Showing posts with label Asal Usul. Show all posts
Showing posts with label Asal Usul. Show all posts

Sunday, April 10, 2011

Asal Usul Keris Taming Sari

Keris tidak langsung boleh berenggang dengan orang Melayu suatu ketika dulu sehingga terasa seperti berbogel jika tidak menyisip keris di pinggang (Winstedt). Keris yang tinggi maratabatnya hingga menjadi idaman semua orang terutamanya Taming Sari. Persoalannya kenapa nama keris itu Taming Sari, walhal banyak keris yang tidak bernama di dunia alam Melayu.

Sebelum itu eloklah difahamkan bahawa Taming Sari adalah nama seorang pendekar Jawa dalam kerajaan Majapahit seperti yang disebut di dalam Hikayat Hang Tuah. Menurut hikayat ini, Taming Sari adalah seorang panglima yang paling handal di Majapahit ketika itu, dan beliau telah ditugaskan oleh Bendahara Majapahit, Patih Gajah Mada untuk membunuh Hang Tuah.

Mengikut cerita orang tua, Taming Sari telah menuntut ilmu kesaktian dan gurunya telah mensyaratkan beliau untuk bertapa di sebuah gua dan mendapatkan lidah ular sakti sebagai bukti tamat pertapaan. Semasa beliau bertapa seekor ular besar telah datang kepadanya, dengan menggunakan helah ular tersebut menjulurkan lidahnya di pintu gua. Lantas beliau memotongnya dan membawanya pulang kepada gurunya, ia (lidah ular) kemudian ditempa menjadi keris sakti yang tidak bernama.

Setelah keris itu siap gurunya telah memberikan kepada Taming Sari dan mengatakan bahawa sesiapa yang memegang keris tersebut akan menjadi kebal ia juga meletakkan syarat jika sesiapa mengaku keris tersebut keris kepunyaannya ia akan makan tuan.

Hang Tuah pula pada masa itu telah berguru kepada seorang ahli pertapaan Jawa bernama Sang Adi Putera. Gurunya itu telah memberitahu akan kelemahan Taming Sari. Oleh itu, pada hari pertarungan antara kedua pendekar ini di hadapan Sultan Melaka dan Betara Majapahit, Hang Tuah telah berjaya membuatkan Taming Sari mengaku itu kerisnya dengan dialog “aku takkan mati selagi aku mempunyai keris sakti ini!”. Kemudian Hang Tuah berjaya merampas keris tersebut dan membunuh Taming Sari, (hal yang sama juga terjadi kepada Hang Jebat sebab Hang Jebat mengungkap dialog yang sama).

Sebagai menghargai kejayaan Hang Tuah itu, Betara Majapahit telah menganugerahkan keris itu kepada Hang Tuah. Hang Tuah terus menamakan keris itu sebagai "Keris Taming Sari" untuk mengelakkan sumpahan dan telah dibawa pulang ke Melaka.

Selepas kejatuhan empayar Melayu Melaka, tidak lagi diketahui ke mana perginya keris Taming Sari ini. Pelbagai kisah dan mitos tersebar mengenai keris ini. Ada yang mengatakan bahawa keris ini telah hilang bersama-sama Hang Tuah di Hulu Muar selepas Hang Tuah gagal membawa pulang Puteri Gunung Ledang untuk Sultan Melaka. Ada pula yang percaya bahawa keris Taming Sari telah dibawa ke Perak dan disimpan oleh keturunan raja-raja Perak.

Disesuaikan dengan Maswafi bin Abd Samat. 1998 “Jampi Mantera : Peranannya Dalam Ilmu Persilatan Melayu. Latihan Ilmiah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Wednesday, July 28, 2010

Asal Usul Kuching

Di masa lalu Sungai Sarawak dan di seluruh negeri Sarawak termasuk Bandar Kuching dikenali sebagai Sarawak. Tiada siapa yang tahu bagaimana ibu negeri ini akhirnya dikenali sebagai Kuching.

Kuching ialah satu perkataan Melayu yang bermakna haiwan kucing dan mungkin dimasa lalu terdapat banyak kucing di sepanjang Sungai Sarawak, lalu di beri nama Kuching (Bahasa Melayu Sarawak kucing dieja sebagai kuching). Pada tahun 1839, James Brooke (Raja Putih pertama di Sarawak) memanggil Bandar tersebut Kuching mungkin bermaksud Cochin atau pelabuhan seperti di India atau Indo-China.

Pada tahun 1870 an, terdapat sebuah sungai bernama Sungai Kuching yang mengalir melalui sebuah bukit yang ditumbuhi oleh pokok buah-buahan mata kucing (Nephelium Malaiense). Lalu pada tahun 1876 bandar tersebut dengan rasminya dikenali sebagai banadar Kuching.

Sumber: The Cat Museum, Kuching

Sunday, July 18, 2010

Asal Usul Kucing

Mengikut sumber-sumber Israiliyyat ia bermula semasa 3000 s.m sewaktu nabi Nuh bersama 83 pengikut yang beriman belayar menggunakan bahtera yang diperbuat daripada 4,340 papan dan 50 buah layar. Kapal tersebut mempunyai 7 tingkat di mana tingkat 1 untuk menyimpan barang pusaka nabi Adam, Hawa, nabi Syith dan nabi Idris. Tingkat ke 2 tempat nabi Nuh dan pengikutnya, tingkat ke 3 dikumpulkan segala jenis burung, tingkat ke 4 pelbagai jenis binatang jinak (berpasangan), tingkat ke 5 binatang liar (berpasangan), tingkat ke 6 ditempatkan segala jenis rumput-rumpai dan tingkat teratas (7) diletakkan benih-benih pokok dan biji-bijian.

Disebabkan pelayaran yang sangat lama iaitu selama 7 bulan akibat banjir besar, timbul masalah najis-najis yang tidak terkawal di dalam bahtera nabi Nuh. Nabi Nuh meminta pertolongan malaikat Jibrail untuk menyelesaikan masalah tersebut, dengan itu nabi Nuh diarahkan untuk menggosok belalai gajah untuk menyelesaikan masalah tersebut. Apabila baginda melakukan perkara tersebut keluarlah beberapa ekor babi dari bebalai gajah yang akhirnya memakan segala najis di dalam bahtera tersebut.

