Thursday, March 19, 2009

Sejarah SK Long Segaham

SK Long Segaham di tubuhkan pada 14 Febuari 1964 dengan menggunakan nama “Long Segaham Primary School” dan diwartakan pada 1965 di bawah Majlis Daerah Kapit. Idea penubuhannya bermula apabila kesusahan yang dihadapi oleh penduduk Long Menjawah, Long Segaham dan Long Semuang hingga terpaksa menghantar anak-anak mereka ke SK Abun Matu, Belaga yang terletak kira-kira 40 km.
-
Keadaan ini menyulitkan penduduk tersebut untuk menghantar anak mereka kerana terpaksa berkayuh empat hingga enam jam untuk menghantar anak pergi ke sekolah dan pulang ke rumah. Ini kerana mereka terpaksa mengharungi Batang Rajang yang deras dan berbahaya hingga mendedahkan kepada risiko kemalangan. Di atas faktor-faktor tersebut berlaku keciciran pelajaran di kalangan anak-anak mereka kerana tidak menerima pelajaran yang sempurna.
-
Untuk mengatasi masalah tersebut, penduduk empat buah Rumah Panjang iaitu Uma Kejaman (Long Segaham), Uma Apan dan Rumah Nyaving (Long Menjawah)serta Uma Lahanan (Long Semuang) bersepakat membina sebuah sekolah di kawasan yang di fikirkan bersesuaian di kawasan ini. Setelah mencapai kata sepakat Mendiang Lasah Abun pemimpin Umah Kejaman memberikan sebidang tanah untuk bangunan sekolah dengan mengambil kira kedudukannya yang terletak di tengah-tengah di antara Long Menjawah dan Long Semuang.
-
Bangunan asal terdiri daripada dua buah bangunan, di mana bangunan yang pertama ialah bangunan dua tingkat yang menempatkan tiga buah kelas dan kediaman Guru Besar, manakala bangunan kedua mer upakan asrama pelajar. Bangunan kayu ini dibina daripada papan dan kayu belian dan diusahakan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.
-
Pengambilan pertama murid ialah seramai 75 orang murid dan dibahagikan kepada dua buah kelas iaitu, Primary One dan Primary Two. Encik Lating Abun yang berasal dari Uma Balui Ukap, Batu Kalo dilantik menjadi pengurus pentadbiran sekolah yang pertama.
-
Pada tahun 1979 apabila ia mendapat peruntukan kewangan dari Bank Dunia, beberapa bangunan baru di bina. Bangunan tersebut ialah sebuah blok yang menempatkan 4 buah bilik kelas, sebuah blok asrama yang dibahagikan kepada 2 unit, 2 kuarters guru dan sebuah dewan makan yang dilengkapi dapur memasak. Pada tahun 2009 pelajarnya berjumlah 78 orang yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Orang Ulu seperti Kejaman, Kayan, Lahanan, Kenyah, Sekapan, Punan dan Beketan.