Showing posts with label SK Long Segaham. Show all posts
Showing posts with label SK Long Segaham. Show all posts

Tuesday, June 19, 2012

Mengosongkan Bangunan


Petang ini kami dikejutkan dengan siren yang tidak berhenti-henti daripada sistem amaran banjir yang tiba-tiba berbunyi. Rasa bangga menyelinap di sanubari kerana semua murid dengan spontan berkumpul di kawasan yang ditetapkan apabila mendengar apa-apa bunyi yang panjang tanpa berhenti-henti walaupun  bunyi siren itu sangat asing bagi kami. Itulah hasil doktrinisasi aku kepada 76 orang murid sejak januari lepas, ini bermakna secara teorinya jika berlaku kebakaran atau banjir aku akan berjaya mengosongkan bangunan sekolah dalam masa 1 minit.


Sebenarnya bunyi itu dilakukan secara manual oleh Sarawak Hydro bagi memastikan ia berfungsi dengan baik. Kekuatan bunyi siren sejauh 1km itu telah mengundang kerisauan ibu bapa dan ada yang telah datang ke sekolah mahu mengambil anak mereka kerana menyangka empangan Bakun telah pecah. Pelbagai soalan yang dilontarkan oleh murid kepada aku apa akan berlaku jika empangan itu pecah yang kadang-kadang memeningkan kepala untuk menjawabnya. Adalah lebih baik jika semua murid dapat dibawa melawat ke Empangan Bakun supaya mendapat gambaran yang sebenar daripada mendengar cakap-cakap orang. Apapun jika siren sebenar berbunyi adakah aku dapat melaksanakan tugas dengan baik? Yang pasti ia suatu tugas yang sangat sukar.

Wednesday, March 28, 2012

Tahun 1, 2013

Tarikh pendaftaran untuk Tahun 1 2013 semakin hampir, walaupun pelbagai kaedah promosi telah dijalankan namun penglibatan daripada rumah panjang amat kurang.  Kekangan waktu dan wang atau kurang pendedahan pentingnya pendidikan mungkin menyebabkan masalah ini berlaku. Kami percaya bahawa setiap warganegara Malaysia harus menerima pendidikan secara adil maka dengan itu kami yang pergi mencari mereka di rumah-rumah panjang seperti tahun-tahun sebelum ini. Mencari murid Tahun 1 di sini diumpamakan seperti hujan yang membasahi bumi dan bukan timba mencari perigi seperti yang sepatutnya. Hari ini kami menjelajah hingga ke kem-kem balak bagi memastikan tiada satupun warganegara Malaysia yang layak terlepas daripada pandangan kami.

Wednesday, March 07, 2012

Minggu yang sangat sibuk sama ada di rumah atau di sekolah, ini kerana aku sedang bereksperimen dengan satelit yang baru di beli minggu lepas. Di sekolah amanah (memangku tugas-tugas Guru Besar) memantau sekolah menjadi keutamaan kerana ketiadaan pihak pentadbir yang pergi ke MSSRD Belaga. Minggu ini terpaksa memujuk dan mengejar murid yang tidak mahu menerima rawatan pergigian dan imunisasi.

Sunday, October 16, 2011

Pembersihan Empangan Graviti

Awal-awal pagi ahad dimana semua orang sedang dibuai mimpi, beberapa penduduk kampung datang menjengah pintu kuarters aku. Ini merupakan tugas guru yang paling sukar (setakat hari ini) iaitu memastikan 84 orang murid tidak kebulur kerana ketiadaan bekalan air bersih. Ini semua gara-gara kerakusan pengurusan Balak Kem Teleng (tiada syarikat lain) menjarah kawasan tadahan air yang terletak 1 jam perjalanan kaki dari sekolah.

