Saturday, August 30, 2008

Pemergian yang diredha

Makcik Kiah seperti tidak mahu bangun dari tikar solatnya, perlahan-lahan mengalir air mata Makcik Kiah namun ia dibiarkan sahaja tanpa mahu ia mengelapnya. Air matanya tiba-tiba jatuh bila merenung gambar arwah suaminya yang di letakkan berhampiran meja kecil di sebelah katilnya. Kemudian dia bergegas ke ruang tamu tanpa membuka telekungnya apabila telefon berdering, Kamil menelefon mengatakan ia tidak dapat pulang untuk hadir pada kenduri arwah hujung minggu ini, dia merasakan anak-anaknya yang lain iaitu Linda dan Lia pun akan mengambil sikap yang sama. Semasa itu dia amat terkenangkan Farid anak keduanya, tidak pernah mengecewakannya walaupun tidak berpendidikan tinggi dan tidak bekerja dalam bidang profesional seperti anaknya yang lain.
-
Jika dia terlantar sakit Faridlah yang akan menyiapkan makan minumnya, memicit-micit badannya atau apa sahaja yang menyenangkan dirinya. Jika Farid berada di rumah pada hujung minggu dia jugalah yang akan membawa dirinya bersarapan di kedai Mak Teh yang merupakan kedai minum kegemarannya sejak kecil lagi. Dia suka melihat anaknya seorang itu makan roti canai berkuahkan kari ikan dan meminum susu lembu segar hingga kadang-kadang berlemuih mulutnya dengan susu tersebut, sebenarnya perangai anaknya itu tidak ubah seperti perangai arwah suaminya. Anak-anaknya yang lain sudah sangat jarang pulang ke rumah, apatah lagi hendak membawanya ke tempat makan yang sudah tidak memenuhi citarasa mereka kini walhal itulah makanan kegemaran mereka sewaktu kecil. Jika pulang pun hanya bertanyakan tentang soal-soal pembahagian harta arwah kemudian mereka seperti cacing kepanasan hendak pulang ke rumah masing-masing dengan alasan terlampau sibuk.
***
Bertempat di tepi pantai yang berpasir putih tidak tercemar oleh sampah, di sebelah kanan menghadap laut terdapat timbunan batu karang yang besar dan bukit yang tinggi memutuskan pantai itu dengan daratan yang landai, manakala di sebelah kirinya pula hanyalah hutan sepanjang tiga kilometer di mana kadang-kadang terdapat laluan tikus di tanah persendirian itu untuk laluan pemancing datang ke situ.
-
“Hairan aku, kenapa kau berbaik dengan Shikin dimana bapanya kau anggap sebagai pembunuh ayah kau”? tegas Razlan. “Kenapa kau mencampuri urusan aku”? bentak Farid, suaranya agak meninggi. “Farid, negara kita ada undang-undang, jangan kau cuba menjadi hakim ke atas pembunuh ayah kau”. Razlan menyanggah. “Undang-undang hanya untuk golongan marhaen seperti aku, bukan untuk Dato’ Shakir walaupun semua orang tahu dengan bukti-bukti yang kukuh dia tetap terlepas dari tuduhan. Ini semua kerana dia mempunyai wang yang banyak untuk menyuap para hakim dan mengambil peguam yang hebat dengan mewujudkan prima facie dalam kes tersebut”. Farid berhujah lagi. “Beritahu aku apa yang pihak polis lakukan apabila konon-kononya wujudnya pihak ketiga dalam kes pembunuhan ayah aku hingga menimbulkan keraguan menyebabkan dia terlepas. Hingga sekarang polis masih belum mempunyai klu siapakah orang tersebut, biar aku beritahu kau sebenarnya tidak wujudpun orang tersebut.” sambung Farid.
-
