Showing posts with label Pendapat. Show all posts
Showing posts with label Pendapat. Show all posts

Tuesday, December 11, 2012

Pemakaian Baju Sejuk dimusim salji

Musim sejuk bermakna kita mungkin akan menghadapi cuaca sejuk kebiasaannya dari 5 celcius hingga negatif 25 celcius. Kita tidak dapat memakai baju T biasa yang kita pakai di negara khatulistiwa kerana ia tidak mengekalkan haba, tidak kalis air dan tidak kalis angin. Secara kebiasaanya kita harus memakai 3 lapisan pakaian iaitu pakaian haba, lapis tengah dan pakaian luar.
Pakaian haba (inner thermal  wear) selalunya berwarna hitam atau kuning adalah pakaian yang wajib dibeli. Terdapat pelbagai jenis pakaian haba iaitu jenis bulu (kambing), fiber dan nano.  Kebiasaannya baju dan seluar dijual berasingan untuk jenis bulu dan nano manakala jenis fiber dijual sekali. Jenis bulu harga baju dan seluar mencecah hingga RM400, manakala jenis fiber cuma RM200 dan jenis nano cuma RM60 tetapi malangnya yang paling murah ini cuma kita boleh perolehi di Korea. Seeloknya cari baju dan seluar yang “fit” dengan badan supaya ia dapat mengekalkan haba dan cepat kering jika basah.
Pakaian lapis tengah sebenarnya penting apabila kita berada di dalam bangunan. Adalah tidak sesuai memakai pakaian luar (3 lapis) kerana akan rasa agak panas (kebanyakan bangunan mempunyai alat pemanas). Memadai membeli baju T tebal lengan panjang atau blaus yang murah, jika ke kedai pakaian musim sejuk harga yang ditawarkan boleh mencecah hingga RM250.
Pakaian luar pula mestilah kalis air dan angin kerana hujan salji dan angin boleh membuatkan saat melancong anda menjadi saat yang paling menyeksakan. Terdapat 2 jenis baju sejuk yang popular iaitu jenis polyester (nipis) dan jenis bulu (itik atau angsa) (tebal). Untuk jenis bulu biasanya terdapat campuran bulu kaki (down) dan bulu pelepah (feather), ia biasanya ditulis dibahagian dalam baju. Memadai jika memakai seluar jeans tebal kerana bahagian peha hingga kaki tidak berasa sejuk sangat seperti bahagian badan (seluar haba wajib dipakai).

Aksesori

Kasut yang baik adalah kasut jenis high cut dan kalis air seperti kasut mendaki gunung, bahagian dalam kasut salji kebiasaannya diperbuat daripada polyester. Boleh juga memakai kasut sukan bertapak tebal (sneakers) namun jika berlaku hujan salji lupakan sahaja niat murni itu.


Memakai sarung tangan dan stoking yang diperbuat daripada bulu (kambing) amatlah membantu begitu juga memakai selendang pada leher. Ada baiknya membeli sarung tangan yang kalis air jika mahu bermain salji.








Saturday, June 30, 2012

Kita Serumpun Tapi Tak Sama


Selama berhari-hari di Indonesia, keangkuhan Malaysia (seperti yang digambarkan oleh media elektronik Indonesia) mendaftarkan Tarian Tor-Tor dan Gendang Sembilan menjadi warisan negara menjadi tajuk utama berita. Tunjuk perasaan membaling telur di kedutaan Malaysia dan sepanduk mengajak berperang kembali lagi seperti sebelum ini apabila Malaysia mendaftarkan batik sebagai warisan Negara. Dimana silapnya? Mungkin tanggal 17 Mac 1824 semasa perjanjian Inggeris-Belanda menjadi penyebabnya  kerana memisahkan Malaysia-Indonesia.

Bahasa, keris, batik, baju kurung, angklung dan makanan antara perkara yang dikongsi oleh bangsa serumpun ini. Tetapi persoalannya sejauh manakah ia dekat dihati masing-masing atau pengamalannya? Jika diamati betul-betul orang di Malaysia lebih menghayati perkara-perkara tersebut. Jika mengambil daripada persoalan bahasa Bahasa Melayu agak terbatas kata pinjaman bahasa asing kecuali ia sangat diperlukan tetapi tidak untuk Bahasa Indonesia.

Sama juga untuk industri kreatif penghibur di Malaysia mengamalkan penggunaan Bahasa Melayu walaupun berlaku penyimpangan tatabahasa (istilah lain ialah kebebasan penyair). Ini kerana penyimpangan tatabahasa dibenarkan ketika berkarya namun kenapa penghibur Indonesia menggunakan Bahasa Melayu Riau ketika menyanyi? Kenapa tidak menggunakan Bahasa Indonesia? [Riau asalnya adalah dalam Kesultanan Johor sebelum tanggal 17 Mac 1824.]

Tidak dinafikan keris memang asalnya berasal dari Majapahit dimana hulu kerisnya berbentuk patung-patung hindu, namun setelah asimilasi hulunya telah berubah menjadi kepala burung seperti sekarang.  Menurut Winstedt keris dengan orang Melayu hampir tidak dapat dipisahkan, jika tidak memakainya seperti bertelanjang rasanya. Itulah keluhan orang Melayu pada zaman British apabila pemakaiannya diharamkan oleh penjajah British. Semasa pertarungan Tamingsari-Hang Tuah kedua-dua pahlawan tersebut menggunakan keris semasa berlawan, ini menunjukkan keris sudah merupakan warisan orang Melayu pada masa itu. Ini diperkukuhkan dengan pemberian keris Tamingsari kepada Hang Tuah sebagai tanda cenderamata daripada Raja Majapahit.

Daripada soal pakaian (batik dan baju kurung) kerajaan Malaysia sudah menerapkan pakaian tradisi sejak di bangku sekolah lagi hingga ke alam pekerjaan.  Indonesia? Buktinya ada pada sinetron mereka. Ini juga terjadi pada alat muzik angklung, alat muzik ini dijadikan salah satu alat dalam pembelajaran dan Pengajaran muzik di sekolah Malaysia berbanding di Indonesia.

Terdapat juga usaha oleh usahawan  Indonesia untuk mematenkan perkataan kopitiam kononnya ia hanya untuk orang Indonesia dan tidak layak usahawan Malaysia menggunakan perkataan tersebut sebagai tanda perniagaan. Jika diikutkan tuntutan mereka ini tiada lagi nama warung Nasi Lemak Kak Kiah atau Nasi Ayam Pak Tam wujud dimuka bumi Malaysia!.

