Showing posts with label Pengajian Melayu. Show all posts
Showing posts with label Pengajian Melayu. Show all posts

Saturday, April 16, 2011

Ajalnya Bujang Senang

Pada tahun 1992, Dayang bersama ibu dan bapanya telah mudik ke sungai kecil (Sungai Pelaban) pergi ke ladang untuk berhuma. Sungai kecil tersebut tidak dalam (separas pinggang) apabila sampai berhampiran kawasan ladang mereka, ayah Dayang berhenti di seberang untuk mengutip sayur di tebing sungai. Memikirkan air sungai yang tidak dalam, Dayang mengambil keputusan untuk menyeberang ke kawasan ladang tanpa menggunakan perahu sambil memegang tangan ibunya.

Sewaktu menyeberang sungai kecil tersebut, tiba-tiba Bujang Senang membaham Dayang tanpa belas kasihan dan membawanya ke hulu sungai. Ibunya melarikan diri kepada suaminya dan menyatakan ada seekor buaya yang mempunyai tanda putih di belakang badannya. Serta-merta orang kampung dengan pantas mencacakkan kayu di dalam sungai supaya ia terperangkap. Orang kampung dengan pelbagai senjata seperti empuling (lembing) dan senapang mengejar Bujang Senang ke arah hulu, Bujang Senang ditembak bertalu-talu namun tidak mati.

Bujang Senang berjaya melarikan diri, namun disebabkan air yang semakin mengering dan cetek ia terpaksa pergi ke kawasan yang telah dicacak kayu oleh orang kampung. Ia mengamuk dengan melanggar kayu tersebut untuk menghala ke Batang Lupar, orang kampung menembaknya bertubi-tubi namun tidak mati. Semasa itu seorang daripada orang kampung tersebut mendekati Bujang Senang dan merejamnya dengan empuling dan ia menemui ajalnya di situ (20 Mei 1992).

Kepalanya telah dipotong dan beberapa bahagian badannya telah diberi kepada keluarga Dayang untuk dimakan sebagai isyarat dendam telah terbalas. Sekarang tengkorak kepala Bujang Senang ada dipamerkan di Jong Crocodile Farm Kuching, namun ia mempunyai versi yang berbeza dimana ia dikatakan mati ditembak dengan peluru paku yang disemadikan (termasuk senapang yang digunakan) bersama tengkoraknya.

Ada yang mengatakan buaya sepanjang 19 kaki 3 inci dan mempunyai tanda putih di belakangnya itu bukanlah Bujang Senang kerana masih terdapat banyak buaya yang lebih besar hidup di Batang Lupar. Namun setelah kematian Bujang Senang agak kurang berlaku kematian manusia disebabkan dimakan buaya sekarang.

Cerita ini disesuaikan melalui cerita Encik Bakar ak Sebau dan maklumat dari Jong Crocodile Farm


Sunday, April 10, 2011

Asal Usul Keris Taming Sari

Keris tidak langsung boleh berenggang dengan orang Melayu suatu ketika dulu sehingga terasa seperti berbogel jika tidak menyisip keris di pinggang (Winstedt). Keris yang tinggi maratabatnya hingga menjadi idaman semua orang terutamanya Taming Sari. Persoalannya kenapa nama keris itu Taming Sari, walhal banyak keris yang tidak bernama di dunia alam Melayu.

Sebelum itu eloklah difahamkan bahawa Taming Sari adalah nama seorang pendekar Jawa dalam kerajaan Majapahit seperti yang disebut di dalam Hikayat Hang Tuah. Menurut hikayat ini, Taming Sari adalah seorang panglima yang paling handal di Majapahit ketika itu, dan beliau telah ditugaskan oleh Bendahara Majapahit, Patih Gajah Mada untuk membunuh Hang Tuah.

Mengikut cerita orang tua, Taming Sari telah menuntut ilmu kesaktian dan gurunya telah mensyaratkan beliau untuk bertapa di sebuah gua dan mendapatkan lidah ular sakti sebagai bukti tamat pertapaan. Semasa beliau bertapa seekor ular besar telah datang kepadanya, dengan menggunakan helah ular tersebut menjulurkan lidahnya di pintu gua. Lantas beliau memotongnya dan membawanya pulang kepada gurunya, ia (lidah ular) kemudian ditempa menjadi keris sakti yang tidak bernama.

Setelah keris itu siap gurunya telah memberikan kepada Taming Sari dan mengatakan bahawa sesiapa yang memegang keris tersebut akan menjadi kebal ia juga meletakkan syarat jika sesiapa mengaku keris tersebut keris kepunyaannya ia akan makan tuan.

Hang Tuah pula pada masa itu telah berguru kepada seorang ahli pertapaan Jawa bernama Sang Adi Putera. Gurunya itu telah memberitahu akan kelemahan Taming Sari. Oleh itu, pada hari pertarungan antara kedua pendekar ini di hadapan Sultan Melaka dan Betara Majapahit, Hang Tuah telah berjaya membuatkan Taming Sari mengaku itu kerisnya dengan dialog “aku takkan mati selagi aku mempunyai keris sakti ini!”. Kemudian Hang Tuah berjaya merampas keris tersebut dan membunuh Taming Sari, (hal yang sama juga terjadi kepada Hang Jebat sebab Hang Jebat mengungkap dialog yang sama).

Sebagai menghargai kejayaan Hang Tuah itu, Betara Majapahit telah menganugerahkan keris itu kepada Hang Tuah. Hang Tuah terus menamakan keris itu sebagai "Keris Taming Sari" untuk mengelakkan sumpahan dan telah dibawa pulang ke Melaka.

Selepas kejatuhan empayar Melayu Melaka, tidak lagi diketahui ke mana perginya keris Taming Sari ini. Pelbagai kisah dan mitos tersebar mengenai keris ini. Ada yang mengatakan bahawa keris ini telah hilang bersama-sama Hang Tuah di Hulu Muar selepas Hang Tuah gagal membawa pulang Puteri Gunung Ledang untuk Sultan Melaka. Ada pula yang percaya bahawa keris Taming Sari telah dibawa ke Perak dan disimpan oleh keturunan raja-raja Perak.