“Lebih baik kau berhati-hati bercakap Farid!” marah Razlan. Farid tersenyum, dia memandang sedalam-dalamnya anak mata Razlan yang sedang marah. Nampaknya dia sudah menjolok sarang tebuan yang sudah lama selesa bertapa. “Jika begitu kita adalah musuh pada hari ini, maka kita berpegang pada sumpah keramat kita yang baru bahawa kau teruskan dengan kerja kau dan aku meneruskan urusanku sendiri.” ujar Farid dengan suara yang meninggi dengan renungan yang dalam. Kali ini tanpa bersalam Farid meninggalkan kawasan tersebut, caranya berjalan pulang sangat yakin dengan matlamatnya, itulah yang membuatkan Razlan resah kerana Farid merupakan satu-satunya ahli perguruan mereka yang sangat mahir dengan pertempuran tangan kosong. Walaupun Farid hanyalah seorang pengamal ilmu persilatan biasa, Farid pernah mengkeronyok seorang guru silat yang mengatakan cara menumbuknya tidak betul, mujur Pak Ngah yang berada di situ menunjukkan isyarat berhenti jika tidak sudah lama dia meringkuk dalam penjara.
***
Adakah ini suratan atau kebetulan? Kenapa perlu aku mencintai anak kepada pembunuh ayahku? Ahhh… semak kepalaku!!! monolog Farid. Farid mengimbas kembali bagaimana mereka bertemu dan jatuh cinta. Semuanya bermula dengan kemalangan di simpang tiga dimana dia melanggar belakang kereta Kelisa Shikin hingga terpelanting melepasi keretanya. Dia tidak boleh menyalahkannya kerana melakukan brek kecemasan kerana ia mempunyai asas yang kukuh kerana mengelak daripada melanggar pelajar sekolah yang tiba-tiba melintas. Dia terpaksa di kejarkan ke hospital untuk merawat kecederaan yang teruk pada muka dan tulang kaki kanannya yang patah. Selama seminggulah juga Shikin menjenguk dirinya setiap kali pulang dari pejabat hinggakan emaknya berkenan pula dengan Shikin.
-
Hubungan mereka tidak habis di situ, kerana sewaktu Farid berehat cuti sakit selama sebulan di rumah ibunya pasti Shikin akan menjenguk Farid setiap hujung minggu. Dia akan membawa Farid berjalan-jalan di tepi pantai dalam usaha fisioterapi terhadap kecederaan yang dihadapi. Selama itu Farid dan ibunya tidak pernah bertanyakan siapakah keluarga Shikin, paling-paling tidak Farid dan ibunya cuma bertanyakan adakah keluarganya tahu kedatangannya ke rumah mereka. Semuanya terbongkar apabila Shikin menjemput Farid ke rumahnya sempena menyambut hari lahirnya yang ke 25, merah padam muka Farid ketika itu menahan marah. Dato’ Shakir nampak tenang walaupun mengetahui Farid ialah anak kepada arwah Hj Zain yang kes kematiannya menjadi kontrovesi itu yang melibatkan dirinya.
-
Selepas malam itu, Farid tidak mengangkat telefon bimbitnya mahupun membalas pesanan ringkas dari Shikin. Hinggalah Shikin datang ke rumah sewanya mendapatkan penjelasan dari dirinya. Shikin datang dengan matanya yang merah membuatkan Farid yang penuh rasa amarah itu lembut hatinya. Tidak sampai hati dia mahu memarahi anak gadis yang baik itu hanya kerana kesalahan ayahnya. “Tidak mungkin daddy melakukannya, Kak Long kenal daddy.” ujarnya terisak-isak. Farid terdiam, dia mengesat air mata kekasihnya dengaan kedua belah ibu jarinya sambil merenung mukanya yang sentiasa memandang ke bawah. Baiklah, I akan siasat sedalam-dalamnya perkara ini. ujarnya ringkas. Please Farid jangan apa-apakan daddy, please!!! dia merayu. Farid dengan segera menggangguk dalam kepayahan.
