Sunday, April 13, 2014

Jalan-jalan ke Tanah Rata



Sudah 3 bulan aku bermastautin di Tanah Rata, Cameron Highlands. Aku sudah boleh mandi pagi tanpa pemanas air yang merupakan salah satu cara untuk membiasakan diri dengan suhu. Ia  sama seperti memasang penghawa dingin di subuh hari sewaktu memandu kereta ke Pos Menson untuk memastikan penglihatan jelas yang bila cermin kereta dihalangi oleh kabus. Dalam bahasa mudah suhu di sini akan menyebabkan anda terkial-kial mencairkan minyak masak yang membeku semasa hendak memasak sama keadaannya seperti di Puncak Yong Belar, Yong Yang ataupun Korbu.




Terdapat 3 jalan untuk ke sini iaitu melalui Tapah-Ringlet-Tanah Rata,  Simpang Pulai-Kampung Raja-Brinchang-Tanah Rata ataupun Sg. Koyan-Pos Betau-Lembah Bertam-Ringlet-Tanah Rata. Setiap jalan mempunyai kelebihannya tersendiri, jika melalui Tapah kita terpaksa melalui lebih kurang 300 ratus lengkuk dan kadangkala tanah runtuh. Pemanduan yang selamat adalah sekitar 40-60 km sejam dan mengambil masa 1jam setengah perjalanan dengan jarak cuma lebih kurang 60km.



Melalui Simpang Pulai sangat menenangkan fikiran cuma sekali-sekala terdapat lengkuk dan roadblock JPJ, yang penting melalui jalan ini tidak memerlukan enjin berkerja ke tahap maksimum seperti jalan Tapah. Jarak perjalanan lebih kurang 100km dan mengambil masa 1jam setengah untuk sampai ke destinasi. Jalan Sg. Koyan ke Tanah Rata sangatla selesa kerana ia lebar dan mempunyai laluan memotong namun aku tidak tahu kenapa ia belum diwartakan lagi, namun tidak perlu risau melalui jalan ini selamat namun perlu berhati-hati kerana terdapat 2 kawasan tanah runtuh yang sedang dibaik pulih dan dipertengahan jalan terdapat selekoh yang sangat kecil melalui 2 buah bukit. Perjalanan cuma mengambil masa 1jam setengah dengan jarak lebih kurang 100km.



Jika kita mempunyai masalah berkaitan kereta haruslah diselesaikan di Ringlet kerana kawasan ini mempunyai bengkel kereta, membaiki penghawa dingin/radiator dan bengkel tayar yang boleh dipercayai kebolehannya tetapi harga sedikit mahal dari kawasan di bawah. Terdapat 2 stesen minyak (Shell dan Petronas) di Ringlet dan Brinchang dimana kita seharusnya isi minyak kerana tiada setesen minyak di Tanah Rata.




Untuk penginapan adalah dicadangkan menginap di kawasan Kg. Taman Sedia sesuai dengan suasana kemelayuannya atau boleh menginap di Smoke House (berhampiran Kg. Taman Sedia) jika mahu merasai suasana inggeris. Kebiasaannya harga yang ditawarkan sekitar RM250-RM300 pada waktu puncak dan lebih murah pada hari-hari biasa. Jika kumpulan yang besar adalah dicadangkan berkhemah di kawasan yang disediakan oleh Jabatan Hutan (berhampiran Kg. Taman Sedia) dimana kos untuk seorang RM5.00 sahaja, cuma perlu memasang khemah sendiri dan duit lebih boleh dibelanjakan untuk membeli barangan di sini. Kemudahan tandas dan surau lengkap di sini diindahkan lagi dengan laluan sungai kecil yang bersih di tengah-tengah tapak perkhemahan serta dikelilingi pokok pain. Terdapat juga banyak apartment dan hotel yang menyediakan kemudahan tempat tinggal beserta sarapan pagi di sini.




Untuk yang gemar berjoging laluan yang terbaik ialah mengelilingi kawasan  Kg. Taman Sedia dan kawasan Kelab Golf sejauh 7 km ataupun jika mahu berada di atas puncak bolehlah melanggar aturan singgah di takungan air berhampiran laluan masuk Kg. Taman Sedia ataupun di takungan air berhampiran bangunan terbengkalai. Jika mahu melihat keseluruhan Tanah Rata bolehlah ke takungan air di Hospital Tanah Rata. Secara keseluruhannya tempat berjoging (kawasan yang sesuai untuk berjoging) di sini masih belum mampu menandingi kesukaran Bukit  Balong di Selangau mahupun Bukit Besi di Sg. Besi.