Monday, January 23, 2012

Produk 3 dalam 1

Satio
J108i

J108i ini adalah telefon bimbit biasa yang dihadiahkan oleh isteriku sempena 'kematian' telefon bimbit Satio (Sony Ericsson Symbian) aku. Harganya 6 kali lebih murah namun tidaklah menyakitkan hati seperti telefon Symbian kerana baterinya tahan lama dan tiada masalah kekunci. Kerana terikutkan nafsu aku membelinya (Satio) tanpa berfikir panjang dan akhirnya memakan diri apabila "touch screen" rosak sebanyak 2 kali dan bateri yang sudah ditukar sebanyak 3 kali. Satu-satu yang boleh diharap tentang Satio ialah kualiti kameranya (12 mp) yang harus diberi 5 bintang. Dalam penelitian aku produk ICT berasaskan 3 dalam 1 walaupun apa jenamanya tetap akan membawa masalah, adalah lebih baik membeli produk-produk asas secara berasingan.

Saturday, October 15, 2011

Adakah Mitos Kemewahan Air Sudah Berakhir?

Sangat berasa seronok sehari dua ini dapat memakan ikan kelah yang boleh dikatakan “emas” di kawasan sungai. Namun adakah perasaan seronok ini akan bersifat berterusan untuk hari-hari yang mendatang? Sudah dua minggu aku terpaksa menggunakan air keruh untuk memasak kerana empangan air graviti sudah dicemari oleh lumpur akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak pengurusan Kem Balak Teleng.

Rasanya sia-sia sahaja pengorbanan penduduk kampung (termasuk aku) menarik paip poli sejauh 1 jam ke atas bukit selama 9 hari tahun lepas untuk membina empangan air graviti. Mereka (Kem Balak Teleng) telah menjarah kawasan tadahan air yang telah ditanda cat merah oleh penduduk kampung tanpa rasa bersalah, dan tanpa rasa bersalah juga mereka menidakkan perbuatan mereka. Mungkin benarlah kata Dr. Hamirdin Ithnin (dulu saintis di Universiti Malaya) bahawa mitos kemewahan air di Malaysia sudah berakhir!.

Thursday, June 23, 2011

Tiada Bernyawa atau Cuma Dihukum?

Tangan aku masih lenguh-lenguh kerana menghabiskan tenaga memegang “hantu” yang merasuk Malisa malam tadi. Adakah tindakan murid-murid memanggil hantu melalui permainan “spirit-spirit” itu berbaloi? Hingga menyebabkan hantu itu menyerang Malisa yang sedang membaca buku di pusat sumber. Adakah berbaloi tindakan Chester dan Benjamin bermain di bawah pokok ara berhampiran sungai? Adakah berbaloi tindakan murid-murid tahun 6 membaling batu ke arah sarang tabuan belakang rumah Apok?

Yang pasti minggu ini merupakan minggu yang kritikal sebagai warden, kerana perlu menjatuhkan hukuman setimpal secara baik atau secara jahat. Ini kerana jika hukuman secara baik ia langsung tidak membawa kesan dan hukuman secara jahat guru akan dimasukkan ke dalam palang besi. Atau mungkin patut diberi pilihan kepada ibubapa mahukan anak tiada bernyawa atau cuma dihukum?.

Saturday, February 05, 2011

MenJAGA Sekolah!

Sebutan JAGA di atas harus dibaca secara baku jika ingin menikmati tulisan aku ini. Sudah masuk tahun ketiga aku ditugaskan menjadi JAGA sekolah untuk menJAGA sekolah selama satu minggu. Tiada banyak yang dapat aku lakukan waktu menJAGA sekolah selain daripada memancing, mencari pucuk paku, mencari rebung dan jika bernasib baik dapat bermain dengan rusa selain daripada rutin harian dengan ASTRO. Aku masih tidak faham kenapa perlunya guru-guru dikuarantin selama seminggu di sekolah cuma untuk melakukan tugas-tugas di atas. Jika tidak silap aku waktu cuti guru sebanyak 2/3 cuma boleh diambil dengan tujuan pentadbiran atapun P&P.

Sebagai sebuah sekolah yang mengikut kerangka Kementerian Pelajaran ia mempunyai struktur organisasi yang sangat lengkap bermula daripada pihak pentadbir hinggakan kepada penjaga jenerator dan pengawal keselamatan (penJAGA sekolah). Jika sudah ada penJAGA sekolah menjaga sekolah maka atas dasar apakah aku dikerah menJAGA sekolah? Apakah makna seorang guru cuma melihat papan putih, kerusi dan meja di depannya tanpa pelanggan (murid)?. Adakah pihak Nazir akan melakukan spot check sewaktu cuti sedang berlangsung?

Friday, February 04, 2011

Latihan di Altitud Tinggi

Kompleks Sukan Ranau
(sumber:pemudaranau.blogspot.com)

Stadium Hernando Siles Suazo, (ketinggian stadium ini 3000 meter dari aras laut) Bolivia adalah lambang bahawa latihan di altitud tinggi membawa banyak faedah. Ini terbukti apabila mereka (Bolivia) berjaya mengalahkan pasukan gergasi seperti Argentina (6-1) dan Brazil (2-1) di sini. Ini menyebabkan beberapa pasukan seperti Jepun, Korea dan England merancang pelbagai strategi membiasakan diri dengan tekanan udara di kawasan altitud tinggi sempena pertandingan Piala Dunia Bola Sepak 2010. Begitu juga dengan pelumba basikal negara seperti Josiah Ng dan Azizul Hasni Awang pelumba basikal negara pun sudah melakukannya di atas arahan jurulatih John Beasley dan sudah nampak hasilnya.

Secara umumnya apa yang dikatakan latihan altitud tinggi adalah berlatih dalam situasi tekanan tinggi dan udara nipis yang boleh menyebabkan sesak nafas, demam, sakit kepala dan kejang otot. Contoh kompleks sukan yang terbaik adalah di Ranau, Sabah yang terletak pada ketinggian 750 meter dari aras laut. Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) telah menyelaraskan latihan di sini sebagai persiapan di Sukan Sea di Palembang, namun agak mengecewakan apabila menerima respon negatif dari jurulatih dan atlit serta beberapa pihak berkaitan sukan yang mengacau lagi latihan ini.