***
Johan menghidupkan motor scramblernya lantas meninggalkan rumah Pak Ngah bersama-sama kepulan asap putih daripada ekzos motornya. Pak Ngah duduk termenung panjang di atas beranda rumahnya yang sudah agak usang yang dindingnya tanpa warna cat tetapi masih kukuh. Dia menghirup kopi yang dibuat oleh Mak Ngah sewaktu melayan Johan yang tidak dihabiskan lagi. Kenapa harus begini, dua anak muridku Razlan dan Farid bersumpah keramat bahawa mereka adalah musuh, adakah salah selama ini ajaranku? getus Pak Ngah sendirian.
-
Dia masih ingat lagi mereka berdua termasuk Johan akan disuruh menjadi ayam sabung jika menerima jemputan oleh mana-mana perguruan lain. Mereka bertiga tidak pernah mengecewakan walaupun kalah kerana yang pasti orang yang menjemput mereka pasti menerima habuan yang sepatutnya. Jika difikirkan kembali mereka berdua mempunyai asas yang kukuh dalam mempertahankan tindakan mereka. Razlan mempertahankan undang-undang manakala Farid mempertahankan maruah keluarganya. Terasa lewat malam mendatang kerana dia bertekad malam itu dia akan bermunajat kepada Alllah supaya dua muridnya itu bertaut kembali walau apapun yang berlaku.
***
Kelihatan sebuah Mercedes hitam diletakkan berhampiran pintu pagar kuil lama di atas bukit, kuil lama itu sangat tersergam dengan patung-patung haiwan memenuhi puncak bukit. Farid yang sudah berpeluh kerana berjonging dari bawah bukit berdiri betul-betul di hadapan kereta Mercedes tersebut seperti yang telah dijanjikan. Dato’ Shakir keluar dari keretanya lalu berjalan menghampiri Farid mengarah ke tebing bukit, dimana dari atas bukit ini juga boleh dilihat permandangan bandar yang sedang pesat membangun setelah 51 tahun merdeka.
-
Uncle tahu hubungan Farid dengan Shikin selama ini.” Dato’ Shakir mula berbicara. “Cuma Uncle berdiam diri kerana tidak tahu sejauh mana ia boleh pergi kerana kontroversi yang berlaku. Sambungnya. Uncle restu hubungan Farid dengan Shikin selebihnya biarlah sahaja tuhan yang menentukannya.” Sambil mulutnya sekali-sekala menyedut paip tembakau dan menghembuskan asap. Semua orang melihat Uncle sebagai manusia yang jahat kerana sangat kejam dalam menjalankan bisnes hinggakan kematian ayahmu pun uncle dilibatkan sama. Secara jujur Uncle tidak berapa menyenangi dengan sifat pemurah ayahmu dalam menjalankan bisnes dan semua orang tahu hal itu, tapi adakah itu cukup untuk Uncle membunuh ayahmu? Soalnya. Uncle bukanlah orang baik tetapi Uncle tidak sekejam itu untuk menghalalkan nyawa kurniaan tuhan dicabut. Mungkin ini dapat menolong kamu, sambil Dato’ Shakir menyerahkan sampul surat berwarna coklat kepada Farid. Farid memegang sampul tersebut dengan kemas sambil memerhatikan Dato’ Shakir beredar dengan Mercedesnya.
***
Razlan duduk di dalam keretanya yang di letakkan di hadapan Kelab Malam Mawar Biru dengan bertujuan untuk memantau pergerakan suspek terbaru kes pembunuhan Hj Zain.
Razlan mendapat klu baru mengenai pembunuhan Hj. Zain setelah meneliti beberapa dokumen syarikat MASA Holdings terdapat beberapa nilai tender yang dikeluarkan berlebihan daripada biasa, itupun hanya disedari oleh Dato’ Shakir tiga hari lepas. Ahli lembaga pengarah tidak ambil pusing soal itu kerana sudah memberi kepercayaan kepada Shamir untuk menilai keupayaan kontraktor dan sebutharga yang diberikan. Shamir merupakan anak didik Hj. Zain dan juga merupakan anak saudaranya tiada siapapun akan menyangka dia akan terlibat dengan pembunuhan bapa saudaranya.
-