Disesuaikan dengan Maswafi bin Abd Samat. 1998 “Jampi Mantera : Peranannya Dalam Ilmu Persilatan Melayu. Latihan Ilmiah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Saturday, August 21, 2010

Kucing Dalam Manuskrip Melayu Silam


Bab tuah celaka (nasib) kucing

Kucing yang memberi tuah.

  1. Kucing itu mempunyai muka yang hitam dan putih hingga kehidung, ia petanda kekayaan.
  2. Kucing yang putih *safa (bersih) keseluruhan tubuhnya.
  3. Kucing yang mempunyai dada dan muka yang putih.
  4. Kucing yang bertubuh hitam dan *panaknya (membawa maksud beriringan) putih *masuara (mungkin bermaksud masyhur).
  5. Kucing yang mempunyai telinga dan hidung yang putih, tubuhnya *berkoreng-koreng (berconteng), mempunyai muka yang bujur serta tubuh yang tidak panjang.
  6. Kucing yang mempunyai kedua-dua pipi yang putih, mata yang merah, telinga yang panjang dan tirus.
  7. Kucing yang mempunyai ekor berwarna putih dan berkoreng-koreng *perawa (tidak diketahui maknanya).
  8. Kucing yang mempunyai pusaran pada bahagian bawah badan atau rusuknya.
  9. Kucing yang mempunyai semua kakinya hitam dan *bercelak (berstokin) putih.
  10. Kucing yang mempunyai dagu dan pipinya hitam putih seperti *nawang (mungkin naung) bulan.
  11. Kucing yang mempunyai 7 warna iaitu putih, kelabu, hitam, merah, kuning, hijau dan *mastri (mungkin bermaksud kasar).
  12. Kucing yang berwarna masri seperti sabun dan mempunyai pusaran di tengah kepalanya.
  13. Kucing yang berang (marah) ekornya akan bersimpul dan bila ia duduk kakinya tertutup rapat.
  14. Kucing yang kesemua kakinya hitam dan berbadan hitam.
  15. Kucing yang bertubuh putih dan bermuka hitam.
  16. Kucing yang mempunyai tubuh yang hitam, berdada putih dan bermisai putih.
  17. Kucing yang bertubuh hitam dan berpanau-panau putih.
  18. Kucing yang bertelinga putih bertompok-tompok, badannya berkoreng-koreng, mukanya bujur putih dan tubuh yang pendek.
  19. Kucing yang kedua berpipi putih, bermata merah dan bertelinga panjang lebar.
  20. Kucing yang bertampung putih dan perutnya berkoreng-koreng.

Kucing yang tidak bertuah.

  1. Kucing yang mempunyai ekor yang putih dan warna hitam pada sesetengah tempat.
  2. Kucing yang mempunyai badan separuh hitam dan separuh putih.
  3. Kucing yang mempunyai semua kaki yang putih.
  4. Kucing yang berupa musang.
  5. Kucing yang bercampur bulu hitam dan putih.
  6. Kucing yang mempunyai 3 kaki berwarna putih dan satu berwarna hitam.
  7. Kucing yang bertubuh putih dan berekor hitam.

Penulis melihat manuskrip ini secara objektif tanpa mempertikaikan benar atau salah penulisan manuskrip tersebut. Bagi penulis segala ketentuan adalah daripada Allah.

Sumber: The Cat Museum, Kuching

Sunday, July 18, 2010

Asal Usul Kucing

Mengikut sumber-sumber Israiliyyat ia bermula semasa 3000 s.m sewaktu nabi Nuh bersama 83 pengikut yang beriman belayar menggunakan bahtera yang diperbuat daripada 4,340 papan dan 50 buah layar. Kapal tersebut mempunyai 7 tingkat di mana tingkat 1 untuk menyimpan barang pusaka nabi Adam, Hawa, nabi Syith dan nabi Idris. Tingkat ke 2 tempat nabi Nuh dan pengikutnya, tingkat ke 3 dikumpulkan segala jenis burung, tingkat ke 4 pelbagai jenis binatang jinak (berpasangan), tingkat ke 5 binatang liar (berpasangan), tingkat ke 6 ditempatkan segala jenis rumput-rumpai dan tingkat teratas (7) diletakkan benih-benih pokok dan biji-bijian.

Disebabkan pelayaran yang sangat lama iaitu selama 7 bulan akibat banjir besar, timbul masalah najis-najis yang tidak terkawal di dalam bahtera nabi Nuh. Nabi Nuh meminta pertolongan malaikat Jibrail untuk menyelesaikan masalah tersebut, dengan itu nabi Nuh diarahkan untuk menggosok belalai gajah untuk menyelesaikan masalah tersebut. Apabila baginda melakukan perkara tersebut keluarlah beberapa ekor babi dari bebalai gajah yang akhirnya memakan segala najis di dalam bahtera tersebut.

Perbuatan itu dilihat oleh salah seorang pengikutnya (syaitan yang menyamar), lalu melakukan perkara yang serupa tetapi menggosok belakang babi maka dengan itu keluarlah beberapa ekor tikus yang memakan dan merosakkan dinding bahtera. Sekali lagi malaikat Jibrail membantu baginda menyelesaikan masalah tersebut, kali ini baginda diarahkan untuk menggosok belakang harimau dengan serta merta keluarlah beberapa ekor kucing yang akhirnya memakan tikus-tikus tersebut.

Bagaimana kucing tersebut sampai ke Tanah Melayu?

Mengikut sumber Sejarah Melayu (karangan Tun Sri Lanang Bendahara Kesultanan Johor abad ke 16) ia bermula apabila jumlah tikus yang sangat banyak di istana Melaka membuatkan keadaan tidak terkawal. Keadaan tikus di istana sangat berkurangan apabila saudagar dari Parsi (Iran) menghadiahkan Sultan Melaka beberapa ekor kucing. Kucing-kucing ini telah memakan tikus-tikus yang bermaharajalela kerana sifatnya memang dicipta untuk memakan tikus sejak 5 ribu tahun lalu. Kucing di istana Melaka inilah merupakan nenek moyang segala kucing yang ada di Tanah Melayu sekarang ini.