Alasan tiada bekalan elektrik, air dan peralatan serta penginapan oleh mereka bukanlah perkara utama, kerana mereka harus mengutamakan latihan di kawasan altitud tinggi. Aku tidak rasa bekalan air dan elektrik diperlukan semasa berlatih, cuma peralatan sukan mungkin menjadi kekangan namun ia masih boleh diatasi dengan meminjam dahulu dari pihak-pihak yang berkenaan. Berkenaan dengan asrama yang tidak disediakan, macamlah tiada hotel di Ranau untuk menginap!. Macamlah mereka akan tinggal sepanjang hari di kawasan kompleks sukan tersebut, sudah tentu mereka akan pergi ke pekan Ranau untuk bersantai. Mungkin kalau mereka dihantar ke Amerika Syarikat ataupun Beijing baru mereka mahu tanpa banyak soal, maklumlah luar negaralah katakan!.

Thursday, December 30, 2010

Cuti kilat, kesannya...

PM telah mengistiharkan cuti umum pada esok hari sempena kemenangan pasukan bolasepak Malaysia, ia dibuat tanpa perancangan yang rapi kerana notis yang diberi cuma dua hari (secara ideal seminggu). Ini telah menyebabkan Pusat Perubatan Universiti Malaya mengeluarkan notis pembatalan semua temujanji dengan pesakitnya di TV 1 dan menjadual semula temujanji tersebut itupun jika pesakit menghubungi mereka.

Itu baru sedikit daripada senario di jabatan kerajaan, jika disektor swasta budget overtime tahunan untuk cuti umum cuma 14 hari mungkin sekarang sudah menjadi 15 hari termasuk Hari Malaysia. Tambahan cuti mengejut ini akan menyebabkan kerugian yang amat besar kepada sektor industri yang masih banyak menggunakan tenaga buruh akibat cuti yang tidak dijangka. Menutup operasi bukanlah pilihan jika industri terpaksa mengejar target yang di minta oleh pelanggan mereka.

Monday, December 13, 2010

Jawapan Dari Rapid KL

Re: Sekadar pengumuman ringkas
From:
"suggest@rapidkl.com.my"
View Contact
To:mas

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih keatas maklum balas yang di berikan dan kami amat menghargai nya. Sila rujuk kepada jawapan kami (yang di warnakan biru) terhadap maklum balas yang di berikan seperti di bawah:


Contact Centre Team
Contact Centre Dept
Group Communication
Sykt Prasarana Negara Berhad (Prasarana)
Tel: 03-7885 2585 Helpline
Tel: 03-7650 7788 General line
Fax:03- 7625 6667



From: mas
To: suggest@rapidkl.com.my
Date: 11-12-10 11:14 AM
Subject: Sekadar pengumuman ringkas



Kelewatan yang telah berlaku adalah di sebabkan oleh salah sebuah tren mengalami masalah teknikal di stesen Bandar Tasek Selatan dan terpaksa di alihkan ke landasan lain . Kejadian tersebut berlaku jam 1702 pada 8 Disember 2010. Walau bagaimanapun, kami berjaya mengatasi masalah tersebut dan perkhidmatan LRT laluan Ampang kembali seperti biasa pada jam 1842 hari yang sama. Kami ingin memohon maaf keatas kesulitan yang di alaimi oleh para pengguna LRT.


Untuk pengetahuan, adalah tanggung jawab pemandu LRT untuk membuat pengumuman dalam tren sekiranya tren di tahan lama di landasan sementara menunggu isyarat dari Pusat Kawalan Kami amat kesal terhadap perkara ini dan akan membuat siasatan yang sewajarnya. Kami akan memastikan agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi.. Semua panggilan ke Helpline adalah di rakamkan bagi tujuan untuk mempertingkatan mutu perkhidmatan petugas Helpline.



Kami bersetuju dengan komen saudara bahawa pengumuman dalam tren adalah perlu untuk makluman para pengguna LRT dalam tren. Kami akan memastikan semua pemandu LRT mematuhi peraturan ini sewajarnya.


Disclaimer note : Confidential information may be contained in this e-mail and any files transmitted with it ('Message').If you are not the addressee indicated in this Message (or responsible for delivery of this Message to such person), you are hereby notified that any dissemination, distribution, printing or copying of this Message or any part thereof is strictly prohibited. In such a case, you should delete this Message immediately and advise the sender by return e-mail. Opinions, conclusions and other information in this Message that do not relate to the official business of RAPIDKL shall be understood as neither given nor endorsed by RAPIDKL.

Saturday, December 11, 2010

Surat Buat Rapid KL

Sekadar pengumuman ringkas

From: mas

To: suggest@rapidkl.com.my

Menaiki tren Star LRT dari Bukit Jalil ke Masjid Jamek pada 8 Disember 2010 mengambil masa 1 jam 15 minit, suatu masa yang tidak masuk akal. Kalau saya minta jawapan dari pihak tuan sudah semestinya klise “kesilapan teknikal” yang keluar walaupun yang mencipta teknikal yang silap itu manusia sendiri. Maka saya anggap saya sudah mendapat jawapannya, persoalannya kenapa penumpang di dalam tren tersebut yang tergantung-gantung di atas landasan tanpa pengumuman?.

Saya yang menaiki tren 1244 tergantung sebanyak dua kali di atas landasan dari arah Sri Petaling, pertama 500 meter selepas stesen Bukit Jalil, kedua 300 meter sebelum stesen Bandar Tasik Selatan. Saya telah menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan pada jam 6.01 petang dan pada jam 6.20 petang supaya membuat pengumuman di dalam tren kerana penumpang sangat gelisah tergantung atas landasan. Namun dua kali diugut oleh robot tuan bahawa perbualan saya akan dirakam, ee.. ee.. takutnya!

Susah sangatkah untuk membuat pengumuman supaya penumpang bertenang, bayangkan apa akan berlaku jika penumpang yang panik menarik “pull trigger” dan keluar dari landasan atau lebih bagus lagi mereka menghubungi pihak bomba untuk menyelamatkan mereka kerana terperangkap selama lebih 20 minit selama dua kali. Saya rasa pihak tuan harus membaiki kesalahan-kesalahan kecil sebelum membaiki “kesilapan teknikal” tersebut, dan pengumuman tersebut percuma!.

Maswafi Bin Abd Samat

Tuesday, August 31, 2010

Tuntutan: Kerajaan VS Swasta

Pada jumaat lepas aku melakukan kemaskini pada buku bank aku, alangkah terkejutnya bila mendapati durian runtuh yang masuk ke dalam akaun aku pada 12 Ogos 2010. Puas aku memerah otak dalam memastikan dari mana datangnya wang tersebut kerana tiada notis daripada bahagian kewangan. Setelah menghubungi beberapa rakan guru sahlah bahawa ia merupakan tuntutan kursus di Sibu.

