Sunday, April 27, 2008

Berada di kedudukan 123 daripada lebih 700 peserta lelaki terbuka menunjukkan aku memperbaiki sedikit kemampuan diri untuk tahun 2008. Sudah dua kali aku cuba mendapatkan medal untuk Power Run hingga termimpi-mimpi aku semalam tentang pertandingan kali ini, dan alhamdulillah aku berjaya untuk kali ketiga walaupun pandangan aku gelap sewaktu di garisan penamat menunjukkan aku berlari di tahap maksimum pagi ini. Aku harus memikirkan semula sama ada perlu melakukan perbuatan berisiko tinggi ini dimasa hadapan kerana macam tidak berbaloi dengan sekeping besi bulat yang menjadi rebutan “runners” berbanding dengan nyawa kurniaaan tuhan. Walaupun aku sudah berada hampir dengan mentorku Firdaus di kedudukan 94, catatan masa aku bukanlah begitu baik dengan iaitu 56 minit untuk jarak hampir 11 km menurut ukuran rasmi FTAAA. Kami berdua setuju latihan yang tidak konsisten seperti dahulu adalah penyebabnya. Aku rasa Sham sangat meningkat sekarang ini dengan catatan masa 52 minit di tempat ke 73 walaupun berada di belakang Kamarul dan Nazib yang masing-masing berada di kedudukan 62 dan 63. Zafrul dan Ayob masih lagi santai lagi kali ini walaupun sudah memperbaiki catatan masa peribadi, kalau hendak diikutkan hati aku mahu sahaja aku mengadakan latihan seperti dahulu bersama mereka untuk mengekalkan tahap kecergasan seperti tahun 2007.

Friday, April 25, 2008

Tom sudah pun pulang awal petang dengan beg besarnya sejurus selepas solat jumaat hinngga aku terpaksa mencari teman baru untuk berlatih, mujur juga ada Isa menemankan aku untuk laluan 6km jalan Sikamat. Cuma dia terlalu pantas untuk aku hingga tertinggal 400 meter di belakangnya, itu memang logik kerana dia merupakan “top runners” di sini. “Room mate” aku sudah dua hari bangun awal daripada aku, ini membuatkan aku terpinga-pinga seperti anak teruna di cium puteri bunian. Jika ada perkara kelapan yang ajaib di dunia maka itulah dia. Makcik Mah pula sudah pandai menghantar sistem pesanan ringkas kepada aku bertanya khabar, ini juga membuatkan aku terkejut kerana setahu aku dia amat sukar untuk belajar teknologi terkini dan inilah perkara kesembilan yang ajaib di dunia. Makcik Mah menggunakan perkataan penuh dalam sistem pesanan ringkasnya cuma terdapat beberapa ejaan lama yang digunakan seperti “sehat” untuk sihat dan “balek” untuk balik.

Wednesday, April 23, 2008

Pagi ini aku terpaksa “cautim” pengawal keselamatan untuk keluar melalui pintu belakang demi melakukan latihan seawal 6.15 pagi, laluan latihan tidaklah panjang sekadar mencukupkan 30 minit di sekitar Taman England. Keadaan padang astaka yang asyik basah kerana hujan yang lebat sudah tidak sesuai sekarang ini untuk latihan walaupun trek balapan sudah pun siap minggu lepas. Petang tadi aku melakukan catatan masa 34 minit untuk trek Sikamat 6km dan seperti biasa Tom berada di hadapan aku 10 saat itupun setelah berhempas pulas dan nyaris-nyaris tidak pengsan di hadapan Kem Ke 4 Artileri Sikamat. Aku sudahpun mengisi borang “posting” untuk januari 2009, seperti yang dijangka Kuala-Lumpur adalah pilihan aku dan secara khususnya di Wangsa Maju.

Saturday, April 19, 2008

Hari aku masih lagi capik seperti hari-hari yang sebelumnya walaupun memakai “running shoes” jenama admiral yang dibeli tanpa dirancang semalam di Seremban Parade sewaktu mengelakkan diri dipaksa menyanyi oleh kawan-kawan aku. Bagi aku lebih baik dipaksa berlari dari Kuala Lumpur ke Nilai daripada menghabiskan sebuah lagu kerana hampir-hampir mustahil untuk dilakukan oleh suara emas tahap cipan seperti aku, lainlah Tom yang kerongkongnya cuma boleh mengeluarkan irama dangdut walaupun menyanyi lagi Amuk namun kasihan pula melihat Nizam yang sebak bila menyanyi di hadapan buah hatinya. RM69.90 yang bertukar tangan masih belum cukup menambah baik segala usaha aku malah sudah semakin teruk dengan catatan masa 13 minit untuk 2.4km. Namun kemampuan berenang sudah semakin baik dengan catatan 54 minit untuk 1.2km walaupun mnngalami masalah kekejangan otot bila melewati 1km.

Thursday, April 17, 2008

Ada yang tidak kena latihan yang dilakukan setiap pagi kerana tidak menyumbang kepada peningkatan tahap kardiovaskular aku melainkan daya tahan otot. Betullah kata Panjang bahawa setiap latihan yang dilakukan mestilah melebihi 30 minit jika tidak ia adalah pekerjaan sia-sia walaupun dilakukan setiap hari. “Orange Run” menjadi saksi aku menjadi manusia lemah di kalangan ribuan peserta ditambah dengan lemahnya iman aku melihat “amoi” memakai seluar pendek sewaktu berlari. Pagi isnin juga menjadi saksi aku ketinggalan 2 minit dengan Jega untuk ujian laluan 3km dengan catatan masa 17 minit 15 saat untuk tempat kedua. Aku cukup kecewa bukan kerana mendapat tempat kedua tetapi lebih kepada catatan masa yang dicipta, lainlah Tom yang berlakon sakit kaki semasa ujian tersebut bila terasa hendak kalah, pendek kata kalau ada Oscar dialah yang patut dapat.

Monday, April 14, 2008

Seksi di Malam Merdeka

Tanggal 31 Ogos
Bergema laungan merdeka
Sebagai lambang kebebasan
Ketika suatu masa
Tunku melaung azimat
Merdeka, merdeka, merdeka, merdeka, merdeka, merdeka, merdeka!

Stadium merdeka menjadi saksi
Konsert berlangsung di sana-sini
Artis terkinja menari-nari
Bunga api berwarna-warni
Bercahaya berdentum di malam hari
Namun Mat Rempit semakin berani!


Nukilan Maswafi dan rakan-rakan.

Penggunaan teknik PERMATA dalam pembinaan puisi

Sudah tiada lagi Kenya dalam pertandingan kali ini, kemungkinan besar golongan gagak hitam ini akan disekat terus menyertai kejohanan kecil tahun ini oleh FTAAA selain daripada SAAA, bolehlah Aru bercakap besar kembali mengatakan tiada siapa dapat menandinginya. Itulah kelebihan yang ada pada bangsa aku yang cukup aku sanjung, cuma boleh menjadi jaguh kampung. Rasa hendak luruh jantung aku semasa sampai di garisan penamat bukan kerana masa 52 minit yang dicatat tetapi terkejut melihat seorang krew “Orange Run” yang hampir menyamai muka Wati. Itulah penangan pandang cinta pertama, malas aku hendak melayan kenangan lama lebih baik aku mendengki dengan hampir semua kawan-kawan aku yang mencatat masa di bawah 50 minit untuk laluan 9km menunjukkan mereka berada di tahap puncak ketika ini berbanding dengan aku dan Zafrul.
-
Laluan yang berpusatkan The Curve ini melalui kawasan perumahan di sekitarnya dan tiada betul-betul bentuk muka bumi yang tinggi seperti laluan Universiti Malaya akhirnya memberi peluang kepada ramai orang untuk memecut di sepanjang jalan. Dalam sejarah hidup aku, inilah larian yang paling banyak disertai oleh “amoi” berseluar pendek mungkin kerana itu ramai yang tidak mahu pulang ke rumah walaupun tidak mendapat medal termasuklah aku sendiri. Ramai yang teruja dengan persembahan “cheerleaders” oleh sebuah sekolah di Kuala Lumpur sebelum majlis penyampaian hadiah, tetapi alangkah bahagianya jika aku yang menjadi cikgu melatih mereka jimnastik sudah tentu aku bersemangat untuk pergi bekerja setiap hari. Secara keseluruhannya aku memberikan empat bintang kepada penganjur kerana penyertaan percuma, teknikal dan kudapan yang disediakan.