*Pengiraan Kalendar sebelum kelahiran Nabi Isa adalah disebut dengan panggilan ‘sebelum Masihi’. Perkataan ‘Masihi’ di sini adalah sempena gelaran al-Masih bagi Nabi Isa atau ringkasannya BC yang bermaksud ‘before Chirst’. Bagi tahun-tahun sebelum Masihi, kiraannya adalah terbalik berbanding zaman selepas Masihi. Selepas Masihi ditulis dengan singkatan AD yang berasal daripada perkataan Latin Anno Domini yang bermaksud tahun Masihi.

Monday, June 21, 2010

Sungkai, asal usulnya.


Pokok Sesungkai: sumber ku-alam.blogspot

Pendahuluan

Saya menerima ulasan yang agak kritis dan membina untuk tulisan saya bertarikh 18 Mac 2006 bertajuk Sungkai. Berikut adalah sedikit kenyataan saya “…pada masa lalu terdapat seorang bayi perempuan hanyut di Sungai Sungkai di atas buih lalu diambil orang kampung lalu dinamakan Puteri Buih… Aku teringat semasa Raja Nazrin datang merasmikan Sekolah Menengah Trolak dulu, air minum Sultan (Perak) didatangkan dari Tapah, aku rasa mereka bersikap berhati-hati kerana dikhuathiri daulat Sungkai (Puteri Buih) masih ada…”

Ilmu asal-usul

Sebelum saya pergi kepada cerita Puteri Buih yang kadang-kala menjadi salah satu bahan mengajar ketika waktu senggang eloklah saya menceritakan tentang “ilmu asal usul”. Ilmu ini hanya boleh dipelajari oleh sesiapa yang berminat hendak menjadi pawang atau bomoh setelah melalui proses meminang (penuntut mesti membawa barang yang dijanjikan seperti kain hitam, garam jantan dan jarum). Ilmu asal usul adalah perkara wajib yang mesti diketahui sebelum mempelajari jampi serapah. Ini kerana di dalam jampi serapah kita perlu mengetahui siapa penjaga kita dan setakat mana kawasan jagaannya.

Bagaimana Sungkai mendapat nama?

Sungkai seharusnya sinonim dengan pokok Sesungkai tumbuhan yang melata di sepanjang Sungai Sungkai dan sekitarnya. Secara fizikalnya teras batangnya lembut seperti pokok ubi dan daunnya seperti daun pokok mengkudu tapi bercabang dan batangnya boleh membesar seperti pokok mangga. Ironiknya orang di pedalaman Pahang (Sungai Pahang) memanggilnya pokok Sungkai dan mereka mengamalkan dalam perubatan tradisional dimana air rebusan daunnya diminum untuk menghilangkan demam panas. Orang Sungkai suka menggunakan pokok tersebut untuk dibuat tiang jambo (pondok menjaga buah durian gugur) kerana tiang tersebut akan hidup dan tahan lama (seperti yang kita menanam pokok ubi). SMK Sungkai ada menanam pokok ini sebagai salah satu proses pembelajaran kepada pelajar-pelajarnya.

Panglima Hitam dan kawasannya.

Panglima Hitam adalah penjaga kawasan mukim Sungkai dan sekitar Pahang, mungkin ada yang tertanya-tanya apa yang dimaksudkan penjaga dan kenapa hanya mukim Sungkai dan sekitar Pahang? Setiap kawasan ada penjaganya yang akan mengawal segala hal-hal ghaib yang berlaku di kawasan itu, di Sungkai dan Pahang nama penjaga tersebut adalah Panglima Hitam. Jika hal-hal ghaib berlaku di Taiping, bomoh di kawasan Sungkai dan Pahang tidak dapat berbuat apa-apa melainkan merujuk kepada bomoh di kawasan Taiping kerana ada penjaganya yang tersendiri di situ, samalah jika sebaliknya berlaku.

Persoalan yang kedua kenapa Sungkai dan Pahang sahaja, alasannya Panglima Hitam hanya mengawal hal-hal ghaib di kawasan adanya pokok Sesungkai. Pada mulanya saya tidak percaya bahawa pokok Sesungkai cuma boleh didapati di Sungai Sungkai dan Sungai Pahang sahaja. Namun setelah menjarah hampir kebanyakan kawasan pedalaman di Semenanjung, pernah melakukan Trans Titiwangsa serta pernah melakukan perjalanan air dari Pending (Kuching) ke hulu Sungai Rajang (Batang Balui) sejauh lebih 600km saya yakin bahawa perkara itu benar.

Puteri Buih

Sungkai mengikut ilmu asal-usul ada kaitan dengan salasilah keturunan Sultan Perak sekarang. Mengikut ceritanya pada masa lalu terdapat seorang bayi perempuan hanyut di Sungai Sungkai di atas buih lalu diambil orang kampung lalu dinamakan Puteri Buih. Kecantikan Puteri Buih amatlah masyhur hingga menarik perhatian Sultan Perak lalu ia meminang Puteri Buih, namun terdapat masalah kerana Puteri Buih kononnya datang dari keluarga bunian.

Setelah perbincangan diadakan antara pihak Sultan dan Panglima Hitam (bunian) maka dua (2) syarat telah ditetapkan untuk menghormati tempat datangnya Puteri Buih ini. Dua (2) syarat tersebut ialah keturunan Sultan tidak boleh minum air berpunca dari mukim Sungkai dan kedua tidak boleh memijak tanah di Sungkai tanpa beralaskan kain kuning. Jika perkara ini dilanggar malapetaka akan berlaku terhadap Sultan. Pernah satu ketika Permaisuri Sultan Perak datang ke SMA Abbasyiah lebih kurang 15 tahun yang lepas pulang terus kerana tiba-tiba sahaja ribut petir sabung menyabung. Alasan yang diberikan oleh penduduk kampung ialah kerana ia memijak tanah tanpa menggunakan alas kain kuning.