Berjoging di sini akan menyebabkan masalah kesukaran bernafas dan otot jantung dan paru-paru bekerja lebih masa berbanding di kawasan rendah kerana kekuarangan oksigen. Kandungan air dalam udara tidak baik untuk pengidap lelah dan altitude sickness adalah perkara biasa kepada yang suka beraktiviti. Mungkin kerana itu sukar hendak melihat pemuda-pemuda di sini bermain bola di padang. Untuk yang lebih ekstrem boleh mendaki Gunung Berembun melalui trek Parit Falls yang terletak berhampiran Kg. Taman Sedia, dengar cerita perjalanan mendaki adalah selama 2 jam. Jika mahu lebih ekstrem boleh terus ke Gunung Irau dan Gunung Brinchang dimana laluan masuknya terletak di Pekan Brinchang, 5km dari Kg. Taman Sedia.




Di Kg. Taman Sedia juga terdapat ladang strawberi dan menjual barangan makanan halal yang dibuat daripada strawberi (terdapat banyak ladang strawberi sepanjang Brinchang ke Tanah Rata). Jika di ladang kita boleh memetik buah sambil membeli buah strawberi namun jika mahu menjimatkan masa boleh singgah terus ke kawasan jualan tepi jalan kira-kira 5 km dari Pekan Brinchang dari arah Tanah Rata. Tapak jualan ini terletak di sebelah kanan jalan, dimana ia menjual pelbagai jenis sayur, buah, teh dan pelbagai barangan cenderamata seperi baju, bantal dan rantai kunci. Untuk makluman sebenarnya banyak tempat seperti ini bermula dari Tringkap sehingga ke Ringlet dan harganya lebih kurang sama.




Saya lebih suka membeli barangan cenderamata di kawasan Tanah Rata kerana kecukupan tempat meletak kereta. Jika membeli buah strawberi dan sayur, saya membeli pada Nyonya (peniaga kecil) kedai kayu di Batu 33 (terletak di sebelah kiri kira-kira 7km dari Tanah Rata dan terdapat tangki air dan bangunan kecil berwarna putih beserta tempat meletak kereta sebelum sampai ke Habu). Saya mendapat diskaun 20% atau separuh harga daripada biasa sebab selalu membeli di situ setiap hari jumaat. Strawberi di sini dijual pada harga RM5-RM10, jagung mutiara RM20.00 untuk 7 tongkol manakala sayur  RM10.00 untuk 8 bungkus. Untuk minta kurang harga adalah hampir mustahil tapi jika minta ditambahkan barang boleh dirunding. Jika mahu membeli barangan cenderamata, bunga dan pokok  boleh singgah di Fong Huat Nursery berhampiran tempat tersebut.


Jika mahu membeli teh saya akan ke Pasar Raya Cameron terletak berhampiran Restoren Halal 24 jam Mamu Ismail. Di sini pelbagai jenis teh ada dijual daripada yang murah hingga ke mahal. Pasar raya ini merupakan satu-satunya tempat yang menjual 10 jenis perisa teh dalam satu peket berharga RM7.00 yang sesuai dijadikan buah tangan. Di ladang teh (terdapat banyak ladang teh) ia cuma menjual 3 perasa sebanyak 5 paket dengan harga RM10.00, untuk mengabadikan gambar sangat sesuai di ladang teh namun untuk membeli barang dan minum di sini tidaklah berbaloi.Elok juga singgah membeli yacon sejenis ubi tanah tinggi (berasal dari Tibet) yang boleh terus dimakan dimana bentuknya sama seperti ubi keledek dan rasanya seperti buah lai. Setakat hari ini saya cuma terjumpa buah ini di sebuah kedai runcit berhampiran kedai gambar Fuji Filem dan dijual RM6.00 sekilo.






Homestay di Kg. Taman Sedia, Tanah Rata
  • Azman (atas bukit)          017-2873912
  •  Aszi        (atas bukit)       017-2725107
  • Fauziz    (atas bukit)         017-2725107
  • Homsetay 1                     019-5403474
  • Homestay 2                     05-4911958







Chalet di Kg. Taman Sedia, Tanah Rata


  • Al –Mashoor                      019-5760669
  •  Anggerik                              019-6414857
  •  D. Desaku                            017-5530806
  •  Lily                                          012-5552822
  •  MZ                                         019-5480129
  •  Marina                                  013-6430602
  •  Melati                                   019-5480129
  •  Neeza                                   012-2677287

Towing Ringlet (24 jam) 019-5475545/010-5138130/054958220