Saturday, April 12, 2008

Mungkin Cinta Bermaksud Melepaskan Dia Pergi

I
-
Johan seorang pemuda yang tinggi lampai, dan rambutnya ikal tidak panjang atau terlalu pendek. Petang itu dia berlatih pukulan tangan kosong, dia menyepak angin beberapa kali begitu juga dengan latihan tangan beberapa kali dia menumbuk angin. Entah kenapa lain macam benar anginnya kerana tidak memakai baju melainkan seluar pendek ala-ala tomoi. Dia mula memasuki fasa kedua latihan iaitu menumbuk dan menendang punching bag, nampak seperti tidak terarah punching bag tersebut hinggakan menyukarkan latihan. Sarah yang berada di situ datang memegang punching bag tersebut untuk memastikan Johan dapat melakukan teknik yang betul. Johan mengambil peluang menumbuk dan menendang punching bag tersebut berkali-kali hinggakan pada satu tahap dia keletihan yang amat sangat hinggakan bersandar pada punching bag tersebut.
-
“Sofea???”, perkataan pertama terpacul dari mulut Sarah sambil menggelengkan kepalanya. Johan langsung tidak dapat menyembunyikan langsung masalahnya kepada pelajar jurusan perubatan yang pernah satu ketika menyebabkan hubungannya dan Sofea meruncing kerana keakraban mereka teruatama mengadakan latihan seni mempertahankan diri bersama. Johan menggangguk malas tanda mengiyakan soalannya. Sarah mencapai air kosong di dalam bekas minuman 1.5 liter lalu diajukan kepada Johan. Johan mencapai botol tersebut kemudian meneguknya dengan perlahan-lahan terasa air itu begitu sejuk hingga terasa melalui kerongkong hingga dada.
-
“Kenapa pula kali ini? I harap bukan i lagi yang menjadi puncanya, cakapnya pendek tapi berasas”. “Tidak! Bukan you, kali ini lebih berat kerana secara tiba-tiba dia minta berpisah dengan alasan tiada jodoh”, balasku. “You ada buat salah?” soal Sarah sambil memberi tumpuan penuh kepadaku, dan kali ini kami saling duduk bersila sambil menghadap satu sama lain. “Entahlah kali ini berat betul masalahnya mungkin Razlan puncanya, you pun tahu dia memang minat dengan Sofea sejak kita di tahun satu lagi. Pernah juga dia memburukkan i hingga disoal yang bukan-bukan oleh Sofea”, hujah Johan agak panjang. “I harap you dapat berfikir secara matang bukannya bertindak secara terburu-buru”, balas Sarah.
-
II
-
Johan membelek tesis karangan Dr. Haron Daud dan merujuk kepada bab 3, namun otaknya tidak berfungsi sebaliknya hanya memikirkan Sofea. Dari tingkap bercermin gelap bilik perpustakaan Zaaba ini, semua manusia yang lalu-lalang boleh dilihat di situ, tiba-tiba hatinya luluh melihat Sofea jalan beriringan dengan Razlan walaupun tidak mesra ia cukup membuatkan hatinya cukup panas. Dengan pantas Johan menyerahkan tesis tersebut kepada pembantu perpustakaan hinggakan membuatkannya terpinga-pinga kenapa Johan tergopoh-gapah. Johan berlari anak menuju ke rak bag untuk mengambil bag dan helmetnya, dengan termengah-mengah Johan tiba ke tempat mereka berjalan tadi namun hampa mereka sudah tiada. Prangg… Johan menghempaskan helmetnya ke jalan tar melepaskan kemarahan, hingga menyebabkan semua orang di sekitar menoleh kepadanya.
-
III
-
Bertempat di tepi pantai yang berpasir putih tidak tercemar oleh sampah, di sebelah kanan menghadap laut terdapat timbunan batu karang yang besar dan bukit yang tinggi memutuskan pantai itu dengan daratan yang landai, manakala di sebelah kirinya pula hanyalah hutan sepanjang tiga kilometer di mana kadang-kadang terdapat laluan tikus di tanah persendirian itu untuk laluan pemancing datang ke situ. Kelihatan Johan dan Razlan sudah megah dengan bahu melayu cekak musang berwarna hitam, memakai sampin lengkap dengan bengkung merah di pinggang dan tanjak gajah berjuang di kepala. Ternyata pakaian mereka sudah agak lusuh tetapi seragam menggambarkan mereka daripada perguruan yang sama.
-
Mereka bersalaman tetapi bukannya cara yang biasa tetapi cara dua orang memulakan acara di gelanggang penuh dengan dendam di hati masing-masing. Johan menepuk dengan penuh yakin tangan kanan Razlan menandakan pertarungan itu bermula dan terus melakukan serangan penumbuk tangan kiri dan kanannya secara bertubi-tubi ke arah muka Razlan namun satu pun tidak berjaya. Kemudian dia cuba menyauk kaki kanan Razlan dengan kaki kirinya namun berjaya di elak ini membuatkan Johan membelakangkan Razlan. Razlan mengambil peluang melakukan tendanggan libasan kaki kiri pada Johan namun dia terperangkap kerana ia sebenarnya hanya umpan. Johan menangkap kaki Razlan terus menyiku kakinya sekuat hati dan menyusul dengan hentakan belakang tapak tangan pada mukanya.
_