Terdapat percanggahan fakta antara Ku Alam dan Ahmad Said dengan versi saya, saya percaya ini dapat mencambah ilmu antara sesama kita. Mengenai ada laut air tawar di Tiang Bertarah telah diperbesar-besarkan, saya percaya apa yang dimaksudkan laut itu cumalah sungai yang besar (macam laut kata orang tua). Mengambil analogi bagaimana Kg Pekan Lama (Sungkai) itu mendapat lama, ia sebenarnya sebuah pekan yang sangat maju dimana air adalah pengangkutan utama.

Dasar sungai yang dalam dan lebar membolehkan tongkang bergerak dari Sungkai ke Teluk Intan, untuk memberikan jawapan yang lebih realistik sila lihat youtube : Kisah Tongkang Sungai Baleh, dimana terdapat tongkang yang sangkut kerana sungainya tidak cukup dalam. Namun ia tidak bermakna sungai yang tidak cukup dalam ini tidak cukup untuk melemaskan gajah!. Lagipun jika Tiang Bertarah sudah menjadi laut semua penduduk Sungkai mungkin terpaksa berpindah ke kawasan Banjaran Titiwangsa untuk hidup.!

Saya percaya Puteri Buih ini dijumpai terapung di kawasan Tiang Bertarah walaupun saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu semasa belajar ilmu asal-usul. Ini kerana Tiang Bertarah adalah penempatan awal di Sungkai dan kebanyakan sejarah bermula di situ termasuklah jumpaan istana bunian oleh orang tua yang boleh dipercayai cakapnya semasa sedang berburu.

Kesimpulannya

Sebenarnya terdapat persamaan versi Ku Alam dan Ahmad Said dengan penulis jika diamati terutama cara Puteri Buih dijumpai. Penulis cuma lebih banyak bercerita dari sudut hal-hal ghaib (Panglima Hitam) manakala Ku Alam dan Ahmad Said bercerita dari sudut sejarah keluarga. Alangkah baiknya jika terdapat usaha untuk menyatukan dua cerita ini menjadi satu.

*Penulis tidak mencari persoalan benar atau salah penggunaan jampi serapah, bagi penulis sesiapa yang mensyirikkan Allah berada di pihak yang tidak benar. Penulis adalah pengarang Latihan Ilmiah Jampi Mantera dalam Persilatan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1998.

Wednesday, December 31, 2008

Harum Kasturi

Sudah banyak kali soalan dilontarkan oleh pelajar menengah atas dan universiti kenapa terdapat perbezaan watak di dalam teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Ia merujuk kepada peristiwa yang sama pada zaman kesultanan Melaka dimana di dalam teks Sejarah Melayu, Hang Kasturi yang menderhaka kepada Sultan Melaka manakala di dalam Hikayat Hang Tuah wataknya ialah Hang Jebat. Secara umumnya semua pihak menerima pakai bahawa Hang Jebat adalah yang menderhaka kepada sultan berdasarkan cerita yang diturunkan dari mulut ke mulut dari guru-guru silat mahupun orang tua.

Adakah ini bermakna teks Sejarah Melayu cuba memesongkan sejarah? Mungkin elok diterangkan latar belakang kedua-dua teks yang menjadi rujukan wajib pelajar menengah dan universiti ini. Teks Sejarah Melayu adalah tulisan Tun Sri Lanang yang lebih menumpukan sejarah asal-usul kesultanan Melayu hingga kepada kejatuhannya manakala Hikayat Hang Tuah tidak diketahui pengarangnya lebih menumpukan kehebatan Hang Tuah semasa kesultanan Melayu Melaka hingga kadang-kadang tidak masuk akal tetapi itulah keindahan sastera melayu.

Sebenarnya kedua-kedua teks ini ada benarnya kerana mengikut kajian terkini Hang Kasturi dan Hang Jebat adalah manusia yang sama. Hang Kasturi kekal namanya dipanggil orang hingggalah dia menderhaka kepada sultan barulah ia dipanggil Hang Jebat kerana nama seharum itu tidak layak diberi kepada orang yang menderhaka kepada sultan. Terdapat juga pendapat bahawa Hang Lekir dan Hang Lekiu adalah orang yang sama, ia mengambil kira jika tulisan jawi digunakan untuk mengeja nama mereka ia seakan-aakan sama. Adakah ini bermakna Hang Tuah cuma tiga bersaudara dan bukannya lima?

Lebih hebat ialah teori yang lebih ekstrim mengatakan bahawa kesemua lima bersaudara tersebut bukanlah keturunan Melayu tetapi Cina dengan alasan nama mereka harus dieja sebagai Hang Too Ah, Hang Je Fat, Hang Kas Tu Li, Hang Le Kiu dan Hang Le Kir!. Nasib baik teori ini tidak dibahas secara kritikal kerana tidak mempunyai fakta hanya berasaskan andaian sahaja jika tidak terpaksalah dibuang sahaja karya-karya sastera yang menggunakan nama mereka.

Thursday, December 11, 2008

Benarkah seni beladiri dunia adalah pancaran dari seni silat Melayu?

Terdapat pelbagai pendapat yang wujud tentang ilmu persilatan Melayu, mungkin keyakinan dan pegangan Perguruan Seni Silat Sejati Insaniah Qudsiah Satria Warisan bahawa seni bela diri yang wujud di dunia ini berasaskan seni silat Melayu boleh membuatkan kita menilai persoalan ini secara kritis.

Menurut mereka perkembangan silat Melayu ke China dan Jeppun bermula pada zaman kerajaan Srivijaya yang berpusat di Palembang (Sumatera) sekitar 683 M-1290 M. Berpandukan fakta tentang seorang ahli pengembara China yang beragama Buddha iaitu I-Tsing dalam kisah pelayarannya ke India, pada zaman kerajaan Melayu Srivijaya terdapat satu masyarakat rahib rahib-rahib Buddha seramai lebih kurang 1000 orang telah pergi ke negara China dan Jepun disamping membawa agama Buddha dan ilmu persilatan Melayu bersama mereka.

