Showing posts with label Santai. Show all posts
Showing posts with label Santai. Show all posts

Sunday, April 13, 2014

Jalan-jalan ke Tanah Rata



Sudah 3 bulan aku bermastautin di Tanah Rata, Cameron Highlands. Aku sudah boleh mandi pagi tanpa pemanas air yang merupakan salah satu cara untuk membiasakan diri dengan suhu. Ia  sama seperti memasang penghawa dingin di subuh hari sewaktu memandu kereta ke Pos Menson untuk memastikan penglihatan jelas yang bila cermin kereta dihalangi oleh kabus. Dalam bahasa mudah suhu di sini akan menyebabkan anda terkial-kial mencairkan minyak masak yang membeku semasa hendak memasak sama keadaannya seperti di Puncak Yong Belar, Yong Yang ataupun Korbu.




Terdapat 3 jalan untuk ke sini iaitu melalui Tapah-Ringlet-Tanah Rata,  Simpang Pulai-Kampung Raja-Brinchang-Tanah Rata ataupun Sg. Koyan-Pos Betau-Lembah Bertam-Ringlet-Tanah Rata. Setiap jalan mempunyai kelebihannya tersendiri, jika melalui Tapah kita terpaksa melalui lebih kurang 300 ratus lengkuk dan kadangkala tanah runtuh. Pemanduan yang selamat adalah sekitar 40-60 km sejam dan mengambil masa 1jam setengah perjalanan dengan jarak cuma lebih kurang 60km.



Melalui Simpang Pulai sangat menenangkan fikiran cuma sekali-sekala terdapat lengkuk dan roadblock JPJ, yang penting melalui jalan ini tidak memerlukan enjin berkerja ke tahap maksimum seperti jalan Tapah. Jarak perjalanan lebih kurang 100km dan mengambil masa 1jam setengah untuk sampai ke destinasi. Jalan Sg. Koyan ke Tanah Rata sangatla selesa kerana ia lebar dan mempunyai laluan memotong namun aku tidak tahu kenapa ia belum diwartakan lagi, namun tidak perlu risau melalui jalan ini selamat namun perlu berhati-hati kerana terdapat 2 kawasan tanah runtuh yang sedang dibaik pulih dan dipertengahan jalan terdapat selekoh yang sangat kecil melalui 2 buah bukit. Perjalanan cuma mengambil masa 1jam setengah dengan jarak lebih kurang 100km.



Jika kita mempunyai masalah berkaitan kereta haruslah diselesaikan di Ringlet kerana kawasan ini mempunyai bengkel kereta, membaiki penghawa dingin/radiator dan bengkel tayar yang boleh dipercayai kebolehannya tetapi harga sedikit mahal dari kawasan di bawah. Terdapat 2 stesen minyak (Shell dan Petronas) di Ringlet dan Brinchang dimana kita seharusnya isi minyak kerana tiada setesen minyak di Tanah Rata.




Untuk penginapan adalah dicadangkan menginap di kawasan Kg. Taman Sedia sesuai dengan suasana kemelayuannya atau boleh menginap di Smoke House (berhampiran Kg. Taman Sedia) jika mahu merasai suasana inggeris. Kebiasaannya harga yang ditawarkan sekitar RM250-RM300 pada waktu puncak dan lebih murah pada hari-hari biasa. Jika kumpulan yang besar adalah dicadangkan berkhemah di kawasan yang disediakan oleh Jabatan Hutan (berhampiran Kg. Taman Sedia) dimana kos untuk seorang RM5.00 sahaja, cuma perlu memasang khemah sendiri dan duit lebih boleh dibelanjakan untuk membeli barangan di sini. Kemudahan tandas dan surau lengkap di sini diindahkan lagi dengan laluan sungai kecil yang bersih di tengah-tengah tapak perkhemahan serta dikelilingi pokok pain. Terdapat juga banyak apartment dan hotel yang menyediakan kemudahan tempat tinggal beserta sarapan pagi di sini.