Tahap kesihatan aku sudah semakin baik walaupun terpaksa berjalan mendaki bukit ke punca air bersih tertinggi di Segaham. Jika tidak sudah tentu termengah-mengah melayan “pacing” penduduk kampung yang sangat laju. Cuma aku sangat lelah bila terpaksa mengeluarkan sampah yang terdiri daripada kayu balak dan batu-batu di dalam kawasan empangan.
Sebenarnya aku tidak kisah melakukan rutin penyelenggaraan empangan air, cuma mengalihkan balak dan batu adalah sangat tidak munasabah kerana sebelum ini kami cuma membersihkan daun-daun kering di dalam empangan. Adilkah aku kerana terpaksa berlawan dengan satu syarikat besar dibandingkan dengan jawatan aku yang sangat kerdil ini.

Saturday, October 15, 2011

Adakah Mitos Kemewahan Air Sudah Berakhir?

Sangat berasa seronok sehari dua ini dapat memakan ikan kelah yang boleh dikatakan “emas” di kawasan sungai. Namun adakah perasaan seronok ini akan bersifat berterusan untuk hari-hari yang mendatang? Sudah dua minggu aku terpaksa menggunakan air keruh untuk memasak kerana empangan air graviti sudah dicemari oleh lumpur akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak pengurusan Kem Balak Teleng.

Rasanya sia-sia sahaja pengorbanan penduduk kampung (termasuk aku) menarik paip poli sejauh 1 jam ke atas bukit selama 9 hari tahun lepas untuk membina empangan air graviti. Mereka (Kem Balak Teleng) telah menjarah kawasan tadahan air yang telah ditanda cat merah oleh penduduk kampung tanpa rasa bersalah, dan tanpa rasa bersalah juga mereka menidakkan perbuatan mereka. Mungkin benarlah kata Dr. Hamirdin Ithnin (dulu saintis di Universiti Malaya) bahawa mitos kemewahan air di Malaysia sudah berakhir!.

Saturday, September 17, 2011

Adakah Kita Sporting Semasa Menganjur Sukan?

Lumba Rakit (Belaga Rainforest Challenges)

Masih kepenatan mengayuh rakit ke Belaga semalam, namun yang paling penting semua warga Segaham yang terlibat sangat gembira menyertai pesta rakit ini. Kami berjaya menamatkan perlumbaan dari Segaham ke Belaga dalam masa 5 jam (jika menggunakan enjin berkuasa kuda 15 ia mengambil masa hampir 1 jam).


Terdapat 15 pesaing yang menyertai acara ini, malangnya kami sendiri tidak tahu kedudukan kami di tempat yang keberapa kerana semasa kami sampai pihak penganjur sudah tiada! Mungkin mereka hilang kerana membuat rumusan bahawa semua rakit di belakang sudah kalah agaknya.

Sepatutnya penganjur tidak boleh berbuat begitu kerana kami adalah peserta yang terakhir yang dilepaskan sudah tentulah kami yang akhir sampai. Sebenarnya aku tidak melihat masalah jika dilepaskan serentak semua rakit kerana bukannya bertanding diperingkat dunia, cuma kadangkala orang kita suka “make life complicated”.



Sikap “sporting” dalam sukan di Malaysia masih jauh dengan negara jiran kita Singapura, pihak penganjur akan lepas tangan terhadap peserta yang akhir sampai walaupun untuk sampai ke garisan penamat sebenarnya memerlukan usaha yang sangat-sangat gaban.



Untuk membuat perbandingan secara “apple to apple” aku mengambil contoh maraton di Kuala Lumpur dan Singapura. Di Malaysia jika seseorang pelari tidak dapat menghabiskan larian 42 km dalam masa 7 jam mereka akan beramai-ramai diangkut dalam van bomba atau ambulans untuk dibawa pulang dengan alasan untuk bergelar pelari maraton mereka perlu berlari kurang 6 jam 30 minit. Penganjur langsung tidak memikirkan usaha berbulan-bulan yang dilakukan oleh pelari yang mahu bergelar "marathoner".


Berbanding di Singapura anda boleh berlari mengikut kemampuan anda dan tiada siapa yang akan menyuruh anda menaiki van jika lambat ke garisan penamat. Jangan terkejut jika pengunjung di taman-taman akan memberikan sandwich yang dipotong kecil-kecil kepada anda jika laluan larian berada di kawasan mereka melepak.



