Thursday, January 29, 2009

Perjalanan aku ke Segaham masih berbaki 200km, aku membuat keputusan untuk berhenti rehat di Song dengan menumpang bermalam di rumah Mizi, sebelum meneruskan perjalanan ke Kapit besok untuk menyelesaikan urusan pas perjalanan terhad yang masih berstatus “pas sosial”. Ini bermakna aku terpaksa bermalam di Kapit besok menanti bot pertama untuk ke Belaga pada pagi sabtu selepas selesai dengan pejabat imigresen. Jika perjalanan aku untuk keluar amat sukar begitulah juga perjalanan balik yang masih belum tentu hasilnya dan kerana itulah aku menerima gaji yang paling tinggi berbanding rakan-rakan aku. Sesungguhnya perjalanan untuk keluar dan balik ke Belaga akan mempengaruhi perancangan aku dalam urusan penempahan tiket ke semenanjung apabila terpaksa memikirkan tempahan perahu ke Rumah Menjawah dan Hilux ke lapangan terbang Bintulu itu tidak termasuk bencana alam seperti tanah runtuh dan kemarau.

Sibu

Latihan Drill

Dari Brickfields ke Segaham

Wednesday, January 28, 2009

Hari ini aku mengikut kawan-kawan aku pulang ke Sibu dengan menggunakan jalan air, perjalanan yang menggunakan feri ekpress mengenakan tambang sebanyak RM45.00 yang perlu dinaiki dari Pending. Perjalanan mengambil masa hampir 6 jam iaitu 2 jam lebih cepat daripada menggunakan pengangkutan darat. Perjalanan bermula di sungai yang sangat besar kemudian mudik ke laut selama 2 jam sebelum masuk ke Sungai Rajang untuk ke Sibu, hujan lebat menyebabkan ombak yang sangat besar hingga Mizi menyerlahkan sifat keperempuannya dengan muntah beberapa kali termasuk beberapa perempuan yang lain. Aku rasa jika aku perlu menempuh ombak tersebut lebih daripada 2 jam mungkin akupun mengikut sama.


Tuesday, January 27, 2009


Hari ini kami bersama keluarga Pakcik Dasuki berkelah di pantai Santubung kira-kira 40 minit perjalanan dari Kuching. Pantainya sangat cantik dimana terletak banyak pulau berhampiran pantai yang dikenali sebagai Pulau Sejinjang. Air lautnya tidaklah masin seperti di semenanjung dan terdapat sebatang sungai yang sangat bersih mengalir kelaut. Malangnya di sini tiada kemudahan meletak kereta dan paip air bersih. Sepanjang kami berkelah tiada kumpulan lain yang mandi melainkan kumpulan kami orang semenanjung yang membuatkan kami kelihatan seperti Bangla pergi ke KLCC sewaktu cuti am ini kerana masyarakat di sini lebih suka menjamu mata daripada merasai nikmat mandi di pantai.

Monday, January 26, 2009

Untuk membeli kek lapis Sarawak aku cuma perlu menaiki sampan daripada Sarawak Waterfront ke kampung seberang iaitu Kampung Gersik dengan tambang RM0.50, di sini terdapat sebuah kedai menjual kek lapis (Dayang Salhah) yang menawarkan daripada harga RM10.00 hingga RM 60.00. Aku tidak pasti kenapa orang di sini cukup anti dengan kedai ini dengan memburuk-burukan dengan mengatakan kek ia tidak tahan lama dan tidak sedap kononnya lebih baik menempah dengan mereka. Tetapi yang pasti layanan taukeh kedai sangat baik terhadap kami dengan memberikan kami merasa dulu setiap jenis kek walhal aku tidakpun membelinya!.

Penjual jalanan gambir Sarawak di Kuching Waterfront tidak boleh dipercayai kerana dialah orang yang sama mengepau pelancong di sini dan akhirnya ditangkap oleh polis pelancong semalam kerana mengugut kawan aku mengunakan pisau. Silap-silap gambir Sarawak yang dibeli oleh kawan-kawan aku daripada mereka itupun sebenarnya cuma kulit kayu. Sebenarnya yang penting jangan percayakan sesiapapun di sini terutama jika mereka berkata pernah ke Kapit atau Belaga kerana tidak ramai orang Sarawak sendiri yang pernah sampai ke tempat aku bekerja melainkan mereka pernah bekerja di kem balak, empangan Bakun ataupun berkhidmat sebagai guru.

Sunday, January 25, 2009

Semalam aku dapat merasa roti canai di Sg. Asap sebelum ke Bintulu, disaat itu seperti mahu menitik air mata aku kerana merasa kuah kari, kerana sebelum ini jangankan kuah kari daun kari pun tidak pernah aku jumpa. Aku mengambil keputusan untuk terus menjelajah Sarawak bermula dari Sg Asap ke Kuching (utara-timur) yang aku kira perjalanannya melebihi 700km. Aku perlu ke Bintulu menaiki Hilux yang mengenakan tambang sebanyak RM50.00 dan seterusnya 12 jam ke Kuching menaiki bas yang mengenakan RM60.00.

Aku bernasib baik kerana Arshad dari Sungai Koyan sudi menumpangkan aku ke Bintulu dengan hanya membayar duit petrol, malangnya kedua-dua tayar sebelah kiri Pesonanya pecah dalam perjalanan ke Bejauh. Kami bernasib baik kerana sebuah kereta peronda polis lalu di kawasan ladang kelapa sawit untuk memberi bantuan kepada kami. Sampai di Bintulu pada jam 2.00 petang aku cuma dapat tiket pada jam 11.30 malam ke Kuching. Bintulu sebuah bandar yang sangat maju mungkin tiga kali lebih daripada Sibu tidak seperti yang diwar-warkan yang kononnya di sini cuma menjual belacan. Kedai makanan halal (di sini disebut sebagai kedai makanan Islam) dan kompleks membeli belah bercambah di sana-sini tidak seperti di Sibu dan kemudahan internet cuma RM2.50 sejam. Di sini setiap makanan akan dihidangkan bersama dengan sup kosong dan harga kebanyakan makanan bermula RM4.00 ke atas.

Perjalanan 12 jam sangat memenatkan dimana bas akan berhenti di beberapa perhentian untuk menurunkan penumpang seperti di Sibu, Sarikei, Saratok, Seri Aman dan Serian dan berhenti makan disebuah tempat sebelum Sibu dan di Jelukong, Engkili. Sampai di Sarikei jumlah penumpang sudah tidak sampai separuh dan diisi oleh penumpang baru pada jam 5 pagi. Cuma tinggal 33km ke Kuching bas kami kehabisan minyak di Tapah tetapi mujurlah ia berhenti berhampiran stesen minyak shell.

Sampai di terminal bas Kuching awal-awal lagi aku sudah disembelih oleh pemandu teksi ke Kuching Waterfront sebanyak RM18.00 untuk perjalanan sejauh 6km. Tidak kisahlah kerana yang penting aku dapat berkumpul dengan rakan-rakan lama aku seperti Mizi, Atan dan Nasri. Kadang-kadang di sini sama keadaaannya di Semenanjung kerana asyik terjumpa kenalan semenanjung bermakna tidaklah boleh berbuat “nakal” di sini. Terdapat banyak kompleks membeli belah seperti Springs, Boulevard dan Sarawak Plaza sama standardnya dengan Shah Alam Shopping Centre tetapi sebenarnya tempat yang baik untuk membeli belah ialah di pasar Satok dimana menjual ikan segar, ikan terubuk masin dan pelbagai makanan dengan harga yang murah. Untuk membeli barangan cenderamata dengan harga berpatutan adalah lebih baik membelinya di Sarawak Waterfront Bazaar daripada di tepi jalan yang sebenarnya lebih mahal.

Friday, January 23, 2009

Segaham yang tidak sampai 100 orang muridnya sekali lagi berjaya “membaham” sekolah-sekolah besar yang melebihi 700 orang murid seperti Abun Matu dan Long Gang dalam kejohanan sukan MSSRD Belaga tahun ini. Dengan 16 pingat emas jauh meninggalkan Abun Matu dan Long Gang masing-masing dengan 13 dan 11 pingat emas.

Dimana silapnya aku sendiri tidak tahu kerana sekolah-sekolah “besar” ini mempunyai kemudahan 10 kali lebih baik sama ada guru, padang, alatan dan asrama. Mereka selalu menggunakan alasan bahawa fizikal murid Kejaman dan Kayan yang agak besar dan lasak dari sekolah aku sebagai faktor penentu kejayaan sekolah kami tetapi tidak pernah cuba melihat stadium lumpur pelbagai guna, meja ping-pong yang diperbuat daripada “plywood”, bola yang sudah compang-camping dan latihan yang berterusan oleh jurulatih Johaimi dan Melvin.