Untuk yang gemar berjoging laluan yang terbaik ialah mengelilingi kawasan  Kg. Taman Sedia dan kawasan Kelab Golf sejauh 7 km ataupun jika mahu berada di atas puncak bolehlah melanggar aturan singgah di takungan air berhampiran laluan masuk Kg. Taman Sedia ataupun di takungan air berhampiran bangunan terbengkalai. Jika mahu melihat keseluruhan Tanah Rata bolehlah ke takungan air di Hospital Tanah Rata. Secara keseluruhannya tempat berjoging (kawasan yang sesuai untuk berjoging) di sini masih belum mampu menandingi kesukaran Bukit  Balong di Selangau mahupun Bukit Besi di Sg. Besi.






Berjoging di sini akan menyebabkan masalah kesukaran bernafas dan otot jantung dan paru-paru bekerja lebih masa berbanding di kawasan rendah kerana kekuarangan oksigen. Kandungan air dalam udara tidak baik untuk pengidap lelah dan altitude sickness adalah perkara biasa kepada yang suka beraktiviti. Mungkin kerana itu sukar hendak melihat pemuda-pemuda di sini bermain bola di padang. Untuk yang lebih ekstrem boleh mendaki Gunung Berembun melalui trek Parit Falls yang terletak berhampiran Kg. Taman Sedia, dengar cerita perjalanan mendaki adalah selama 2 jam. Jika mahu lebih ekstrem boleh terus ke Gunung Irau dan Gunung Brinchang dimana laluan masuknya terletak di Pekan Brinchang, 5km dari Kg. Taman Sedia.




Di Kg. Taman Sedia juga terdapat ladang strawberi dan menjual barangan makanan halal yang dibuat daripada strawberi (terdapat banyak ladang strawberi sepanjang Brinchang ke Tanah Rata). Jika di ladang kita boleh memetik buah sambil membeli buah strawberi namun jika mahu menjimatkan masa boleh singgah terus ke kawasan jualan tepi jalan kira-kira 5 km dari Pekan Brinchang dari arah Tanah Rata. Tapak jualan ini terletak di sebelah kanan jalan, dimana ia menjual pelbagai jenis sayur, buah, teh dan pelbagai barangan cenderamata seperi baju, bantal dan rantai kunci. Untuk makluman sebenarnya banyak tempat seperti ini bermula dari Tringkap sehingga ke Ringlet dan harganya lebih kurang sama.




Saya lebih suka membeli barangan cenderamata di kawasan Tanah Rata kerana kecukupan tempat meletak kereta. Jika membeli buah strawberi dan sayur, saya membeli pada Nyonya (peniaga kecil) kedai kayu di Batu 33 (terletak di sebelah kiri kira-kira 7km dari Tanah Rata dan terdapat tangki air dan bangunan kecil berwarna putih beserta tempat meletak kereta sebelum sampai ke Habu). Saya mendapat diskaun 20% atau separuh harga daripada biasa sebab selalu membeli di situ setiap hari jumaat. Strawberi di sini dijual pada harga RM5-RM10, jagung mutiara RM20.00 untuk 7 tongkol manakala sayur  RM10.00 untuk 8 bungkus. Untuk minta kurang harga adalah hampir mustahil tapi jika minta ditambahkan barang boleh dirunding. Jika mahu membeli barangan cenderamata, bunga dan pokok  boleh singgah di Fong Huat Nursery berhampiran tempat tersebut.