Razlan meraung kesakitan, bibirnya sudah pecah berdarah dan begitu juga dengan hidungnya, dia sekarang dalam keadaan separuh duduk, dia cuba bangun ternyata langkahnya sudah mula berjengket kerana di siku tadi. Perlahan-lahan dia membuka bengkung merah lusuh sepanjang sedepa, sehasta, empat jari yang melilit pada pinggangnya untuk mengesat darah pada bibir dan hidungnya. Johan tersenyum puas. “Nampaknya kau bersungguh betul mahu memukul aku?”, Razlan bersuara sambil membetulkan semua lilitan bengkungnya. Soalan itu tidak berbalas melainkan suara deruman ombak yang semakin kuat, sekuat dendam mereka berdua.
-
Johan tidak membenarkan Razlan berehat panjang terus melakukan serangan dengan mengangkat kaki kirinya melakukan serangan tendang petik ke arah Razlan tetapi berjaya dielak apabila mengilas dadanya ke kiri. Johan bertambah berang terus mengasak dengan siku kanannya tetapi ditampan kemas oleh Razlan. Terus Razlan menyauk kaki kanan Johan, terjelepuk Johan di atas pasir. Johan terus membalas serangan dalam keadaan terbaring dengan melibas tumit kiri Razlan hingga membuatkannya tersungkur. Johan bingkas bangun dalam kepayahan, baru separuh usahanya satu libasan yang kuat kaki kanan Razlan betul-betul mengenai tulang belakangnya. Johan tersungkur sambil menjerit kesakitan yang amat sangat seperti dipukul dengan kayu sakitnya, hilang terus senyuman pada raut wajah Johan. Nafasnya berdegup kencang kerana banyak melakukan gerakan dari tadi berbanding dengan Razlan.
-
“Mampusss kau!!!” Johan kembali memulakan serangan dengan tendangan libasan kaki kirinya tetapi dapat ditampan oleh kaki kiri Razlan hingga kakinya terasa seperti hendak patah membuatkan dia tersentak. Giliran Razlan menyerang bertubi-tubi tanpa belas pula dengan tumbukan tangan kiri dan kanan ke muka Johan. Seterusnya disusuli dengan tendangan libas kiri dan kanan oleh Razlan namun masih belum mampu menumbangkan Johan yang bertarung seperti harimau hilang kuku. Razlan mengawal pertarungan, dia menarik nafas yang agak panjang kemudian dipasak kakinya kemas-sekemasnya. Tanpa membuang masa dengan pantas dia melakukan gerakan lipat pandan sebelum melakukan tendangan petik rusa tepat mengenai ulu hati Johan.
-
Pandangan Johan tiba-tiba gelap, dia tidak boleh bernafas seperti ada sesuatu yang menahan pernafasannya. Dirinya sudah tertiarap di atas pasir sementara tangan kanannya yang tidak bermaya cuba menggengam jantungnya yang seperti sudah berhenti berdenyut. Muka Johan penuh dengan pasir putih yang bersih, matanya bengkak dan bibirnya pecah berdarah, dia cuba mengerang dengan kuat tetapi seperti ada sesuatu yang cuba menyekat kerongkongnya. Razlan hanya memerhati dan berdiri tegak tetapi tidak senyum malah kelihatan seolah-olah menyesal dengan perbuatannya. Selang beberapa minit, Johan cuba bangun dalam kepayahan yang amat sangat tetapi gagal, dadanya terasa seperti hendak pecah akibat tendangan petik rusa tadi, dia membiarkan sahaja dirinya tertiarap seketika.
-
Untuk kali kedua Johan cuba bangun, boleh cuma setakat keadaan duduk itupun terpaksa melunjurkan kakinya dan tangannya terpaksa mengurut dadanya yang sakit. “Dulu di sini kita bertarung kerana kau mempertahankan lafaz keramat kau pada Sofea dan kau menewaskan aku kerana Sofea tidak pernah sekalipun mencintai aku, cuma aku yang bertepuk sebelah tangan. Hingga sekarang pun dia tidak pernah menyukai aku apatah lagi mencintai aku.”
-
“Hari ini kau kalah kerana kau bukan mempertahankan cinta kau seperti dulu tetapi kerana mengikut sifat marah kau bukannya lafaz keramat yang pernah diucapkan”. “Sedarlah Johan bahawa sesekali di dalam hidup ini kita terpaksa melupakan orang yang kita sayang walapun ia pahit” sambung Razlan. Johan memandang tepat ke arah muka Razlan dengan penuh sayu seolah-olah meminta simpati. “Hingga sekarang aku masih membenci kau kerana daripada dulu hingga sekarang kau asyik mendapat segala yang kau hajati, tetapi percayalah apabila perhubungan kau dengan Sofea putus di tengah jalan aku rasa amat kasihan pada kau walaupun pada suatu ketika aku pernah merosakkan hubungan kau berdua” tambah Razlan.
-
Perlahan-lahan Razlan dengan langkah yang longlai meninggalkan pantai yang menjadi saksi setiap kali mereka bertarung sejak remaja lagi, walaupun ia dapat mengalahkan Johan hatinya tidak puas malah bersimpati pada lawannya. Johan merasa sesal sedalam-dalamnya kerana menuduh lelaki sebaik Razlan dalam hal percintaannya dengan Sofea, terfikir olehnya bagaimana dia boleh melakukan perkara bodoh hingga mengajak Razlan bertarung di situ walhal Razlan tiada kena mengena dengan hal cintanya dengan Sofea. Mungkin sudah sampai masanya dia patut menerima hakikat bahawa definasi cintanya sangat berbeza kerana terpaksa melepaskan kekasihnya untuk membuktikan cintanya.


