Thursday, April 21, 2011

Hari yang sangat memenatkan cuma untuk perjalanan keluar dari Batang Balui (Segaham) ke Belaga. Ia kerana penutupan terowong Bakun untuk tujuan penyelenggaraan telah menyebabkan air menjadi terlalu cetek hingga ke tahap perahu-perahu kecilpun sukar melepasinya. Hujan lebat sepanjang perjalanan dan kayu balak hanyut menjadikan ia bertambah sukar kerana aku membawa gadjet-gadjet elektronik seperti komputer riba dan telefon bimbit. Sudah masuk tahun ketiga di sini, aku masih belum dapat membiasakan diri dengan perjalanan keluar yang ekstrem walaupun aku pernah melakukan perjalanan ekstrem selama 7 hari di Banjaran Titiwangsa di dalam hujan lebat.

Saturday, April 16, 2011

Ajalnya Bujang Senang

Pada tahun 1992, Dayang bersama ibu dan bapanya telah mudik ke sungai kecil (Sungai Pelaban) pergi ke ladang untuk berhuma. Sungai kecil tersebut tidak dalam (separas pinggang) apabila sampai berhampiran kawasan ladang mereka, ayah Dayang berhenti di seberang untuk mengutip sayur di tebing sungai. Memikirkan air sungai yang tidak dalam, Dayang mengambil keputusan untuk menyeberang ke kawasan ladang tanpa menggunakan perahu sambil memegang tangan ibunya.

Sewaktu menyeberang sungai kecil tersebut, tiba-tiba Bujang Senang membaham Dayang tanpa belas kasihan dan membawanya ke hulu sungai. Ibunya melarikan diri kepada suaminya dan menyatakan ada seekor buaya yang mempunyai tanda putih di belakang badannya. Serta-merta orang kampung dengan pantas mencacakkan kayu di dalam sungai supaya ia terperangkap. Orang kampung dengan pelbagai senjata seperti empuling (lembing) dan senapang mengejar Bujang Senang ke arah hulu, Bujang Senang ditembak bertalu-talu namun tidak mati.

Bujang Senang berjaya melarikan diri, namun disebabkan air yang semakin mengering dan cetek ia terpaksa pergi ke kawasan yang telah dicacak kayu oleh orang kampung. Ia mengamuk dengan melanggar kayu tersebut untuk menghala ke Batang Lupar, orang kampung menembaknya bertubi-tubi namun tidak mati. Semasa itu seorang daripada orang kampung tersebut mendekati Bujang Senang dan merejamnya dengan empuling dan ia menemui ajalnya di situ (20 Mei 1992).

Kepalanya telah dipotong dan beberapa bahagian badannya telah diberi kepada keluarga Dayang untuk dimakan sebagai isyarat dendam telah terbalas. Sekarang tengkorak kepala Bujang Senang ada dipamerkan di Jong Crocodile Farm Kuching, namun ia mempunyai versi yang berbeza dimana ia dikatakan mati ditembak dengan peluru paku yang disemadikan (termasuk senapang yang digunakan) bersama tengkoraknya.

Ada yang mengatakan buaya sepanjang 19 kaki 3 inci dan mempunyai tanda putih di belakangnya itu bukanlah Bujang Senang kerana masih terdapat banyak buaya yang lebih besar hidup di Batang Lupar. Namun setelah kematian Bujang Senang agak kurang berlaku kematian manusia disebabkan dimakan buaya sekarang.

Cerita ini disesuaikan melalui cerita Encik Bakar ak Sebau dan maklumat dari Jong Crocodile Farm


170 daripada 218

Cuaca yang sangat baik hingga ke petang di mana suhu paling panas pada takat 36 darjah celcius. Hari yang cukup baik untuk pergi ke ladang oleh sebab itu ramai yang datang mengundi awal pagi dan sebenarnya pusat mengundi ditutup pada waktu pagi iaitu jam 11.30 pagi. Seramai 218 orang layak mengundi di sekolah aku yang melibatkan 2 buah rumah panjang iaitu Rumah Panjang Kejaman Lasah dan Rumah Panjang Long Mitik.

Alhamdulillah tiada berlaku kekecohan kerana mereka semuanya bersaudara walaupun berlainan ideologi politik. Seramai 170 daripada 218 orang yang membuang undi (77.98%) satu jumlah yang dikira baik kerana ramai yang berhijrah jauh dari Belaga. Daripada 170 undi, BN mendapat undi sebanyak 145 ia dikira cukup banyak mungkin kerana YB Liwan berjaya mengekalkan momenton kecemerlangannya yang agak nampak sebelum pilihanraya. Jika ada yang tidak berpuashati lebih kepada isu NCR, namun ia lebih merujuk kepada Ketua Menteri.