Jika mahu membeli teh saya akan ke Pasar Raya Cameron terletak berhampiran Restoren Halal 24 jam Mamu Ismail. Di sini pelbagai jenis teh ada dijual daripada yang murah hingga ke mahal. Pasar raya ini merupakan satu-satunya tempat yang menjual 10 jenis perisa teh dalam satu peket berharga RM7.00 yang sesuai dijadikan buah tangan. Di ladang teh (terdapat banyak ladang teh) ia cuma menjual 3 perasa sebanyak 5 paket dengan harga RM10.00, untuk mengabadikan gambar sangat sesuai di ladang teh namun untuk membeli barang dan minum di sini tidaklah berbaloi.Elok juga singgah membeli yacon sejenis ubi tanah tinggi (berasal dari Tibet) yang boleh terus dimakan dimana bentuknya sama seperti ubi keledek dan rasanya seperti buah lai. Setakat hari ini saya cuma terjumpa buah ini di sebuah kedai runcit berhampiran kedai gambar Fuji Filem dan dijual RM6.00 sekilo.






Homestay di Kg. Taman Sedia, Tanah Rata
  • Azman (atas bukit)          017-2873912
  •  Aszi        (atas bukit)       017-2725107
  • Fauziz    (atas bukit)         017-2725107
  • Homsetay 1                     019-5403474
  • Homestay 2                     05-4911958







Chalet di Kg. Taman Sedia, Tanah Rata


  • Al –Mashoor                      019-5760669
  •  Anggerik                              019-6414857
  •  D. Desaku                            017-5530806
  •  Lily                                          012-5552822
  •  MZ                                         019-5480129
  •  Marina                                  013-6430602
  •  Melati                                   019-5480129
  •  Neeza                                   012-2677287

Towing Ringlet (24 jam) 019-5475545/010-5138130/054958220



Thursday, August 29, 2013

Ski Resort, Oak Valley, Korea

Tuesday, December 11, 2012

Jalan-jalan Korea (5 Disember-10 Disember 2012)

5 Disember 2012-Bermodalkan RM8,588 aku dan isteri menjelajah negara ke 14 terkaya di dunia iaitu Korea selama 4 hari menggunakan khidmat sebuah agensi pelancongan. Kami menggunakan kapal terbang Vietnam Airlines kerana harga yang murah namun terpaksa transit selama 2 jam di Saigon sebelum tiba di Incheon, Seoul pada awal pagi 6 Disember 2012 dengan suhu mencecah -5 celcius. 
Setelah memakai lengkap pakaian musim sejuk di Lapangan Terbang Incheon kami terus bertolak ke Gapyeong untuk melawat Petite France atau The Little Prince, yang terletak di kawasan perkampungan (luar bandar). Ia terkenal sebagai lokasi pengambaran drama yang menjadi pilihan pengarah seperti “Beethoven Virus”, “Summer Scent”, “Secret Garden” dan “Running Man”. Secara peribadi tempat ini tidaklah menarik untuk dilawati kerana musim salji telah menutup 16 buah bangunan yang dibina ala-ala Perancis.
Kemudian kami ke Nami Island (luar bandar) yang amat sinonim dengan drama Winter Sonata, di sini suasana sangat menarik terutama untuk mengambil gambar-gambar sebagai kenangan terutama pada pohon-pohon yang tersusun secara “symmetrical”. Kami ke sini menaiki feri sambil melihat suasana tasik dan gunung yang sangat cantik. Menggunakan tripod dan self timer apabila mengambil gambar di sini adalah digalakkan kerana susah hendak mendapat gambar yang berkualiti jika mengharapkan orang lain membantu kita menangkap gambar. Korean pancake (lempeng tepung pulut) di sini merupakan makanan yang tidak dapat aku lupakan kesedapannya manakala jagung rebus pula adalah sebaliknya.

Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Ski Resort di Oak Valley (luar bandar), dalam perjalanan kami singgah di sebuah restoran berasaskan ikan dan kimchi untuk makan dan singgah di beberapa kedai menjual dan menyewa pakaian musim sejuk. Kami bermalam di Ski Resort dan di sini terdapat cabaran berkomunikasi menggunakan telefon untuk mendapatkan khidmat pekerja hotel apabila kami memerlukan tuala dan pembaikan elektrik. Mereka ini baik orangnya cuma mereka mengelak untuk bercakap kerana tidak dapat berbahasa inggeris. Cara yang terbaik ialah cakap sepatah-sepatah dan kurangkan perkataan ramah yang tidak perlu, sebagai contoh jika mahukan tuala:- “room one zero eight (108), two towel.”