Murid Segaham sebenarnya menganggap sukan sebagai peluang mereka untuk keluar dari Rumah Kejaman yang memakan kos RM10.00 menaiki perahu ke Rumah Menjawah dan menaiki Hilux ke Sg. Koyan tempat perkampungan sukan dengan kos RM50.00 dimana semuanya ditanggung oleh pihak kerajaan. Oleh kerana itu mereka bermati-matian apabila istilah MMSRD keluar dari mulut guru cuma yang merisaukan aku dalam soal P&P tidak ramai yang mengambil kisah seolah-olah mereka menerima keadaan mereka sekarang.

Monday, January 19, 2009

Belumpun sempat aku menunaikan tanggungjawab untuk jawatan-jawatan yang sebelumnya, sekali lagi aku dilantik untuk empat jawatan yang lain iaitu Guru Bimbingan dan Kaunseling, Tuai Rumah Sukan, jurulatih atlit sekolah ke MSSD, dan urusetia bola baling MSSD semasa mesyuarat kelima tadi. Itu adalah perkara biasa jika seseorang itu mengambil jurusan Pendidikan Jasmani silap-silap boleh memangku jawatan guru besar. Cuma agak pelik bila pihak atasan mewajibkan setiap pegawai harus mempunyai alamat emel yang wajib di isi dalam setiap borang, kerana di sini talian telefon pun kena kreatif mencarinya inikan pula talian internet!.

Sunday, January 18, 2009

Hawing sebelum ke Sibu dengan Johaimi menguruskan baju sudah memberikan aku memo untuk membantu Melvin menguruskan latihan olahraga, balapan dan acara permainan. Latihan sudahpun pun berlangsung selama dua hari bermula jam 7.45 pagi hingga jam 9.00 malam. Yang bagusnya di sini tiada seorang murid pun merungut mahupun mengadu kepada ibu bapa mereka bahawa mereka sangat penat kerana latihan intensif yang kami lakukan. Ia terpaksa kami lakukan kerana segala pengalaman dan latihan walaupun sedikit amat penting untuk menjadi juara di Belaga lagipun keputusan dibuat untuk merehatkan mereka secukupnya pada esok hari. Dalam pada masa yang sama aku mengambil peluang berkomunikasi dengan Moses yang hanya boleh berbahasa Beketan itu dengan menyuruhnya mengikut latihan lompat jauh. Sekurang-kurangnya aku boleh menerapkan nilai baik seperti beratur semasa menunggu giliran selain memperbaiki teknik larian dan lompatan yang betul, kemudian baharulah aku mengajar kemahiran menangkap dan menendang bola pula.


Friday, January 16, 2009

Hari ini Moses akhirnya sudah mahu bercakap dengan aku itupun bukan atas dasar P&P tetapi lebih kepada penglibatannya dalam aktiviti fizikal seperti membersih dan menceriakan kelas. Tetapi masih ada satu masalah kerana komunikasi hanya dalam bahasa Beketan hinggakan aku terpaksa belajar sedikit bahasa itu untuk memudahkan aku mendekatinya. Capaian latihan sudahpun mencecah 4km, ia seperti amat sukar dengan menggunakan kasut Hi-Tech yang berat bernilai RM475.00 untuk mengelakkan kaki aku rosak akibat padang yang seperti sawah padi, harapnya dalam masa sebulan sasaran 10km mmenjadi kenyataan. Petang tadi Jo dan Hawing terkejut dengan penetapan secara tergesa-gesa tarikh sukan daerah pada hari rabu depan, banyak yang terpaksa dibuat seperti pengangkutan dan latihan hingggakan mungkin esok kelas yang sedikit muridnya itu terpaksa menutup operasinya untuk tujuan latihan. Tetapi bagaimana pula jadinya dengan baju yang ditempah yang sepatutnya siap selepas Tahun Baru Cina mesti berada di sini pada hari Isnin kerana perjalanan ke tempat pertandingan pun memakan masa sehari?

Wednesday, January 14, 2009

Hari ini terdapat satu lagi mesyuarat iaitu untuk menetapkan tarikh bagi setiap aktiviti untuk mengisi kalendar 2009, Ini adalah mesyuarat yang keempat bagi aku sendiri walaupun belum sampai seminggu bertugas, banyak yang perlu dibuat bagi memastikan pelajar kebanyakannya terdiri daripada suku Kejaman dan Kayan diberi peluang sama rata untuk mencapai kejayaan seperti rakyat Malaysia yang lain walaupun tinggal di kawasan pergunungan. Guru besar telah mewajibkan poco-poco setiap hari bagi memenuhi aktiviti riadah setiap petang di sini, berjongging di sini adalah suatu perkara yang paling sukar kerana padang sekolah yang sangat kecil dan berlecah manakala di kawasan Rumah Kejaman pula dikejar anjing memburu yang sedikit garang walaupun tidak menggigit mungkin terkejut dengan kehadiran bau orang semenanjung.