Adalah tindakan betul menyuruh peserta-peserta mengejar tempat pertama tetapi jangan memberi mesej yang salah kepada peserta-peserta yang berada di tempat akhir. Aku sangat memuji usaha yang ditunjukkan oleh warga Segaham daripada proses mencari pokok buluh, membina rakit dan akhirya membawa ia ke garisan penamat. Bagi aku itulah kemenangan total yang harus dimiliki oleh semua orang.





Tuesday, July 05, 2011

Peraturan Kelas

  • Mesti menjalankan tugas harian mengikut jadual yang telah ditetapkan (duty roster).
  • Setiap murid bertanggungjawab terhadap diri sendiri
  • Mesti menjaga kawasan sendiri.
  • Tiada sampah di bawah meja atau kawasan sekeliling.
  • Tidak membuat bising semasa guru tiada.
  • Berada tepat di dalam kelas sewaktu sesi pembelajaran.
  • Beratur di luar kelas sebelum ke makmal atau bengkel.
  • Menyiapkan kerja / tugasan yang diarahkan.
  • Tidak melawan kata guru.
  • Ketidakhadiran ke sekolah mesti mempunyai surat.
  • Memakai baju sukan semasa kelas PJ.
  • Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kelas sewaktu guru tiada atau semasa menunggu kedatangan guru.

Peraturan Asrama

  • Semua penghuni asrama mesti tinggal dan menginap di asrama.
  • Penghuni-penghuni asrama tidak dibenarkan menginap di luar.
  • Penghuni asrama lelaki mesti tinggal dan menginap di asrama lelaki.
  • Penghuni asrama perempuan mesti tinggal dan menginap di asrama perempuan.
  • Orang luar tidak dibenarkan masuk ke asrama lelaki dan asrama perempuan tanpa kebenaran.
  • Murid-murid asrama tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman ke dalam asrama.
  • Jangan makan dan minum di dalam asrama.
  • Asrama adalah tempat menginap, tidur dan beristirehat. Jangan buat bising dalam asrama.
  • Murid asrama yang hendak keluar asrama mesti mendapat kebenaran dari pihak Jawatankuasa Asrama, Guru Besar, Penolong Kanan HEM,Penyelia Asrama atau Waden Sekolah.
  • Murid asrama yang didapati sakit mesti dilaporkan segera kepada pihak sekolah
  • Murid-murid asrama tidak dibenarkan menggantung pakaian yang basah dalam asrama dan semua pakaian yang basah mesti di jemur di penyidai di luar asrama.
  • Murid-murid asrama tidak dibenarkan membawa dan menyimpan alat-alat yang tajam di asrama.
  • Murid-murid asrama adalah tidak dibenarkan membawa dan menyimpan mancis, lighter, mosquitoe coil dan bahan-bahan api dalam asrama.
  • Murid-murid asrama adalah dilarang membawa dan bermain mercun dan bunga api di dalam asrama dan di kawasan sekolah.
  • Semua murid asrama mesti berada ditempat tidur dan tidur pada pukul 9.30 malam.
  • Semua penghuni asrama bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan asrama.
  • Semua bahan buangan dan sampah mesti dibuang di dalam tong sampah.
  • Semua alas kaki mesti diatur ditempat yang disediakan diluar.
  • Murid-murid asrama adalah dilarang membawa dan menyimpan wang dan memakai alat kemas mahal di asrama. Pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab ke atas segala kehilangan yang berlaku.

Thursday, June 23, 2011

Tiada Bernyawa atau Cuma Dihukum?

Tangan aku masih lenguh-lenguh kerana menghabiskan tenaga memegang “hantu” yang merasuk Malisa malam tadi. Adakah tindakan murid-murid memanggil hantu melalui permainan “spirit-spirit” itu berbaloi? Hingga menyebabkan hantu itu menyerang Malisa yang sedang membaca buku di pusat sumber. Adakah berbaloi tindakan Chester dan Benjamin bermain di bawah pokok ara berhampiran sungai? Adakah berbaloi tindakan murid-murid tahun 6 membaling batu ke arah sarang tabuan belakang rumah Apok?