Perbuatan itu dilihat oleh salah seorang pengikutnya (syaitan yang menyamar), lalu melakukan perkara yang serupa tetapi menggosok belakang babi maka dengan itu keluarlah beberapa ekor tikus yang memakan dan merosakkan dinding bahtera. Sekali lagi malaikat Jibrail membantu baginda menyelesaikan masalah tersebut, kali ini baginda diarahkan untuk menggosok belakang harimau dengan serta merta keluarlah beberapa ekor kucing yang akhirnya memakan tikus-tikus tersebut.

Bagaimana kucing tersebut sampai ke Tanah Melayu?

Mengikut sumber Sejarah Melayu (karangan Tun Sri Lanang Bendahara Kesultanan Johor abad ke 16) ia bermula apabila jumlah tikus yang sangat banyak di istana Melaka membuatkan keadaan tidak terkawal. Keadaan tikus di istana sangat berkurangan apabila saudagar dari Parsi (Iran) menghadiahkan Sultan Melaka beberapa ekor kucing. Kucing-kucing ini telah memakan tikus-tikus yang bermaharajalela kerana sifatnya memang dicipta untuk memakan tikus sejak 5 ribu tahun lalu. Kucing di istana Melaka inilah merupakan nenek moyang segala kucing yang ada di Tanah Melayu sekarang ini.

*Pengiraan Kalendar sebelum kelahiran Nabi Isa adalah disebut dengan panggilan ‘sebelum Masihi’. Perkataan ‘Masihi’ di sini adalah sempena gelaran al-Masih bagi Nabi Isa atau ringkasannya BC yang bermaksud ‘before Chirst’. Bagi tahun-tahun sebelum Masihi, kiraannya adalah terbalik berbanding zaman selepas Masihi. Selepas Masihi ditulis dengan singkatan AD yang berasal daripada perkataan Latin Anno Domini yang bermaksud tahun Masihi.

Friday, June 25, 2010

Mari kita pecahkan tembok itu! (asal-usul maraton)

Dua (2) hari lagi Standard Chartered Marathon akan berlangsung, ia dinanti dengan penuh keghairahan dikalangan runners. Semua orang mempunyai alasan kenapa perlu melakukan full marathon? Dari segi sejarahnya ia bermula apabila Militiades (Greek) berperang dengan tentera Parsi di Bay of Marathon. Dalam peperangan ini Militiades telah menang dan telah menjadi resam dulu untuk menghantar utusan memberitahu keputusan peperangan itu.

Oleh kerana tiada talian telefon pada masa itu, Militiades telah memilih seorang tenteranya (Pheidippides) untuk menyampaikan utusan tersebut. Di atas alasan tersebut tentera tersebut berlari dari Marathon ke Athens sejauh 34.5 km (21.4 batu) untuk tujuan tersebut dan akhirnya ia terus mati kehausan sebaik sahaja sampai di Athens selepas menyampaikan maklumat kemenangan Militiades!.

Paling ramai memberi alasan adalah untuk kesihatan, ia mungkin betul kerana pelari maraton rata-ratanya mempunyai jantung yang sedikit agak besar dari ahli sukan yang lain. Juga apabila kita berlari ia akan membekalkan sejenis asid kepada jantung kita supaya lebih kuat yang pastinya ia tidak dapat dibeli di farmasi. Ini memudahkan jantung melakukan fungsinya dengan baik namun tidaklah pula membenarkan kita untuk makan hentam keromo kerana kononnya kita sangat sihat.

Aku juga mempunyai alasan yang tersendiri, gangguan tidak dapat tidur membuatkan aku mempunyai hobi berlari pagi dan petang di kawasan Universiti Malaya hampir setiap hari supaya aku penat dan senang tidur. Aku pernah ditegur oleh Sarjan yang selalu bermain bola di situ (UM) kerana bosan melihat aku yang sentiasa ada di situ. Semasa itu aku tidak pernah langsung memikirkan untuk melakukan full marathon (42.195km), ia cuma tercetus apabila Farrah menyuruh aku berfikir kenapa aku tidak melakukannya kerana hobi aku berlari secara konsisten walaupun tanpa pertandingan.

Masalah yang utama dihadapi oleh runners ialah apabila cepat mencapai hit the wall daripada breaking the wall. Itulah yang akan dihadapi oleh Max pagi ahad ini untuk full marathon yang pertamanya. Sebelum berlangsung, dalam minda runners semacam ada tembok yang sangat tebal mungkin lebih tebal daripada dinding besi Iskandar Zulkarnain di celah dua gunung Kaukakus yang menghalang Yakjuj dan Makjud. Ini ditambah pula dengan kata-kata negatif yang tidak membantu seperti kerja gila dan bolehke? daripada masyarakat di sekeliling itu tidak termasuk dengan sifat putus asa yang ada dalam diri.

Aku tahu ia hampir-hampir mustahil untuk dilakukan dan memerlukan pengorbanan yang tahap dewa seperti terpaksa berlari 60 km seminggu, carbo loading, dan sesetengah runners yang agak berduit ada membeli beberapa gadjet yang sesuai seperti running shoes, garmin watch, dan tangkal kuat (kalung titanium). Max, mari kita pecahkan dan cairkan tembok tersebut yang mana akan membuka peluang kepada lebih ramai rakyat jelata terutamanya Unit Sukan Raja Melewar boleh melaluinya dengan mudah tanpa perlu melanggar dinding tersebut. Percaya atau tidak dinding tersebut adalah diri kita sebenarnya!.

Monday, June 21, 2010

Sungkai, asal usulnya.


Pokok Sesungkai: sumber ku-alam.blogspot

Pendahuluan

Saya menerima ulasan yang agak kritis dan membina untuk tulisan saya bertarikh 18 Mac 2006 bertajuk Sungkai. Berikut adalah sedikit kenyataan saya “…pada masa lalu terdapat seorang bayi perempuan hanyut di Sungai Sungkai di atas buih lalu diambil orang kampung lalu dinamakan Puteri Buih… Aku teringat semasa Raja Nazrin datang merasmikan Sekolah Menengah Trolak dulu, air minum Sultan (Perak) didatangkan dari Tapah, aku rasa mereka bersikap berhati-hati kerana dikhuathiri daulat Sungkai (Puteri Buih) masih ada…”

Ilmu asal-usul

Sebelum saya pergi kepada cerita Puteri Buih yang kadang-kala menjadi salah satu bahan mengajar ketika waktu senggang eloklah saya menceritakan tentang “ilmu asal usul”. Ilmu ini hanya boleh dipelajari oleh sesiapa yang berminat hendak menjadi pawang atau bomoh setelah melalui proses meminang (penuntut mesti membawa barang yang dijanjikan seperti kain hitam, garam jantan dan jarum). Ilmu asal usul adalah perkara wajib yang mesti diketahui sebelum mempelajari jampi serapah. Ini kerana di dalam jampi serapah kita perlu mengetahui siapa penjaga kita dan setakat mana kawasan jagaannya.

Bagaimana Sungkai mendapat nama?

Sungkai seharusnya sinonim dengan pokok Sesungkai tumbuhan yang melata di sepanjang Sungai Sungkai dan sekitarnya. Secara fizikalnya teras batangnya lembut seperti pokok ubi dan daunnya seperti daun pokok mengkudu tapi bercabang dan batangnya boleh membesar seperti pokok mangga. Ironiknya orang di pedalaman Pahang (Sungai Pahang) memanggilnya pokok Sungkai dan mereka mengamalkan dalam perubatan tradisional dimana air rebusan daunnya diminum untuk menghilangkan demam panas. Orang Sungkai suka menggunakan pokok tersebut untuk dibuat tiang jambo (pondok menjaga buah durian gugur) kerana tiang tersebut akan hidup dan tahan lama (seperti yang kita menanam pokok ubi). SMK Sungkai ada menanam pokok ini sebagai salah satu proses pembelajaran kepada pelajar-pelajarnya.

Panglima Hitam dan kawasannya.

Panglima Hitam adalah penjaga kawasan mukim Sungkai dan sekitar Pahang, mungkin ada yang tertanya-tanya apa yang dimaksudkan penjaga dan kenapa hanya mukim Sungkai dan sekitar Pahang? Setiap kawasan ada penjaganya yang akan mengawal segala hal-hal ghaib yang berlaku di kawasan itu, di Sungkai dan Pahang nama penjaga tersebut adalah Panglima Hitam. Jika hal-hal ghaib berlaku di Taiping, bomoh di kawasan Sungkai dan Pahang tidak dapat berbuat apa-apa melainkan merujuk kepada bomoh di kawasan Taiping kerana ada penjaganya yang tersendiri di situ, samalah jika sebaliknya berlaku.

Persoalan yang kedua kenapa Sungkai dan Pahang sahaja, alasannya Panglima Hitam hanya mengawal hal-hal ghaib di kawasan adanya pokok Sesungkai. Pada mulanya saya tidak percaya bahawa pokok Sesungkai cuma boleh didapati di Sungai Sungkai dan Sungai Pahang sahaja. Namun setelah menjarah hampir kebanyakan kawasan pedalaman di Semenanjung, pernah melakukan Trans Titiwangsa serta pernah melakukan perjalanan air dari Pending (Kuching) ke hulu Sungai Rajang (Batang Balui) sejauh lebih 600km saya yakin bahawa perkara itu benar.

Puteri Buih

Sungkai mengikut ilmu asal-usul ada kaitan dengan salasilah keturunan Sultan Perak sekarang. Mengikut ceritanya pada masa lalu terdapat seorang bayi perempuan hanyut di Sungai Sungkai di atas buih lalu diambil orang kampung lalu dinamakan Puteri Buih. Kecantikan Puteri Buih amatlah masyhur hingga menarik perhatian Sultan Perak lalu ia meminang Puteri Buih, namun terdapat masalah kerana Puteri Buih kononnya datang dari keluarga bunian.

Setelah perbincangan diadakan antara pihak Sultan dan Panglima Hitam (bunian) maka dua (2) syarat telah ditetapkan untuk menghormati tempat datangnya Puteri Buih ini. Dua (2) syarat tersebut ialah keturunan Sultan tidak boleh minum air berpunca dari mukim Sungkai dan kedua tidak boleh memijak tanah di Sungkai tanpa beralaskan kain kuning. Jika perkara ini dilanggar malapetaka akan berlaku terhadap Sultan. Pernah satu ketika Permaisuri Sultan Perak datang ke SMA Abbasyiah lebih kurang 15 tahun yang lepas pulang terus kerana tiba-tiba sahaja ribut petir sabung menyabung. Alasan yang diberikan oleh penduduk kampung ialah kerana ia memijak tanah tanpa menggunakan alas kain kuning.

Terdapat percanggahan fakta antara Ku Alam dan Ahmad Said dengan versi saya, saya percaya ini dapat mencambah ilmu antara sesama kita. Mengenai ada laut air tawar di Tiang Bertarah telah diperbesar-besarkan, saya percaya apa yang dimaksudkan laut itu cumalah sungai yang besar (macam laut kata orang tua). Mengambil analogi bagaimana Kg Pekan Lama (Sungkai) itu mendapat lama, ia sebenarnya sebuah pekan yang sangat maju dimana air adalah pengangkutan utama.

Dasar sungai yang dalam dan lebar membolehkan tongkang bergerak dari Sungkai ke Teluk Intan, untuk memberikan jawapan yang lebih realistik sila lihat youtube : Kisah Tongkang Sungai Baleh, dimana terdapat tongkang yang sangkut kerana sungainya tidak cukup dalam. Namun ia tidak bermakna sungai yang tidak cukup dalam ini tidak cukup untuk melemaskan gajah!. Lagipun jika Tiang Bertarah sudah menjadi laut semua penduduk Sungkai mungkin terpaksa berpindah ke kawasan Banjaran Titiwangsa untuk hidup.!

Saya percaya Puteri Buih ini dijumpai terapung di kawasan Tiang Bertarah walaupun saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu semasa belajar ilmu asal-usul. Ini kerana Tiang Bertarah adalah penempatan awal di Sungkai dan kebanyakan sejarah bermula di situ termasuklah jumpaan istana bunian oleh orang tua yang boleh dipercayai cakapnya semasa sedang berburu.

Kesimpulannya

Sebenarnya terdapat persamaan versi Ku Alam dan Ahmad Said dengan penulis jika diamati terutama cara Puteri Buih dijumpai. Penulis cuma lebih banyak bercerita dari sudut hal-hal ghaib (Panglima Hitam) manakala Ku Alam dan Ahmad Said bercerita dari sudut sejarah keluarga. Alangkah baiknya jika terdapat usaha untuk menyatukan dua cerita ini menjadi satu.

*Penulis tidak mencari persoalan benar atau salah penggunaan jampi serapah, bagi penulis sesiapa yang mensyirikkan Allah berada di pihak yang tidak benar. Penulis adalah pengarang Latihan Ilmiah Jampi Mantera dalam Persilatan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1998.

Thursday, February 04, 2010

ASAL-USUL KAUM KEJAMAN

Pendahuluan

Kaum Kejaman adalah satu daripada kaum etnik yang sudah lama menetap di negeri Sarawak. Secara khususnya mereka menetap di dua buah rumah panjang, iaitu Rumah Kejaman Datah Liten dan Rumah Kejaman Bak' Segaham yang terdiri daripada seribu empat ratus orang penduduk ia dipimpin oleh seorang laja levou.

Pada awal abad yang ketujuh belas kaum Kejaman telah menetap di kawasan Sungai Kajang, iaitu sebatang sungai simpang Sungai Linau. Pada masa itu juga terdapat kaum Sekapan, Lahanan, Punan dan Penan Busang telah menetap di sekitar kawasan-kawasan Sungai Kajang. Walaupun kaum-kaum ini berlainan etnik, didapati ada banyak persamaan di antara mereka. Mereka bertutur bahasa ibunda yang hampir-hampir sama, mengamalkan adat-istiadat yang sama dan mempunyai kebudayaan yang sama. Pada hari ini kaum-kaum ini telah dikategorikan dalam sebuah rumpun masyarakat yang dikenali sebagai Masyarakat Kajang.

Selepas hidup di sekitar kawasan Sungai Kajang dan kawasan-kawasan hulu dan hilir Sungai Linau berpuluh-puluh tahun, kaum Kejaman telah berpindah ke hilir Sungai Linau ke kawasan lembah Batang Balui hingga ke muara Sungai Belaga dan menetap sehingga hari ini. Kaum Sekapan berpindah ke hilir Sungai Murum ke kawasan muara Sungai Belaga hingga ke kawasan Giam Bungan serta terus menetap di sini. Kaum Lahanan telah berpindah turun ke muara Sungai Murum dan terus ke hulu sehingga kawasan Sungai Pangai dan telah menetap di sini.

Kaum Punan pula berpindah melintasi hutan melalui Sungai Belaga ke Sungai Kakus terus ke kawasan¬-kawasan Sungai Bah dan Sungai Sama dan menetap di sini, manakala kaum Penan Busang berpindah ke kawasan-kawasan hulu Sungai Linau dan menetap di sini sampai ke hari ini. Walaupun kaum-kaum ini sudah berpisah dan berpindah ke tempat yang berlainan, mereka masih kunjung-mengunjung di antara satu sama lain samada yang jauh atau dekat, lebih-lebih lagi pada masa perayaan, perkahwinan dan pada masa ada kematian saudara-mara di tempat lain.Mereka tidak pernah lupa dengan adat-istiadat dan kebudayaan dan sentiasa diamalkan dalam sesuatu perayaan atau sesuatu majlis.


Laja Levou (Ketua Rumah Panjang)

Selepas bertahun-tahun hidup di sekitar kawasan lembah Batang Balui, kaum Kejaman telah dikumpulkan hidup dalam beberapa buah rumah panjang iaitu Rumah Kejaman Datah Liten, Rumah Kejaman Tuju Sadza, Rumah Kejaman Tuju Meta'ap, Rumah Kejaman Datah Muma, Rumah Kejaman Datah Tiveng, Rumah Kejaman Tuju Jagu'ah, Rumah Kejaman Tuju Ha', Rumah Kejaman Belu'it dan Rumah Kejaman Datah Nian. Tiap-tiap sebuah rumah panjang itu telah dipimpin oleh seorang ketua yang dikenali sebagai laja levou.Biasanya seseorang yang dipilih sebagai laja levou adalah mesti seorang daripada keturunan laja levou dan dia memimpin anak-anak buahnya yang dipanggil panyin.

Tiap-tiap seorang laja levou menentukan kawasan-kawasan bagi anak-anak buahnya bertanam padi bukit, bertanam pokok-pokok buah dan bertanam tanaman lain serta tempat mendapatkan hasil-hasil hutan. Kawasan-kawasan Sungai Segaham, Sungai Tebavan, Sungai Menjawah, Sungai Daguai, Sungai Nian, Sungai Semengueang, Sungai Muma, Sungai Batou, Sungai Kita, Sungai Ha, Sungai Koyan, Sungai Penyuen, Sungai Dangeang, Kawasan Giam Bakun, Sungai Aya dan Sungai Beluit adalah kawasan-¬kawasan di mana kaum Kejaman telah selalu berpindah-randah menerokai hutan tempat bercucuk tanam serta mendapatkan hasil-hasil hutan.

Politik

Pada tahun 1830an dua orang pegawai Inggeris, iaitu Mr. Fox dan Mr. Steel telah dibunuh di Kanowit. Pembunuhnya iaitu Sawing dan Sakalai terdiri daripada kaum Kanowit. Mengikut ceritanya kaum Kanowit telah ada mempunyai tali persaudaraan dengan kaum-kaum yang ada di Batang Balui. Oleh kerana itu, Sawing dan Sakalai melarikan diri ke hulu Batang Balui bersama-sama pengikutnya. Kebetulan pada masa mereka sampai di Nanga Sama, Sawing dan Sakalai serta pengikut-pengikut bertemu dengan sekumpulan besar kaum Kayan yang diketuai oleh Lake' Havit yang baru berpindah dari Batang Kayan di Kalimantan.

Mengikut cerita Lake' Havit mempunyai kaki sebelah kiri yang cacat tetapi tegas dan mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan masyarakat di hulu Batang Balui. Dengan kesempatan ini Sawing dan Sakalai merayu perlindungan daripada Lake'Havit. Lake'Havit telah menerima rayuan ini sebab dia telah mendapat bantuan daripada kaum-kaum lain yang ada sekitar kawasan Batang Balui. Apabila Rajah Brooke mendapati bahawa Sawing dan Sakalai telah berselindung di bawah jagaan Lake'Havit. Rajah Brooke menghantar pegawainya untuk berunding dan menghantarkan sebilah pedang dan sehelai bendera pemerintahan Rajah Brooke sebagai simbolik, tetapi Lake'Havit dan pengikutnya telah memilih sebilah pedang dan mengembalikan bendera. Ini bererti Lake'Havit dan pengikut-pengikutnya menentang pemerintahan Rajah Brooke. Lake'Havit dan pengikut-pengikutnya pergi ke tiap-tiap rumah panjang kaum Punan untuk mendapat sokongan bagi menubuhkan pangkatan yang kuat untuk menentang pangkatan Rajah Brooke, tetapi kaum Punan telah menolak pelawaan ini.

Lake'Havit terus pergi jumpa tiap-tiap rumah panjang kaum Sekapan tetapi kaum Sekapan juga menolak pelawaan Lake'Havit. Walaupun Lake'Havit gagal memujuk Kaum Punan dan kaum Sekapan untuk menyertai angkatannya, dia terus pergi ke tiap-tiap rumah panjang kaum Kejaman. Akhirnya kaum Kejaman bersetuju untuk menubuhkan satu angkatan bergabung dengan angkatan Lake'Havit. Angkatan kaum Kejaman telah ditetapkan sebagai barisan hadapan menentang pangkatan Rajah Charles Brooke.

Kononnya kaum Kejaman sudah bersiap-sedia dan sudah melatih lapan ratus lapan puluh lapan orang pahlawan yang gagah dan berani dan pandai berperang. Lake'Havit dan pangkatannya berpindah ke hulu Batang Balui sebagai pangkatan barisan belakang menentang pangkatan Rajah Charles Brooke. Mengikut cerita, semua kaum Kejaman telah berkumpul di satu tempat iaitu di Tuju Meta'ap (kawasan itu kira-kira dua kilometer dari sebelah hilir Kem Teleng Logging Sendirian Berhad sekarang). Sebelum angkatan Rajah Brooke sampai, angkatan kaum Kejaman sudah bersiap-sedia membina panggar menyediakan bermacam-macam jenis peralatan seperti lembing, tombak, parang, pedang, perisai, sumpuitan, perangkap dan peluru-peluru meriam.

Pada pertengahan tahun 1836 Rajah Charles Brooke telah mengadakan Batang Balui Expedition untuk menentang penjenayah, pemberontak serta menangkap pembunuh Mr. Fox dan Mr. Steel, iaitu Sawing dan Sakalai. Rajah Charles Brooke telah membawa berbelas ribu pengikut yang terdiri daripada kaum Than daripada Batang Skrang, Layar, Julau dan Batang Baleh serta kaum-kaum lain dari sekitar sepanjang Batang Rajang. Angkatan Rajah Charles Brooke terus bergerak ke hulu Batang Rajang terus sampai ke hulu Batang Balui. Akhirnya angkatan Rajah Charles Brooke telah tiba di Tuju Batou berdekatan dengan kota angkatan kaum Kejaman di Tuju Meta'ap.

Apabila mereka tiba di Tuju Batou, Rajah Charles Brooke mengarahkan tenteranya mengibarkan bendera putih yang telah menunjukkan dia telah ingin berdamai tetapi pangkatan kaum Kejaman telah mengibarkan bendera merah yang menunjukkan angkatan kaum Kejaman hendak menentang angkatan Rajah Charles Brooke. Kedua-dua pihak telah bertempur selama lapan hari dan lapan malam dan akhirnya angkatan kaum Kejaman telah mengaku kalah. Ramai daripada kedua-dua pihak telah terkorban, malangnya kaum Kejaman telah menerima banyak kemusnahan. Ramai perempuan dan anak kecil telah dibunuh dan ditangkap serta banyak harta benda telah dirampas dan banyak rumah panjang di sepanjang Batang Balui dibakar.

Mengikut cerita ada seorang daripada pahlawan kaum Kejaman yang bernama Imem Ada' seorang yang gagah, berani serta pandai menggunakan senjata perang telah mempertahankan serangan musuh serta dapat memberi ruang bagi ibu-ibu serta anak-anak kecil dan orang-orang tua melarikan diri. Dua orang anak kepada laja levou, seorang anak lelaki bernama Sebuang Kebing dan seorang anak perempuan yang bernama Inan Joi Sukun telah ditangkap sebagai tawanan, tetapi Rajah Charles Brooke mengarahkan pengikutnya menghantar balik mereka. Inan Joi Sukun telah dibawa ke hulu Batang Balui dan ditinggalkan di Na' Lake' Dian serta ditandakan dengan sehelai bendera pemerintahan Rajah Brooke, tetapi Sebuang Kebing telah terus dibawa oleh seorang pahlawan Than dari Julau sebagai anak angkat. Rajah Charles Brooke terus ke hulu Batang Balui untuk mencari Lake'Havit dan pengikut-pengikutnya. Akhirnya Lake' Havit telah mengaku kalah dan Sawing serta Sakalai telah ditawan dan ditangkap.

Aman Tipung Tului

Pada sekitar tahun 1840 an kaum Kejaman telah mulai hidup dalam keadan aman dan damai. Mereka telah mulai membina semula rumah-rumah panjang yang telah musnah selepas peperangan. Kaum Kejaman telah di bahagi kepada dua buah rumah panjang. Sebuah rumah panjang telah menetap di Datah Liten yang telah dipimpin oleh seorang laja levou yang bernama Aman Nyagou Ridzum dan sebuah rumah panjang lagi dipimpin oleh seorang laja levou yang bernama Aman Tipung Tului atau Tului Kebing. Kedua-kedua pemimpin ini telah bijak memimpin anak-anak buah mereka.

Mengikut cerita Aman Tipung Tului hanya mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Tubun Tului, tetapi apabila Tubun berumur dalam lingkungan empat tahun dia jatuh sakit dan telah meninggal dunia. Aman Tipung Tului yang sangat sayangkan anaknya, mahu mendirikan sebuah kelirieng (sesetengah masyarakat Sarawak menyebutnya salong) tempat kebumian anaknya. Tiang kelirieng ini dibuat daripada dua batang kayu belian dan seba, tiang kayu belian ini mempunyai lilitan kira-kira tujuh puluh dua hingga lapan puluh inci dan tiga puluh hingga lapan puluh kaki tingginya. Tiang belian ini telah ditebuk lubang di atasnya tempat menyimpan mayat si mati dan ditutup dengan seketul kepingan batu. Aman Tipung Tului telah mendirikan kelirieng ini di sebidang tanah di muara Sungai Segaham.

Tiang kelirieng ini telah dikenali sebagai Kelirieng Aman Tipung Tului dan telah dipindahkan oleh Muzium Sarawak pada tahun 1971 ke Kuching. Sekarang Kelirieng Aman Tipung Tului ini telah didirikan di halaman Bangunan Tun Abdul Razak di Kuching. Mengikut cerita, dua batang belian itu telah didapati dari Sungai Koran. Seketul kepingan batu yang telah kira-kira dua ratus lima puluh enam kaki persegi dan sepuluh hingga enam belas inci tebal sebagai penutup di atas kelirieng. Batu ini masih ditinggalkan di muara Sungai Segaham hingga sekarang. Seketul kepingan batu ini telah didapati dari muara Sungai Selengau, kira-kira sepuluh minit perjalanan menaiki bot ekspres ke hilir (ke Kapit) dari Pekan Belaga. Mengikut cerita, batu ini dibawa ke muara Sungai Segaham dengan rakit yang dibuat daripada berpuluh-puluh batang balak yang ditarik hulu oleh beratus-ratus orang dengan menggunakan rotan dan akar.

Mengikut cerita rakit itu telah ditarik ke hulu sama dengan masa selama pisang ditanam di atas rakit, apabila sampai di muara Sungai Segaham pisang itu pun berbuah. Apabila batu ini sampai di muara Sungai Segaham dua batang tiang belian itu didirikan sama pada masa hari gegaran gempar bumi yang kuat, iaitu pada masa Karakatou Island Erruption. Aman Tipung Tului adalah seorang pemimpin yang disayangi oleh semua penduduk di kawasan Batang Balui dan juga dikenali oleh penduduk di tempat lain sampai kepada semua penduduk di Batang Kapuas di Kalimantan.

Kaum Memaloh dan Turi dari Batang Kapuas, kaum Rajang dari Kuala Rejang, kaum Berawan dan kaum Seping dari Tinjar datang membantu mendirikan tiang Kelirieng Aman Tipung Tului. Mengikut cerita,tiang kelirieng ini siap didirikan selama tiga tahun. Semua penduduk yang ada datang telah ada menggunakan bermacam-macam cara untuk menarik seketul kepingan batu ke atas tiang itu tetapi gagal, akhirnya kaum Turi telah berjaya mereka sejenis alat tarik yang dibuat daripada rotan dan akar yang kuat yang telah diguna untuk menarik atas seketul kepingan batu penutup tiang kelirieng itu. Pada sepanjang masa pembinaan kelirieng Aman Tipung Tului, semua kaum wanita penduduk rumah-rumah panjang berdekatan telah menanam tanaman seperti ubi, tebu, jagung, keledek dan sayur-sayuran untuk menambahkan pembelanjaan dan disamping itu juga mereka siang dan malam sibuk menyediakan kuih-muih sebagai makanan tambahan.

Pada sepanjang masa mendirikan kelirieng itu semua pekerja telah berkampung di berdekatan tapak pembinaan. Sebelum tahun 1960 an orang masyarakat Kajang masih mengamalkan adat istiadat menulang atau mudzu, di mana mayat si mati telah disimpan dalam keranda yang dinamakan biguan. Biguan adalah keranda yang ditebuk daripada sebatang kayu yang sesuai besarnya dengan mayat si mati dan keranda ini telah diukir dan dihias dengan secantiknya. Apabila kerja ini telah selesai, keranda ini akan diasing dari rumah panjang dalam masa beberapa bulan atau beberapa tahun sepanjang masa membuat tempat perkuburan seperti mendirikan kelirieng. Apabila semua kerja ini sudah siap, keranda ini dibawa semula ke rumah panjang dimana diadakan upacara mudzu.

Upacara mudzu diadakan selama lapan hari atau enam belas hari, kelamaaanya upacara ini adalah mengikut pangkat keturunan si mati dan jika seseorang itu orang yang daripada keturunan laja levou mesti enam belas hari atau lebih lama lagi. Pada malam terakhir upacara mudzu akan diadakan malam terakhir yang dinamakan dou' semua jenis makanan dan minuman dihidangkan kepada semua yang datang. Semua penduduk rumah panjang dan penduduk rumah panjang jiran dijemput datang.

Pada keesokannya keranda itu akan dibawa ke kubur dan keranda ini akan dibuka dan semua tulang, tengkorak dan semua rangka badan si mati disimpan semula ke dalam sebuah tajau dan terus disimpan dalam kelirieng. Kelirieng akan dijaga oleh ahli kaum keluarga dengan sebaik-baiknya dan apabila seseorang daripada ahli kaum keluarga yang meninggal dunia dia akan disimpan didalamnya. Didapati sampai hari ini kita masih dapat melihat peninggalan beberapa buah kelirieng di kawasan masyarakat kaum Kajang Kejaman, Sekapan, Punan dan Lahanan. Kaum Kejaman juga mahir dalam ukiran dan hingga dapat dilihat di tapak perkuburan atau didalam rumah.

Fort Vyner

Pada tahun 1850an, Aman Tipung Tului telah dilantik oleh Rajah Brooke sebagai seorang pemimpin bagi semua kaum di Batang Balui. Aman Tipung Tului telah diberi kepercayaan oleh Rajah Brooke untuk memimpin semua kaum yang ada di sekitar Batang Balui untuk mendirikan sebuah kubu di muara Sungai Belaga (muara Sungai Belaga adalah Pekan Belaga sekarang). Kubu ini dibuat daripada kayu belian dan dibina oleh semua penduduk yang berada di Batang Balui. Mereka menggunakan kapak dan beliong untuk menebang, memotong dan membelah kayu belian untuk tiang, papan dan atap kepingan kayu belian. Hanya kaum Kejaman, Sekapan, Punan dan Lahanan menetap di sekitar lembah Batang Balui di mana kaum-kaum lain seperti Kayan, Kenyah, Cina dan Melayu belum sampai menetap di kawasan lembah Batang Balui.

Kubu ini telah didirikan dalam masa dua tahun dan telah dinamakan Fort Vyner tetapi kubu ini telah diroboh pada tahun 1965 dan tapak ini sekarang di dirikan sebuah bangunan pejabat jabatan kerajaan. Walaupun kubu ini tiada lagi, kaum masyarakat Kajang masih mengingati bahawa Fort Vyner telah dibina oleh kaum masyarakat Kajang dibawah pimpinan Aman Tipung Tului mengikut arahan Rajah Brooke. Aman Tipung Tului telah seorang yang bijak dan berkaliber dan dia telah memimpin kaum-kaum yang di bawah pimpinannya dengan baik dan adil.

Hubungan Diplomatik

Pada tahun 1860an Aman Tipung Tului dan pengikut-pengikutnya telah dijemput oleh Sultan Brunei, iaitu Sultan Omar Ali Saifudin pada masa itu. Menurut ceritanya, sebelum bertolak ke Brunei, Aman Tipung Tului mengarah anak buahnya untuk membina sebuah perahu yang besar yang dapat membawa lapan puluh hingga seratus orang. Sebelum bertolak ke Brunei Aman Tipung Tului telah mengarah semua anak buahnya menyediakan semua jenis makanan dan minuman untuk mengadakan majlis khas bagi ucapkan selamat jalan. Pada majlis tersebut semua penduduk dari kawasan Batang Balui datang untuk mengucapkan selamat jalan kepada Aman Tipung Tului dan rombongannya. Pada hari berangkat ke Brunei dia telah memilih 80 orang pahlawannya yang gagah, berani dan bijak. Perjalanan ke Brunei adalah yang amat sukar, Aman Tipung Tului telah membawa perahunya melalui Jeram Pelagus terus ke Kapit, Kanowit, Sibu, Kuala Rejang dan ke Lautan Cina Selatan. (Perjalanan menggunakan bot ekpsres sekarang cuma memerlukan masa lebih kurang 15 jam sahaja).

Di sepanjang perjalanan melalui Batang Rajang, Aman Tipung Tului dan rombongannya telah berhenti di Kanowit untuk bertemu dengan kaum Kanowit dan berhenti di Kuala Rejang untuk bertemu dengan kaum Rajang. Mengikut cerita kaum Kejaman mempunyai tali persaudaraan yang rapat dengan kaum Kanowit dan kaum Rajang. Dari Kuala Rejang, mereka terus perjalanan ke Kuala Mukah dan berhenti di sini untuk menemui kaum Melanau. Didapati kaum Kejaman dan kaum Melanau ada banyak persamaan dalam bahasa ibunda adat-istiadat dan kebudayaan. Kaum Kejaman telah mempunyai tali persaudaraan yang rapat dengan kaum Melanau di Mukah, Daro, Dalat dan Balingian.

Dari Mukah mereka bertolak ke Kuala Kemena, Kuala Tatau dan terus ke Kuala Suai dan berhenti beberapa hari di sini untuk bertemu dengan kaum Penan. Selepas itu mereka bertolak ke Kuala Niah, Subis, Miri dan terus ke Kuala Baram. Dari Kuala Baram mereka bertolak ke Kuala Belait dan terus ke Brunei. Perjalanan dari Kuala Rejang melalui lautan Cina Selatan ke Brunei telah mengambil masa empat puluh lima hari. Sultan Brunei telah menyambut kedatangan Aman Tipung Tului dan rombongan dengan penuh adat-istiadat dan dalam pertemuan Aman Tipung Tului dengan Sultan Brunei mereka telah banyak berbincang mengenai wilayah pemerintahan. Sultan Brunei telah memohon Aman Tipung Tului jangan mengganggu wilayahnya di Mukah, Tatau, Miri dan Baram.

Untuk mengukuhkan persaudaraan diantara kedua-dua pihak mereka telah bertukar-tukar tanda mata. Aman Tipung Tului telah memberi Sultan Brunei beberapa buah gong dan peralatan perang dan sultan Brunei pula memberi Aman Tipung Tului satu set pakaian perang, pedang dan meriam. Aman Tipung Tului dan rombongannya tinggal di Brunei selama empat belas hari. Sebelum pulang, Aman Tipung Tului dan rombongan telah diraikan dengan satu majlis yang penuh dengan adat-istiadat. Mereka telah berangkat dari pangkalan Diraja yang telah penuh dengan ribuan rakyat Brunei yang menunggu untuk mengucapkan selamat jalan kepada Aman Tipung Tului dan rombongan.