Raja Melewar
12 April 2008
Maswafi Bin Abd Samat
maswafi2@yahoo.com

Friday, April 11, 2008

Pertama kali aku melihat muka Azam jahat-sejahatanya, kalau kepalanya boleh tumbuh tanduk mungkin sudah sudah sejengkal panjangnya. Itulah penangan awek Senawang yang mengajaknya bertenet petang semalam. Tom pula boleh terlepas “keretapi” ke Serting malam tadi untuk urusan majlis bacaan Yassin dan tahlil di rumah arwah, walhal dialah yang beria-ia tahap gaban memastikan aku aku mengambil “tiket”. Sudah seminggu Tom menghilangkan diri selepas Asar dan hanya pulang selepas Isyak seperti ada sesuatu yang disembunyikannya. Agaknya siapalah awek malang yang mengurat dirinya sehingga dia sanggup membuang diri aku, jika tidak setiap hari mesti dia berjemaah di dalam bilik aku hingga terpaksa dihalau oleh aku dengan menutup lampu bilik.

Sunday, April 06, 2008

Pening-pening kepala aku petang ini seperti perempuan yang mengandung dan “alignment” pinggang aku masih lari sebab mendaki Angsi semalam. Itu bukanlah alasan untuk aku tidak menjalani latihan di Paroi seperti biasa, aku ditinggalkan setengah pusingan oleh Tom walaupun melakukan catatan di bawah 12 minit untuk 2.4 km mungkin aku patut menemankan El dan Zainab berjalan sahaja pagi ini. Program latihan renang berirama yang diadakan di pusat aquatik Paroi oleh minah salleh menyusahkan aku kerana telah menggangu jarak yang biasa aku lakukan walaupun mempunyai pilihan untuk berenang 20 meter satu pusingan berbanding 50 meter sebelum ini. Lainlah Tom dan Nizam mata tidak berkelip-kelip berdiri di tepi air melihat belakang badan, punggung dan dada perenang-perenang tersebut mungkin melihat dengan pandangan tanpa seurat benang. Dari segi perbatuan aku sudah boleh melakukan jarak 1000 meter di bawah satu jam, ia dikira sudah baik sebagai permulaan mungkin “google” yang baru di beli bernilai RM42.90 dengan kuasa kanta sebanyak 200 banyak membantu berbanding meminjam “google” cap ayam kepunyaan Nizam.