7 Disember 2012 cuaca semakin dingin hingga -8 celcius, kami amat bernasib baik kerana hujan salji turun di saat kami merencana untuk bermain ski. Tiada masalah kesejukan kerana baju sejuk yang disewa (termasuk google) dapat mengekalkan haba dengan baik dengan kos won 67,000.00 (+-RM180).  Inilah tujuan utama kami datang ke sini kerana mahu bermain ski dan terjatuh di atas salji manakala yang lain-lain acara adalah bonus kepada kami.

Setelah “check out” dari ski resort kami bergerak ke Lotte World di bandar Seoul, dan kami singgah di food court sambil menguji kebolehan kami mencari makanan halal. Aku dan isteri membeli sotong goreng dan kentang goreng kerana itulah sahajalah makanan halal yang ada dikalangan berpuluh-puluh gerai yang ada. Lotte World iaitu taman tema terbesar di Korea yang terbahagi kepada dua; taman tertutup dan taman terbuka. Lotte World menjadi lokasi utama drama “Stairway To Heaven” namun secara peribadi tempat ini tidaklah menarik sangat kerana di Malaysia sudah mempunyai taman tema yang sehebat ini.
Kemudian perjalanan kami diteruskan dengan melihat keindahan kota ini dari kapal pelayaran menyusuri Han River (Han River Cruising)yang sering muncul dalam drama-drama Korea seperti “Secret Garden”, “Lie To Me”, dan “Boys Over Flowers”. Namun permandangannya tidaklah berapa indah seperti di Nami Island kerana hanya melihat hutan batu Seoul namun air sungainya yang jernih harus dijadikan teladan buat kita.
Kemudian kami makan makanan di restoran India muslim di Itaewon Street sebelum check in di Capitol Hotel yang terletak 15 minit berjalan kaki dari Itaewon Street. Makanan di restoran di sini sangat pedas rempah jauh kurang sedap berbanding di Malaysia adalah lebih baik makan makanan Korea yang halal jauh lebih sedap. Tiada masalah berkomunikasi dengan kakitangan Capitol Hotel kerana semuanya dapat berbahasa Inggeris dengan baik. Walaupun hari sudah malam dan suhu semakin jatuh hingga -9 celcius aku dan isteri terpaksa keluar mencari adapter soket 2 pin di merata kedai Iteawon  kerana tiada soket 3 pin di mana-mana bangunan di Korea untuk mengecas bateri bateri kamera dan telefon bimbit.


8 Disember 2012- Suhu semakin menurun hingga -11 celcius banyak bangunan sudah diliputi sajli dan menyusahkan pergerakan kenderaan, kelihatan di awal pagi semua pekerja bertungkus-lumus membersihkan kawasan bangunan masing-masing. Kami minum pagi di Iteawon Street lagi dengan menu India Muslim di kedai lain sama seperti semalam rasa seperti tidak mampu lagi perut menerima makanan berempah walaupun boleh menghangatkan badan. 



Selepas makan dengan cepat sempat aku dan isteri singgah di sebuah kedai pakaian membeli baju jaket dengan harga yang murah berbanding di tempat lain. Kemudian kami ke War Memorial Museum yang terletak berhampiran untuk menyelami suka duka perang Korea. Kemudian kami ke Korea Broadcasting System Exhibition Hall untuk melihat bagaimana sesebuah stesen televisyen berfungsi. Kemudian kami ke Kimchi School untuk belajar menyediakan Kim Chi (makan terkenal Korea yang terdiri daripada sayur). Kemudian kami makan tengahari di sebuah lagi restoran India Muslim di Itaewon Street hingga perut tidak berapa menerimanya lagi dan sempat juga aku singgah di Seoul International Mosque untuk bersolat .