Yang pasti minggu ini merupakan minggu yang kritikal sebagai warden, kerana perlu menjatuhkan hukuman setimpal secara baik atau secara jahat. Ini kerana jika hukuman secara baik ia langsung tidak membawa kesan dan hukuman secara jahat guru akan dimasukkan ke dalam palang besi. Atau mungkin patut diberi pilihan kepada ibubapa mahukan anak tiada bernyawa atau cuma dihukum?.

Friday, May 27, 2011

Lagu Si Ulat Bulu

Monday, May 23, 2011

Nasib baik ada .......

Aku menjadi penjaga sekolah yang setia mengawal sekolah terutama dalam memastikan keselamatan murid. Guru Besar telah berpencen dan para pentadbir masing-masing tiada kerana berkursus dan pelbagai urusan yang mendesak. Begitu juga terdapat guru-guru yang berkursus di PPD Belaga, ia adalah lumrah setiap hujung bulan kerana masa yang sesuai dengan minggu gaji. Walaupun sekolah mempunyai banyak Pembantu Pengurusan Murid, dari petang semalam hingga pada artikel ini ditulis tiada kelibat mereka memantau murid.

Ini menyebabkan tikus menari-nari kerana ketiadaan kucing, nasib baiklah masih ada anjing lagi di sini tidaklah tikus berani menari walaupun anjing tidaklah memakan tikus. Namun semua itu tidak mudah kerana anjing itu banyak tuntutannya iaitu kerja-kerja pentadbiran seperti memasang mesin fotokopi, membaiki komputer riba, mengarang surat, membaiki meja, mengecat pusat sumber, mencantas pokok bunga, mengangkat kertas A4 dari pejabat PPD ke perahu dan mengangkat kertas A4 dari perahu ke pejabat sekolah.

Sunday, May 15, 2011

SK Long Segaham 2011


Dari kiri,
Belakang: En. Kalong, En. Andrew, En. Freddy, En. Baktiee,
En. Maswafi, En. Geluk dan En. Yahaya.
Berdiri: En. Awell, En. Bobby, Puan Luciana, Puan Elizabeth, Puan Shanty,
Cik Sati, Cik Mona, Puan Flora, En. Melvin, En. Firdaus.
Duduk: Cik Connie, Puan Domitilla, En. Josef, En. Medik,
En. Thomas, En. Hawing, Puan Nancy, Cik Doris.







Wednesday, May 11, 2011

Ucapan Ketua Murid Sempena Hari Guru 2011

Selamat sejahtera dan salam perpaduan,

Saya ucapkan kepada tuan Guru Besar …………………………, Penolong Kanan 1 ……………………………, Penolong Kanan HEM ………………………., Penolong Kanan Kokurikulum ……………………………., guru-guru, staf sokongan dan rakan-rakan sekalian.

Saya ingin merakamkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana menjemput saya mewakili murid-murid SK Long Segaham untuk memberikan sepatah dua kata sempena Hari Guru yang di raikan pada pagi yang mulia ini.

Bersyukur kepada Tuhan kerana pada tahun yang cemerlang ini, kita warga SK Long Segaham berpeluang lagi untuk menyambut Sambutan Hari Guru bersama-sama untuk meraikan jasa dan pengorbanan guru-guru yang bertungkus-lumus untuk menjadikan sekolah kita sebagai antara sekolah terbaik di daerah Belaga.

Sebelum meneruskan ucapan saya, dengarkan pantun ini

A-B-C dan alif ba ta
Satu dua tiga dan empat
Selalu cikgu ajar kita
Ditubi-tubi sampai dapat

Pantun tersebut menggambarkan kegigihan guru-guru mengajar kami yang serba kerkurangan di sini tanpa kenal penat dan lelah. Gurulah yang mengenalkan kami huruf A-Z dan angka 1 hingga 100. Mengajar kami mengenal suku kata hinggalah dapat membaca dan mengajar kami operasi-operasi matematik hingga kami dapat mengira.