Sunday, April 10, 2011

Asal Usul Keris Taming Sari

Keris tidak langsung boleh berenggang dengan orang Melayu suatu ketika dulu sehingga terasa seperti berbogel jika tidak menyisip keris di pinggang (Winstedt). Keris yang tinggi maratabatnya hingga menjadi idaman semua orang terutamanya Taming Sari. Persoalannya kenapa nama keris itu Taming Sari, walhal banyak keris yang tidak bernama di dunia alam Melayu.

Sebelum itu eloklah difahamkan bahawa Taming Sari adalah nama seorang pendekar Jawa dalam kerajaan Majapahit seperti yang disebut di dalam Hikayat Hang Tuah. Menurut hikayat ini, Taming Sari adalah seorang panglima yang paling handal di Majapahit ketika itu, dan beliau telah ditugaskan oleh Bendahara Majapahit, Patih Gajah Mada untuk membunuh Hang Tuah.

Mengikut cerita orang tua, Taming Sari telah menuntut ilmu kesaktian dan gurunya telah mensyaratkan beliau untuk bertapa di sebuah gua dan mendapatkan lidah ular sakti sebagai bukti tamat pertapaan. Semasa beliau bertapa seekor ular besar telah datang kepadanya, dengan menggunakan helah ular tersebut menjulurkan lidahnya di pintu gua. Lantas beliau memotongnya dan membawanya pulang kepada gurunya, ia (lidah ular) kemudian ditempa menjadi keris sakti yang tidak bernama.

Setelah keris itu siap gurunya telah memberikan kepada Taming Sari dan mengatakan bahawa sesiapa yang memegang keris tersebut akan menjadi kebal ia juga meletakkan syarat jika sesiapa mengaku keris tersebut keris kepunyaannya ia akan makan tuan.

Hang Tuah pula pada masa itu telah berguru kepada seorang ahli pertapaan Jawa bernama Sang Adi Putera. Gurunya itu telah memberitahu akan kelemahan Taming Sari. Oleh itu, pada hari pertarungan antara kedua pendekar ini di hadapan Sultan Melaka dan Betara Majapahit, Hang Tuah telah berjaya membuatkan Taming Sari mengaku itu kerisnya dengan dialog “aku takkan mati selagi aku mempunyai keris sakti ini!”. Kemudian Hang Tuah berjaya merampas keris tersebut dan membunuh Taming Sari, (hal yang sama juga terjadi kepada Hang Jebat sebab Hang Jebat mengungkap dialog yang sama).

Sebagai menghargai kejayaan Hang Tuah itu, Betara Majapahit telah menganugerahkan keris itu kepada Hang Tuah. Hang Tuah terus menamakan keris itu sebagai "Keris Taming Sari" untuk mengelakkan sumpahan dan telah dibawa pulang ke Melaka.

Selepas kejatuhan empayar Melayu Melaka, tidak lagi diketahui ke mana perginya keris Taming Sari ini. Pelbagai kisah dan mitos tersebar mengenai keris ini. Ada yang mengatakan bahawa keris ini telah hilang bersama-sama Hang Tuah di Hulu Muar selepas Hang Tuah gagal membawa pulang Puteri Gunung Ledang untuk Sultan Melaka. Ada pula yang percaya bahawa keris Taming Sari telah dibawa ke Perak dan disimpan oleh keturunan raja-raja Perak.

Disesuaikan dengan Maswafi bin Abd Samat. 1998 “Jampi Mantera : Peranannya Dalam Ilmu Persilatan Melayu. Latihan Ilmiah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Friday, April 08, 2011

Tinggal 5 daripada 21

Itulah angka murid buta huruf yang masih tinggal di tahun 2, semua kaedah dan tenaga telah digunakan bagi mencapai matlamat tersebut. Januari tahun lepas hanya 4 murid daripada 21 sahaja yang boleh membaca, jumlah yang sangat menjadi mimpi ngeri kepada semua orang. Apatahlagi berada di kawasan buta huruf yang tertinggi di Malaysia. Rasanya seperti ada yang tidak kena pada 5 orang murid ini jika setelah 45 minggu tahun 2010 ditambah beberapa minggu hingga sekarang masih belum lancar huruf a hingga z!. Atau mungkin menggunakan kaedah huruf-huruf sebesar meja tulis murid yang aku gunakan tidak berkesan dan sesuai.