Dalam perjalanan pulang Aman Tipung Tului menggunakan jalan darat, dari Kuala Belait mereka terus ke Kuala Baram. Beberapa hari kemudian mereka terus meneruskan perjalanan ke hulu Batang Baram ke Marudi dengan menggunakan perahu. Selepas beberapa hari tinggal di Marudi mereka terus ke hulu Tinjar. Di sinilah Aman Tipung Tului mengunjungi rumah-rumah panjang kaum Berawan, Sebob dan Kenyah. Semua penduduk rumah panjang di kawasan ini menyambut kedatangan mereka dengan mesra dan penuh adat-istiadat. Apabila genap empat belas hari tinggal di hulu Tinjar, Aman Tipung Tului dan rombongannya meninggalkan perahu mereka di Rumah Panjang Berawan dan terus berjalan dari hulu Tinjar ke Sungai Koyan iaitu sebuah sungai simpang Sungai Belaga.

Saturday, July 04, 2009

Chap Ayam Runners

Sejarah

-

Idea asal penggunaan nama Chap Ayam datang daripada Cikgu Wafi (Kapten Gunung). Idea spontan daripada mulut beliau tercetus pada sekitar bulan November 2007 di Bukit Jalil sewaktu menghadiri majlis makan-makan dan open house Hari Raya yang dianjurkan oleh Kelab Pacesetters Bukit Jalil.
-
Sewaktu menjamu selera bersama Hailmi (Mr. Seketeri), Farid, Idaizumi, Sham dan Omar, saudari Julie Wong telah datang ke meja kami untuk mempromosikan sukan relay selaku penganjur pertandingan. Memandangkan Idaizumi, Sham dan Farid telah membentuk satu pasukan, Kapten Gunung mencadangkan Mr. Seketeri untuk membentuk satu pasukan lain dan turut sama dalam relay tersebut. Memandangkan setiap pasukan harus disertai oleh tiga orang peserta, maka Mr Seketeri mencadangkan nama Nazib (VP) untuk mencukupkan korum.


Setelah persetujuan diperolehi dari saudara (VP), maka malam itu juga Mr. Seketeri dan Kapten Gunung mendaftarkan diri. Di saat itulah perkataan Chap Ayam muncul, iaitu sewaktu menulis borang pendaftaran dan nama pasukan dengan spontan Kapten Gunung mencadangkan nama CHAP AYAM TEAM.
Maka pada 8hb Nov 2007 iaitu pada hari yang sama masyarakat Hindu menyambut Deepavali pertandingan Klava Deepavali Muhibbah Open Relay : Relay Back To Nature diadakan di Taman Bukit Kiara. Di situ sejarah lahir dan bermulanya nama Chap Ayam di dalam arena larian di Malaysia. Pasukan itu di anggotai dari Maswafi Abd. Samat (Kapten Gunung), Mohd Hailmi Masro (Mr. Seketeri) dan Nazib Ngainin (VP) dan mendapat tempat ke 8 daripada 21 pasukan yang bertanding.
-
Selepas itu kebetulan dalam masa yang sama Mr Seketeri acapkali menggelarkan dirinya sebagai chap ayam juga. Makin lama nama chap ayam sudah semakin sebati dan semakin relevan pada mereka bertiga. Kemudian barulah mereka bertiga berbincang secara tidak formal untuk menubuhkan Chap Ayam Runners.


Seterusnya idea ini cuba dikemukakan kepada Ahmad Farid (Komander) dan Idaizumi. Menakjubkan mereka bersetuju sebulat suara tanpa banyak soal dengan idea untuk menubuhkan Chap Ayam Runners. Kemudian perbincangan lebih lanjut telah di adakan dengan Ramlan (Tuan Presiden) di sebuah kedai mamak di Petaling Jaya, dan beliau amat berminat untuk menjadi salah seorang ahli dan bersetuju untuk berkerjasama sepenuhnya dalam merealisasikan impian ini.
-
Tugas selanjutnya ialah untuk menjemput beberapa rakan untuk bersama-sama sebagai ahli kerana sebuah pasukan yang ideal haruslah melebihi lebih daripada 10 orang. Setelah beberapa jemputan dibuat kepada kawan-kawan yang terdekat, maka seramai 20 orang runner(s) bersetuju untuk bersama-sama merealisasikan impian ini. Mereka juga seronok dan bersetuju untuk membawa dan menggelarkan diri mereka Chap Ayam Runners.


Kemudian mesyuarat tidak rasmi yang pertama diadakan di Nasi Lemak Tanglin Bukit Aman. Perbincangan menjurus kepada hala tuju pasukan, melantik AJK dan majlis pelancaran yang dibentangkan dan dipengerusikan oleh Mr Seketeri.
-
Setelah perbincangan dibuat dan keputusan telah diambil, fasa seterusnya ialah persediaan untuk majlis pelancaran Chap Ayam Runners dengan tujuan mempromosikan kewujudannya kepada runner(s) yang berminat. Tarikh keramat yang dipilih ialah pada pagi 1 Januari 2009 di Tasik Perdana iaitu pada hari yang sama sewaktu PM Network Run diadakan, (kebetulan pertandingan itu disertai oleh runner(s) yang terhampir) dan PM1 Mr Ronnie See selaku tuan rumah merestui majlis pelancaran tersebut.


Dalam proses persiapan gimik pelancaran, bahan untuk banner disumbangkan oleh Idaizumi dan Tuan Presiden seperti kain putih dan pemberat (pvc) dimana Mr. Seketeri sendiri yang mengkoordinasi perkara tersebut menyebabkan majlis tersebut berjalan dengan lancar dan meriah. Tuan Presiden telah mereka bentuk lukisan dan tulisan pada banner tersebut dan final touch up dilakukan oleh Mr. Seketeri.


Dipetik dan disunting daripada http://www.chap-ayam-runners09.blogspot.com/