Friday, August 22, 2008

Kelihatan berbalam-balam banjaran Titiwangsa setiap kali aku melintasi rumah Mat Funfair, itulah indahnya di sini yang tiada di Seremban walaupun pelat aku sudah bertukar dari kata ganti nama “teman” kepada “den” sekarang ini. Hampir setiap minggu pasti suatu petang masih kelihatan masyarakat orang asli menyarung jersi bola yang lusuh bermain bola bersama kawan-kawan aku di padang awam Sungkai itulah membuatkan rindu aku tidak pernah padam di sini. Itu belum melihat gelagat mereka yang sentiasa menggelabah bila melakukan urusan di pejabat Pos dan BSN yang semestinya menjadi bahan hiburan aku, bagi aku masyarakat yang terkenal dengan sifat mudah terasa dan penghuni banjaran Titiwangsa ini adalah sebahagian daripada dunia aku.
-
Rumah teres Cikgu Azmi sudah tersergam indah betul-betul di hadapan rumah aku maka ia adalah berita baik kepada anak-anak kecil untuk menambah koleksi duit raya pada Syawal nanti. Angah pula baru dilantik menjadi ketua pemuda parti keris cawangan maka besarlah harapan aku untuk membalun duit pembayar cukai untuk melaksanakan pelbagai program yang difikirkan munasabah dengan dunia siber sekarang ini bukannya sekadar memenuhi takwin yang disediakan oleh parti.
-
Hingga sekarang aku masih percaya kepada konsep apakah sumbangan kita kepada negara sebelum menyoal sumbangan negara. Kita harus menjauhi sifat bakal Perdana Menteri dari parti dajal mata satu yang suka menyoal sumbangan negara kepada kita walhal semasa beliau menjadi orang nombor dua negara tidak pernah pun memansuhkan AUKU dan ISA bila sudah menjadi pembangkang baru terhegeh-hegeh hendak memansuhkannya, lagipun semua sedia maklum dia ditarbiyah cara parti keris maka begitulah pemikirannya hingga sekarang. Mungkin kerana itulah dia tidak diterima oleh sesetengah orang di parti bulan yang masih sangsi dengan perjuangannya, aku percaya jika dia berjuang untuk rakyat seharusnya dia memberi peluang kepada presiden parti bulan menjadi orang nombor satu.

3 comments:

Aishah Jamal said...

Tiba-tiba akak teringat satu lagu.
"Oh Bulan mana Bintang? Diatas pucuk kayu Ara. Oh Kawan cepat datang. Boleh kita main sama-sama"

Walau macam manapun, bulan tetap relevan...

Farrah said...

Wafi, cuba besarkan scope pembacaan and timbang mana yang logik mana yang kata2 manis semata2. Dacing relevent dulu2 jer...

Maswafi Abd Samat said...

my dear,

UMNO dan pas mempunyai matlamat yang jelas. Keadilan??? kita tunggu dan lihat.