Tanpa guru-guru mengajar kami, kami mungkin gagal dalam pelajaran, seterusnya dalam hidup. Kami amat terharu akan jasa dan pengorbanan guru-guru. Komitmen guru-guru amat tinggi dalam memastikan kecemerlangan kami hingga sanggup mengorbankan wang ringgit, masa dan tenaga dengan mengadakan kelas tambahan, kelas intensif dan pelbagai program untuk membimbing kami.

Selain dalam bidang pelajaran, guru juga berperanan membentuk peribadi mulia di kalangan kami. Supaya apabila kami cemerlang dalam bidang pelajaran kami juga cemerlang dalam akhlak kami.

Cuba fikirkan sejenak, adakah selama ini kita berbuat sesuatu untuk guru-guru kita? Adakah kita sentiasa mendengar nasihat mereka? Oleh itu saya menyeru kepada rakan sekalian sentiasa menghargai guru dan mengenang jasa mereka yang ibarat ibu bapa kita di sekolah. Setidak-tidaknya jadilah manusia yang berguna kepada bangsa dan negara pada masa hadapan sebagai tanda penghargaan kita kepada mereka.


Akhir sekali, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran, saya berdoa agar SK Long Segaham terus cemerlang dan lebih gagah menghadapi cabaran serta mencapai matlamat menjadi sekolah terbaik bukan sahaja peringkat daerah, tetapi peringkat negeri.

Semoga dengan keizinan Tuhan, guru-guru kita sentiasa diberkati, sihat dan sejahtera.

Sebelum saya mengundur diri, ini ada sebuah pantun daripada saya.

Lima enam tujuh lapan
Rajin belajar cepat maju
Bila dapat maju ke depan
Terima kasih banyak, Cikgu!

Saturday, April 16, 2011

170 daripada 218

Cuaca yang sangat baik hingga ke petang di mana suhu paling panas pada takat 36 darjah celcius. Hari yang cukup baik untuk pergi ke ladang oleh sebab itu ramai yang datang mengundi awal pagi dan sebenarnya pusat mengundi ditutup pada waktu pagi iaitu jam 11.30 pagi. Seramai 218 orang layak mengundi di sekolah aku yang melibatkan 2 buah rumah panjang iaitu Rumah Panjang Kejaman Lasah dan Rumah Panjang Long Mitik.

Alhamdulillah tiada berlaku kekecohan kerana mereka semuanya bersaudara walaupun berlainan ideologi politik. Seramai 170 daripada 218 orang yang membuang undi (77.98%) satu jumlah yang dikira baik kerana ramai yang berhijrah jauh dari Belaga. Daripada 170 undi, BN mendapat undi sebanyak 145 ia dikira cukup banyak mungkin kerana YB Liwan berjaya mengekalkan momenton kecemerlangannya yang agak nampak sebelum pilihanraya. Jika ada yang tidak berpuashati lebih kepada isu NCR, namun ia lebih merujuk kepada Ketua Menteri.

Friday, April 08, 2011

Tinggal 5 daripada 21

Itulah angka murid buta huruf yang masih tinggal di tahun 2, semua kaedah dan tenaga telah digunakan bagi mencapai matlamat tersebut. Januari tahun lepas hanya 4 murid daripada 21 sahaja yang boleh membaca, jumlah yang sangat menjadi mimpi ngeri kepada semua orang. Apatahlagi berada di kawasan buta huruf yang tertinggi di Malaysia. Rasanya seperti ada yang tidak kena pada 5 orang murid ini jika setelah 45 minggu tahun 2010 ditambah beberapa minggu hingga sekarang masih belum lancar huruf a hingga z!. Atau mungkin menggunakan kaedah huruf-huruf sebesar meja tulis murid yang aku gunakan tidak berkesan dan sesuai.

Friday, March 11, 2011

Thursday, February 10, 2011

Pusat Sumber 2011

jumlah buku bahasa melayu
seni kreatif tikus



keadaan asal bangunan
keadaan asal bangunan

tangga pusat sumber lama

Akhirnya setelah bertungkus-lumus aku (dengan bantuan beberapa rakan) berjaya membina sebuah pusat sumber dengan kos RM469.00 (duit gaji aku). Ini adalah azam bertulis yang pertama (membina pusat sumber) telah aku capai tahun ini, masih ada banyak lagi yang perlu aku buat untuk mencapai azam yang lain. Namun ia bukanlah seperti yang diharapkan kerana tiada buku yang mencukupi memenuhi pusat sumber. Buku bahasa melayu yang sangat sedikit berbanding dengan buku bahasa inggeris sangatlah menyedihkan itu tidak lagi melihat rak yang telah dicat semula masih ada kesan berlubang dimakan tikus.