Aku memang tidak pernah ambil pusing sangat pasal tuntutan di jabatan kerajaan kerana sudah bosan menunggu. Bayangkan kursus (bukan anjuran Jabatan Pelajaran) yang berlangsung pada 15 jun 2009 tuntutannya cuma diterima setelah setahun dua bulan, satu jangka masa yang tidak masuk akal.

Semasa aku bekerja di sektor swasta prosedurnya sangat mudah, apabila tuntutan diterima dalam masa 3 hari ia harus diproses oleh bahagian pentadbiran ditentukan sama ada lulus, lulus bersyarat (dipulangkan untuk penambahbaikan) atau reject. Jika tiada masalah bos bahagian pentadbiran akan meluluskan tuntutan tersebut kemudian ia akan dihantar ke bahagian kewangan untuk tujuan pembayaran.

Dalam masa 14 hari bahagian kewangan akan menyiapkan segala dokumen (cash voucher atau cek) untuk tujuan pembayaran. Ini bermakna dalam tempoh 21 hingga 30 hari semua tuntutan dapat dilangsaikan bukannya 420 hari! jika di sektor swasta mungkin aku sudah dibuang kerja dan dimaki tiap-tiap hari oleh kakitangan yang membuat tuntutan.

Sunday, July 18, 2010

Asal Usul Kucing

Mengikut sumber-sumber Israiliyyat ia bermula semasa 3000 s.m sewaktu nabi Nuh bersama 83 pengikut yang beriman belayar menggunakan bahtera yang diperbuat daripada 4,340 papan dan 50 buah layar. Kapal tersebut mempunyai 7 tingkat di mana tingkat 1 untuk menyimpan barang pusaka nabi Adam, Hawa, nabi Syith dan nabi Idris. Tingkat ke 2 tempat nabi Nuh dan pengikutnya, tingkat ke 3 dikumpulkan segala jenis burung, tingkat ke 4 pelbagai jenis binatang jinak (berpasangan), tingkat ke 5 binatang liar (berpasangan), tingkat ke 6 ditempatkan segala jenis rumput-rumpai dan tingkat teratas (7) diletakkan benih-benih pokok dan biji-bijian.

Disebabkan pelayaran yang sangat lama iaitu selama 7 bulan akibat banjir besar, timbul masalah najis-najis yang tidak terkawal di dalam bahtera nabi Nuh. Nabi Nuh meminta pertolongan malaikat Jibrail untuk menyelesaikan masalah tersebut, dengan itu nabi Nuh diarahkan untuk menggosok belalai gajah untuk menyelesaikan masalah tersebut. Apabila baginda melakukan perkara tersebut keluarlah beberapa ekor babi dari bebalai gajah yang akhirnya memakan segala najis di dalam bahtera tersebut.

Perbuatan itu dilihat oleh salah seorang pengikutnya (syaitan yang menyamar), lalu melakukan perkara yang serupa tetapi menggosok belakang babi maka dengan itu keluarlah beberapa ekor tikus yang memakan dan merosakkan dinding bahtera. Sekali lagi malaikat Jibrail membantu baginda menyelesaikan masalah tersebut, kali ini baginda diarahkan untuk menggosok belakang harimau dengan serta merta keluarlah beberapa ekor kucing yang akhirnya memakan tikus-tikus tersebut.

Bagaimana kucing tersebut sampai ke Tanah Melayu?

Mengikut sumber Sejarah Melayu (karangan Tun Sri Lanang Bendahara Kesultanan Johor abad ke 16) ia bermula apabila jumlah tikus yang sangat banyak di istana Melaka membuatkan keadaan tidak terkawal. Keadaan tikus di istana sangat berkurangan apabila saudagar dari Parsi (Iran) menghadiahkan Sultan Melaka beberapa ekor kucing. Kucing-kucing ini telah memakan tikus-tikus yang bermaharajalela kerana sifatnya memang dicipta untuk memakan tikus sejak 5 ribu tahun lalu. Kucing di istana Melaka inilah merupakan nenek moyang segala kucing yang ada di Tanah Melayu sekarang ini.

*Pengiraan Kalendar sebelum kelahiran Nabi Isa adalah disebut dengan panggilan ‘sebelum Masihi’. Perkataan ‘Masihi’ di sini adalah sempena gelaran al-Masih bagi Nabi Isa atau ringkasannya BC yang bermaksud ‘before Chirst’. Bagi tahun-tahun sebelum Masihi, kiraannya adalah terbalik berbanding zaman selepas Masihi. Selepas Masihi ditulis dengan singkatan AD yang berasal daripada perkataan Latin Anno Domini yang bermaksud tahun Masihi.

Monday, July 05, 2010

Apabila terlampau ke hadapan!

Windows 7 itulah Operating System yang terbaru dipasarkan di Malaysia (sebenarnya sudah lama di AS) bagi menggantikan Windows Vista (hanya dipasarkan di negara membangun) yang sangat berat untuk komputer yang hanya mempunyai 2GB RAM. Sebagai orang yang bergiat cergas dalam perniagaan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) secara skala kecil bersama Azam (kadar keuntungan cukup untuk menampung tambang aku pulang ke Perak), aku tidak ketinggalan menggunakan applikasi tersebut dalam komputer riba aku. Itupun setelah 3 (tiga) hari 3 (tiga) malam aku yang memiliki Ijazah dalam Pengajian Melayu melakukan format berkali-kali walaupun masa sebenar tidak sampai 2 (dua) jam sahaja bagi orang yang mahir seperti Azam.
-
Segalanya berjalan dengan baik kerana Windows 7 dapat menyesuaikan diri dengan semua Freeware yang berada di laman web. Masalah mula timbul apabila ia tidak dapat menyesuaikan diri dengan peranti output seperti pencetak dan pengimbas, tambahan pula peranti berjenama tersebut tidak melakukan kemaskini terhadap driver tersebut di laman web mereka. Window 7 juga tidak package seperti Windows Vista kerana perisian seperti Windows Movie Maker tidak disediakan.
-
Untuk menambah kekalutan, aku telah bertungkus lumus menyediakan alat bantu mengajar dalam bentuk softcopy selama satu hari semalam, malangnya hari ini ia tidak dapat digunakan kerana elektrik dicatu mulai hari ini selama 10 jam sehari (satu perkara yang tidak patut dilakukan jika sesebuah kerajaan mahu kekal memerintah). Ini membuatkan aku terpaksa menggunakan kaedah alat bantu mengajar dalam bentuk hardcopy seperti 15 tahun yang lampau. Percaya atau tidak walaupun kita rasa kita sudah mendahului yang lain dalam sistem applikasi di komputer kita, apabila kita bangun pagi esok sudah ada applikasi baru menggantikannya, persoalannya adakah kita dapat menggunakannya?


