Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Monday, December 14, 2009

Hirisan-hirisan Hati

“Sorry Johan, last in first out”, balas Carol. Johan sudah tidak mampu merayu lagi. Lututnya dirasakan begitu lemah langsung tidak ada daya untuknya berdiri., bulan Syawal yang masih belum tamat tidak memberi nasib yang baik untuk kerjayanya. “Johan, you listen to me ok”.! Carol dengan lembut menyambung. “You are the best, I’m sure you can get job from another company. Here is a one month compensation salary cheque” sambil Carol menolak sampul surat berwarna putih berlogo syarikat yang mengandungi cek tersebut. Johan membatu memandang Carol, lalu mengambil sampul surat yang mengandungi cek tersebut lalu pergi dari pejabat tersebut dengan langkah yang longlai.
-
Carol, itulah nama yang tidak akan dilupakan sepanjang perjalanan kariernya, perempuan itu telah sedaya upaya memberitahunya secara yang paling sopan tentang pemberhentian kerjanya. Patutkah dia menyalahkan Carol selaku Pengurus Sumber Manusia itu? Keadaan ekonomi yang tidak menentu membuatkan syarikat tiada pilihan melainkan mengurangkan pekerja sebanyak 30%, sebelum ini kawan sekerjanya Zahrin sudah menjadi mangsa menggunakan kaedah last in, first out.
-
II
-
“Mungkin migrain kau berpunca kau ada masalah dengan mata agaknya,” kata Dr. Sahar sambil matanya merenung Johan dengan bermaksud memberi isyarat meminta jawapan daripada Johan. Johan yang faham dengan isayarat tersebut memberikan jawapan yang diminta, “saya mempunyai masalah yang sangat berat sekarang ini doktor”. Putus cinta? tanya Dr. Sahar sambil tersennyum.
-
“Ha..haa…” Johan tergelak kecil, “betul tapi ada lagi, saya baru dibuang kerja!”, sambut Johan. “Tapi saya tidak memikirkannya sangat kerana mahu berehat sahaja sekarang ini, lagipun sakit ini sebelum pelbagai masalah ini datang menimpa saya, rungut Johan. “Ohh! Saya simpati, macam inilah kau bawa referral letter ini kepada pakar mata dan lakukan ujian mata, mereka tahu apa yang patut dibuat”, Dr. Sahar memberikan cadangan. Johan mengangguk tanda bersetuju.
-
Johan tidak berlengah ke Hospital Mata Tun Hussien Onn untuk melakukan ujian, namun keadaan lobi hospital tidak membantu Johan yang dalam keadaan resah kerana dirujuk ke situ. Kelihatan begitu ramai pesakit mata di situ, ada yang berbalut matanya, ada anak kecil yang menangis dalam kendongan ibu dan ramai yang kelihatan seperti Johan yang mahu mengadakan ujian mata.
-
Setelah melalui tiga siri ujian mata seperti yang disuruh oleh Dr. Ravi, Johan dipanggil semula ke dalam biliknya. “Encik Johan kami telah mengenal pasti punca penyakit migrain kamu”, Dr. Ravi tenang memulakan bicara. Johan mendengar dengan penuh minat apa yang terkeluar dari mulut Dr. Ravi. “Jika kamu lihat pada keputusan mata kiri kamu kelihatan terdapat lebihan cahaya yang masuk akibat kerosakan pada urat saraf pada belakang retina mata.” sambil Dr. Ravi menunjukkan keputusan kepada Johan.
-
Johan melihat keputusan ujian itu tapi masih termangu-mangu kerana tidak berada faham apa yang berlaku. “Begini Encik Johan secara mudah bila berlaku lebihan cahaya yang tidak diperlukan itu akan menyebabkan penyakit migrain”. Dr. Ravi menambah. “Kita cadangkan Encik Johan supaya mengelakkan supaya terdedah kepada matahari ataupun memakai cermin mata yang dapat menghalang sinaran matahari terus ke mata”. Dr. Ravi berhenti sejenak menanti reaksi dari Johan namun tiada apa-apa yang hendak ditanyakan oleh Johan.
-
“Sorry to say Encik Johan, saya terpaksa memberitahu kebiasaannya urat di belakang retina ini rosak akibat penyakit kanser”. Sebaik sahaja Dr. Ravi memberitahu perkara tersebut, jantung Johan berdebar-debar dan badannya dirasakan amat lembik seperti baharu lepas menghabiskan larian maraton. Tiada sepatahpun bicara yang dapat diucapkan olehnya. “Begini Encik Johan apapun kamu kena menjalani ujian CT scan untuk memastikan perkara tersebut kerana saya sendiri pun tidak dapat memastikan perkara tersebut”. sambung Dr. Ravi memberikan sedikit harapan walaupun ia masih samar-samar.
-
III
-
Pagi yang sangat menenangkan di puncak Gunung Angsi, boleh dilihat dengan jelas stadium Paroi dari puncak ini. Sudah dua kali Johan mendaki puncak tersebut, cuma kali ini dia bernasib baik kerana dapat melihat Paroi dengan jelas mungkin kerana hujan lebat menghilangkan segala debu kotoran yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia.
-
Perjalanan ke puncak itu hanya disertai oleh dua orang iaitu Johan dan Julyca yang bermula pada jam 4.00 pagi di Hutan Rekreasi Ulu Bendul dan tiba di puncak pada jam 7.10 pagi. Julyca tidak mempersoalkan kenapa mereka perlu bergerak pada awal pagi dan kenapa secara mengejut mengajaknya, ini kerana ia sudah mengetahui karenah Johan yang penuh dengan kejutan. Baginya jika bersama Johan ia pasti selamat, baginya Johanlah tempat ia mengadu jika ada masalah dan begitulah sebaliknya.
-
“Aku terkejut dan simpati dengan keadaan kau, aku rasa kau tiada masalah untuk mencari kerja lain kerana pengalaman kau luas dan mempunyai kelayakan yang tinggi.” Julyca mula bersuara, kelihatan peluh membasahi seluruh badannya. “Terima kasih Julyca!” balas Johan sambil tersenyum. “Dan terima kasih kerana menemankan aku ke sini,” sambung Johan, masih kelihatan peluh memercik pada mukanya yang dibiarkan basah. “Tiada masalah Johan, memang sudah lama aku hendak ke puncak Angsi cuma jodoh aku dengan kau! hee..hee..” Julyca tergelak kecil. “Marah Alex nanti dengan aku!” Sambut Johan tersenyum. “Dia hendak ikut sebenarnya tapi dia kena ke Dubai atas urusan kerja” Julyca menambah.
-
“Dalam soal penyakit kau, kau kena juga buat CT scan”. Julyca menambah bicara. “Sampai bila kau hendak melarikan diri daripada masalah?” Soal Julyca dalam suara yang agak tinggi. Bagaimana jika aku menemani kau untuk ujian tersebut? Sambung Julyca sambil menanti jawapan Johan dengan tenang. Johan hanya membatu menjawab ‘ya’ pun tidak, menjawab ‘tidak perlu’ pun tidak.
-
IV
-
Johan keluar dari bilik pengimejan selepas melakukan CT scan seperti yang dicadangkan oleh Dr. Ravi, tergambar senyuman dimukanya yang menandakan berita baik untuknya. Justeru itu matlamat Johan hanya satu, mahu pulang ke rumah dengan cepat dan berehat sepuas-puasnya. Di laluan pejalan kaki dia terserempak dengan wanita berusia 50an, sangat dia mengenalinya. Dia berhenti sejenak memandang wanita tua itu dengan penuh kasih. “Assalamualaikum…” sapa Johan. “Waalaikumsalam” balasnya agak terkejut dengan sapaan Johan. “Kenapa makcik, pakcik sakitke?” sambung Johan. Makcik Mahani menggelengkan kepala, ini menimbulkan tanda tanya kepada Johan.
-
“Kamu tahu Johan kenapa Sofea meninggalkan kamu?” Tanya Makcik Mahani kepada Johan. Johan menggelengkan kepala tanda tidak tahu, rasa sudah puas dia mencari jawapan tersebut hingga hidupnya tidak keruan selepas tamat belajar di universiti dahulu. “Kenapa makcik?” Soal Johan dengan pantas menanti jawapan yang menghantuinya sekian lama. “Dia mendapat kanser Johan, oleh kerana dia percaya dia tidak dapat hidup lama maka lebih baik kamu berdua berpisah.” Jawapan Makcik Mahani itu amatlah mengecewakan Johan.
-
V
-
Sofea terbaring lemah di atas katil, bibirnya sudah kelihatan putih tidak ceria seperti mereka belajar di universiti dahulu. Tangannya melambai lemah pada Johan yang datang ke katilnya, Johan duduk perlahan-lahan di atas kerusi pelawat yang disediakan. “Maafkan i Johan,” bicara Sofea. Johan membatu seperti tiada apa-apa yang berlaku. Sofea menanti jawapan dari Johan, namun hampa Johan masih membatu. “Apa yang i buat dulu adalah untuk kebaikan you, I rasa you berhak mendapat seseorang yang lebih baik dari I”. Sambung Sofea.
-
Johan merenung sedalam-dalamnya pada anak mata Sofea. “I dah lama maafkan you, untuk pengetahuan you Johan yang you kenali dulu telah lama mati.” Jawapan Johan itu membuatkan Sofea terkejut. “Siapa you yang hendak menentukan apa yang terbaik untuk i tanpa perlu merujuk diri i? sambung Johan. “Kenapa you tidak boleh memberitahu penyakit you pada i? atau mungkin I sudah tidak penting untuk you. Kerana perbuatan you menyebabkan hidup i lebih sengsara dari yang you sangkakan, kalau you nak tahu lelaki yang ditinggalkan oleh perempuan tanpa alasan tarafnya lebih rendah dari paria.” Jawapan Johan menyebabkan Sofea menangis teresak-esak, namun dibiarkan oleh Johan. “Anyway semoga you cepat sembuh”, bicara Johan dan berlalu pergi dari bilik wad tersebut tanpa ada perasaan kasih seolah-seolah mereka tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini.
-
Sofea cukup sedih kerana Johan yang penyayang dikenalinya dulu memang telah mati, tidak ada langsung perasaan kasih seperti dahulu. “Mungkin aku silap meninggalkan Johan walaupun berniat baik”, bisik Sofea dalam hatinya. Rasa bersalah memenuhi segenap ruang hatinya, mahu dia meraung sekuat-kuatnya, masihkan ada peluang untuk dia membetulkan keadaan.