Jika dibuat perbandingan seni bela jepun Shorinji Monastry dengan Silat Sendeng terdapat persamaan dengan permainan senjata tembong, begitu juga dengan permainan tangan kosong Karate mirip kepada Silat Sendeng dan Belebat Melayu. Manakala seni Ninja merupakan pancaran idea dari permainan Ibu Gayong dalam seni beladiri Melayu. Jika kita melihat seni Kung Fu di China ia kelihatan mirip kepada seni Silat Rajawali, Gayong Fatani, Cimande dan Kuntau Jawa.

Pada kurun ke 11 di Srivijaya terdapat seorang sarjana Melayu bernama Dharmakirti yang pakar dalam ilmu persilatan Melayu dan mengajarkannya kepada rahib-rahib Buddha yang lantas membawa ia ke India hingga wujudnya seni Silambam. Antara muridnya yang terkenal ialah Atisa yang berbangsa Tibet telah mengembangkan agama Buddha dan seni silat Melayu di Tanah Besar Asia Tenggara. Di atas usaha beliau seni Bando berkembang di Burma dan Tibet serta Tomoi berkembang di Siam dimana seni ini tidak jauh berbeza dengan seni Silat Lintau.

Kajian dewasa ini yang dibuat oleh Drs. Abdul Rahman Al Ahmadi seorang penulis ensiklopedia mendapati orang Jepun mendakwa seni beladiri di Korea berasal dari Jepun, manakala orang Cina mendakwa seni beladiri Jepun berasal dari China, dan beliau membuat hipotesis bahawa semua seni beladiri berasal dari Nusantara berasaskan sejarah zaman Sriivijaya. Ini dikuatkan oleh A. Rahman Hasan dalam pembentangan kerta kerja seminar Pencak Silat Nusantara pada tahun 1997 menegaskan bahawa sehingga kini belum terdapat mana-mana pihak yang menafikan bahawa seni silat berasal dari rantau ini, atau lebih tepatnya alam rumpun Melayu.


Disesuaikan dengan Maswafi bin Abd Samat. 1998 “Jampi Mantera : Peranannya Dalam Ilmu Persilatan Melayu. Latihan Ilmiah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Benarkah Hang Tuah wujud?

Inilah persoalan yang selalu disoal oleh mereka yang tidak berapa yakin dengan kehadirannya mungkin kerana lebih daripada satu kubur yang dijumpai yang didakwa sebagai tempatnya bersemadi. Begitu juga sastera sejarah yang amat rumit untuk dikaji menyebabkan mereka menerima pakai sahaja teori-teori oleh penulis semborono daripada membaca naskah-naskah hebat seperti Sulatus Salatin, Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu mahupun menjelajahi alam semesta di rumpun Melayu.

Sebenarnya terdapat beberapa tempat menunjukkan bukti fizikal kehadiran Hang Tuah iaitu tapak kakinya di Tanjung Tuan dan di puncak Gunung Dato’. Dimana mengikut cerita lisan orang tua dikatakan bahawa apabila dia pergi dari satu tempat ke satu tempat dengan melompat, dia akan meninggalkan kesan tapak kaki. Bukti yang ada sekarang ialah ia sedalam 1-3 inci di atas batu dimana keadaannya sama seperti meletakkan kaki pada simen yang basah. Namun ia masih boleh diragui kerana tiada pendokumentasian seperti batu bersurat di situ, itulah kekurangan bangsa Melayu yang harus diakui tetapi kita harus mengakui dengan teknologi yang ada sekarang pun agaknya siapa yang cukup gila untuk membawa peralatan membuat tapak kaki di puncak Gunung Dato setinggi 2700 kaki itu.

Menurut A. Kobata: 1969 dalam bukunya Okinawa Relations With Korea and South Sea Countries, pada kurun ke 15 di zaman kerajaan Ryukkyu nama Hang Tuah telah terkenal di seluruh dunia. Digambarkan semasa semasa Kampuchea telah dilanda perang saudara, kapal-kapal pedagang asing seperti Portugis, Siam, India dan China tidak berani menghampiri pelabuhan di situ.

Namun Hang Tuah sebaliknya berbeza, ia dengan tenang menghampiri pelabuhan tersebut dengan “kora-koranya” (perahu kecil). Kemudian ia membuka kitab membaca jampi mantera dengan lantang dan kuat hingga menyebabkan perang saudara tadi terhenti seketika. Kemudian beliau mengambil air perigi di daratan lalu belayar semula ke lautan dan perang saudara tadi bersambung semula.

Alfonso De Albourqueque dalam catitannya The Volume of The Great Alfonso De Albourqueque yang tersimpan di Muzium London mengatakan beliau tidak akan menyerang Melaka selagi Hang Tuah masih ada! Ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa Hang Tuah memang wujud dan Melaka ketika itu mempunyai pahlawan yang handal.

Hang Tuah sewaktu mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit pernah mengalahkan Taming Sari seorang yang pendekar handal dan kebal di situ, dengan muslihat yang dilakukannya ia berjaya membunuh Taming Sari dan merampas keris kepunyaannya, buktinya keris Taming Sari sekarang berada dalam simpanan Sultan Perak. Kita harus mengambil iktibar dengan Kerajaan Indonesia mengiktirafnya sebagai negarawan rumpun Melayu yang hebat selain Gadja Mada, ini dapat dilihat dengan tertubuhnya Universitas Hang Tuah selain Universitas Gadja Mada, tetapi Malaysia sibuk dengan nama-nama universiti yang futuristik!.