Sunday, April 25, 2010

Transtormasi Teknologi Maklumat Komunikasi adakah kita bersedia?

Sudah seminggu jam Tag Heuer chap ayam tidak melekat di tangan kanan aku, terasa janggal sangat kerana tidak merujuk kepadanya setiap kali bangun pagi sejak tiga tahun lalu. Masih penuh lagi dengan air keruh Batang Rajang pada cermin dan jarumnya, rasanya ia sudah menemui ajalnya minggu lepas. Penggunaan internet agak meluas di jabatan kerajaan merupakan satu transformasi yang sangat bagus dalam mengekalkan momentum sebuah negara maju.
-
Dari soal mencari pekerjaan hingga kepada mengemaskini data peribadi sudahpun menggunakan talian internet. Begitu juga di peringkat sekolah secara beransur-ansur semua laporan daripada soal perancangan, pentadbiran dan analisis harus dimuat turun di laman sesawang yang telah ditentukan supaya terus dipantau oleh pihak berwajib.
-
Persoalannya adakah kita sudah bersedia dari soal prasarana terutama di kawasan pedalaman?. Memang di sekolah aku mempunyai e-school net (satelit sebesar meja pejabat) namun ia tidak berfungsi walaupun ia lebih cantik daripada kuali memasak rendang di rumah Makcik Mah.
-
Lebih menyakitkan hati bila kita menghadiri bengkel berkaitan Teknologi Maklumat Komunikasi (TMK) pihak berkenaan mengugut akan memantau penggunaan dalam memastikan TMK dijalankan. Macamlah mereka boleh datang ke sekolah aku menaiki kereta, silap-silap sebelum sampai sudah basah di jelatong (jeti kecil).
-
Pihak berkenaan dengan penuh rasa tanggungjawab bertanyakan masalah yang dihadapi oleh sekolah, bila kita memberi maklum balas bahawa tiada komputer di sekolah kita pula yang dimarah. Mereka membalas dengan mengatakan guru harus ‘kreatif’ dalam penggunaan TMK semasa sesi pembelajaran dan pengajaran.
-
Aku sebagai guru Pendidikan Jasmani tiada masalah dengan istilah ‘kreatif’ kerana terdapat pelbagai benda yang boleh dijadikan alat untuk bersukan, lagipun padang sekolah kami tidak pernah rata kerana ia diratakan menggunakan cangkul!.
-
Tetapi bagaimana hendak mengajar TMK kepada 15 pelajar dalam satu kelas menggunakan satu komputer riba kepunyaan sendiri? Hampir mustahil untuk dilakukan tetapi itu yang aku lakukan sejak setahun lepas, kadang-kadang aku mendoakan supaya pegawai tersebut dihantar bertugas di sini membantu aku, barulah dia tahu tinggi rendahnya langit di sini!.

Sunday, May 17, 2009

Satu Impian Yang Besar



Bakun satu projek yang penuh dengan kontroversi, ia satu impian besar Dr. Mahathir pada 15 tahun yang lalu dan masih terdapat beberapa tuntutan yang masih lagi di mahkamah. Akhirnya ia berjaya juga berdiri megah sebagai empangan yang tertinggi di dunia, stesen janakuasa kedua terbesar di dunia dan empangan ketiga terlebar di dunia.
-
Begitu bersyukurnya aku melihat ia dari dekat semalam dan alangkah indahnya jika impian besar Dr. Mahathir menjadikan Malaysia sebagai satu Negara Bangsa yang merupakan intipati Wawasan 2020 menjadi kenyataan seperti Empangan Bakun. Dalam bahasa yang lebih mudah impian Dr. Mahathir mahukan rakyat Malaysia merujuk diri mereka sebagai satu bangsa Malaysia tanpa merujuk kepada kaum masing-masing bila berbicara namun tidaklah hinggga menghilangkan ciri-ciri kaum mereka.
-
Tema Hari Guru pada tahun ini iaitu “Guru Pembina Negara Bangsa” harus dilihat secara mendalam bukannya hanya sekadar mengisi takwim Kementerian Pelajaran Malaysia, Pejabat Pelajaran mahupun sekolah. Tugas guru-guru sekolah rendah adalah yang paling mencabar kerana generasi pertama harus dibentuk pada peringkat ini, sebagai contoh jika guru Pendidikan Jasmani hanya tahu mengambil sebiji bola di stor kemudian meniup wisel permulaan dan mencampakkan bola di tengah gelanggang seterusnya minum di kantin sementara menunggu waktu tamat maka itulah hasil sukan bola sepak Malaysia.
-
Pernah usaha murni merealisasikan Sekolah Wawasan ditentang habis-habisan oleh banyak pihak dengan alasan akan menghilangkan ciri-ciri kaum mereka. Aku tidak nampak bagaimana perkongsian satu padang permainan yang akan mencampurkan murid dari pelbagai kaum akan merosakkan anak-anak mereka. Sebagai hasil tentangan mereka kita dapat melihat hasil semasa perhimpunan HINDRAF rata-rata mereka memegang poster “Queen Elizabeth” yang pernah menjajah Malaysia dan Mahatma Gandhi merujuk kepada perjuangan mereka bukannya Tun Sambathan.
-
Banyak usaha murni dibuat di peringkat pengajian tinggi bagi menjadikan Malaysia sebagai satu Negara Bangsa tetapi adakah ia berjaya? Walaupun di peringkat pengajian tinggi ia dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana tiada tentangan hasilnya tidaklah amat memuaskan seperti yang ditulis di atas kertas. Bagaimana seorang pelajar dapat tiba-tiba bercerita tentang perpaduan yang tulin jika cuma bercampur dengan rakan-rakan kaum lain dalam tempoh tiga tahun. Perpaduan harus dicipta dari peringkat yang paling rendah mereka di sekolah supaya mereka mengetahui apa mengetahui budaya kaum lain secara amali bukannya secara teori.
-
Satu Bangsa Malaysia sememangnya hampir mustahil untuk dicapai namun ia boleh dilaksanakan jika semua pihak memberikan kerjasama dan faham matlamat perjuangan mereka.
-
Selamat Hari Guru!
-
"I cannot teach anybody anything, I can only make them think." - Socrates

Thursday, November 13, 2008

Kontrak Sosial

Jika seorang guru masuk ke kelas yang pertama kali di ajarnya sudah menjadi kebiasaan ia akan mengambil masa beberapa minit untuk menetapkan beberapa perjanjian (kontrak sosial) dengan murid-muridnya yang kadang-kala merupakan peneguhan kepada peraturan bertulis yang sedia ada. Jika melihat dari sudut sastera sejarah rumpun melayu berlaku kontrak sosial apabila peristiwa waadat antara Demang Lebar Daun (rakyat) dan Sang Sapurba (pemerintah) seperti berikut:-

"…hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun." Baiklah, Tuanku. Tetapi jika anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patikpun mengubahkanlah."

