Tuesday, December 29, 2009

Krismas sudah melabuhkan tirainya, aku dihubungi oleh Cikgu Andrew pada awal pagi Krismas kerana tidak mengucapkan Merry Chirstmas seperti yang aku lakukan kepada rakan-rakan lain. Sudah menjadi lumrah manusia selalu melupakan orang yang dekat di mata berbanding mengingatkan orang yang jauh. Malang buat orang Rumah Panjang Kejaman kerana berlaku kematian sehari sebelum Krismas membuatkan suasana muram.
-
Segala peralatan gunung sudahpun aku masukkan kembali ke dalam kotak Doraemon seperti biasa selepas melakukan Jelajah Belia Denai Raja Asal-Mat Kilau. Perjalanan kaki dari Pos Bersih Ulu Slim (Perak) ke Lata Lembik (Pahang) sejauh 30km itu memakan masa selama lebih 12 jam. Alhamdulillah walaupun aku tiada mengikuti rutin pertandingan dan naik gunung, aku berjaya juga menutup tahun 2009 dengan dua projek besar iaitu maraton penuh (Singapura) dan Trans Titiwangsa (Perak-Pahang).

Friday, December 25, 2009

Program Jelajah Belia-Denai Raja Asal-Mat Kilau

25 Disember

Seperti biasa aku lebih selesa menjemput Max datang ke Tanjong Malim untuk program yang ekstrem pada kali ini. Dari Tanjong Malim kami (Aku, Atan dan Max) menaiki bas ke pekan Ulu Slim Village sejauh lebih kurang 30km dengan tambang RM2.60 (tetapi pada bas ditulis sebagai Slim Velej). Kami makan tengahari dan solat Jumaat di sini sebelum ke tapak pelancaran di Kg. Lintah. Program merentasi Banjaran Titiwangsa ini dianjurkan oleh Persatuan Belia Slim Village (PBSV) dengan melibatkan 300 peserta dengan bantuan RELA, SMART, KESIHATAN, PBSM dan Rejimen 503 (Wataniah).

Oleh kerana terdapat ramai sangat orang yang berpengalaman, aku dan Max berpakat untuk tidak kelihatan menonjol sebagai mountain climbers dengan mengenakan pakaian ala kadar iaitu tanpa pakaian ketat dan seluar pendek atau dalam bahasa mudah memakai seluar menembak kambing batu. Ini kerana bagi aku jika kita mahu mendapat ilmu yang banyak lebih baik kita datang seperti gelas kosong yang perlu diisi.

Selepas majlis pelancaran yang gilang-gemilang dan penuh tradisi kami di bawa ke SK Pos Bersih iaitu kawasan penempatan orang asli (kalau mengikut pengalaman aku kemungkinan ia dalam zon pedalaman 1). Setelah taklimat yang kadang-kala meleret-leret kami dibahagikan kepada 8 kumpulan di dalam lingkungan 30 peserta termasuk agensi yang terlibat.

26 Disember 2009

Jam menunjukkan 7.25 pagi kumpulan pertama baru hendak bergerak ke kaki gunung yang terdekat, seperti yang aku ramalkan aku yang berada dalam kumpulan terakhir cuma dapat sampai ke kaki gunung menaiki Hilux 2 jam kemudian. 9.25 pagi awal-awal lagi sudah menempuh sungai pada ketinggian sekaki manakala perjalanan seterusnya adalah jalan-jalan balak dengan semak samun yang sudah lama ditinggalkan. Seperti biasa kebanyakan peserta memecut hingga ada yang sudah pancit pada setengah jam perjalanan. Setelah 1 jam perjalanan keadaan sudah tidak panas seperti permulaan kerana banyak pokok besar di sekeliling dan pokok tepus di bawahnya. Dengan berjalan mengikut 2 peserta dari kumpulan 7 dan 6 yang keletihan perjalanan ke check point 1 memakan masa selama 3 jam (mengikut kiraan penganjur cuma 2 jam sahaja), itupun masih terdapat peserta di belakang aku yang masih belum sampai tetapi di bawah kawalan sweeper.