Tiba-tiba pelanggan kelab malam berebut-rebut keluar dan keadaan menjadi riuh rendah, Razlan dengan pantas cuba masuk ke kelab malam walaupun sukar kerana menyongsang arus. Keadaan kelab malam bersepah, kerusi, meja dan gelas bertaburan di atas lantai hanya tinggal dua orang pemuda yang sedang bertarung di bahagian penyediaan minuman. Muka dan baju mereka sudah berlumuran darah hingga sukar untuk mengenali mereka namun mereka masih gagah bertarung seperti itu adalah pertarungan yang perlu diakhiri dengan kematian sebagai penyelesaiannya. Razlan pasti yang sedang dihimpit kedinding itu adalah Farid kawan baiknya dan sudah pasti orang yang menghimpitnya adalah Shamir. Dia melepaskan satu das tembakan amaran, namun gagal menghentikan pertarungan tersebut. Shamir berjaya menjatuhkan Farid di atas lantai lantas mencapai botol arak menghentak kepala Farid, pecah botol tadi dan Farid terkulai layu. Shamir masih tidak berpuas hati, ia menikam tepat jantung Farid dengan botol arak yang pecah tadi, dalam masa yang sama satu das tembakan mengenai dada Shamir dan ia terus rebah. Razlan mendapatkan Farid dan memangku kepalanya, dadanya kelihatan berombak-ombak, Razlan mengambil vestnya menutup luka pada jantung Farid. “Bertahan” sayu suara Razlan. Tangan Farid cuba menarik bajunya seolah-olah cuba bercakap sesuatu. Hanya terdengar perkataan maaf dari mulutnya.
***
Keadaan bilik di aras tiga sangat suram kerana ia adalah tempat dimana pesakit berada dalam kritikal, kelihatan dua orang pengawal keselamatan mengawal segala pergerakan keluar masuk pelawat. Razlan dan Johan sedang menunggu di ruang menunggu menantikan Makcik Kiah dan Shikin tiba. Sejurus tiba mereka bersalaman dan meminta Mak Kiah dan Shikin mendaftarkan nama mereka di meja pengawal dan terus dibenarkan masuk, hanya dua pelawat sahaja dibenarkan masuk setiap masa itupun cuma orang dewasa.
-
Makcik Kiah menolak daun pintu bilik kecemasan tempat Farid di tempatkan, luluh hatinya bila melihatkan anak lelakinya yang dibelainya dari tapak kakinya sebesar dua jari di pasang pelbagai wayar di seluruh badannya. Perlahan-lahan ia menyelak kain yang menyelimuti kaki anaknya, kelihatan tapak kakinya sudah menurun menandakan malaikat maut akan menjemputnya bila-bila masa dengan kuasa tuhan. Makcik Kiah merapatkan mulutnya ke telinga Farid sambil berbisik, “mak dah ampunkan semua dosa Farid pada mak, mak tidak pernah menyesal melahirkan Farid. Farid adalah perkara paling agung yang dicipta oleh tuhan untuk mak, mak bangga dengan Farid kerana berjaya mempertahankan maruah keluarga kita, jika boleh mak mahu melahirkan sepuluh Farid di dunia ini”. Shikin yang menemani Makcik Kiah menangis terisak-isak melihatkan keadaan Farid yang sudah semakin tenat. Allahhh!!! lafaz kalimah agung itu diucapkan oleh Farid sebelum dadanya berhenti berombak, dan tangannya semakin lemah memegang tangan Makcik Kiah. Pandangan Shikin dirasakan amat gelap apabila melihatkan denyutan nadi Farid sudah mendatar di skrin, Makcik Kiah menyambut Shikin yang hampir rebah lalu didudukkannya di atas kerusi.

Maswafi bin Abd Samat
Raja Melewar

3 comments:

Aishah Jamal said...

Endingnya sedih le pulak.

errie said...

CERPEN KAU NI WAT AKU TERINGAT KAT SESEORANG..........
TAPI SAPA YE?

WS Zuriati said...

Menyentuh dan tersentuh... sempat menghayati sementara menanti waktu berbuka..