Natijah daripada perlanggaran waadat tersebut empayar Melaka telah lenyap hingga sekarang. Secara mudah kontrak sosial dapat di definisikan sebagai perjanjian bertulis atau tidak bertulis lebih daripada dua pihak, jika berlaku perlanggaran terhadap perjanjian tersebut maka keadaan akan menjadi tidak harmoni.

Selepas kekuasaan parti UMNO merosot selepas PRU 12 yang lepas terdapat beberapa pihak yang cuba mencabar perlembagaan Malaysia di mana di dalamnya tertulis jelas kontrak sosial yang telah dicapai sejak zaman pra kemerdekaan. Bermula dengan tuntutan tidak masuk akal HINDRAF, Gerakan, MCA dengan di sokong oleh orang Melayu sendiri membuatkan aku tertanya-tanya adakah sistem pendidikan yang ada sekarang sudah tidak mencukupi menjelaskan perkara tersebut.

Dimana silapnya pengajaran dan pembelajaran matapelajaran sejarah tidak dapat merungkai kehebatan orang melayu memberikan kerakyatan kepada orang Cina dan India secara "jus soli" dengan syarat mereka tidak akan mengungkit empat perkara iaitu:-

i. Agama Islam sebagai agama persekutuan (Perkara 3)
ii. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi (Perkara 152)
iii. Hak-hak keistimewaan orang Melayu (Perkara 153)
iv. dan Majlis Raja-Raja. (Perkara 38/181)

Terdapat banyak bantahan terhadap agama Islam seperti seruan azan yang tidak sampai lima minit, tuntutan supaya agama lain juga diberikan peruntukan, mencabar undang-undang syariah, mengadakan forum mengkaji kedudukan Islam serta bermacam karenah yang didiamkan sahaja. Kalau difikir secara logik sudah namanya agama persekutuan sudah tentulah ia mendominasi segala keperluan yang ada, namun mereka harus bersyukur kerana mereka amat bebas mengamalkan segala ajaran agama mereka tanpa gangguan cuma tidak dibenarkan untuk penyebarannya.

Orang Melayu dengan Islam tidak mungkin dipisahkan jika meminjam kata-kata Prof. Hamka iaitu “orang Minangkabau tanpa Islam hilang “minang”nya jadi kerbaulah ia dan orang Melayu tanpa Islam hilang “me”nya, jadi layulah dia. Untuk memenuhi keperluan tersebut pelbagai agensi berteraskan agama persekutuan ditubuhkan memastikan orang Melayu tidak layu dan dalam masa yang tidak pernah menindas agama lain.

Lim Guan Eng yang baru memerintah Pulau Mutiara sudah menunjukkan belangnya mencampur-adukkan lain-lain bahasa dalam papan tanda jalan mungkin meniru kepimpinan Theresa Kok yang melakukan perkara yang sama di Bukit Bintang. Mungkin mereka meniru “stail” mentor mereka di Singapura yang menjahamkan bahasa Melayu walaupun sehingga sekarang ia masih merupakan bahasa kebangsaan di situ. Seingat aku sejarah susur galur bahasa Melayu (austranesia) hanya meliputi sekitar kepulauan Borneo, kepulauan Indonesia, tanah Melayu dan Indocina. Sekaligus menunjukkan orang Cina dan India adalah kaum pendatang berbanding dengan orang Melayu yang merupakan penutur asal kawasan Tanah Melayu dan kawasan serumpun.

Di dalam sistem pendidikan pun tidak kurang hebatnya dengan sesuka hatinya cendiakawan yang ada menukar bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia dalam kurikulum walaupun hingga setakat ini perlembagaan Perkara 152 mengenai status bahasa Melayu tidak pernah berubah. Bila bercerita tentang soal hak-hak keistimewaan orang Melayu, keadaan menjadi lebih parah. Dari soal perjawatan di sektor awam, kuota biasiswa, pertempatan di IPTA, permit dan lesen serta perlaksanaan DEB. Bayangkan jika kita pergi ke jabatan kerajaan yang didominasi oleh orang Cina dan India di kaunter, sudah tentu tidak nampak suasana Melayunya tanah air ini! Lagipun kerajaan tidak pernah melarang iklan perjawatan di dada akhbar yang hanya di khususkan kepada orang Cina dengan meletakkan simbolik ayat “boleh berbahasa Mandarin” sebagai syaratnya.

Orang Cina yang dilihat masih tidak berpuas hati dengan pemberian biasiswa 65-45 kepada orang Melayu dan kaum lain dikalutkan lagi dengan kenyataan Khalid Ibrahim yang mencadangkan pembukaan UITM kepada kaum lain. Bagi Anwar Ibrahim mahupun Khalid Ibrahim kenyataan ini menggambarkan seolah-olah merekalah yang paling adil di planet bumi ini dengan dasar liberal mereka demi cita-cita mereka. Tanpa Perkara 153 aku sendiri mungkin tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti kerana merit STPM aku yang rendah ketika itu. Apalah yang boleh diharapkan dengan budak kampung seperti aku dengan suasana pembelajaran yang tidak kondusif dan kekangan kewangan jika hendak dibandingkan dengan Anwar Ibrahim yang mempunyai segala-galanya itupun kedengaran keputusannya cuma “cukup makan”.

Jika melihat soal-soal kenapa tender-tender kerajaan diberi kepada orang Melayu sebenarnya orang Cina masih lagi mengaut keuntungan kerana kontraktor Melayu masih lagi terpaksa membeli bekalan mentah dari orang Cina yang mengawal kegiatan perniagaan di sini. Juga mereka masih lagi mendahului orang Melayu walaupun DEB sudah lama dilancarkan. Sebenarnya maksud keadilan di Malaysia mahupun dalam Islam bukan bermaksud pembahagian sama rata sebenarnya, ia lebih kepada bagaimana pembahagian mengikut keperluan supaya semua pihak tidak tertindas.