Disesuaikan dengan Maswafi bin Abd Samat. 1998 “Jampi Mantera : Peranannya Dalam Ilmu Persilatan Melayu. Latihan Ilmiah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Thursday, November 13, 2008

Kontrak Sosial

Jika seorang guru masuk ke kelas yang pertama kali di ajarnya sudah menjadi kebiasaan ia akan mengambil masa beberapa minit untuk menetapkan beberapa perjanjian (kontrak sosial) dengan murid-muridnya yang kadang-kala merupakan peneguhan kepada peraturan bertulis yang sedia ada. Jika melihat dari sudut sastera sejarah rumpun melayu berlaku kontrak sosial apabila peristiwa waadat antara Demang Lebar Daun (rakyat) dan Sang Sapurba (pemerintah) seperti berikut:-

"…hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun." Baiklah, Tuanku. Tetapi jika anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patikpun mengubahkanlah."

Natijah daripada perlanggaran waadat tersebut empayar Melaka telah lenyap hingga sekarang. Secara mudah kontrak sosial dapat di definisikan sebagai perjanjian bertulis atau tidak bertulis lebih daripada dua pihak, jika berlaku perlanggaran terhadap perjanjian tersebut maka keadaan akan menjadi tidak harmoni.

Selepas kekuasaan parti UMNO merosot selepas PRU 12 yang lepas terdapat beberapa pihak yang cuba mencabar perlembagaan Malaysia di mana di dalamnya tertulis jelas kontrak sosial yang telah dicapai sejak zaman pra kemerdekaan. Bermula dengan tuntutan tidak masuk akal HINDRAF, Gerakan, MCA dengan di sokong oleh orang Melayu sendiri membuatkan aku tertanya-tanya adakah sistem pendidikan yang ada sekarang sudah tidak mencukupi menjelaskan perkara tersebut.

Dimana silapnya pengajaran dan pembelajaran matapelajaran sejarah tidak dapat merungkai kehebatan orang melayu memberikan kerakyatan kepada orang Cina dan India secara "jus soli" dengan syarat mereka tidak akan mengungkit empat perkara iaitu:-

i. Agama Islam sebagai agama persekutuan (Perkara 3)
ii. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi (Perkara 152)
iii. Hak-hak keistimewaan orang Melayu (Perkara 153)
iv. dan Majlis Raja-Raja. (Perkara 38/181)

Terdapat banyak bantahan terhadap agama Islam seperti seruan azan yang tidak sampai lima minit, tuntutan supaya agama lain juga diberikan peruntukan, mencabar undang-undang syariah, mengadakan forum mengkaji kedudukan Islam serta bermacam karenah yang didiamkan sahaja. Kalau difikir secara logik sudah namanya agama persekutuan sudah tentulah ia mendominasi segala keperluan yang ada, namun mereka harus bersyukur kerana mereka amat bebas mengamalkan segala ajaran agama mereka tanpa gangguan cuma tidak dibenarkan untuk penyebarannya.

Orang Melayu dengan Islam tidak mungkin dipisahkan jika meminjam kata-kata Prof. Hamka iaitu “orang Minangkabau tanpa Islam hilang “minang”nya jadi kerbaulah ia dan orang Melayu tanpa Islam hilang “me”nya, jadi layulah dia. Untuk memenuhi keperluan tersebut pelbagai agensi berteraskan agama persekutuan ditubuhkan memastikan orang Melayu tidak layu dan dalam masa yang tidak pernah menindas agama lain.

Lim Guan Eng yang baru memerintah Pulau Mutiara sudah menunjukkan belangnya mencampur-adukkan lain-lain bahasa dalam papan tanda jalan mungkin meniru kepimpinan Theresa Kok yang melakukan perkara yang sama di Bukit Bintang. Mungkin mereka meniru “stail” mentor mereka di Singapura yang menjahamkan bahasa Melayu walaupun sehingga sekarang ia masih merupakan bahasa kebangsaan di situ. Seingat aku sejarah susur galur bahasa Melayu (austranesia) hanya meliputi sekitar kepulauan Borneo, kepulauan Indonesia, tanah Melayu dan Indocina. Sekaligus menunjukkan orang Cina dan India adalah kaum pendatang berbanding dengan orang Melayu yang merupakan penutur asal kawasan Tanah Melayu dan kawasan serumpun.

Di dalam sistem pendidikan pun tidak kurang hebatnya dengan sesuka hatinya cendiakawan yang ada menukar bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia dalam kurikulum walaupun hingga setakat ini perlembagaan Perkara 152 mengenai status bahasa Melayu tidak pernah berubah. Bila bercerita tentang soal hak-hak keistimewaan orang Melayu, keadaan menjadi lebih parah. Dari soal perjawatan di sektor awam, kuota biasiswa, pertempatan di IPTA, permit dan lesen serta perlaksanaan DEB. Bayangkan jika kita pergi ke jabatan kerajaan yang didominasi oleh orang Cina dan India di kaunter, sudah tentu tidak nampak suasana Melayunya tanah air ini! Lagipun kerajaan tidak pernah melarang iklan perjawatan di dada akhbar yang hanya di khususkan kepada orang Cina dengan meletakkan simbolik ayat “boleh berbahasa Mandarin” sebagai syaratnya.

Orang Cina yang dilihat masih tidak berpuas hati dengan pemberian biasiswa 65-45 kepada orang Melayu dan kaum lain dikalutkan lagi dengan kenyataan Khalid Ibrahim yang mencadangkan pembukaan UITM kepada kaum lain. Bagi Anwar Ibrahim mahupun Khalid Ibrahim kenyataan ini menggambarkan seolah-olah merekalah yang paling adil di planet bumi ini dengan dasar liberal mereka demi cita-cita mereka. Tanpa Perkara 153 aku sendiri mungkin tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti kerana merit STPM aku yang rendah ketika itu. Apalah yang boleh diharapkan dengan budak kampung seperti aku dengan suasana pembelajaran yang tidak kondusif dan kekangan kewangan jika hendak dibandingkan dengan Anwar Ibrahim yang mempunyai segala-galanya itupun kedengaran keputusannya cuma “cukup makan”.