Aku akan menghadiri kursus pada 28 Febuari 2011 berkenaan dengan pusat sumber dan NILAM (program membaca). Sudah tentu aku akan diberi pendedahan tentang cara-cara mengkatalog buku, mungkin aku sekali lagi akan dimarah oleh fasilitator kerana tiada kemudahan pusat sumber yang sempurna di sekolah dengan alasan aku tidak kreatif!. Ini pernah berlaku kepada aku pada tahun 2009 di Kapit dan 2010 di Belaga berkenaan kursus Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT). Aku dimarahi kerana tiada kemudahan makmal komputer di sekolah dan tidak kreatif untuk mencari jalan mengadakan makmal komputer!. Hampir tidak masuk akal untuk difikirkan!.

Tuesday, November 09, 2010

Membuat Padang 200 Meter

Umum tahu bahawa padang sekolah rendah kebanyakannya hanya berukuran 200 meter bersesuaian dengan fizikal murid juga sesuai dengan saiz sekolah. Sebelum memulakannya kita haruslah menyediakan beberapa peralatan yang sesuai iaitu:-

i. Tali rapia

ii. Pisau

iii. Kayu pancang

iv. Pita pengukur

v. Kotak/bata

vi. Cat sembur

vii. Kayu tajam/bebendul

viii. Minyak Hitam

ix. Span

x. Penyiram bunga

Pertama sekali ialah kita harus mencari sudut tepat (segiempat tepat) untuk sebuah padang. Cuba buat segiempat tepat berbentuk kotak kasut semaksimum mungkin. Caranya dengan memastikan tali selari dengan kotak (boleh digantikan dengan benda lain seperti bata), tali haruslah dipancang jauh dari kotak (untuk memudahkan proses menuang minyak).

Kedua bolehlah kita membuat lengkungan untuk empat lorong 200 meter di hujung kedua belah padang. Caranya mengukur jarak 20 meter di hujung padang lalu dibawa ke arah dalam, kemudian cari titik tengah antara garisan 20 meter tersebut (untuk padang balapan 400 meter jaraknya ialah 36.5 meter). Buat bebendul pada titik tengah tersebut ambil tali yang diikat pada kayu tajam dan mulakan menggariskan padang. Gunakan cat sembur untuk menanda lengkungan tersebut yang telah digaris tadi.

Jarak lorong yang sesuai adalah 1 meter, cara yang sama juga diperlukan untuk membuat lengkungan sebaliknya, kemudian ambil tali, tanda pada sisi padang sebanyak empat lorong, manakala untuk sisi yang berlawanan adalah 8 lorong (termasuk 4 balapan 100 meter). Bentuk padang dari atas adalah hampir menjadi huruf ‘a’ kecil dimana batang huruf ‘a’ kecil adalah balapan 100 meter, manakala bulatan huruf ‘a’ merujuk kepada balapan 200 meter.

Semasa menuang minyak hitam adalah baik dimulakan dengan kedua-dua lengkung 200 meter diikuti empat lorong 200 meter dan akhir sekali adalah lorong 100 meter. Ini untuk mengelakkan berlaku kesilapan, untuk garisan permulaan dan penamat warna berlainan mungkin juga membantu untuk mengelakkan kekeliruan.

Jika sekolah tidak mempunyai kereta penggelek boleh menggunakan kaedah menuang minyak hitam sepanjang garisan dan dengan menggunakan span yang diikat pada batang kayu gosok minyak hitam tadi secepat mungkin (berdua adalah ideal). Namun cara ini tidaklah digalakkan kerana menggunakan minyak hitam yang sangat banyak iaitu 5 tong berbanding 2 tong sahaja menggunakan kereta penggelek.