Mungkin membuat analogi perhubungan adik-beradik lebih mudah difahami oleh rakyat Malaysia, katakanlah ibubapa kita membantu adik-beradik kita dalam soal kewangan kerana ketidakstabilan ekonominya, adakah kita akan marah perbuatan itu walhal dalam masa yang sama kita adalah orang kaya. Jika kita marah maknanya ada sesuatu yang tidak kena dengan kita kerana sepatutnya kita turut membantu adik-beradik kita.

Dalam soal Majlis Raja-Raja kita seolah-olah melupakan peranan mereka, jika dilihat dalam soal struktur pemerintahan negara Yang Di Pertuan Agong adalah bertindak sebagai Ketua Negara manakala untuk negeri ketuanya adalah sultan. Hanya Majlis Raja-Raja yang boleh melantik Yang Di Pertuan Agong bukannya parti-parti politik yang memerintah. Sekarang ini berlaku pula provokasi di media massa oleh parti-parti politik terhadap sultan-sultan tentang siapa yang patut dilantik sebagai Ketua Menteri di negeri mereka, ini jelas berlaku di negeri Perak, Perlis dan Terengganu. Bagi aku setiap rakyat harus taat setia kepada sultan mereka kerana negeri ini kepunyaan mereka dan mereka berhak menentukan siapakah yang patut mentadbir negeri mereka selagi mereka tidak berlaku zalim kepada kita seperti waadat yang telah dijalankan.

Sebenarnya jika orang Cina dan India mempertikaikan empat perkara di atas mereka seolah-olah mempertikaikan soal kerakyatan mereka sendiri sebagaimana kontrak sosial yang telah dibuat. Mereka harus bersyukur dengan kerakyatan yang diperolehi mereka mempunyai segalanya di sini berbanding dengan orang Melayu walaupun mempunyai perlembagaan yang melindungi mereka tetapi masih jauh ketinggalan.

Sebelum aku berhenti menulis eloklah aku memberikan sedikit teks “Zion Protocol” (10) mungkin ia memberikan idea apa yang sedang berlaku sekarang.

“…kita mesti mengeruhkan hubungan di antara rakyat dan pemerintah di semua negara dengan menimbulkan perbalahan, kebencian, pertentangan, iri hati, bahkan dengan menyebabkan seksaan, kebuluran, penyakit, kemiskinan supaya kaum-kaum goyim (manusia babi) tidak nampak jalan lain melainkan mencari perlindungan di bawah pemerintahan kita yang mempunyai kedaulatan atas kewangan dan sekalian yang lain. Tetapi kalau kita berikan negara-negara di dunia ini berpeluang berfikir dan membuat keputusan, maka saat yang kita nanti-nantikan sudah tentu tidak akan tiba”.

Saturday, October 04, 2008

Mak Tam menemui tuhan pada Syawal kedua, maka berakhirlah penderitaannya menjadi gila kerana diceraikan oleh suaminya berpuluh tahun yang lalu. Semasa kecil aku selalu memikirkan apa yang ada dalam kepalanya hingga ia membawa segala macam benda pada basikalnya dan selalu mengenakan “make-up” hingga merah bibirnya hingga kadang-kadang takut juga aku mahu mendekatinya yang mempunyai pertalian darah dengan aku walaupun dia tidak pernah menggangu aku. Jika berbicara soal cinta, begitulah hebatnya kesan-kesan kepada seseorang yang menanggung sarat cinta mereka malah mungkin yang ada membunuh diri malah mungkin ada yang menjadi lebih baik seperti aku sendiri. Dulu aku sendiri sering memberi tanggapan bahawa bunga bukan sekuntum dan kumbang bukan seekor, masalahnya bunga yang kelihatan sama kelopaknya tidak sama besar dan ekor kumbang yang kelihatan sama panjang pun tidak sama panjang.

Thursday, June 12, 2008

100 hari di Perak

Pagi ini di kedai Mak Teh, kedai Brothers mahupun di pasar daripada 10 orang akan ada seorang yang memakai baju batik. Ini bukanlah kerana mereka bekerja kerajaan seperti aku tetapi sekadar meraikan apa yang termaktub dalam manifesto kerajaan Perak yang baru bahawa pilihan raya untuk memilih wakil ketua setiap kampung berlaku di mukim Sungkai. Ustaz Rosli lulusan Pondok Pattani yang cukup tinggi ilmu agama mahupun duniawi akan bertanding dengan Kak Ina yang sangat cemerlang dalam urusan pentadbiran di kampung ini. Bagi aku kedua-duanya mempunyai sama markah untuk dinilai, cuma aku sangat kecewa kerana kerajaan baru yang dipilih oleh rakyat masih dibayangi oleh parti Keris dalam memerintah mungkin kerana manifesto parti mata satu sangat sinonim dengan parti keris.
-
Kesemua yang bertanding adalah dari golongan parti bulan dan mata satu di mana konon-kononnya demokrasi dilaksanakan secara adil di sini, namun sebagai rakyat yang bertanggungjawab aku terpaksa juga memilih salah seorang daripada mereka walaupun aku mendokong parti keris. Begitulah manusia bila berkuasa akan menggunakan kuasanya untuk menentukan definisi “keadilan” mengikut kehendak mereka atau apa sahaja perkataan yang ada di dalam kamus. Di NTV7 telah ditunjukkan dengan megah bahawa parti roket akan berjuang habis-habisan melaksanakan manifesto mereka meminta kerajaan negeri memberikan geran kepada tanah pertanian, aku tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku kerana baru tanah TOL sekarang pun kita hendak lalu di sisi pun dikejar anjing inikan pula tanah geran, silap-silap disondol oleh babi.
-
Aku rasa sekarang semua orang tahu bahawa kemungkinan semua kampung-kampung baru (yang dibina zaman darurat) akan diberikan tanah geran cuma kami semua buat-buat tidak nampak kerana malas sudah unttuk berfikir soal negara yang agak kucar-kacir. Aku rasa lambat pula menanti bulan September ini menunggu mantan TPM mengambil alih Malaysia kerana konon-kononnya ia dapat menurunkan harga minyak kalau boleh biarlah ia berlaku hari ini. Mungkin mengambil kata tokoh akademik Indonesia bahawa penyingkiran TPM sewaktu usahanya meminjam dengan IMF adalah tepat jika tidak ekonomi Malaysia tidak akan pulih seperti Indonesia hingga dikatakan kiamat, hidup kembali, kiamat hidup kembali ekonomi Indonesia tidak akan pulih.

