Thursday, September 27, 2007

Sampai di pintu pagar aku Vista Angkasa selepas pulang bekerja aku terkejut dengan muka pencuri berbadan gempal yang pernah memanjat rumah jiranku tahun lepas menunggang motor kriss merah tanpa memakai topi keledar. Masih belum serik-serik nampaknya pencuri ini setelah dikejar beramai-ramai oleh pegawai keselamatan Deris dan kawan-kawannya termasuklah diri aku sendiri. Sepanjang Ramadhan tiada langsung kecurian dilaporkan di Vista Angkasa kerana hikmah berpuasa dimana semuanya akan berjaga malam untuk bersahur membuatkan pencuri tidak dapat mencari masa yang sesuai. Sudah masuk hari ke empat belas, namun jika membeli juadah dikedai Kak Wan sampai sekarang masih belum dapat “dilayan” oleh anaknya itu, selalunya mesti Kak Wan sendiri yang melayan aku, kalau dia tidak dapat melayan aku dia akan menyuruh adik atau anak saudaranya melayan aku.

Wednesday, September 26, 2007

Nik Shafini belumpun masuk waktu Zuhur telah terlentok seperti bayi yang sedang tidur penatnya semacam lelaki beriman yang berpuasa seperti aku, melantak sahur terlampau banyak agaknya. Sudahlah sakit hati melihat Nik Shafini yang terlentok sewaktu bekerja, kuliah Zuhur oleh Ustaz Razis pula banyak mengelirukan aku semalam dengan kuliah Ustaz Ahmad Awang daripada Persatuan Ulama. Ini berlaku bila Ustaz Razis menjelaskan teknik “stunning” dalam sembelihan di KFC adalah haram berbanding Ustaz Ahmad Awang yang membenarkannya dengan kadar yang tertentu dan beliau sendiri merupakan panel dalam menentukan premis itu layak untuk melakukan sembelihan suatu masa dahulu. Inilah masalah dengan ustaz-ustaz kita walaupun satu aliran politik tetapi masih bercanggah dalam soal-soal halal dan haram bagaimana mahu menarik perhatian penyokong kerajaan sejak lahir seperti aku.


Tuesday, September 25, 2007

Ada yang memberi pendapat tentang kesalahan aku menulis jumlah terlebih hari umat islam berpuasa itu, aku sangat percaya menggambarkan bahawa mereka itu sebenarnya sangat prihatin berapa hari lagi Syawal menjelma untuk memakai baju baru dan kalau boleh biarlah Ramadhan itu cepat kepenghujungnya. Lainlah lelaki beriman seperti aku ini yang sentiasa menunggu setiap Ramadhan untuk mencapai sasaran latihan sejauh 200km dalam masa 29 hari dan pergi menunaikan solat tarawikh bersama awek-awek Vista Angkasa. Walaupun Nafastari memberi rumusan bahawa aku sepatutnya berkahwin supaya ada yang menjaga makan dan minum aku terutama sewaktu menunaikan sahur, aku masih terfikir bagaimana pula jika aku mendapat bini yang cuma memakan kurma sahaja dengan alasan mengikut sunnah nabi. Ernst & Young sudah menjadi sebahagian daripada diri aku semenjak semalam mungkin berlanjutan hingga ke Syawal ini, tetapi aku tidaklah rasa terganggu sangat dengan mereka ini kerana mereka lebih banyak duduk menaip karangan daripada memberi soalan-soalan maut seperti Kak Hanizah.

Monday, September 24, 2007

Perjalanan pulang ke Sungkai menaiki keretapi cukup menyenangkan kerana sudah laju daripada kebiasaan dan menepati waktu kerana landasan berkembar yang sudah siap cuma agak terganggu dengan pergerakan tidak sempurna di Kuala Kubu kerana masih belum siap sepenuhnya. Kedai makan Hashim pula beroperasi sepenuhnya langsung tidak menghormati bulan Ramadhan walaupun beberapa kali aduan dibuat kepada pejabat agama dia sentiasa terlepas kerana biasanya mendapat maklumat awal daripada orang dalam. Sudah hari yang ke 13 Ramadhan berlangsung namun aku masih gagal menjamah nasi untuk bersahur, ini cukup membuatkan aku risau kerana orang melayu mana boleh meninggalkan nasi sewaktu bersahur lagipun tidaklah aku mahu berjimat sangat hingga meninggalkan makan nasi.

Thursday, September 20, 2007

Tag Huer automatik cap ayam aku sudah tidak bernyawa tepat jam 6.50 pagi itu menunjukkan bahawa sudah tiga hari aku tidak melakukan rutin menguji tahap kardivouskular aku sekurang-kurangnya untuk sepuluh ribu meter. Kesibukan tugas menyebabkan aku masih belum dapat mencuba talian telefon percuma menggunakan perisian Skype yang baru dipelajari semalam untuk memudahkan aku menyalahgunakannya dengan menghubungi kawan baik aku yang duduk betul-betul dihadapan aku iaitu Fadhli dan Naim, begitu hebat teknologi yang ada hingga menyebabkan manusia seperti aku menjadi menjadi malas. Kad hari raya sudahpun dipos keseluruh Malaysia semalam, walaupun ramai yang sudah melupakannya tetapi aku masih sukakannya kerana mempunyai “sentimental value” terutama bila menulis nama orang menerima ucapan di dalam kad sesuatu yang tidak akan dapat dirasa bila melakukan sistem pesanan ringkas.

Wednesday, September 19, 2007

Sudah dua kali aku berbuka puasa di “pantry” tingkat 19 sambil merenung kabus kelam puncak Nuang yang pernah mengajar aku apa ertinya sebuah gunung. Secara rasionalnya jika kita sudah semakin mahir dengan sesuatu kerja kita akan dibebani dengan beban kerja yang hampir tidak munasabah dengan kenaikan gaji. Berbuka puasa di pejabat adalah sesuatu yang tidak pernah aku lakukan kecuali aku tidak menjumpai jalan pulang kerana hujan lebat ataupun Honda NSR aku membuat ragam.
-
Seksyen 24, Akta Buruh 1955 yang tidak membenarkan pemotongan lebih 50% daripada gaji asas membingungkan aku kerana jika gaji berjumlah seribu ringgit, cuma lima ratus sahaja yang boleh diusik setelah ditolak dengan potongan kwsp 11% dicampur dengan Angkasa sebanyak RM380.00 maka tiada apa yang boleh dipotong lagi untuk membayar “festival advance”. Ini menyebabkan seharian aku dimarah hari ini kerana banyak menolak permohonan kakitangan dalam soal “festival advance” yang sepatutnya diberi sebanyak sebulan gaji ataupun maksima lima ribu ringgit.
-
Agaknya marah mereka melarat hingga Honda NSR aku yang diletakkan di “basement 2” menjadi mangsa langgar lari hingga pecah “ferring” dan patah brek tangannya, sempena bulan yang mulia ini jika aku tahu siapa lelaki yang melakukan perbuatan terkutuk itu aku berjanji akan menjadikan dia adik angkat aku tetapi jika dia seorang perempuan aku akan pinang dia menjadi bini muda aku.

Tuesday, September 18, 2007

Fadhli mengambil cuti sakit semalam kerana mengalami kemalangan pada jumaat lepas tetapi tiada apa yang digusarkan kerana ia masih boleh makan nasi kandar dengan berselera cuma tempang sedikit. Menggigil lutut aku mendengar berita kematian Hamzah di Hospital Taman Desa pada jam 2.50 petang semalam walhal baru sangat aku mengfaxkan surat jaminan untuk urusan perpindahannya ke Institut Jantung Negara. Pelbagai versi dikeluarkan bagaimana cara Hamzah mati membingungkan aku, juga tidak kurang yang menerjah aku dengan pelbagai soalan kenapa dia harus mati di Hospital Taman Desa, mahu menyaman pihak hospital dan tidak kurang yang mahu membakarnya. Bukankah lebih baik tenaga mereka dihabiskan menguruskan Hamzah yang akan berjumpa dengan Yang Maha Esa, bosan melayan mereka terus aku mendapatkan Encik Mamat yang datang membawa van jenazah untuk membawa Hamzah ke Masjid Puchong. Setelah selesai semuanya aku bertemu dengan pentadbiran hospital iaitu Rohayah dan Daisy, sudah tentu versi baru timbul iaitu Hamzah sebenarnya sudah lama mengidap jantung berlubang dan sangat lemah keadaannya. Semasa ia dipindahkan ke ambulan untuk dibawa Institut Jantung Negara tiba-tiba jantungnya berhenti berdegup dan pihak hospital mengisytiharkan “blue code” maka CPR pun dilakukan namun gagal. Sekarang ini ramai yang mahu menjadi hakim menjatuhkan hukuman siapa yang bersalah tanpa memikirkan bahawa di Loh Mahfuz sudah tertulis takdir tentang ajal Hamzah!

Monday, September 17, 2007

Suasana pekan Sungkai pada hari Sabtu sudah seperti sehari sebelum Syawal kerana agak sesak dengan kenderaan yang mahu membeli barangan runcit untuk berbuka puasa mungkin mahu menjamu kepulangan anak cucu mereka agaknya. Kali ini aku betul-betul berehat berada di Sungkai cuma melakukan aktiviti tidur, tidur, tidur, mencari buah kelapa muda, buah mangga muda dan membeli lauk-pauk di pasar Ramadhan. Suasana Pasar Ramadhan di Sungkai agak suram berbanding tahun-tahun yang lepas kerana tidak banyak variasi kuih-muih dan lauk pauk yang dijual. Hampir tiada peniaga yang menjual lauk-pauk berasaskan ayam kecuali peniaga ayam percik kerana harganya ayam mentah yang sangat mahal hingga tidak menguntungkan mereka dan seperti biasalah media pelik Khairy Jamaluddin masih lagi menyalahkan peniaga kerana harga ayam yang naik bukannya pemborong dan pembekal. Aku sudah tidak berapa memahami pimpinan kerajaan kerana sudah mengeluarkan polisi yang pelik mengatakan bahawa seseorang yang mempunyai kereta sudah layak dikategorikan sebagai miskin dan layak menerima bantuan oleh kerajaan kerana mengganggap itu sebagai keperluan bukannya kemewahan, jika diikutkan dengan takrif terbaru itu bolehlah dikatakan aku dalam kategori miskin!

Friday, September 14, 2007

Petang semalam belum pun pukul 6.50 petang semua jenis air minuman di pasar Ramadhan Kerinchi telah habis dijual, begitu juga dengan lauk-pauk hampir kesemuanya habis. Mujur juga aku sempat membeli bubur tepung gandum hijau terakhir dengan anak Kak Wan walaupun sebenarnya Kak Wan sendiri yang melayan aku yang penting senyuman anak Kak Wan itu sudah cukup membuat aku melayang-layang. Lalulintas di Lembah Pantai cukup membingungkan kerana sesak dan bunyi hon yang tidak berhenti-henti menunjukkan betapa ramai yang terpaksa berbuka di dalam kereta dan tidak salah pendapat aku bahawa golongan bukan Islam masih belum mempunyai kadar tolak ansur yang mencukupi kerana turut sama bersesak-sesak pulang ke rumah untuk berbuka puasa! Harga ayam masih menjadi isu hingga kerajaan tiba-tiba menaikkan pula harga syiling kepada RM6.00 namun para peniaga masih dipersalahkan kerana manipulasi harga bukannya pembekal dan pemborong sebagai rantaian kenaikan harga tersebut.

Thursday, September 13, 2007

Besar betul tanggungjawab yang dipikul oleh Fadhli merangkap AJK Surau Bukit Raja yang terpaksa memantau pergerakan di tingkat 21 selama 30 hari, memanglah makhluk bertanduk itu pergi bercuti selama 30 hari tetapi mereka melahirkan protégé yang cukup ramai untuk menampung stok bulan Ramadhan. Gas memasak di rumah aku akhirnya habis juga malam tadi setelah digunakan selama dua kali Aidil Adha, mana tidaknya boleh bertahan hingga hampir tiga tahun jika cuma digunakan memasak mi segera oleh 6 lelaki bujang. Aku rasa kerjaya aku sudah sampai ke kemuncak bila Norhisam mahu mengapak kepala aku hanya kerana memotong tuntutan perjalanannya bulan lepas, kadang-kadang aku rasa mereka ini suka mencuba nasib kerana melihatkan keadaan aku yang sibuk mungkin akan terlepas pandang agaknya.

From: Fadhli B. Nordin
Sent: Wednesday, September 12, 2007 6:35 PM
To: Maswafi B. Samat; 'Mohd Azam Ab Rahman'; Syahril Omar; Nik Shafini Nik Mahzum; Zainal Abidin Tahir; Naim; Hasyim B. Abdullah
Subject: RE: SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK

Pemberitahuan:

Pada 12 haribulan September 2007, tepat jam 12.00pm tgh mlm, dengan serta-mertanya Tingkat 21 akan di pantau dari semasa ke semasa oleh pegawai-pegawai yang bertanggungjawab sehingga selesai bulan Ramadan. Segala aktiviti tidak boleh dijalankan sama sekali di tingkat tersebut kecuali abang2 maintenance yang bertanggungjawab me-repair lift.

Diharap pihak tuan/puan dapat memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berwajib.

Terima kasih.

Yang menjalankan tanggungjawab,

Insan Yang Perihatin

Wednesday, September 12, 2007

Masih ada lagi dua virus jenama Trojan yang belum dapat dihalau dalam komputer aku setelah mendemamkan 120 fail yang lain dengan menggunakan perisian Spyware dari Google. Namun semuanya dapat diselesaikan hari ini dengan menggunakan perisian percuma yang ketiga iaitu Spyboot Destroy selepas Ad-Ware digunakan dan Internet Explorer sudah kembali seperti biasa, nasib baik aku tidak menunggu Fadhli dan Naim membaiki komputer aku silap-silap sempatlah aku bertunang sementara virus itu menjahanamkan komputer aku. Saham aku pula semakin demam kerana jatuh akibat spekulasi kononnya kata pembangkang ekoran kesan pengumuman bajet baru-baru ini walhal ia lebih bersifat global. Belumpun berpuasa harga ayam sudahpun mencecah RM7.00 sekilo dan seperti biasa semua media Khairy Jamaluddin dan NGO menghentam para peniaga walhal sebenarnya pemborong yang menaikkan harga. Mana mungkin ayam yang dibeli dengan nilai RM6.50 sekilo daripada pemborong mahu dijual dengan RM6.50 sekilo silap-silap hendak membeli seluar dalam cap ayam pun tidak mampu jika aku meniaga ayam hari ini.

Tuesday, September 11, 2007

Sudah lebih 9 hari komputer aku dipenuhi dengan virus Trojan hingga merosakkan “setting” Internet Explorer, pelbagai cara dilakukan untuk menghalau virus tersebut dan langkah terakhir aku mengambil keputusan memadamkan sahaja perisian Internet Explorer tersebut namun muncul pula perisian palsu Internet Explorer yang telah di “default” ke laman web http://asecuremask.com/ yang memaksa aku membeli semua perisiannya. Nasib aku cukup baik kerana masih mempunyai pelan B dengan menggunakan perisian Mozilla Firefox yang kurang stabil namun amat sukar ditembusi virus. Hendak aku harapkan Fadhli membaiki komputer ini rasanya lebih baik aku simbahkan air kepada komputer ini dapat juga aku komputer baru kerana sampai sekarang dia buat toya sahaja aduan aku tentang virus tersebut. Hendak harapkan protegenya si Naim apalah yang dia tahu kecuali mengangkat komputer, menyambung wayar dan bermain “game”.

Monday, September 10, 2007

Ramadhan membuka tirainya lagi dan ini bermakna sudah tiga kali Ramadhan berlalu serta sudah tiga kali bertukar kasut, namun aku masih gagal memintas Firdaus walaupun latihan sudah melebihi tahap kemampuan makhluk bernama manusia hingga pernah dimasukkan hospital tahun lepas kerana urat peha kanan aku yang pecah. Sabtu lepas di International Medical Universtiy Run untuk laluan Bukit Jalil sejauh 7km Firdaus menduduki tempat ke 20 diikuti oleh Fazli dan Farid di tempat ke 23 dan 35 manakala aku sekadar di tempat ke 42 tetapi sudah semakin baik dari segi catatan masa untuk jarak yang bukan merupakan “favourites” aku dengan mencatat masa di bawah 35 minit. Aku memberikan 3 bintang untuk larian ini kerana penganjur gagal menyerahkan baju yang dijanjikan walaupun telah mendaftar awal walaupun daripada segi teknikalnya semuanya berjalan lancar.
-
Semalam seperti biasa aku menjadi “pelari hantu” untuk acara yang mengenakan bayaran melebihi RM30.00 dengan alasan Mizuno Run 10km anjuran Pacesetters itu memberi baju yang berkualiti dan setiap peserta akan mendapat medal. Aku tidak dapat menerima kedua-dua alasan tersebut kerana setahu aku baju itu yang diberi penganjur tidak pula membuatkan aku lebih laju berlari dan kalau semuanya mendapat medal lebih baik aku berjalan kaki sahaja menemankan awek-awek yang lawa di situ macam lelaki macho yang lain. Fazli dan Tukang Besi kampung aku menduduki tempat 69 dan 70 dengan catatan masa 49 minit manakala aku sampai bersama-sama dengan Farid di tempat 131 dengan catatan masa 52 minit 38 saat itupun setelah aku memaksa Farid berlari yang telah berputus asa di kilometer ke lapan. Biasalah orang melayu mana boleh melihat bangsanya lebih maju daripada dirinya maka terpaksalah dia mengagahkan diri mengikut aku sebagai pelari hantu hingga ke garisan penamat. Aku memberikan 4 bintang untuk penganjurannya kerana sangat bagus dari segi teknikalnya bayangkanlah setiap peserta akan mengetahui kedudukan mereka walaupun berada di tempat ke dua ribu seperti lelaki macho yang mahu mengayat awek-awek, papan tanda jumlah kilometer yang telah dilalui, milo, buah-buahan dan "endurance water" jenama Power Bar serta yang paling penting semuanya percuma buat aku!
-
Ramai yang memberi pendapat bahawa laluan Padang Merbok-Bukit Tunku semalam adalah yang paling sukar setakat ini untuk 15km ke bawah walaupun belum pernah mencuba laluan Bukit Besi dan Terowong Smart tetapi analisis aku sangat berlainan dengan mereka melalui ukuran tahap pencapaian aku mengalahkan kawan-kawan aku yang kalah disebabkan laluan itu mempunyai cuaca panas, altitud rendah dan ketinggian yang tinggi.

Susunan kesukaran laluan:

42km ke bawah

Tasik Perdana-Bukit Tunku-Bukit Kiara
Dataran Merdeka-Loke Yew-Bukit Tunku
Universiti Sains Malaysia-Jambatan Pulau Pinang
Petaling Jaya-Terminal Satu
Port Dickson

15 km ke bawah

Universiti Pertahanan Malaysia-Bukit Besi
Terowong Smart
Padang Merbok-Bukit Tunku
Klang
Dataran Merdeka-Bukit Tunku
Universiti Malaya
Tasik Perdana
Shah Alam
Ampang Jaya
International Medical University-Bukit Jalil
Subang Jaya
Bandar Kinrara
Taman Maluri-Kolej Cybernatic
Dataran Petaling Jaya-Jalan Gasing

Friday, September 07, 2007

Rasanya seperti "alignment" badan aku sudah lari semuanya bangun pagi tadi, mungkin badan aku terkejut dengan latihan yang berterusan semenjak mendapat teman baru agaknya ataupun diet aku masih belum memenuhi keperluan badan aku. Zafrul sudah mengeluarkan projek gunungnya yang terakhir sebelum Ramadhan iaitu berkhemah di puncak Nuang sabtu ini, cuma kali ini aku kurang berminat mungkin sudah dua belas kali ke sana agaknya. Lagipun orang Melayu seperti aku mana boleh tidak makan nasi selama satu hari seperti yang dirancang oleh Zafrul kerana mahu mengejar masa.

Thursday, September 06, 2007

Terlajak sedikit aku menulis diari hari ini kerana Kak Hanizah yang datang mengganggu aku untuk urusan di Sg. Buloh sebelum sempat aku menyediakan air Nescafe untuk diri yang tersayang dan menyuap propaganda kerajaan di dalam Utusan Malaysia dan Berita Harian ke dalam minda aku. Sebenarnya hal-hal di Sungai Buloh sudah aku tidak ambil pusing sangat kerana ia masih berkisar dalam persoalan yang sama setiap bulan tidak dapat menajamkan akal fikiran aku yang sudah semak ini dengan persoalan rumah dan tangga yang tidak siap-siap lagi pembinaannya. Banyak hal yang berlaku terhadap kawan-kawan rapat aku semenjak dua menjak ini, minggu lepas loji Petronas di Labuan meletup betul-betul di sebelah Ari dan mengorban satu nyawa, Ida pula sudah dimasukkan ke Hospital Ampang akibat kemalangan jalan raya dan masih teruk keaadan tulang belakangnya. Yang terbaru rumah sewa Syahril di Danau Murni dikopak oleh pencuri, mana tidaknya jika presiden aku yang sepatutnya menjaga keselamatan bangunan tersebut asyik menjaga keselamatan kolam renang mungkin aku tidak patut menyalahkannya kerana rumah Hanif Omar pun boleh dikopak inikan pula rumah Syahril Omar!

Wednesday, September 05, 2007

Akhirnya setelah berbulan-bulan mencari "teman baru" bertemu juga di Al-Ikhsan : The Curve dan wang RM179.00 bertukar tangan dengan pemilik kedai dengan jenama Adidas versi Adiprene. Ada yang mengatakan aku sangat cerewet dalam soal memilih "running shoes" dan dari itu jugalah mereka dapat membuat rumusan kenapa aku tidak berkahwin hingga sekarang. Aku rasa lebih baik aku memakai kasut yang sudah berjasa beribu kilometer walaupun sudah tiada tapak daripada menanggung sakit kaki yang amat sangat terutamanya untuk perjalanan sejauh daripada Kuala Lumpur ke Rawang. Aku rasa aku mempunyai asas yang kukuh dalam soal ini kerana keakraban aku dengan "running shoes" kerana satu hubungan lengkap-melengkapi jika tidak ia akan terbuang begitu sahaja kasut tersebut seperti yang berlaku kepada Firdaus dan Nizam. Begitulah jugalah dengan berkahwin sudah tentu kita tidak mahu membuang pasangan kita hanya kerana tidak sesuai!

Tuesday, September 04, 2007

Azam Orang Minyak telahpun mendapat orang baru dalam hidupnya bulan lepas tapi yang pasti bukan bini baru kerana dia jenis yang takut dengan bini dan ia diberi nama Muhammad Bazil. Kata Che Mah mak kepada Azam Orang Minyak kalau hendak melihat perangai Azam Orang Minyak seperti kecil lihatlah perangai anaknya ini. Ruang bawah tanah malam tadi lagi sudah digenangi air kerana hujan yang lebat dan hingga pagi ini masih belum kering lagi. Malam tadi adalah kali kedua dalam seminggu berlaku kemalangan melibatkan motor yang tergelincir dalam hujan lebat di lebuh raya persekutuan, aku bersyukur kerana ramai yang membantu walaupun mereka sendiri menaiki kereta tanpa mempedulikan badan mereka yang basah.

Monday, September 03, 2007

Seronok betul "runners" Malaysia terutamanya Muniandy kerana dapat mengalahkan Kenya yang hanya menduduki tempat ke empat kerana kecederaan pada kedua pehanya. Bagi Kenya, Bukit Damansara Universiti Malaya sejauh 5.5km pada garisan permulaan itu sangat sukarnya baginya tetapi menjanjikan keseronokan pada aku kerana melalui Taman Rimba yang cukup cantik cuma catatan 34 minit bukanlah masa yang bagus walaupun aku memberi alasan ia bukan jarak "favourite" aku. Raja Nazrin cukup menepati masa dalam melepaskan peserta pada jam 7.30 pagi tanpa ucapan mengarut bukannya seperti ADUN Puchong hingga aku bolehlah kencing tiga empat kali sebelum acara bermula. Aku dan Firdaus gagal mendapat medal dan mungkin berada di dalam kedudukan 100 terbaik dikalangan peserta yang begitu ramai terdiri daripada kakitangan Pusat Perubatan Universiti Malaya, PALAPES Darat dan Laut Universiti Malaya. Kagum aku dengan pihak penganjur kerana dapat mengumpulkan sebegitu banyak peserta walaupun bersaing dengan Larian di Shah Alam dan Klang yang lebih "establish". Tapi kagum lagi aku dengan seorang budak perempuan yang agak "berisi" badannya menamatkan larian dalam masa 50 minit hinggakan menangis di garisan penamat sambil dipujuk oleh bapanya, betapa bermaknanya hari itu padanya mungkin akan merubah hidupnya di masa depan. Secara jujurnya aku cuma dapat memberikan 3 bintang pada acara kali ini walaupun tidak dapat kekurangan dari segi teknikalnya ini kerana pihak penganjur cuma memberi baju kepada 1000 peserta yang terawal mengambil nombor bukannya terawal mendaftar ataupun paling kurang yang paling awal sampai kegarisan penamat sesuatu yang belum pernah dibuat oleh penganjur di planet bumi sebelum ini.

Saturday, September 01, 2007

Akhirnya berjaya juga aku melakukan gerakan penyudah gaji untuk bulan Ogos di CIMB Jalan Barat itupun setelah aku mengayat Suhaimi untuk melakukan "crediting date" pada hari yang sama yang belum pernah dibuat lagi oleh manusia yang normal melainkan pegawai tersebut ialah bapa kandung kepada yang membuat gaji. Untuk mencari pejabat CIMB yang baru dipindahkan ini aku terpaksa melakukan tawaf di Bukit Bintang sebanyak dua kali itupun setelah meminta bantuan pihak polis di Berjaya Times Square. Dengan menggunakan alasan hujan lebat aku terus pulang ke kampung tanpa pulang ke pejabat.
-
Bapa Abang Ngah, Opah Lijah dan Pakcik Latif telah pulang berjumpa yang Maha Esa dalam tarikh yang agak dekat di antara satu sama lain. Kagum aku dengan Ustaz Rosli walaupun bukan penganut mazhab Syafie semasa mengadakan majlis tahlil di rumahnya yang mempunyai ucapan alu-aluan betapa besarnya rahmat pada malam tadi dan menghidangkan makanan secara buffet dengan alasan supaya mereka bersenam sedikit. Penyengat hitam di Menderang yang aku bakar rumahnya telah membina koloni yang baru di pokok ketapang dan lebih besar dan lebih tinggi kedudukannya daripada dulu. Pak Teh Razak menggeleng kepala melihat keghairahan aku melakukan "marking" di pokok ketapang itu untuk membalas dendam di masa akan datang.
-
Makcik Mah berleter agak lama kali ini kerana kegagalan aku pulang menjengahnya sebulan yang lalu, seperti biasa orang melayu memang banyak alasan dalam mindanya untuk dikeluarkan seperti menyalahkan penganjur yang terlalu banyak menganjurkan marathon pada tahun ini walaupun hari sabtu yang tidak pernah berlaku tiga tahun yang lepas. Aku tengok muka Uda sudah mengalahkan Bangla sekarang ini, ini kerana dia sudah mendapat kerja di kilang memproses gula kepunyaan Taiwan bersebelahan Sekolah Abbasiyah dan dia menjadi bualan orang kampung kerana anak mereka sudah puas meminta namun gagal. Aku tidak nampak dia berminat bekerja lama di situ kerana dia mempunyai matlamat jelas menjadi bos semenjak kecil lagi, lagipun mana hendak di campak segala anugerah jabatan dan dekan semasa mendapatkan diplomanya di Politeknik Tangjung Malim, sekurang-kurangnya menyambung ke peringkat ijazah sudah tentu dengan keputusannya itu.