Gunung Angsi - 2702 kaki

Sudah tiga kali aku ke Angsi cuma kali ini aku dapat memahami renatsan muka buminya lantas mendokumentasinya. Aku rasa lebih daripada 50 orang yang aku ajak kali ini tetapi seperti biasa jika bercerita tentang gunung dapat 5 orang pun sudah dikira berjaya seperti kata mentorku Zafrul. Bagi Zainab lebih baik tidur di atas katil daripada menyusahkan diri dengan aktiviti tahap gaban. Ditambah pula dengan manusia yang asyik berjiwa kacau seperti Nizam suka membatalkan perancangan di saat-saat akhir, begitulah susahnya melayan orang sedang angau bercinta dan begitulah aku di suatu masa dulu malahan lebih teruk lagi.
Angsi boleh didaki dari dua arah samada dari tempat letak kereta 3km sebelum Ulu Bendul dari arah Seremban ataupun dari renjer Hutan Lipur Ulu Bendul. Seperti biasa tanpa melaporkan diri aku, Tom, Imad, Hilmi dan Nasri memulakan perjalanan tepat jam 9.05 pagi. Jalan sudah banyak berubah daripada dua bulan lepas kerana pokok tumbang dan tebing runtuh membuatkan beberapa trek baru dicipta. Tepat jam 10.05 pagi kami menamatkan “river trekking” menandakan kami perlu melintas sungai Batang Terachi untuk ke kaki gunung, di sini kami bertemu dengan pelatih IKM seramai lebih kurang 100 orang yang menuju tempat yang sama.

Di sini aku terpaksa membuka kasut untuk memastikan Hi-tec yang bernilai RM179 tidak rosak, lainlah kasut murah “bundle” kepunyaan Tom rosak banyak-banyak kali pun tidak mengapa. Selepas 15minit aku sampai ke jalan balak dan mengambil simpang ke kiri untuk sampai ke anak sungai dimana inilah punca air yang terakhir. Perjalanan mendaki agak teruk kerana trek yang licin walaupun hujan belum bermula dan aku sampai ke bukit botak pada jam 11.16 pagi. Keadaannya sangat terhakis dan merbahaya namun tali yang disediakan oleh pendaki sebelumnya sangat kukuh rasanya masih boleh bertahan sehingga aku berkahwin. Tepat jam 11.46 pagi aku sampai ke puncak dimana beirutnya sudah uzur ditiup ribut namun kawasannya rata dan boleh memuatkan 10 biji khemah.




Kelihatan kesemua pelatih IKM nampak lesu kerana kekurangan air di dalam badan ini semua gara-gara idea bangang oleh ketua mereka kerana mengatakan wujudnyya air terjun dan mata air dipuncak maka mereka cuma perlu membawa 500ml air. Ini adalah kenyataan yang paling bangang yang pernah aku dengar kerana setahu aku cuma Tahan sahaja yang mempunyai air di puncak, mujur Nasri membawa bekalan air glukos dan “cloud 9” untuk diberikan kepada seorang pelatih yang tidak bermaya jika tidak terpaksa diusahakan juga untuk membawanya turun sebelum malam.






Thursday, April 03, 2008

Lapan jahitan dibelakang kepala Zul akibat terjatuh di bucu tangga Balai Kerapatan menandakan betapa bagusnya Hospital Seremban yang selama ini aku kutuk sebagai lembab. Rupa-rupanya klinik swasta lebih teruk dan tidak bertanggungjawab seperti yang diwar-warkan oleh media dan aku sendiri. Zul yang darah dikepalanya tidak berhenti mengalir terpaksa dihantar ke tiga klinik di dalam hujan lebat sebelum dijahit kepalanya. Klinik pertama ditutup, klinik kedua tiada doktor dan klinik ketiga doktor tersebut tidak mampu melaksanakan tugas tersebut, kadang-kadang buat akku terfikir bahawa pasukan paramedik itu jauh lebih baik menjalankan tugasnya.

Aku di tegur kerana telah banyak berubah dari sudut fizikal kerana agak tembam di bahagian perut dan tengkuk. Sebenarnya aku memang sedang membesarkan apa sahaja yang patut untuk dijadikan bahan pelampung sewaktu mengadakan latihan renang di Paroi. Hari ini aku terpaksa berdiri di tengah padang membuat garisan sukan olahraga yang berlangsung, barulah aku tahu betapa sukarnya untuk membuat satu garisan lurus di atas permukaan yang tidak rata.