Monday, March 10, 2008

Kerana dacing tidak kuat atau ….

Bangun pagi pada hari ini serinya sangat berlainan di sini kerana ia bukan lagi di bawah pemerintahan dacing seperti sebelumnya cuma yang tidak berlainan ialah pokok Sesungkai masih tumbuh melata di sungai tempat puteri buih terapung dimana bermulanya keturunan sultan menunjukkan masih ada daulatnya di negeri ini. Yang paling kecewa ialah mantan menteri besar hingga tidak mahu memberi apa-apa komen kepada media dan masih mengurung diri di kediamannya, mungkin hari ini beliau terpaksa berpangkalan ke Pengkalan Hulu.
-
Di kedai Mak Teh, pejabat takaful, di pasar dan kedai gunting rambut Abang Lyas hampir semua orang masih menyumpah dacing walaupun sudah kalah seolah-olah roket dan bulan sudah terbukti pemerintahan mereka di bumi bertuah ini. Digambarkan seolah-olah dacing langsung tidak berguna sedikitpun walhal sudah banyak yang mereka terima walaupun tidak sehebat khazanah negara yang diterima oleh menantu pemimpin utama Semenanjung Emas dan Borneo. Isu-isu ini menenggelamkan berita kematian Mak Diah yang dijemput oleh Yang Maha Esa pada petang pengundian menunjukkan bahawa manusia kurang bercerita tentang nilai-nilai kemanusiaan bila bercerita tentang takhta.
-
Mantan menteri besar pernah menyuarakan isi hatinya hampir sedekad yang lalu kepada persatuan belia tentang kerisauannya tentang perangai ADUN dacing yang jarang melihat kawasan sendiri. Luahan beliau ada benarnya apabila rata-rata ADUN tidak tinggal di tempat sendiri tetapi tinggal di teratak mewah sama ada di Kuala Lumpur atau paling kurang di Ipoh yang bernilai jutaaan ringgit. Beliau juga pernah menyarankan supaya setiap ADUN keris bersolat jumaat di tempat sendiri yang merupakan salah satu kempen awal namun ia tidak pernah dilakukan kecuali dirinya sendiri, kerana melalui teorinya jika setiap ADUN betul-betul "menjelajah" setiap pelusuk masjid tidak sampai setahun sudah "khatam" semuanya.
-
Sekarang pelbagai teori yang timbul di atas kuasa rakyat semalam seperti dacing tidak kuat, pakatan pembangkang sudah semakin kuat, pembangkang menggunakan isu-isu perkauman dan yang paling kerap keluar dari mulut orang dacing ialah rakyat belum cukup memahami isu kenaikan harga barang.
-
Sampai sekarang aku masih belum dapat melihat pembangkang sudah semakin kuat kerana bulan, roket dan mata satu tidak pernah bersatu hati terutama bila melibatkan siapa yang harus menjadi menteri besar seperti yang berlaku sekarang. Kerana seperti biasa mata satu kalau boleh akan melantik dirinya ketua walaupun baru setahun jagung dan jumlah kerusi yang amat sedikit kerana konon-kononnya mereka mewakili semua kaum di Semenanjung Emas dan Borneo, lagipun perlembagaannya tidak jauh beza dengan keris termasuklah dengan warisan perangainya, jika penasihatnya masuk semula ke keris alamat menjadi dajal mata satulah jawabnya parti ini.
-
Manakala bulan yang berpusat di Serambi Mekah mungkin akan syahid jika penunggu Gua Musang berjaya menjadi pemimpin utama di Semenanjung Emas dan Borneo, yang sememangnya masih menyimpan hasrat tersebut sehingga sekarang betapa menggambarkan kesukuan yang sukar dipadam. Roket walaupun menjadi dominan di sini bukanlah bermakna orang kampung aku benar-benar menyokong mereka walaupun memangkah mereka, ini kerana konsep "Malaysian, Malaysian" masih menebal dalam sanubari mereka hingga mungkin meminggirkan hak peribumi, kerana kami tidak pernah lupa sejarah Temasek yang terpadam daripada peta Semenanjung Emas.
-
Dalam soal isu-isu perkauman yang kononnya dibangkitkan oleh roket dan bulan ia sebenarnya palsu belaka ini dapat dilihat dahulu hanya kawasan komposisi kaum cina yang dimenangi oleh roket, namun senario sekarang amat berbeza kerana kawasan tradisional pemerintahan dacing yang mempunyai komposisi campuran melayu, cina dan india sudah berpindah kepada roket. Itupun mujur sahaja roket tidak "mentalkinkan" terus dacing di tempat yang komposisinya terdiri daripada kaum melayu, ia cuma dapat dilakukan oleh bulan.
-
Aku merasakan rakyat rata-rata memahami bahawa kenaikan harga barang memang ada asasnya cuma bila melihat pembaziran yang dilakukan oleh keris dan sekutunya,membawa kesimpulan sebenarnya dacing yang tidak pernah memahami nurani rakyat dan mendengar keluhan rakyat. Bila mantan menteri besar datang ke Dewan Merdeka, Tapah dengan menaiki Proton Perdana V6 sempena kunjungan rasmi, semua ADUN sibuk menukar kereta mewah Mercedes dan BMW mereka yang di telah parkir kepada kereta proton yang barangkali cuma digunakan oleh orang gaji mereka hingga menunjukkan bahawa mereka juga terkesan dengan kenaikan harga barang.
-
Sekarang sudah seolah menjadi kudis apabila ada rakyat yang yang cuba menegur bangsawan keris seperti soal kristianisasi dan jom heboh, orang itu akan dilanyak habis-habisan hingga tinggal mayat bernyawa, mungkin hanya dengan memangkah pakatan roket, bulan dan mata satu suara mereka akan didengar dengan jelas, aku berharap semoga dacing cuba belajar menjadi pendengar yang baik selepas ini.
-
Aku berfikiran positif bahawa roket dan bulan tidak akan bersifat "racist" dalam memimpin negeri aku yang tercinta kerana kebanyakan mereka lahir daripada generasi terpelajar yang mengamalkan falsafah pendidikan yang satu. Bagi aku kenapa perlu bersedih dengan hujan dan ribut petir yang melanda kerana mungkin tuhan mahu memberi pelangi kepada kita!.