Sungkai

14 Disember 2009

Saturday, July 11, 2009

Jika Bulan Boleh Bicara

Petang yang sangat indah di pantai Cherating, angin yang kadang kala agak kuat menyapa rambut hitam Julyca yang melebihi bahu itu dan kadang kala ia mengerbang menambahkan seri seorang perempuan. “Pagi besok i akan ke bukit batu karang itu,” Johan bersuara sambil jari telunjuknya menunjukkan sebuah bukit batu karang yang terletak jauh daripada Impiana Resort tempat mereka bercuti. Mungkin ia sejauh lima kilometer kerana tidak nampak dengan mata kasar objek yang ada di situ, mengikut pekerja resort hanya terdapat hutan tebal sepanjang perjalanan di tepi pantai dan sebuah pusat penetasan telur penyu berhampiran dengan bukit batu karang tersebut.
-
Julyca mengerutkan dahi lalu bertanya meminta kepastian. “Bukankah itu kawasan larangan?” Sejak bila pula pantai yang seindah Cherating ini sudah menjadi hak milik orang tertentu? Johan membalas sinis. Julyca tidak menjawab kerana baginya tiada gunanya dia bertekak dengan Johan yang sudah terkenal dengan sifat keras kepalanya.
-
“You nak join I ke? Tiada paksaan jika seorang pun I tetap akan pergi,” Johan menyambung dengan nada yang penuh yakin. Julyca tidak memberikan jawapan, jelas nampak kerisauan yang amat sangat pada air mukanya. Setahu Julyca kawasan tersebut adalah kawasan larangan kecuali bagi ahli Med Club kerana itulah kawasan tersebut disempadani oleh bukit dan pantai bagi menghalang orang luar daripada memasuki kawasan tersebut. Satu perasaan lain muncul iaitu ia berasa sangat selamat jika Johan yang juga mentornya ada bersama dalam apa hal.
-
II
-
Johan dan Julyca kelihatan termengah-mengah sampai di bukit batu karang tersebut, mereka melepaskan lelah dengan berehat di atas batu karang. Mereka tersenyum puas kerana berjaya sampai kepada matlamat mereka kurang daripada 40 minit dan mereka cuma berkaki ayam kerana running shoes tidak membantu mereka untuk berlari di gigi pantai. I nak lihat keadaan di situ sambil jari telunjuknya menunjukkan kelab esklusif di hadapannya.
-
Julyca memberikan isyarat tidak mengikutnya dan Johan membiarkannya kerana faham dengan situasi tersebut. Julyca menunggu di gigi pantai sementara Johan berjalan kearah pusat peranginan melihat persekitaran. Terdapat beberapa buah rumah dua tingkat dan canopy walk yang menghubungkan setiap rumah ke destinasi pilihan seperti kolam renang dan dewan makan. Semua binaan diperbuat daripada kayu yang baik mutunya termasuknya pondok pengawal yang terletak di atas pokok.
-
Kelihatan seorang pengawal terkejut dengan kehadiran Johan, ia menjenguk kepalanya dari tingkap pondok tersebut dan menunjuk jari telunjuknya ke arah Johan. Empat pengawal keselamatan berbaju seragam coklat muda keluar dari pondok tersebut dengan tergesa-gesa dan turun daripada tangga untuk mengejar Johan. Johan menunggu seketika sehingga keempat-empat mereka turun ke tanah barulah ia berlari ke gigi air mendapatkan Julyca.
-
Mereka berlari dengan tanpa melihat ke belakang lagi, muka Julyca kelihatan pucat seperti tidak berdarah kerana sangat takut. Johan memperlahankan larian bila pasti pengawal keselamatan tersebut tidak mengekori mereka. Apabila hampir kepada sebuah perahu pokok jejawi yang sangat besar mereka berhenti dan Julyca membongkok menahan pedih di ulu hati, dalam termengah-mengah ia masih sempat memarahi Johan.
-
“Kenapa you tunggu pengawal keselamatan itu dekat baru hendak lari?. Johan tersenyum tidak menjawab. Apalah tujuan you buat semua ini? Sambung Julyca meminta kepastian. “You ni bila marah cukup cantik, sayang sudah berpunya, kalau tidak sudah ku… hee..he…! Balas Johan sambil tersenyum namun ia masih belum menjawab soalan Julyca lantas ia berjalan mengiringi Julyca pulang ke tempat penginapan mereka yang sudah hampir di depan mata. Itulah yang membuatkan Julyca mati akal dan akan tersenyum kerana sifat Johan yang pandai mengambil hatinya. “Alangkah indahnya jika Alex juga bersikap sepertinya” getus hati Julyca.
-
III
-
Malam itu di bawah cahaya bulan terang di tepi pantai Cherating suasana sangat meriah bukannya kerana pesta tetapi 7 orang sahabat meraikan hari lahir sahabat mereka iaitu Adam. Sebelum itu pada waktu petang, Johan dan Julyca mencari kek yang sesuai di Bandar Kuantan. Johan telah memilih kek yang tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil, saiznya sebesar pinggan makan. Kek yang berperisa keju itu cukup untuk makan 7 orang, disamping itu mereka juga membeli beberapa bungkus jajan dan beberapa botol air bergas 1.5 liter untuk membasahkan tekak. Tepat jam 12.00 malam Amir yang petah berbicara dan agak kelakar orangnya memulakan upacara sambutan dengan menyanyikan lagu selamat hari lahir diikuti oleh semuaa sahabat kepada Adam sebelum memotong kek.
-
Amir menyuruh Johan menuangkan air minuman ke dalam cawan kertas, apabila Johan memegang botol minuman 1.5 liter untuk menuangnya kelihatan tangan kanan Johan terketar-ketar seperti penagih dadah. Julyca yang perasankan kejadian tersebut cepat-cepat mengambil botol minuman 1.5 liter daripada tangann Johan dan menggantikan tugas Johan tanpa disuruh. Johan menarik nafas lega kerana hanya Julyca yang perasankan kejadian tersebut.
-
Setelah meraikan hari lahir Adam, Johan dan Julyca bangun mengambil angin di gigi pantai dengan berjalan tanpa kasut. “Terima kasih Julyca” ucap Johan kepada Julyca dengan nada yang sayu. “Perkara kecil saja, tetapi apa yang sebenarnya berlaku?” Julyca meminta kepastian. “Selain daripada kedengaran suara-suara kecil hampir setiap masa dalam kepala ini, itulah yang berlaku kepada i Julyca” balas Johan sayu sambil memandang ke dalam mata Julyca. “Mungkin itu dapat memberi jawapan kepada soalan you pagi tadi kenapa i suka buat kerja-kerja gila, semuanya hanya untuk melupakan masalah yang bersarang dalam kepala.” sambung Johan. “Itulah padahnya kegagalan cinta pada i Julyca, i langsung tidak dapat mengawal diri. I akan buat apa sahaja untuk melupakan masalah i.” sambung Johan.
-
“Asyik bercerita soal i sahaja, apa cerita Alex? Johan mengubah cerita. “Hmm… dia tidak seperti kau Johan, dia asyik dengan dunia komputernya kadang-kadang bosan juga i dibuatnya. Tapi i amat menyayanginya” balas Julyca. “Kita jangan mencari titik perbezaan tapi carilah titik persamaan insyallah kekal sesuatu perhubungan itu. Johan berhujah. “Entahlah, Johan but sometimes i wish you adalah Alex” jawab Julyca sedikit kecewa. Johan berasa sedikit bangga dan sememangnya ia menaruh hati pada Julyca tetapi dia tidak akan merampas Julyca daripada Alex yang merupakan kawannya juga. “Bila you berdua hendak berkahwin?” sampuk Johan tiba-tiba dengan mulutnya tersengih seperti kerang busuk. “Entahlah,” jawab Julyca pendek. “Sepatutnya setiap percintaan harus diakhiri dengan perkahwinan walaupun apa agama anutan mereka.” kata Johan seakan berkhutbah.
-
“Biar i bagi you satu analogi mudah, sekarang cuba you pandang bulan tu!” sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah bulan yang mengambang penuh di hadapan mereka. “Adakah you rasa Niel Amstrong akan ke bulan jika tidak dapat menjejakkan kakinya di situ?” soal Johan. Julyca terdiam tidak mampu berkata-kata tetapi menggelengkan kepalanya tanda bersetuju dengan Johan. Malam itu mereka merenung bulan yang penuh seketika itu dengan penuh makna dan alangkah indahnya jika bulan itu boleh bicara.!
-
Segaham
Batang Balui, Belaga