Jika melihat soal-soal kenapa tender-tender kerajaan diberi kepada orang Melayu sebenarnya orang Cina masih lagi mengaut keuntungan kerana kontraktor Melayu masih lagi terpaksa membeli bekalan mentah dari orang Cina yang mengawal kegiatan perniagaan di sini. Juga mereka masih lagi mendahului orang Melayu walaupun DEB sudah lama dilancarkan. Sebenarnya maksud keadilan di Malaysia mahupun dalam Islam bukan bermaksud pembahagian sama rata sebenarnya, ia lebih kepada bagaimana pembahagian mengikut keperluan supaya semua pihak tidak tertindas.

Mungkin membuat analogi perhubungan adik-beradik lebih mudah difahami oleh rakyat Malaysia, katakanlah ibubapa kita membantu adik-beradik kita dalam soal kewangan kerana ketidakstabilan ekonominya, adakah kita akan marah perbuatan itu walhal dalam masa yang sama kita adalah orang kaya. Jika kita marah maknanya ada sesuatu yang tidak kena dengan kita kerana sepatutnya kita turut membantu adik-beradik kita.

Dalam soal Majlis Raja-Raja kita seolah-olah melupakan peranan mereka, jika dilihat dalam soal struktur pemerintahan negara Yang Di Pertuan Agong adalah bertindak sebagai Ketua Negara manakala untuk negeri ketuanya adalah sultan. Hanya Majlis Raja-Raja yang boleh melantik Yang Di Pertuan Agong bukannya parti-parti politik yang memerintah. Sekarang ini berlaku pula provokasi di media massa oleh parti-parti politik terhadap sultan-sultan tentang siapa yang patut dilantik sebagai Ketua Menteri di negeri mereka, ini jelas berlaku di negeri Perak, Perlis dan Terengganu. Bagi aku setiap rakyat harus taat setia kepada sultan mereka kerana negeri ini kepunyaan mereka dan mereka berhak menentukan siapakah yang patut mentadbir negeri mereka selagi mereka tidak berlaku zalim kepada kita seperti waadat yang telah dijalankan.

Sebenarnya jika orang Cina dan India mempertikaikan empat perkara di atas mereka seolah-olah mempertikaikan soal kerakyatan mereka sendiri sebagaimana kontrak sosial yang telah dibuat. Mereka harus bersyukur dengan kerakyatan yang diperolehi mereka mempunyai segalanya di sini berbanding dengan orang Melayu walaupun mempunyai perlembagaan yang melindungi mereka tetapi masih jauh ketinggalan.

Sebelum aku berhenti menulis eloklah aku memberikan sedikit teks “Zion Protocol” (10) mungkin ia memberikan idea apa yang sedang berlaku sekarang.

“…kita mesti mengeruhkan hubungan di antara rakyat dan pemerintah di semua negara dengan menimbulkan perbalahan, kebencian, pertentangan, iri hati, bahkan dengan menyebabkan seksaan, kebuluran, penyakit, kemiskinan supaya kaum-kaum goyim (manusia babi) tidak nampak jalan lain melainkan mencari perlindungan di bawah pemerintahan kita yang mempunyai kedaulatan atas kewangan dan sekalian yang lain. Tetapi kalau kita berikan negara-negara di dunia ini berpeluang berfikir dan membuat keputusan, maka saat yang kita nanti-nantikan sudah tentu tidak akan tiba”.

Monday, July 31, 2006

Misteri Gong Badak


Masih teringat aku semasa di tingkatan 5 di suatu ketika hampir setiap hari Yayha yang tinggal di Felda Trolak itu asyik tertidur di dalam kelas yang aku sangkakan dia tidak cukup tidur angkara mengutip durian yang gugur pada sebelah malam. Dia menafikan nujuman aku kerana yang sebenar-benarnya dia dan kawan-kawannya menerima kerahan tenaga mengangkap orang minyak yang perlu memenuhi tuntutan ilmu sihir iaitu mencabul 44 anak dara seperti yang berlaku di Gong Badak. Bermacam cara yang dilakukan untuk menangkap makhluk itu seperti menggunakan kain batik lepas dan mengumpan menggunakan khidmat bomoh namun semuanya menemui jalan mati. Untuk menamat ceritera ini, seorang bomoh jawa dijemput dari Sungai Besar untuk terus mempupuskan makhluk tersebut. Maka bacaan jantung al-Quran pun dibuat dimana semua jelata dipaksa hadir tanpa tertinggal satupun. Belumpun separuh jantung al-Quran yang maha hebat itu dibaca tampil seorang jelata yang kepanasan mengaku melakukan sihir itu dan mohon diampunkan.

Wednesday, July 05, 2006

Salin Bunuh


Merupakan salah satu ilmu yang tertinggi dalam ilmu batin masyarakat melayu, dimana falsafahnya "bunuh tak bunuh, yang lain kena bunuh". Kebanyakan masyarakat melayu menggunakan istilah ilmu kebal untuk salin bunuh. Kenapa dipanggil salin bunuh, ini kerana bukannya pengamalnya yang akan ditikam musuh tetapi akan digantikan dengan benda lain seperti batang pisang. Untuk mendapatkan ilmu ini kenalah melalui ujian rendaman di sungai sebelum "terbang lalat" dengan ancaman ombak besar dan mungkin juga naga. Wirid tertentu perlu di amal selama tiga hari berturut-turut sebelum ujian dilakukan dengan kiraan 33, 148 dan 777 dengan sekali duduk. Kita juga mesti menerima bahawa untuk memulangkan kembali ilmu ini adalah sangat susah iaitu "untung sabut timbul, untung batu tenggelam".

