan, political mileage, pandang ke timur, menyelamatkan syarikat dan sindrom Mahathir.

Kepercayaan

Di kalangan pemimpin Malaysia, mereka sering mendapatkan perubatan di luar negara kerana tidak pernah yakin dengan doktor di Malaysia (sehingga sekarang) namun Tun M sangat percaya dengan kebolehan doktor Malaysia apabila mendapatkan rawatan pembedahan jantung di IJN sebanyak 2 kali. Inilah masalah yang mempengaruhi minda rakyat termasuk pemimpin hingga menyukarkan kerajaan melaksanakan pelbagai program seperti Proton, Sukom dan PLUS kerana tidak pernah percaya kepada kebolehan sendiri.

Teknologi

Apabila Proton bekerjasama dengan Mitsubshi tidak berlaku perpindahan teknologi di situ melainkan jalinan kerjasama yang erat dalam pembuatan. Untuk mendapatkan teknologi Proton terpaksa membeli Lotus dan MV Augusta untuk mendapatkan teknologi terkini, malangnya Tun Abdullah telah menjual MV Augusta dengan harga yang rendah di atas alasan membazir.

Arahan yang jelas

Pentingnya arahan yang jelas daripada pemimpin kepada anak buah juga harus ditekankan, kebanyakan syarikat di bawah kawalan kerajaan sentiasa rugi kerana tiada arahan yang jelas kepada pekerja. Sebagai contoh seorang penyelia kilang tin nanas tidak mempunyai senarai tugas menyebabkannya tidak tahu apa yang perlu diselia. Contoh yang paling baik ialah NKRA yang diwujudkan sekarang ialah apa yang dikatakan arahan yang jelas.

Pengswastaan

Rasional pengswastaan adalah untuk mengurangkan beban kerajaan dan menambah produktiviti syarikat, bagaimana ia berlaku? Jika semasa era Jabatan Telekom kerajaan terpaksa mengeluarkan RM200 juta setahun untuk menanggung kos operasi dan permohonan mendapatkan kemudahan telefon mengambil masa 2 tahun. Sekarang kerajaan tidak perlu mengeluarkan apa-apa peruntukan dan mendapat cukai syarikat malah permohonan mendapatkan kemudahan telefon sangat cepat dan pelbagai produk ditawarkan. Bayangkan jika kerajaan masih mengurus Jabatan Telekom!

Political Mileage

Adalah penting kita membantu negara-negara miskin memajukan kerana jika banyak negara miskin ini maju secara globalnya akan menguntungkan Malaysia kerana dapat menjalankan usahama perniagaan dan political mileage di masa akan datang. Antara negara-negara yang dibantu ialah di kawasan benua Amerika Latin dan Afrika. Kesan baik hubungan dengan negara-negara ini cuma akan dirasai selepas berpuluh tahun kemudian seperti pasaran untuk eksport Malaysia dan memperoleh undian dalam apa-apa persaingan penganjuran sukan misalnya.

Pandang ke Timur

Kenapa pandang ke Timur? Sebenarnya pandangan bahawa Barat sangat hebat dan kita mendapat faedah dengan berbaik dengan mereka adalah palsu belaka sebagai contoh yang paling mudah kabanyakan kita dimomokkan bahawa semua jet pejuang dari AS sangat hebat hingga membuatkan kita membeli jet pejuang F 18. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya, kita memiliki F 18 tanpa pakej “source code” hingga untuk mempertahankan negara kita perlukan kebenaran mereka. Ini dibuktikan semasa Op Daulat, Lahad Datu pesawat ini tidak digunakan mengebom musuh cuma sebagai bantuan moral kepada askar-askar kita. Jepun, Korea Selatan dan China sangat hebat dalam memajukan negara mereka dan sanggup membantu Malaysia dalam banyak perkara berkaitan dengan ekonomi dan teknologi. Lagipun budaya kerja orang Jepun dan Korea Selatan harus diikuti hingga terbinanya Menara KLCC. Budaya saing mereka sangat hebat dimana syarikat Jepun membina menara A dan syarikat Korea Selatan membina menara B, akibat persaingan yang sihat antara mereka menara ini siap lebih cepat daripada jangkaan.

Menyelamatkan Syarikat

Kerap dikatakan Tun M sangat kroni kerana banyak menyelamatkan syarikat-syarikat di Malaysia seperti Renong (saya sendiri bekerja di situ sebelum ini) dan MAS. Semua ini ada sebabnya jika sesebuah syarikat tutup akan berlaku pemberhentian kerja, bila mereka tiada kerja mereka tidak dapat membayar hutang piutang seperti rumah dan kereta, di pihak kerajaan akan kehilangan keuntungan cukai syarikat berjuta-juta setahun. Semua pihak mengalami kerugian termasuklah makcik yang menjual karipap dan goreng pisang kerana kurangnya permintaan.

Sindrom Mahathir


Projek-projek Mega yang telah dilaksanakan oleh Tun M ialah seperti KLCC, Putrajaya, ERL, LRT, Jambatan Lengkung dan Landasan Berkembar KTM, semasa menuntut di Universiti Malaya kami menggelarkan perkara-perkara ini adalah sindrom Mahathir tanpa mengetahui rasional di sebaliknya. Sebenarnya beliau mahu segala projek kerajaan boleh digunakan paling kurang 100 tahun supaya kerajaan tidak perlu menanggung kos membina yang akan semakin meningkat. Ini terjadi kepada Lapangan Terbang Subang sudah tidak mampu menampung beban walaupun telah diubah suai beberapa kali dengan belanja yang amat besar.