Tepat jam 1.00 kami meneruskan perjalanan ke Batu Hidang (check point 2), seperti sebelumnya perjalanan adalah mendaki tetapi tidaklah curam hanya seperti tebing Batang Rajang dimusim kemarau dan masih terpaksa melalui beberapa anak sungai yang kecil. Setelah berjalan selama hampir 2 jam kami sampai di Batu Hidang dimana terdapat kawasan batu yang besar dan rata (sebesar dua buah hilux). Kawasan ini dikatakan tempat Mat Kilau dan pahlawan melayu lain berehat makan sebelum meneruskan perjalanan ke Pahang atau Perak dan begitu juga pada era komunis ia menjadi tempat istirehat komunis pula.


Lebih kurang jam tiga petang aku meneruskan perjalanan ke Batu Gajah yang mengambil masa cuma 10 minit, terasa agak kecewa kerana batu ini bukanlah seperti bentuk gajah seperti di dalam taklimat yang berjela-jela semalam tetapi cuma kerana saiznya sebesar anak gajah. Menurut kepercayaan masyarakat dahulu untuk mengelakkan lenguh-lenguh pada kaki mereka berjalan jauh, mereka akan mengambil rumput lalu dikibaskan pada batu tersebut sambil membaca selawat dan kemudian mengibas kepada kaki sendiri (pada pandangan aku perbuatan ini adalah syirik walaupun membaca selawat).


Perjalanan seterusnya diiringi hujan lebat tanpa berhenti-henti, ini membuatkan jalan berlumpur dan lecah hingga merosakkan banyak kasut peserta. Perjalanan lebih banyak menurun secara landai dan melalui alur-alur sungai kecil dan pohon-pohon buluh sepanjang lebih kurang satu kilometer sebelum berjumpa dengan denai yang baik.

Jam menunjukkan pukul 6.00 petang tetapi Lata Lembik masih tidak kelihatan dan perjalanan tetap diteruskan walaupun secara perlahan serta sudah tiada denai yang licin seperti sebelum ini. Jam 7.00 petang sudah kelihatan kumpulan SMART menunggu kami di sebuah sungai besar atas sebab-sebab keselamatan, kami semua memasang lampu suluh sebelum meneruskan perjalanan ke check point 3. Setelah setengah jam perjalanan maka kami sampai ke check point 3 dengan melintasi sebuah sungai yang agak besar.


Di situ penganjur sudahpun menunggu kami dengan kenderaan pacuan empat roda, oleh kerana sudah terlewat sampai kami menaiki pacuan empat roda tersebut terus ke Lata Lembik yang masih berada jauh 7 km di hadapan. Walaupun menaiki pacuan empat roda perjalanan tidaklah sesingkat yang digambarkan kerana mengambil masa lebih 20 minit, bila agaknya kami akan sampai jika berjalan kaki!.


Idea memanggil banyak sangat agensi dalam suatu program bukanlah idea yang baik kerana berlaku pertindihan kuasa/tugas sebagai contoh antara RELA, SMART dan Rejimen 503 begitu juga antara KESIHATAN dan PBSM. Taklimat meleret-leret bukanlah perkara yang baik jika penganjur sendiri tidak dapat melaksanakan apa yang mereka aturkan. Pembahagian kumpulan sebanyak 50 orang setiap kumpulan bukanlah idea yang baik mungkin dapat dikecilkan kepada 20 orang setiap kumpulan.


Aku masih merasakan OGKL adalah penganjur terbaik dalam ekspedisi kerana mempunyai rejim latihan sebelum mendaki gunung, tanpa taklimat meleret, sesi suai kenal dan orang yang berpengalaman cuma mereka tidak menepati masa bila beraktiviti. Namun pujian harus diberikan kepada PBSV kerana berjaya melaksanakan program merentasi Banjaran Titiwangsa dalam jumlah peserta yang besar dengan mengenakan yuran hanya sebanyak RM30.00. Mengikut perkiraan aku untuk segala urusan makanan, baju, penginapan, pengangkutan dan pentadbiran paling kurang peserta harus membayar RM200!. Tahap kesusahan trek ini masih separuh daripada Gunung Telapak Burok apatah lagi kalau hendak dibandingkan dengan Trans Titiwangsa Versi 2.