Monday, June 12, 2006

Bomohs and Accountability

Bootlicking Culture

Saturday, May 06, 2006

Dunia Melayu

Dunia Melayu amat luas dan telah wujud begitu lama. Kerajaan Melayu bermula dari kerajaan Champa dan Funan di kawasan Selatan Semenanjung Indocina (Kemboja & Selatan Vietnam) pada awal kurun masihi. Secara sambung menyambung dan kadang kadang bertindan lapis, wujud kira-kira belasan Kerajaan Melayu yang lebih merupakan negara kota di Segenting Kra dan sepanjang pantai timur Tanah Melayu. Antaranya Ligor dan Langkasuka yang kemudiannya berkembang menjadi Patani. Kemudian selama 1300 tahun, lahir pula beberapa buah Kerajaan Melayu yang lebih mantap seperti Empayar Sriwijaya antara kurun 7-13, Kerajaan Majapahit pada kurun 13-14, Kerajaan Pasai pada kurun ke 13, Kerajaan Temasik pada kurun ke 14, Kerajaan Melayu Islam Melaka pada kurun ke 15, Kerajaan Johor Riau pada kurun ke 16, Kerajaan Acheh pada kurun ke 17, Kerajaan Riau Lingga pada kurun ke 18, Kerajaan Sulu (Selatan Filipina) dan negeri-negeri Tanah Melayu bermula kurun ke 16 hingga terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia pada kurun ke 20.
*sumber:
Wan Hashim Wan Teh. Dunia Melayu dan Tersebar Luasnya Rumpun Bahasa Melayu. 1991

Thursday, March 30, 2006

Bunga Lawang


Dalam memasak kenduri bahan ini antara digunakan untuk memasak nasik minyak ataupun gulai kari. Namun harus diingatkan bahawa biji dalam bunga lawang akan membuatkan anda sakit perut dan cirit birit kerana "panas". Petua apabila nak menggunakan biji lawang dalam masakan ialah haruslah dikeluarkan bijinya daripada bunganya dulu sebelum dimasak. Ramai yang menyalahkan manusia yang menyediakan makan itu "pengotor" apabila dia sakit perut atau cirit-birit, padahal yang sakit perut hanya seorang dua, tapi kalau semua orang sakit perut atau cirit-birit memang pengotor la tu penyedia makanan itu.

Wednesday, March 22, 2006

Bila Hantu Raya menanam padi


Aku rasa makhluk yang paling taat kat planet bumi ini adalah Hantu Raya. Mungkin cerita ni membenarkan pendapat aku, ada satu pakcik ni tinggal kat utara kerjanya buat bendang, dah tua tapi boleh buat banyak bendang berelung-relung. Ini telah memusykilkan anak-anak muda yang nakal macam aku kat situ, jadi mereka menyiasat macammana pakcik ni buat bendang. Pada satu senja mereka ni mengintai kat bendang dan tengok pakcik ni tengah menanam anak padi kat satu petak sawah lepas tu dia balik. Besok pagi mereka datang kat bendang tu tengok semua petak dah bertanam! Ha kantoi! sah pakcik ni guna Hantu Raya pasal dia tanam satu petak sebagai contoh aje. Jadi pada musim yang berikutnya mereka mengintai lagi dan lihat pakcik ni buat perkara yang sama. Selepas pakcik tu balik ke rumah mereka ni terbalikkan semua anak padi dalam petak contoh iaitu akar ke atas, pucuk di bawah! Besoknya pakcik tu nak pengsan bila tengok bendangnya dimana anak padinya semua di tanam terbalik untuk semua petak! Hantu Raya ni jenis taat, ikut je suruhan tuannya dan bukannya dia tau apa yang dia buat.

Monday, March 20, 2006

Bila Itik Jawa menangis


“ Sedang semua orang yang memenuhi ruang tempat duduk di galeri mahkamah pada waktu itu terpegun dan mendengar dengan khusyuk penjelasan dan cerita doktor pakar bedah ini tadi bagaimana mayat itu ditemui, tiba-tiba suasana mahkamah yang senyap sunyi tadi dikejutkan dengan suatu bunyi aneh yang sukar ditafsirkan, tetapi amat menakutkan…”

Kisah ini berlaku dalam perbicaraan kes sepasang suami isteri bomoh terkenal membunuh seorang tokoh politik di Pahang. Bomoh yang berada di mahkamah ketika perbicaraan tersebut mentafsirkan bahawa bunyi tersebut adalah tangisan itik jawa yang dipelihara oleh pasangan berkenaan. Ada sumber yang menyatakan itik peliharaan itu yang kesemuanya berwarna hitam telah mati berangan selepas “kekasihnya” ditangkap atas tuduhan membunuh.
Mingguan Malaysia, Ahad 6 April 1997

Panah Rajuna


Bismillahirrahmanirrahim
Bakar-bakar pasir tanah
Aku bakar mata hati jantung (si anu) itu
Bakarkan panah Sang Rajuna
Aku bakarkan gunung, gunung runtuh
Aku bakarkan batu, batu belah
Aku bakarkan di mata hati jantung hawa nafsi (si anu)
Kena hancur luluh panas segala tubuhnya
Gila berahi kepadaku
Tidak boleh senang diam
Seperti pasir ini terbakar
Bencilah (si anu) kepada ibubapanya
Kepada saudara sahabat handainya
Jika dia tidur, menjaga
Jika dia jaga, bangun berjalan
Datanglah kepadaku
Menyembah dirinya
……………………
Berkat (si anu) kena bisa panah Sang Rajuna
Berkat doa, La ilaha illallah
Muhammadun Rasulullah

Ini sebenarya jampi pengasih Panah Rajuna. Saya saja tinggalkan satu baris, biasalah tuk guru simpan satu. Tujuan saya adalah untuk memberi petua bagaimana nak elakkan daripada kena Panah Rajuna. Petuanya sekali jangan beri nama penuh mak kita pada orang yang tak dikenali. Kenapa? Ini kerana syarat jampi ni mesti di binkan kepada nama mak.

Saturday, March 18, 2006

Bomoh VS Pawang


Ramai yang menganggap Bomoh & Pawang adalah satu pekerjaan yang sama. Sebenarnya terdapat perbezaan antara keduanya. Bomoh pekerjaannya adalah secara menyeluruh dalam kehidupan masyarakat melayu, contohnya merawat kerasukan, memulihkan santau ataupun perantara antara manusia dan jin.

Manakala Pawang pula hanya menjalankan kerja-kerja yang khusus seperti khidmat diraja, buaya, ular dan hujan. Kalau nak lebih mudah faham bomoh ni sama dengan doktor dan pawang sama dengan doktor pakar pada zaman sekarang.
Gambar Pawang Hujan Jailani