Kemudian kami di bawa melawat tempat pembuatan Amethyst (sejenis batu permata) dan penghasilan ginseng Korea. Kami ditawarkan dengan harga yang tidak masuk akal untuk dua benda ini yang kononnya baik untuk kesihatan padahal tiada satupun orang Korea yang datang ke sini untuk membeli belah!.

Setelah menghabiskan banyak masa melayan promoter Amethyst dan ginseng korea kami ke Coex Aquarium sama hebat seperti Aquaria KLCC. Kemudian kami makan malam di Itaewon seperti biasa tekak aku tidak dapat menjamah masakan India Muslim berbanding masakan Korea.


9 Disember 2012- Suhu sudah mencecah -13 celcius hingga menyebabkan isteri aku demam teruk sejak malam tadi. Aku mengambil keputusan untuk berehat hingga isteri aku pulih manakala para rombongan meneruskan lawatan ke puncak Seoul N Tower Observatory yang menjadi lokasi pengambaran drama “Boys Over Flowers”, “Princess Hours” & “Loyal Family” dan Teddy Bear Museum. Setelah isteri aku pulih aku mengikut semula rombongan ke Nandaemum Market untuk membeli cenderamata, menonton Nanta Show theater iaitu teater muzikal yang sangat energatik dan komedi dan akhir sekali singgah di Myung-Dong Street untuk membeli-belah membeli pakaian. 

10 Disember 2012- Suhu sudah kembali stabil kepada -8 celcius. Kami semua bergerak awal pagi ke Lapangan Terbang Incheon dan transit di Saigon. Kami semua mengambil peluang menukar matawang WON kepada ringgit kerana dirasakan sangat berbaloi. Korea adalah kawasan salji yang paling murah untuk dilawati namun ada beberapa tempat yang dilawati tidak berapa outstanding seperti yang diharapkan namun itu tidaklah merosakkan percutian kami ke Korea.



Senarai semak

·         Pouch bag kalis air
·         Beg sandang
·         But kalis air
·         Kamera, bateri dan memori kad.
·         Botol mineral
·         Sarung Tangan
·         Selendang
·         Baby wipes
·         Duit
·         Pakaian haba/ Thermal pants base layer
·         Pakaian sejuk tengah/mid layer
·         Pakaian sejuk luar yang kalis air dan angin




Trivia
·         Ramen-Mee korea semuanya tidak halal.
·         Perkataan sotong dalam bahasa Korea bermaksud “bullshit”.
·         Susah hendak mencari orang Korea yang boroi apatahlagi yang gemuk kerana tabiat mereka suka makan sayur.
·         Jika berminat dengan sesuatu barang dan ingin membelinya boleh membuat tawaran tidak perlu mendengar cakap Tour Leader mengatakan tempat itu mahal dan tempat ini murah.
·         Tiada air paip tandas di Korea.
·         Barang makanan akan diperiksa secara teliti di lapangan terbang.
·         Harga barangan berbeza mengikut wilayah.
·         Semua makanan yang dijual menggunakan minyak sayur.
·         Barang yang kita tertinggal di mana-mana bangunan mendapat peluang kembali adalah 90%.
·         Adalah baik menukar matawang RM ke WON di Malaysia dan menukar WON ke RM di Korea.
·         LRT boleh didapati di luar bandar di sini.
Setengah kedai tidak menyediakan gula dalam minuman tetapi madu.

Harga barang
Sewa peralatan ski      Won 67,000     (RM180.00)
Kopi panas                   WON 5000      (RM15.00)
Jagung rebus               WON 1000      (RM3.00)
Korean Pancake          WON 2000      (RM6.00)
Selendang                   WON23,000    (RM65.00)
Sarung Tangan            WON15,000    (RM45.00)
Sotong goreng             WON1,800      (RM6.00)
Jus Oren                      WON1,800      (RM6.00)
Tali pinggang              WON20,000    (RM60.00)