Sunday, May 17, 2009

Mentor


Suasana di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sangat meriah kerana diadakan pertandingan maraton peringkat antarabangsa. Kelihatan ramai warga asing dari afrika memenuhi kawasan kanopi meja urusetia untuk urusan hadiah. Masih ada lagi peserta maraton penuh belum sampai ke garisan penamat, dan kelihatan 100 meter sebelum garisan penamat seorang lelaki berusia berketurunan Melayu yang putih rambutnya cuba mengejar masa 6 jam berpandukan jam digital sebesar dua meja sekolah yang disediakan oleh pihak penganjur. Ia mendapat tepukan semangat daripada semua peserta dan penonton yang hadir, dalam kepayahan yang amat sangat dengan kakinya yang berjengket-jengket ia dapat mengejar masa yang ditetapkan seperti yang terpampang jam tersebut tanpa terlewat atau tercepat sesaatpun.

-

Adam lelaki berambut ikal dan sasa tubuhnya datang kepada Johan membawa dua gelas air isotonik 100 plus dan memberikan Johan segelas air. Johan yang kelihatan cengkung tubuhnya meneguk air tersebut dengan penuh nikmat dan sedikit gelojoh seolah-olah sudah tiga hari tidak berjumpa air. Adam menunggu Johan menghabiskan airnya dahulu sebelum bersuara. “Johan, bolehkah kau membawa membimbing aku untuk full marathon? Mereka sudah berkenalan lebih dari tiga tahun, pertama kali berjumpa sewaktu mereka bersama-sama menamatkan 22.1 km di Padang USM selepas melepasi jambatan Pulau Pinang. “Kau serius?” balas Johan dengan nada yang agak terkejut dan tersenyum gembira. “Yup!” balas Adam pendek kerana dia memang seorang pendiam, tidak banyak bercakap kecuali hal-hal yang dirasakan amat penting. “Haa…ha.. boleh belanja aku nasi lemak Tang Lin lepas ni.” balas Johan spontan. “Beres, Boss!” balas Adam secara berseloroh.

II
Johan dan Amir sepakat akan ke selatan tanahair untuk maraton penuh seterusnyanya dan misi mereka sebenarnya untuk memastikan Adam berjaya mencapai matlamatnya, tidak kira apapun yang berlaku. Pada setiap hari Isnin, Rabu dan Khamis mereka akan berlatih bersendirian di tempat masing-masing sejauh 10km sehari dan akan bertemu di Tasik Perdana setiap Sabtu dan Ahad berlatih bersama-sama rakan yang lain seperti Julyca, Hamdan dan Badrul.

-

Razak, mentor Adam agak bengang dengan suasana yang berlaku seolah-olah Adam membelakanginya dalam hal yang agak besar itu. Sewaktu minum petang di sebuah restoran mamak yang terkenal di Bangsar. Razak bersuara kepada Adam. “Aku rasa lebih baik kau batalkan hasrat kau untuk buat maraton penuh tu!” Adam terkejut dengan kata-kata Razak seperti satu arahan itu. “Kenapa?” balas Adam pendek meminta kepastian.

-

“Kau jangan buat kerja gila macam Johan, kau tu belum bersedia dari segi fizikal dan mental, perjalanan kita masih jauh. Macam kau tak kenal dengan Johan, dia memang gila pasal tu dia hidup sorang-sorang sampai sekarang.” balas Razak dengan agak tegas. Adam membisu dengan jawapan tersebut, mungkin ada benarnya kata-kata Razak dalam hatinya. “Aku rasa kau patut ikut cakap aku, kau lakukan secara sempurna, selepas kau berjaya melakukan 21km di bawah 1 jam 45 minit baru kita pergi kepada 42km dan kita buat di bawah 4 jam.”

III

“Kenapalah kau ni tiba-tiba berubah fikiran? walhal simulasi kau 33 km untuk full maraton di Tasik Perdana dengan Johan dan Amir pada minggu depan.” Soal Julyca sedikit marah. “Entahlah, cakap Razak itu macam ada benarnya.” Adam berbunyi perlahan. “Aku dulu hendak berlari 3km pun tidak pernah terfikir dan Johan yang telah menyakinkan aku bila aku memintanya menjadi mentor aku semasa mendaftarkan larian 10km di Shah Alam tahun lepas.” balas Julyca dengan nada yang agak perlahan. “Cara Johan memang kadang-kala agak ekstrem dan sangat memenatkan tetapi dia tidak pernah meninggalkan aku sewaktu latihan, cuma sewaktu pertandingan kami mengikut rentak masing-masing.” Julyca menyambung.

-

“Cuba kau lihat geng di hadapan kita, pada akhir latihan kau akan lihat ada yang tertinggal jauh di belakang bagi aku seorang mentor yang baik tidak patut berbuat begitu terutama kepada seorang perempuan macam kami.” Julyca menambah. “Tapi mungkin aku tidak dapat mencatatkan masa di bawah 4 jam.” Balas Adam. “Kalau itu yang kau fikirkan aku tak dapat buat apa-apa. Bagi orang yang tidak sempurna seperti aku cuma mahu menamatkan apa yang aku mulakan bukannya soal masa. Aku sendiri tidak memahami kenapa Johan suka melakukan sesuatu yang ekstrem mungkin ia ada kena mengena dengan sejarah silamnya, yang penting impian aku sudah tercapai untuk menamatkan 10km kerana dia.” Julyca bersuara dengan penuh makna. “Sudahlah mari kita ke parkir Taman Burung nanti terlambat pula, sudah tentu mereka sudah berada di situ. menunggu kita untuk berlatih bersama” Balas Adam yang mukanya dalam kebingungan.

III

“Aku gembira kau mahu ikut aku dan Amir buat simulasi hari ini, dan aku yakin kau dapat buat dengan baik minggu depan di Link Kedua.” Johan memberikan perangsang. “Kau janganlah risau sangat pasal masa, yang penting kau tamatkan larian tanpa kecederaan yang kekal. Selepas itu kau berlatih pula kejar masa. Aku tahu Razak tak bagi kau ikut aku dan Amir sebab masa kau belum “cun” bawah 1 jam 45 minit untuk half maraton.” Adam menundukkan kepalanya sambil membisu. “Mungkin aku sedikit gila tetapi pernahkah Razak melakukan full maraton, tidak pernah bukan? Kenapa dia beria-ia mahu menjatuhkan impian orang lain? Johan menimbulkan lagi persoalan yang membingungkan Adam. “Mungkin dia takut kau akan melebihi dia agaknya atau dia sendiri takut untuk melakukannya.” sambung Johan sinis.

IV

Cuaca sangat panas hari itu, kawasan tempat masuk garisan penamat di Tol Taman Perling sudah pun penuh dengan ribuan manusia meraikan hari bersejarah tersebut samada ikut serta ataupun sebagai penonton. Kawasan lapang bersebelahan pentadbiran Link Kedua itu sudah semacam pesta dimana pelbagai tempat disediakan seperti paramedik yang penuh dengan peserta yang cedera dan pengsan. Ramai peserta yang beratur untuk mengambil makan dan minuman disediakan secara percuma. Julyca yang sudah lama menamatkan larian 10km sangat gelisah menanti Johan, Amir dan Adam kerana sudah hampir 5 jam maraton penuh dilepaskan namun kelibat mereka masih belum kelihatan.

-

10 minit kemudian Adam muncul di garisan penamat dengan penuh gembira kerana berjaya menamatkan maraton penuh yang pertama. Julyca kelihatan bingung tertanya-tanya dimana mentornya berada tanpa menunggu Adam yang bercekak pinggang sarat melepaskan lelahnya terus bertanya. “Dimana Johan?” Adam tidak bercakap kerana sangat penat sebaliknya menunjukkan isyarat bahawa Johan masih di belakang. Julyca sedikit gembira dengan jawapan tersebut di atas alasan yang dia sendiri tidak pernah tahu, seolah-olah ada satu perasaan lain yang tidak dapat digambarkannya. Tidak berapa selepas itu muncul seorang lelaki menamatkan larian dan disusuli dengan Johan. Adam menerpa kepada mentornya yang baru lalu mereka berpelukan. “Well done! Adam” Johan bersuara dalam kepayahan.

-

Julyca datang kepada mereka berdua sambil tersenyum dengan membawa dua cawan minuman isotonik 100 plus. “Tanpa kau aku takkan berjaya!” Adam memulakan bicara. “Aku rasa silap tu, running is not about me, is not about Razak but it’s about yourself! Aku cuma kawan pembimbing kau” Kata Johan tersenyum. Julyca gembira dan menambah. “Johan, kau memang tak pernah berubah dari dulu.” Johan tiba-tiba menjerit. “Lihat tu!! Amir dah sampai dengan gembiranya sambil angkat tangan lagi macam la dia dapat nombor satu!” Mereka bertiga gelak besar begitu juga dengan Amir yang baru sampai.

-

Segaham,

Batang Balui, Belaga

Bumi Kenyalang

-

Cerpen ini didedikasikan khas untuk dua orang mentor aku yang membimbing aku hingga ke tahap yang aku sendiri tidak pernah terfikir. Terima kasih Firdaus dan Zafrul semoga anda juga menjadi inspirasi kepada yang lain. Kepada “runners” dan “mountain climbers” hayatilah petikan di bawah kerana anda lebih daripada yang anda fikirkan.

-

Impossible is just a big word thrown by around by small men who find it easier to live in the world they've been given than to explore the power they have to change it. Impossible is not a fact it's an opinion, impossible is not a declaration, it's a dare, impossible is potential, impossible is temporary, impossible is nothing!!

Tuesday, May 05, 2009

Cinta Hello Kitty


Pagi yang sangat baik kerana cuaca berkabus sekitar gunung-ganang yang selari dengan Batang Rajang, musim kemarau yang berlanjutan selama dua minggu mencetekkan Batang Rajang, kelihatan sebuah perahu kecil yang boleh dinaiki oleh empat orang menggunakan enjin 15 kuasa kuda mudik ke hulu mencari ikan. Seperti biasa setiap hari Selasa aku akan memakai pakaian sukan dan menggantung wisel di leherku kerana akan mengajar Pendidikan Jasmani pada awal waktu.

-

Sekarang ini jika aku di puncak Nuang sudah tentu aku menjerit untuk melepaskan geram bila hampa dengan keputusan sukan Bola Baling MSSRD Sarawak yang tidak memihak pada kami minggu lepas kerana berlaku ketidakadilan dalam soal pengadilan. Di bawah bimbingan Cikgu Helmi, laluan untuk ke peringkat hampir pasti jika menewaskan pasukan Miri tetapi 2 gol dibatalkan dan penjaga masa melebihkan masa daripada yang sepatutnya untuk memberikan kelebihan kepada pasukan Miri dengan 10 jaringan berbalas 9. Namun bagi aku mereka tetap juara kerana mengalahkan pasukan Kuching, Betong dan Limbang dengan mata 11-0, 14-1, 10-4. Lagipun perjalanan hidup ini sangat panjang untuk disia-siakan hanya satu perkara, mereka boleh pergi lebih jauh dari apa yang mereka fikirkan.

-

Setelah puas menghirup udara yang segar dan melepaskan geram di jelatong aku terus menuju ke bilik guru untuk memulakan tugas aku. Kelihatan dua orang murid perempuan berlari anak turun dari tangga bangunan sekolah kayu yang dibina pada tahun 1979 yang berusia kurang sedikit daripada usia aku, agak bergegar juga bangunan lama itu dibuatnya. “Cikgu, cikgu” jerit mereka kepadaku, aku terhenti. “Selamat hari jadi cikgu!!!” terkejut aku apabila menerima ucapan tersebut Valentika dan Angela pelajar tahun empat itu, mereka berdua menyampaikan kepada aku sekeping kad harijadi buatan tangan tanpa sampul. “Terima-kasih!”, ucapku ringkas secara spontan dan terkejut. Mereka berdua tersenyum lantas berlari semula ke kelas mereka kerana sepatutnya mereka berada di dalam kelas.

-

Aku mengambil tempat di bilik guru sementara menunggu waktu P&P yang bermula pada waktu ketiga, aku duduk tersenyum sendirian menyoal diri bagaimanakah mereka mengetahui tarikh lahirku? Aku sendiri pun jarang sangat mengambil tahu tarikh 5 mei setiap tahun yang merupakan tarikh keramat untuk diriku. Sudah tentu Cikgu Anuar guru kelas tahun 4 yang telah membocorkan rahsia. “Ah! biarlah bukannya menimbulkan masalah pun.” Getus hatiku.

-

Namun sebenarnya mata aku tertumpu kepada kad hari lahir lukisan tangan yang menggunakan warna lilin, ia tidak berapa kemas namun masih dapat dipastikan ia adalah lukisan kartun Hello Kitty. Lukisan itu tidak kemas walaupun murid itu sudah berada di tahap dua bukanlah salah mereka, tetapi lebih kepada kurangnya peralatan melukis di sini dan tidak banyak yang guru-guru di sini dapat lakukan dalam hal itu.

-

Kad hari lahir itu mengingatkan aku kepada kisah aku dimasa lalu, dahulu aku cukup sinonim dengan Hello Kitty kerana semua orang tahu bahawa jika aku keluar bertemu janji dengan Aishah pasti baju Hello Kitty yang akan dipakai oleh kami berdua. Aku tidak pernah peduli dengan cemuhan dan perli kawan-kawan serumah tentang hal Helllo Kitty yang penting aku dapat keluar bersamanya. Juga mungkin kerana itu kami digelar “loving couple” walaupun Aishah sebenarnya tidaklah lembut sangat seperti namanya kerana dia agak tomboy dan aku sendiri bukanlah romantik sangat.

-

Kami begitu obses dengan Hello Kitty hinggakan mug, beg dan selipar yang kami ada lakaran kartun tersebut. Mungkin sifat kami berdua yang sukakan dengan kucing yang lebih menyenangkan segalanya tentang Hello Kitty. Itulah cinta Hello Kitty sangat hebat hingga meninggalkan kesan kepada sesetengah orang walaupun sesetengah orang melihatnya hanya sebagai kartun dan cenderamata. Pernah satu ketika dulu di Hong Kong ada manusia gila yang menjadikan ikon Hello Kitty untuk membunuh orang caranya ialah dengan memasukkan kepala mayat yang telah dibunuh kedalam patung Hello Kitty.

-

Tiba-tiba aku Cikgu Margaret menyapa aku. “Cikgu, nama kebuah nuan tachum kediri? Aku agak terperanjat dengan sapaannya yang mengejutkan aku daripada lamunan kisah lama. “Ah… nadai nama-nama, terkenang pengingat lama suba.” Jawabku ringkas sambil tersenyum memandangnya, cepat-cepat aku menyelitkan kad tadi kedalam buku panduan guru Pendidikan Moral. Dia cuma tersenyum melihat segala perbuatan aku dan meneruskan kerjanya menanda bubu-buku yang berlambak di atas mejanya. Rupanya perbuatan aku tersenyum sendiri itu diperhatikan oleh Cikgu Margaret yang berada di hadapanku.

-

Aku berasa terharu dengan sikap murid yang mengingati guru mereka dalam keadaan yang amat serba kekurangan, aku tidak kisah kad yang diberi itu lukisan sendiri bagi aku yang lebih penting ialah keikhlasan mereka. Sekurang-kurangnya keikhlasan mereka itu dapat juga menggembirakan aku yang duduk jauh di perantauan. Suatu yang pasti ikon Hello Kitty sudah tidak sesuai dengan aku!

-

Terjemahan:

jelatong=jeti

kediri=sendiri

nadai=tiada

nama=apa

nuan=kamu

tachum=tersenyum


Thursday, April 23, 2009

Pertama

Sampai di KLIA tanpa berlengah Johan mencari kedai coklat yang biasa dikunjunginya, setelah berjaya mencari coklat yang dimahukannya lalu terus ke kaunter namun sebelum itu ke ruangan air minuman untuk mengambil sebotol air mineral. “Berapa Jenny?” tanya Johan tanpa lekang senyuman di mulutnya, gadis itu tersenyum kerana jarang sangat pelanggan memanggil namanya walaupun tanda namanya tidak pernah lekang pada sebelah kiri bajunya. “RM21.30 bang,” jawabnya sambil melemparkan senyuman. “Untuk seseorang yang istimewa?” tiba-tiba Jenny bersuara, Johan lantas menatap muka gadis yang comel itu. “Yup,” sambil tergelak kecil barulah dia tahu yang menjadi perhatian Jenny kerana asyik tersenyum seorang, mana tidaknya di kepalanya asyik teringatkan Arianna yang menantinya dibalai ketibaan itu sangat suka kepada coklat.
-
Sampai di balai ketibaan tidak susah untuk Johan mengenal pasti Arianna kerana ia mengenakan baju putih hitam sesuai dengan kerjanya sebagai peguam yang baru pulang dari kerja. Johan terus melambai Arianna dari pintu laluan keluar ke balai ketibaan, namun langkahnya tiba-tiba terhenti bila melihat Sofea di hadapannya. Jantungnya tiba-tiba bergerak kencang, bungkusan coklat itu di tangan kanannya terlerai dan terjatuh kelantai balai ketibaan. Tangan kanannya meramas erat dada kirinya yang sakit, dia cuma mampu melutut menahan kesakitan, nafasnya turun naik hingga tidak boleh bernafas dan pandangannya di rasakan amat gelap.
-
Begitu banyak wayar yang di sambung pada badan Johan hingga merimaskan dirinya, sebenarnya ia adalah ujian untuk menguji keadaan jantungnya, ia dilakukan oleh Sarah seorang jururawat yang agak berpengalaman. Selesai sahaja tugasnya ia menulis laporan di atas kertas segala catatan pada monitor komputer. Kemudian datang doktor Firdaus memeriksa laporan tersebut, ia bersuara kepada Johan yang masih kelihatan bingung.
-
“Encik boleh keluar hari ini kerana segala ujian yang dilakukan menunjukkan encik tiada masalah jantung. Mungkin encik terkejut melihat sesuatu?” tanya doktor Firdaus pada Johan. Johan membisu langsung tiada menunjukkan ia akan berkongsi cerita dengan doktor Firdaus. Doktor Firdaus tersenyum lalu menyambung, “jangan encik risau, kerana kadang-kadang jantung kita ini macam enjin kereta sesekali ia semput dan mati tetapi bila kita hidupkan kembali enjin tersebut ia akan ok.” Johan mengganguk malas seperti tidak mengendahkan kata doktor Firdaus.
-
Arianna langsung tidak membalas sms Johan apatah lagi menjawab panggilan telefonnya, ini cukup mengecewakan Johan. Ia mengemaskan dirinya untuk keluar dari hospital tempat yang merupakan tempat paling tidak disukainya di planet bumi. Sarah tiba-tiba masuk ke wad Johan, “Encik Johan ini surat dari Cik Arianna.” Sarah bersuara sambil menyerahkan surat tersebut. “Dia beri pada saya, semalam.” Sambung Sarah. “Terima kasih Sarah.” Balas Johan tersenyum pahit. Sarah menggangguk sambil berdiri di tepi tirai menunggu Johan membuka surat tersebut. Surat di buka dengan cermat, berdebar jantung Johan. “Johan, i rasa kita tidak ditakdirkan untuk bersama, your understanding on this matter is highly appreciated.” Johan membisu dan sayu, dia sudah menganggak perkara itu akan berlaku akibat peristiwa semalam dan kerana itu Ariannna tiada disampingnya bila dia tersedar daripada pengsan di hospital.
-
“Sarah percayakah kamu pada cinta pandang pertama?” tiba-tiba Johan bertanya kepada Sarah. “Entahlah saya tidak pasti, tapi kenapa encik? Betulkah encik pengsan kerana melihat kekasih pertama encik di KLIA seperti kata Cik Arianna pada saya?” Johan merenung tajam Sarah. “Cinta pandang pertama adalah sesuatu yang paling hebat dalam hidup saya, nasihat saya tinggalkan sedikit perasaan benci dalam cinta itu supaya tidak menderita seperti saya.” Johan melipat surat tersebut dengan cermat lalu dimasukkan ke kocek bajunya, sambil menyambung. “Bagi saya Johan yang lama sudah mati bersama cintanya pertamanya, saya cuma mangsa cerita silam saya.” Johan meninggalkan wad tersebut dengan langkah yang amat longlai.
-
Johan sudah tiba di Lembah Pacat yang merupakan pertengahan Gunung Nuang, turut kelihatan seorang 6 pendaki berhenti rehat melepaskan lelah dan seorang daripada mereka macam tidak bermaya,mengalami sakit kepala, kekejangan otot. Johan meminta air minuman mereka dan membancuhkan garam berhidrasi untuk diberi minum kepada pendaki yang tidak bermaya itu supaya dapat menggantikan garam yang hilang di dalam badan pendaki tersebut. Beliau turut melakukan rengangan otot hamstring kepada pendaki tersebut. “Bro, kau ni sakit kepala sebab kekurangan oksigen di altitud tinggi, itu biasa sahaja kau jangan risau makan sahaja panadol ni.” Sambil Johan mengeluarkan paracetamol daripada poket beg sandang 20 liternya yang memuatkan segala peralatan ikhtiar hidup yang diperlukan oleh seorang pendaki. “Ini kali pertama naik gunung? Sambung Johan. Pemuda itu menggangguk.
-
“Abang daki sorang je ke? Tiba-tiba seorang kawannnya bersuara kerana pelik melihatkan Johan yang keseorangan di situ. “Tidaklah abang berdua dengan kawan abang, dia masih di bawah. Kami tengah racing ni.” Ujar Johan berseloroh. “Kau orang kalau nak sampai ke puncak haruslah bersama-sama jangan ditinggal pun sesiapa, ia adalah pengalaman yang hebat jika kamu dapat naik kepuncak bersama-sama.” Sambung Johan bersemangat. “Yang penting kamu pastikan bekalan air bersih mencukupi kerana tiada punca air lagi selepas ini, kamu boleh ambil di situ cuma 10 minit sahaja turun ke bawah.” Sambung Johan lagi sambil menunjukkan arah punca air tersebut yang terletak di sebelah kiri menuju puncak. Johan bersalaman dengan pendaki-pendaki tersebut dan menyambung perjalanannya yang masih jauh.
-
Arianna aku cinta padamu!!!!! Jerit Johan sekuat hatinya sebaik sahaja ia sampai di puncak. Suaranya sangat bergema di puncak yang tertinggi di negeri Selangor itu yang juga merupakan sempadan tiga negeri iaitu Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Johan berbaring di atas rumput melepaskan lelah yang teramat sangat, tiada sesiapapun di situ melainkan dirinya dan beberapa ekor tupai gunung yang sedang mencari makanan. Dia melihat jam di tangannya. “tiga jam 45 minit satu rekod yang baru.” Getus hati Johan, dia tersenyum puas bukan kerana catatan masa tersebut, tetapi kerana jantungya masih berfungsi dengan baik.
-
10 kemudian Kamil tiba dengan muka yang sangat letih dan tidak bermaya, seluruh tubuhnya basah. “Ahhh..” jeritnya tidak bermaya dan terus merebahkan diri di sebelah Johan. “Hang ni, gila tau tak?” “ orang naik gunung nak enjoy, aku dapat penat.” Sambungnya merungut panjang. “Haa..ha.. janganlah marah, sesekali kita kena menguji potensi diri kita.” Balas Johan. “Kalau kau nak tahu, Unit Tindakan Khas dan komando cuma perlukan masa sejam sahaja untuk sampai ke sini, lagi gilakan!” Kamil kelihatan tidak mahu melayan Johan dan dia tiba-tiba bersuara. “Hang ni kalau buat benda-benda merepek mesti ada problem dengan awek hang,”. Johan berpaling ke arah Kamil,ia mengangguk. Dia menceritakan segala yang terjadi kepada Kamil. “Aku rasa hang kena juga jumpa dia, tidak rugi mencuba sekurang-kurangnya kau sudah mencuba.” Nasihat Kamil. Johan terus membisu, mengangguk tidak dan menggeleng pun tidak.
-
Pagi yang tidak berapa bagus di pejabat Zahid & Co kerana Johan mengambil keputusan pergi ke situ mencari Arianna yang telah mengelak daripadanya. Bila dapat bertemu bertalu-talu Arianna mengherdik Johan kerana peristiwa tempoh hari di hadapan beberapa kakitangan di situ, Johan hanya membatu menunggu kemarahannya reda. Dia lebih rela dimarah oleh Arianna dan menanggung malu daripada menanggung ketidakpastian di dalam hidup. Puas sudah dipujuk namun Arianna bulat dengan keputusannya untuk berpisah dengan Johan, “I tidak suka berkongsi kasih dengan orang lain, you boleh balik dengan dia semula!.” Marah Arianna.
-
Johan sudah berputus asa dengan usahanya namun ia tidak pernah menyesal menyintai Arianna, Johan melemparkan senyuman pahit kepada Arianna sebelum keluar dari bilik pejabat Arianna. Johan melangkah sedikit lemah daripada waktu ia datang ke situ tadi. Hingga ke akhir perhubungan mereka, Johan masih dengan egonya tidak pernah meminta maaf di atas peristiwa yang berlaku tempoh hari. Baginya ia cuma terjadi kerana mereka berada di masa dan tempat yang salah dan sesiapapun tidak patut dipersalahkan dalam hal ini, bukan dia, Arianna mahupun Sofea. Ia adalah takdir yang telah ditentukan yang tiada siapa dapat mengubahnya. Baginya sejarah cinta pertama tidak pernah berbohong bahawa ia pernah berlaku dan ia berlaku kepada semua orang cuma ceritanya sahaja berbeza.

Bintulu

Sunday, December 21, 2008

Tentang Lion



Bosan betul pagi ini menunggu jiranku Johan pulang dari berjogging, bukannya apa aku sebenarnya mahu tidur di katilnya yang bersepah tetapi sangat selesa untuk makhluk seperti aku. Peluang tersebut muncul jika pintu rumah itu dibuka oleh Johan yang selalu lalai dengan kehadiran aku. Lagipun Johan jarang pulang untuk aku merasai nikmat tidur di atas katil yang bersepah seperti sarang ular sawa. Setiap kali pulang Johan pasti memeluk aku walaupun muka aku sangat hodoh, itu yang yang membuatkan aku selalu ke rumahnya, nasib baik Johan itu seorang jantan jika tidak sudah tentu aku menguratnya.

“Lion, lion!!! aaahhh!!! ibuku memanggil pula, aku berlari menyeberangi jalan pulang ke rumah aku, mesti ibuku sudah menyediakan makanan sedap yang dibeli untukku. Telahanku betul, aku makan dengan gelojohnya makan makanan tersebut sambil ibu mengusap-ngusap kepala aku. Dialah ibu aku semenjak ibu kandungku dimakan oleh makhluk bernama anjing sebelah rumah.

Dulu namaku kuning kerana badanku yang kuning, namun ia telah ditukar kepada lion kerana keberanian aku melawan anjing yang membunuh ibu kandungku. Tetapi ternyata makhluk tersebut sangat kuat berbanding aku yang masih kecil lantas aku tewas dan cedera parah. Ibu tidak putus-putus menangis melihatkan keadaan aku, aku dihantar berjumpa dengan doktor dan bomoh untuk menerima rawatan namun aku masih belum pulih.

Selama sebulan ibu sentiasa bersama aku sebelum pergi dan pulang menjual goreng pisang untuk mencari rezeki, ketika itu aku merasakan sangat sukar untuk menjamah makanan kerana tulang rahangku sudah rosak dan aku cuba boleh meminum susu. Sekarang aku sudah pulih, sihat dan kuat cuma mukaku sedikit hilang dan mata kananku telah tiada tetapi semua makhluk kucing di kawasan ini tunduk kepadaku!

Saturday, December 06, 2008

Perjuangan

Johan merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada hari ini, jumaat hari ini sangat lain daripada yang sebelum-sebelumnya. Bukannya dia tidak biasa dengan demontrasi secara aman di perkarangan masjid sebelah universiti selepas solat jumaat yang kadang-kadang berlanjutan hingga ke bulatan universiti sebelum bersurai jika ada isu yang perlu diutarakan. Johan langsung tidak menumpukan kepada khutbah yang diberikan oleh khatib, tetapi memikirkan kenapa ada pihak FRU berkawal di luar masjid dan di sebelahnya sendiri adalah pegawai polis yang dijumpainya semalam untuk urusan perkhemahannya. Pegawai polis itu berpakaian preman dan tersemat reben berwarna merah pada lengan tangan kanannya, Johan memerhatikan sekelilingnya terdapat tiga orang lain yang memakai reben tersebut ini bermakna di dalam masjid itu sebenarnya sudah dikawal polis bukan sahaja diluar!.

Habis sahaja doa solat jumaat diaminkan, demontrasi dimulakan oleh seorang pemuda dari parti politik pembangkang dengan menggunakan pembesar suara menyatakan ketidakpuasan hatinya dengan kedatangan pemain kriket Israel ke Kuala Lumpur. Suasana sangat berbeza daripada demontrasi yang dianjurkan oleh pelajar sebelum ini, tidak sampai 10 minit keadaan menjadi sangat tegang apabila FRU menyuraikan orang ramai dengan penyembur air yang berbau minyak. Johan beredar dari situ, tangannya merah dan terasa pedih akibat semburan air tersebut keadaan menjadi lebih teruk apabila beberapa buah gas pemedih mata dilontar oleh FRU. Mata Johan berasa pedih, dia terlihat Indra menutup muka dengan sehelai kain sambil melontar semula gas pemedih mata tersebut ke arah FRU.

Johan pantas menarik tangan kanan Indra yang mahu ke dalam masjid menyertai yang lain, Indra sedikit meronta sebagai tanda tidak bersetuju tetapi akhirnya akur. Mereka turun ke parit besar bersebelahan masjid berlari menuju ke arah perumahan tempat mereka tinggal, terdapat juga beberapa orang awam lain mengikuti mereka. Ramai yang terperangkap di dalam masjid di kepung oleh FRU, Johan dan Indra kelihatan termengah-mengah, mereka terpaksa mengerah segala keringat untuk naik semula ke atas jalan raya jauh dari masjid tersebut. Dari jauh mereka hanya menggelengkan kepala melihat suasana jalan sangat sesak dengan kenderaan pihak keselamatan, mengepung masjid tersebut seolah-olah berperang dengan pengganas!.

Malam itu Johan dan Indra minum teh tarik bersama di sebuah warung di bawah flat yang mereka duduki, mereka tidak bercakap tetapi lebih menumpukan siaran berita pada kaca TV buruk di warung tersebut untuk melihat apa yang terjadi kepada rakan-rakan mereka yang terlibat pada demontrasi petang tadi. Johan memulakan bicara, “aku tahu kau tidak setuju dengan kerajaan dalam hal tadi, aku pun tidak setuju” sambil Johan menghirup teh tariknya perlahan-lahan, Indra membisu seperti tidak mahu berkata-kata dan air minumannya dibiarkan tidak berusik. “Indra kita harus fokus pada tujuan kita datang ke sini iaitu untuk belajar” sambung Johan tenang. “Tapi tidak salahkan jika kita memperjuangkan isu-isu rakyat, bukankah mahasiswa harus berperanan memperjuangkan masalah bangsanya?” soal Indra. Johan terdiam sebentar jika boleh tidak mahu berdebat dengan Indra kerana Indra bukan calang-calang orang untuknya berdebat, seingatnya semasa di sekolah Indra pernah mewakili debat daerah hingga ke peringkat negeri.

“Aku tahu kau menjadikan orang yang menjadi orang nombor dua negara sebagai idola kau, tapi kau kena faham siapa dia sewaktu dia belajar seperti kita, jika dia gagal belajar pun dia masih boleh hidup senang” Johan menyambung. “Kita??? Jika kita ditangkap oleh AUKU, ibubapa kita pasti menangis menanggung malu dan kita akan menghadapi kesusahan dalam segala urusan, itulah takdir kita”. Kata-kata Johan itu membuatkan Indra tunduk membisu. “Lagipun takkan kau hendak membiarkan aku menang percuma dalam pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar disebabkan kau tidak dibenarkan bertanding?” Johan menambah. Kata-kata itu membuatkan Indra tersenyum dan kembali ceria, “baiklah kita berjumpa di gazebo minggu depan memperjuangkan masalah pelajar” kata Indra penuh bersemangat. “Ha..haa.. itulah Indra yang aku kenal!!!” balas Johan.

Malam yang dinanti-nanti tiba juga, keputusan di Panggung Eksperimen jelas memihak pada Indra dan kawan-kawannya dan mereka meraikan dengan kesyukuran sambil memanjatkan doa secara berjemaah. Johan hanya mampu melihat kemenangan Indra dari jauh sambil tersenyum pahit, lalu ia berjalan perlahan ke gazebo tempat dia dan Indra berdebat semalam. Walaupun dia secara individu ia menang namun kekalahan kebanyakan kawan-kawannya membuatkan ia tidak boleh membentuk Majlis Perwakilan Pelajar bagi kumpulannya, sekarang terserah kepada Indra untuk menetapkan barisan kepimpinan yang baru. Ia pasrah, Indra memang layak untuk menang kerana “six elements of ledearship” yang ada padanya, lagipun isu-isu pelajar seperti masalah pengangkutan dan kenaikan harga makanan di kafe tidak dapat ditanganinya dengan baik pada sesi lepas.

Johan seakan menyesal kerana memandang remeh isu tersebut, sebaliknya lebih banyak menumpukan isu-isu yang berlaku di tanah air. Dia berada betul-betul di tempat dia berdebat dengan Indra semalam. “Aku tahu kau mesti ada di sini!” soal Indra. Johan agak terkejut dengan kehadiran Indra lantas menghulurkan tangan sambil mengucapkan “tahniah!”. “Aku takkan berada di sini, jika kau tidak ‘menyelamatkan’ aku dulu” balas Indra sambil mereka berpelukan. “Aku tidak pernah kesal kalah ditangan orang yang aku percaya mampu memimpin pelajar dengan baik.” balas Johan, mereka kembali ceria seperti sebelumnya betapa hebatnya persahabatan mereka walaupun berlainan ideologi politik.

Malam itu suasana sangat tegang dalam bilik aras bawah tutorial di Falkulti Akademi Islam, majlis syura yang dipengerusikan oleh Nik selaku pelajar senior sudah agak tidak terkawal seperti sebelum pilihanraya. “Indra kau harus pentingkan jemaah daripada kepentingan peribadi” soal Nik dalam nada yang keras. Keadaan bilik itu sunyi seketika menanti jawapan daripada Indra. “Adakah Syed dan Hambali tidak cukup Islam hingga kau pinggirkan mereka, hanya kerana mereka bukan pelajar jurusan Pengajian Islam?” balas Indra tenang.

“Habis apa yang kau mahu?” sampuk Wan yang sebaya dengan Indra. “Beginilah sahabatku, aku mahu kau melantik Syed sebagai Timbalan Presiden dan Hambali sebagai Bendahari” balas Indra lembut. “Kita seharusnya kembali kepada Islam agama yang menganjurkan sifat adil bukannya politik kesukuan seperti ini” sambung Indra lagi. “Lihat sahaja Johan walaupun kita asyik mengatakannya sekular tetapi dia tidak pernah menggunakan nama Islam untuk kepentingan peribadinya, malah cuba menganjurkan program bercorak keislaman sebelum ini”, Indra menyambung seakan berkhutbah.

“Aku rasa sudah tiba masanya kita mengubah politik kesukuan yang sudah lama menjadi amalan, kita harus berubah menjadi pendokong Islam yang tulen bukan sekadar hanya berkata-kata”. Indra bangun dari kerusinya lalu mengucapkan salam kepada kawan-kawannya. Kemudian dia beredar dari situ diikuti oleh Syed, Hambali dan enam rakan yang bukan dari jurusan Pengajian Islam. Nik dan Wan berpandangan sesama sendiri tanpa ada keputusan, mereka buntu!. Indra tidak kisah dilantik sebagai setiausaha walaupun mendapat undian tertinggi, tetapi meletakkan Syed dan Hambali yang juga antara mempunyai undi tertinggi sebagai ketua biro adalah tidak patut dengan alasan mereka bukannya daripada jurusan Pengajian Islam.

Berita tentang majlis syura itu sudah merebak di dalam kampus, barisan kepimpinan bersikap mendiamkan diri. Antara spekulasi yang timbul ialah Indra dan Johan akan bergabung untuk membentuk barisan kepimpinan yang baru ini, tidak mustahil kerana mereka adalah kawan baik walaupun tidak sealiran. Akhirnya setelah seminggu mahasiswa tertanya-tanya barisan kepimpinan baru, senarai nama rasmi telah dikeluarkan oleh Hal Ehwal Pelajar bahawa Indra masih bersama dengan jemaahnya. Walaupun Nik menjadi Presiden, semua syarat yang diminta oleh Indra dipenuhi dan berlaku perubahan kepimpinan yang nampak lebih adil daripada yang dirancang oleh Nik dan Wan sebelum ini. Sesungguhnya Indra telah menyumbang perkara yang sangat bermakna kepada dengan mengubah senario politik kampus di dalam jemaahnya.

Wednesday, December 03, 2008

Harga sebuah kehidupan

Minggu kedua tahun baru, seperti biasa Cikgu Murni selaku guru kelas mengambil kedatangan tingkatan 4 Perdagangan apabila tiba matapelajaran matematik yang kebetulan sentiasa berada di awal waktu. Cikgu Murni sangat bersemangat ke sekolah kerana sudah mempunyai Proton Saga buatan Malaysia yang baru dibelinya, semua guru di bilik guru asyik bercerita kereta tersebut yang baru dilancarkan oleh Perdana Menteri tahun lepas. Namun ada sesuatu yang mengganggu keseronokannya iaitu Indra yang asyik datang lewat ke kelas, jam sudah menunjukkan pukul 1.55 tengahari tetapi ia masih muncul.

Cikgu Murni meneruskan pengajarannya, kira-kira 5 minit kemudian Indra mengetuk pintu memberi salam dengan tertib. Cikgu Murni sedikit mengeluh sebelum menjawab salam tersebut dan menunjukkan isyarat supaya ia duduk di barisan ketiga berhampiran tingkap sebelah Amir. Indra kelihatan tercungap-cungap dan berpeluh-peluh seperti dikejar anjing lagaknya, ia terus mengeluarkan buku latihan matematiknya daripada beg hijau kain jenama swan yang sangat lusuh. Sifat Indra yang fokus terhadap pelajaran dan mampu menjawab hampir kesemua latihan yang diberikan memadamkan segala kemarahan Cikgu Murni di atas kelewatannya. “Indra, waktu rehat datang jumpa saya di bilik guru” arah Cikgu Murni pendek dan Indra sekadar menggangguk serta membisu.

Sedang Cikgu Murni khusyuk menyemak buku nota latihan matematik, Indra sudah berada di hadapannya. “Kenapa awak asyik datang lambat ke kelas?” tanya Cikgu Murni, Indra membisu. “Jika awak ada masalah cerita pada saya” sambung Cikgu Murni lagi, Indra masih tetap membisu. Cikgu Murni agak berang dengan perangai Indra, “baiklah jika begini perangai awak, besok jika awak melakukan perbuatan yang sama saya akan hantar awak kepada Cikgu Hamdan untuk tindakan disipllin, sekarang awak boleh pergi”, bentak Cikgu Murni. Indra menundukkan mukanya seraya menggangguk kemudian memalingkan langkah keluar dari bilik guru.

Zappp, zapp, zapp!!! tiga kali tangan kanan Indra dirotan, berkerut mukanya menahan sakit, tetapi langsung tidak melihatkan sebarang penyesalan terhadap perbuatannya. “Sudah!!! awak boleh masuk ke kelas” arah Cikgu Hamdan tegas. Cikgu Murni hanya menggelengkan kepala melihatkan peristiwa tersebut, “dia masih tidak serik-serik! tapi dia bukanlah pelajar yang bermasalah” Cikgu Murni bersuara pada Cikgu Hamdan. “Kasihan pula saya melihatnya Cikgu Murni, masuk ni sudah kali kelima dia dirotan tetapi dia masih berdiam diri” balas Cikgu Hamdan. “Saya ingat mahu pergi ke rumahnya besok menyiasat perkara sebenar, jika perlu mungkin berjumpa dengan orang tuanya.” sambung Cikgu Hamdan. “Hmmm, bagus jugalah begitu, mungkin dengan cara itu kita dapat mengatasi masalah disipllinnya” balas Cikgu Murni.

Cikgu Hamdan memberhentikan kereta Datsun 120Y berwarna putih kepunyaannya di bawah sepohon yang rendang, berdasarkan maklumat orang kampung dan alamat yang diberi oleh Cikgu Murni, rumah yang terletak 50 meter di sebelah kanan itulah tempat tinggal Indra. Kawasan rumah itu sangat kemas dan cantik ditanami pokok-pokok bunga dan pelbagai jenis sayuran di kiri dan kanan rumah, tetapi rumah tersebut sangat usang tidak bercat. Terdapat sebuah beranda kecil di hadapannya, dan kelihatan tangga rumah tersebut yang diperbuat dari kayu itu seperti tidak cukup. Dinding rumah tersebut juga ada yang ditutupi dengan zink-zink berkarat dan guni beras.

Jam sudah menunjukkan pukul 1.20 petang, kelihatan Indra mundar-mandir tanpa berbaju di hadapan beranda seperti menunggu seseorang. “Kenapa pula dia tidak bergerak ke sekolah lagi” bisik hati Cikgu Hamdan sedikit marah. Jam sudah melewati jam 1.45 petang Indra sudah tidak kelihatan di beranda tapi masih belum pergi ke sekolah. Cikgu Hamdan sudah bosan menunggu, dia menghidupkan enjin kereta untuk pulang ke sekolah melakukan rutinnya sebagai guru Bahasa Melayu selain sebagai guru disiplin, kerana beliau mula bertugas pada waktu ketiga.

Namun Cikgu Hamdan tidak jadi meneruskan perjalanannya kerana rumah tersebut didatangi oleh adik Indra yang baru pulang dari sekolah sesi pagi dan Cikgu Hamdan tidak pasti namanya. Adiknya tanpa berlengah terus membuka baju dan kasutnya di beri kepada Indra. Indra dengan pantas memakai baju dan kasut tersebut dan mencapai beg sekolahnya serta bergerak pantas ke sekolah dengan berlari selaju boleh. Cikgu Hamdan terpaku melihat kejadian di hadapannya yang pantas itu, dia tidak pernah terfikir akan melihat perkara ini, tubuhnya menjadi longlai sudah tidak bersemangat seperti selalu.

Kenapa kamu tidak memberitahu kami masalah kamu? Soal Cikgu Hamdan dengan nada yang agak lembut daripada kebiasaannya. Indra yang sentiasa menundukkan mukanya itu perlahan-lahan mengangkat mukanya yang cengkung. Dia memandang tepat ke arah muka Cikgu Hamdan dan sekali berpaling ke arah Cikgu Murni sebelum memandang semula ke anak mata Cikgu Hamdan. Dia tiba-tiba bersuara “cikgu, jika perlu merotani saya kerana kesalahan yang saya lakukan lakukanlah, namun untuk saya memalukan orang tua saya kerana kemiskinan kami tidak akan sekali-kali saya lakukan.”

Cikgu Murni sudah tidak dapat menahan air matanya, dia bergegas meninggalkan bilik guru dalam keadaan teresak-esak sambil menekup mukanya yang sudah merah. Cikgu Hamdan terpaku mendengar jawapan petah Indra yang selama ini membisu, dia kembali duduk di kerusinya, loceng berbunyi menandakan waktu rehat telah tamat. Cikgu Hamdan memberikan isyarat supaya Indra kembali ke kelasnya kembali meneruskan pembelajarannya. Rasa bersalah sangat mendalam kali ini, tidak pernah ia berasa perasaan seperti ini selama bertugas sebagai guru disiplin kalau boleh ia mahu melutut dan sujud kepada Indra supaya memaafkannya.

Raja Melewar

2 Disember 2008