Wednesday, October 15, 2008

Gunung Dato'

Nan senting dilabuhkan
Nan panjang dikeratkan
Nan rumping disisipkan
-
Itulah tanda selamat datang Gunung Dato’ kepada kami di kakinya, seperti biasa aku yang degil seperti rambut aku yang tegak ini tetap dengan pendirian mahu ke puncak Gunung Dato’ bersama-sama 13 orang kawan-kawan aku dari Raja Melewar walaupun Ustaz Kamal dan Ustaz Nizam memberitahu kekangan-kekangan yang berlaku dari segi jumlah peserta dan kewangan kerana bagi aku seorang lelaki dilahirkan untuk menghadapi cabaran.

Sekali lagi kami ditimpa masalah hingga memaksa kami menaiki kereta sewa untuk ke Gunung Dato’ yang terletak di Kg. Batang Nyamur, Gadung iaitu kira-kira 21 km dari Pekan Rembau dan 15 km dari Pekan Tampin. Untuk sebuah kereta kami dikenakan RM45 untuk perjalanan pergi dan RM55 untuk perjalanan pulang tetapi kami bernasib baik kerana pihak JPP memberi sedikit bantuan kepada kami. Sampai di kawasan Pejabat Perhutanan kami dikenakan “wang perlindungan” RM 3.00 sehari untuk setiap kepala selepas urusan tersebut perjalanan dimulakan pada jam 2.00 petang.

Perjalanan ke puncak sangat memenatkan kerana keadaan muka bumi yang agak menegak pada setengah perjalanan hingga memberi masalah kepada Nizar dan Md Ros, namun ia dapat diselesaikan dengan memindahkan barang mereka dan membetulkan kedudukan beg mereka yang tidak sempurna. Perjalanan amat memenatkan kerana terpaksa membawa 3 botol air 1.5 liter dimana kami diwajibkan meletakkan 1.5 liter air di hadapan AJK makanan sebaik sahaja sampai di puncak dan orang itu tidak lain ialah diri aku sendiri. Aku terpaksa melakukannya kerana tiada punca air di puncak ini bermakna secara asasnya setiap peserta membawa satu botol air untuk memasak, satu botol air untuk hemat diri dan sebotol “sport drink”. Kami sampai juga ke puncak untuk berkhemah setelah berhempas pulas dengan pendakian yang sukar walaupun ia lebih rendah dari Gunung Angsi, aku sebagai “sweeper” cuma sampai ke puncak pada jam 5.00 petang. Bagi aku ia dapat dilakukan kurang dari dua jam setengah jika tidak terdapat masalah dalam perjalanan.

Puncak Gunung Dato” boleh memuatkan lebih 14 khemah “4 men tent” pada satu-satu masa dan jika keadaan terdesak pendaki boleh berkhemah di dalam gua batu di puncaknya ini berdasarkan pengalaman sebenar dimana ia seperti satu pesta kerana terlampau ramai pendaki berkhemah di situ. Aku agak terkilan kerana tidak dapat melihat Selat Melaka seperti yang sepatutnya di ketinggian 2900 kaki dari aras laut kerana kabus tebal. Dari segi sejarah puncak ini pernah digunakan oleh Dato’ Perpateh Puteh Nan Sebatang untuk mengumpulkan ketua-ketua Adat dan mengistiharkan gelaran serta penyandang Dato’ Lembaga pada 1372. Namun aku bersyukur kerana dapat mengabadikan gambar bersebelahan di tapak kaki Hang Tuah yang betul-betul berada tepi gaung di puncak gunung.

Aku juga memperolehi ilmu akar kayu (cawat pangang) daripada Ustaz Nizam dan cara-cara mengambilnya. Hebatnya ekspedisi kali ini ialah untuk pertama kalinya aku mendengar seruan azan di puncak gunung walaupun solat berjemaah memang selalu diamalkan. Mungkin ini berlaku kerana kita lupa diri bahawa betapa hebatnya kuasa Allah apabila sudah sampai ke puncak, walhal untuk berjaya ke puncak itupun ketentuan Allah.

Definisi berjaya bagi setiap pendaki adalah berbeza, mungkin sampai ke puncak di bawah masa 1 jam 30 minit seperti Max, ataupun mungkin menambah koleksi awek seperti Ustaz Kamal, mungkin juga meninggalkan seberapa banyak periuk api seperti Wan Baling. Bagi aku membawa 13 rakan lain dengan selamat pergi dan naik satu kesyukuran namun matlamat aku sebenarnya cuma dapat memastikan 14 botol air 1.5 liter berisi air di hadapan aku bila berada di puncak kerana aku tidak mahu kegagalan di Korbu yang merupakan gunung kedua tertinggi itu berulang lagi. Seharusnya kejayaan ini dijadikan “benchmark” kepada ekspidisi yang berikutnya ataupun lebih baik jika dapat menambah “ujikaji-ujikaji” baru.

Masih banyak yang perlu diperbaiki walaupun ekspedisi ini sangat berjaya iaitu mengenakan yuran yang lebih sedikit dari kos sebenar, melakukan pemanasan badan yang sempurna sebelum melakukan pendakian, membahagikan dua kumpulan mendaki dimana kumpulan di hadapan akan menguruskan keperluan domestik sebaik sahaja sampai di puncak dan mungkin juga kami perlu memikirkan untuk tidak membawa khemah “iglu” dengan digantikan dengan “flysheet” , “groundsheet” dan “puncho” serta membuat gajet tandas khas untuk Wan Baling.
Menu mengikut turutan:-

i. Nasi putih, sardin, masak lemak kobis dan kopi “o”. (makan malam)
ii. Cucur bawang/bilis dan teh “o”. (minum malam)
iii. Nasi putih, sardin masa kicap, roti, kaya dan kopi “0”. (sarapan)
iv. Mee segera, roti, kaya dan kopi “o”. (makan tengahari)

Bahan mentah:-

Beras - 4 kilo
Minyak Masak - 1 liter
Gula - 2 kilo
Sardin Besar - 6 tin
Kobis -1 biji (besar)
Ikan Bilis - 2 paket
Gas - 3 tong
Lilin memasak - 8 ketul
Mee Segera - 15 paket
Santan kering - 2 paket
Roti - 3 paket
Kaya - 2 tin

Kos +-RM90.00
Maklumat lanjut sila layari: http://sktpjs.blogspot.com/

No comments: