Thursday, April 23, 2009

Pertama

Sampai di KLIA tanpa berlengah Johan mencari kedai coklat yang biasa dikunjunginya, setelah berjaya mencari coklat yang dimahukannya lalu terus ke kaunter namun sebelum itu ke ruangan air minuman untuk mengambil sebotol air mineral. “Berapa Jenny?” tanya Johan tanpa lekang senyuman di mulutnya, gadis itu tersenyum kerana jarang sangat pelanggan memanggil namanya walaupun tanda namanya tidak pernah lekang pada sebelah kiri bajunya. “RM21.30 bang,” jawabnya sambil melemparkan senyuman. “Untuk seseorang yang istimewa?” tiba-tiba Jenny bersuara, Johan lantas menatap muka gadis yang comel itu. “Yup,” sambil tergelak kecil barulah dia tahu yang menjadi perhatian Jenny kerana asyik tersenyum seorang, mana tidaknya di kepalanya asyik teringatkan Arianna yang menantinya dibalai ketibaan itu sangat suka kepada coklat.
-
Sampai di balai ketibaan tidak susah untuk Johan mengenal pasti Arianna kerana ia mengenakan baju putih hitam sesuai dengan kerjanya sebagai peguam yang baru pulang dari kerja. Johan terus melambai Arianna dari pintu laluan keluar ke balai ketibaan, namun langkahnya tiba-tiba terhenti bila melihat Sofea di hadapannya. Jantungnya tiba-tiba bergerak kencang, bungkusan coklat itu di tangan kanannya terlerai dan terjatuh kelantai balai ketibaan. Tangan kanannya meramas erat dada kirinya yang sakit, dia cuma mampu melutut menahan kesakitan, nafasnya turun naik hingga tidak boleh bernafas dan pandangannya di rasakan amat gelap.
-
Begitu banyak wayar yang di sambung pada badan Johan hingga merimaskan dirinya, sebenarnya ia adalah ujian untuk menguji keadaan jantungnya, ia dilakukan oleh Sarah seorang jururawat yang agak berpengalaman. Selesai sahaja tugasnya ia menulis laporan di atas kertas segala catatan pada monitor komputer. Kemudian datang doktor Firdaus memeriksa laporan tersebut, ia bersuara kepada Johan yang masih kelihatan bingung.
-
“Encik boleh keluar hari ini kerana segala ujian yang dilakukan menunjukkan encik tiada masalah jantung. Mungkin encik terkejut melihat sesuatu?” tanya doktor Firdaus pada Johan. Johan membisu langsung tiada menunjukkan ia akan berkongsi cerita dengan doktor Firdaus. Doktor Firdaus tersenyum lalu menyambung, “jangan encik risau, kerana kadang-kadang jantung kita ini macam enjin kereta sesekali ia semput dan mati tetapi bila kita hidupkan kembali enjin tersebut ia akan ok.” Johan mengganguk malas seperti tidak mengendahkan kata doktor Firdaus.
-
Arianna langsung tidak membalas sms Johan apatah lagi menjawab panggilan telefonnya, ini cukup mengecewakan Johan. Ia mengemaskan dirinya untuk keluar dari hospital tempat yang merupakan tempat paling tidak disukainya di planet bumi. Sarah tiba-tiba masuk ke wad Johan, “Encik Johan ini surat dari Cik Arianna.” Sarah bersuara sambil menyerahkan surat tersebut. “Dia beri pada saya, semalam.” Sambung Sarah. “Terima kasih Sarah.” Balas Johan tersenyum pahit. Sarah menggangguk sambil berdiri di tepi tirai menunggu Johan membuka surat tersebut. Surat di buka dengan cermat, berdebar jantung Johan. “Johan, i rasa kita tidak ditakdirkan untuk bersama, your understanding on this matter is highly appreciated.” Johan membisu dan sayu, dia sudah menganggak perkara itu akan berlaku akibat peristiwa semalam dan kerana itu Ariannna tiada disampingnya bila dia tersedar daripada pengsan di hospital.
-
“Sarah percayakah kamu pada cinta pandang pertama?” tiba-tiba Johan bertanya kepada Sarah. “Entahlah saya tidak pasti, tapi kenapa encik? Betulkah encik pengsan kerana melihat kekasih pertama encik di KLIA seperti kata Cik Arianna pada saya?” Johan merenung tajam Sarah. “Cinta pandang pertama adalah sesuatu yang paling hebat dalam hidup saya, nasihat saya tinggalkan sedikit perasaan benci dalam cinta itu supaya tidak menderita seperti saya.” Johan melipat surat tersebut dengan cermat lalu dimasukkan ke kocek bajunya, sambil menyambung. “Bagi saya Johan yang lama sudah mati bersama cintanya pertamanya, saya cuma mangsa cerita silam saya.” Johan meninggalkan wad tersebut dengan langkah yang amat longlai.
-
Johan sudah tiba di Lembah Pacat yang merupakan pertengahan Gunung Nuang, turut kelihatan seorang 6 pendaki berhenti rehat melepaskan lelah dan seorang daripada mereka macam tidak bermaya,mengalami sakit kepala, kekejangan otot. Johan meminta air minuman mereka dan membancuhkan garam berhidrasi untuk diberi minum kepada pendaki yang tidak bermaya itu supaya dapat menggantikan garam yang hilang di dalam badan pendaki tersebut. Beliau turut melakukan rengangan otot hamstring kepada pendaki tersebut. “Bro, kau ni sakit kepala sebab kekurangan oksigen di altitud tinggi, itu biasa sahaja kau jangan risau makan sahaja panadol ni.” Sambil Johan mengeluarkan paracetamol daripada poket beg sandang 20 liternya yang memuatkan segala peralatan ikhtiar hidup yang diperlukan oleh seorang pendaki. “Ini kali pertama naik gunung? Sambung Johan. Pemuda itu menggangguk.
-
“Abang daki sorang je ke? Tiba-tiba seorang kawannnya bersuara kerana pelik melihatkan Johan yang keseorangan di situ. “Tidaklah abang berdua dengan kawan abang, dia masih di bawah. Kami tengah racing ni.” Ujar Johan berseloroh. “Kau orang kalau nak sampai ke puncak haruslah bersama-sama jangan ditinggal pun sesiapa, ia adalah pengalaman yang hebat jika kamu dapat naik kepuncak bersama-sama.” Sambung Johan bersemangat. “Yang penting kamu pastikan bekalan air bersih mencukupi kerana tiada punca air lagi selepas ini, kamu boleh ambil di situ cuma 10 minit sahaja turun ke bawah.” Sambung Johan lagi sambil menunjukkan arah punca air tersebut yang terletak di sebelah kiri menuju puncak. Johan bersalaman dengan pendaki-pendaki tersebut dan menyambung perjalanannya yang masih jauh.
-
Arianna aku cinta padamu!!!!! Jerit Johan sekuat hatinya sebaik sahaja ia sampai di puncak. Suaranya sangat bergema di puncak yang tertinggi di negeri Selangor itu yang juga merupakan sempadan tiga negeri iaitu Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Johan berbaring di atas rumput melepaskan lelah yang teramat sangat, tiada sesiapapun di situ melainkan dirinya dan beberapa ekor tupai gunung yang sedang mencari makanan. Dia melihat jam di tangannya. “tiga jam 45 minit satu rekod yang baru.” Getus hati Johan, dia tersenyum puas bukan kerana catatan masa tersebut, tetapi kerana jantungya masih berfungsi dengan baik.
-
10 kemudian Kamil tiba dengan muka yang sangat letih dan tidak bermaya, seluruh tubuhnya basah. “Ahhh..” jeritnya tidak bermaya dan terus merebahkan diri di sebelah Johan. “Hang ni, gila tau tak?” “ orang naik gunung nak enjoy, aku dapat penat.” Sambungnya merungut panjang. “Haa..ha.. janganlah marah, sesekali kita kena menguji potensi diri kita.” Balas Johan. “Kalau kau nak tahu, Unit Tindakan Khas dan komando cuma perlukan masa sejam sahaja untuk sampai ke sini, lagi gilakan!” Kamil kelihatan tidak mahu melayan Johan dan dia tiba-tiba bersuara. “Hang ni kalau buat benda-benda merepek mesti ada problem dengan awek hang,”. Johan berpaling ke arah Kamil,ia mengangguk. Dia menceritakan segala yang terjadi kepada Kamil. “Aku rasa hang kena juga jumpa dia, tidak rugi mencuba sekurang-kurangnya kau sudah mencuba.” Nasihat Kamil. Johan terus membisu, mengangguk tidak dan menggeleng pun tidak.
-
Pagi yang tidak berapa bagus di pejabat Zahid & Co kerana Johan mengambil keputusan pergi ke situ mencari Arianna yang telah mengelak daripadanya. Bila dapat bertemu bertalu-talu Arianna mengherdik Johan kerana peristiwa tempoh hari di hadapan beberapa kakitangan di situ, Johan hanya membatu menunggu kemarahannya reda. Dia lebih rela dimarah oleh Arianna dan menanggung malu daripada menanggung ketidakpastian di dalam hidup. Puas sudah dipujuk namun Arianna bulat dengan keputusannya untuk berpisah dengan Johan, “I tidak suka berkongsi kasih dengan orang lain, you boleh balik dengan dia semula!.” Marah Arianna.
-
Johan sudah berputus asa dengan usahanya namun ia tidak pernah menyesal menyintai Arianna, Johan melemparkan senyuman pahit kepada Arianna sebelum keluar dari bilik pejabat Arianna. Johan melangkah sedikit lemah daripada waktu ia datang ke situ tadi. Hingga ke akhir perhubungan mereka, Johan masih dengan egonya tidak pernah meminta maaf di atas peristiwa yang berlaku tempoh hari. Baginya ia cuma terjadi kerana mereka berada di masa dan tempat yang salah dan sesiapapun tidak patut dipersalahkan dalam hal ini, bukan dia, Arianna mahupun Sofea. Ia adalah takdir yang telah ditentukan yang tiada siapa dapat mengubahnya. Baginya sejarah cinta pertama tidak pernah berbohong bahawa ia pernah berlaku dan ia berlaku kepada semua orang cuma ceritanya sahaja berbeza.

Bintulu

3 comments:

Bila Diary Bercerita said...

Arianna tu pun bukannya 100% cintakan Johan. Kalau tak, mesti dia akan usaha untuk dapatkan cinta Johan 100% juga.

Apapun Tahniah untuk cerpen ini.
Awak patut hantar ke mana-mana Majalah. Semoga terus sukses!

Maswafi Abd Samat said...

t.q,

Kalau macam tu mungkin selepas ini jika Johan bertemu Arianna dadanya akan sakit seperti ia bertemu Sofea??? Kerana ia benar-benar mencintai Arianna...

Anonymous said...

“Cinta pandang pertama adalah sesuatu yang paling hebat dalam hidup saya, nasihat saya tinggalkan sedikit perasaan benci dalam cinta itu supaya tidak menderita seperti saya.”

....baru kini aku mengerti... dan aku juga telah melaluinya...

-Batu Gajah-