Tuesday, January 13, 2009

Selsema aku sudah pulih sepenuhnya mungkin kerana sudah dapat merasa makanan bersayur sehari dua ini. Hujan masih tidak berhenti-henti hari ini di kawasan pergunungan menyebabkan sungai Rajang naik airnya, tiada apa aktiviti yang boleh dibuat melainkan mengikut tarian poco-poco di dewan makan yang diketuai oleh Mona. Peralatan meja ping-pong sampai dari Belaga petang tadi dengan bot ekspress namun malangnya kakinya terjatuh ke dalam sungai yang sedalam lebih 12 kaki di tebingnya, Hawing yang menyelam dan menjala sekitar tebing sungai mencarinya hingga sekarang masih belum ketemu, mungkin sudah hanyut ke jeram Pelagus agaknya.

Monday, January 12, 2009

Hari ini aku masih belum sihat seperti biasa dimana selsema masih menyerang aku semenjak tiba di sini. Hari ini berjaya juga aku jumpa sayur timun jika tidak terpaksalah menjamah nasi tanpa sayur seperti biasa. Aku terpaksa membeli talian celcom menggantikan maxis kerana berada di penempatan tiga (P3) sangat jarang apa-apa talian dapat dinikmati ditambah pula tanpa kemudahan asas yang mencukupi melainkan air gunung dan elektrik 24 jam daripada dua generator.

Setakat hari ini aku tidak pernah menjumpai motosikal dan kereta di sini kerana tiada langsung jalan raya melainkan jalan denai ke hutan. Perhimpunan sekolah sangat ringkas tapi penuh bermakna dengan kekuatan 13 orang guru dengan 98 orang murid. Aku menjadi guru kelas tahun 2 yang seramai hanya 6 orang dimana hanya Ronald yang mampu membaca dengan lancar yang lain-lain merangkak dan Moses pula buta huruf tahap gaban hingga kadang-kadang aku hilang sabar. Hebatnya di sini penggunaan bahasa Inggeris di kalangan guru ternyata lebih baik daripada di semenanjung. Belumpun cukup seminggu aku di sini, aku sudah memegang jawatan setiausaha kurikulum, ketua panitia muzik, setiausaha pusat sumber, jurulatih bola tampar dan olahraga tahap satu. Aku juga mengajar enam subjek iaitu Bahasa Melayu, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Moral, Pendidikan Muzik dan Pendidikan Seni.

Wednesday, January 07, 2009


Perjalanan sejauh 155km dari Kapit ke Belaga sangat memenatkan ditambah pula terpaksa menyabung nyawa di jeram Pelagus yang meragut banyak nyawa sepanjang tahun. Pekan Belaga sangat kecil, tiada langsung kemudahan bank melainkan ASB yang selalu tidak “online” di pejabat pos yang sangat sesak. Terdapat hotel yang boleh di sewa RM20-RM30 semalam yang selesa dan kemudahan internet yang menggunakan teknologi dua tahun lepas dengan kadar RM6 sejam. Barangan runcit agak ketara mahalnya seperti telur 30 biji berharga RM11.00 dan gas memasak berharga RM35.00, tetapi alhamdulillah semua barang keperluan ada di sini. Terdapat kampung melayu di sini yang menempatkan sebuah masjid diri jumaat dan dua buah restoran Islam. Perjalanan dari sini ke Long Segaham memakan masa satu jam dengan kos RM15.00.

Tuesday, January 06, 2009

Kapit sebesar 38,934km persegi bolehlah dikatakan sama besar dengan negeri Pahang di dominasi oleh kaum Iban sebanyak 68 peratus berbanding kaum-kaum yang lain. Sungguh malang tempat yang seindah ini cuma boleh dihubungi melalui jalan air dari Sibu sejauh 126 km dengan menaiki bot ekpress yang mengenakan tambang senyak RM25.00 itupun terpaksa menempuh perjalanan selama 4 jam. Jika mahu melihat definasi cantik perempuan Iban mungkin pekerja di kaunter tempahan Mehligai Hotel boleh dijadikan ukuran, sebenarnya warna kulit mereka agak sama dengan orang Melayu tidaklah putih sangat seperti yang diwar-warkan tapi yang pasti yang cantik senang dicari tetapi semuanya beragama Kristian.

Tiada masalah besar untuk mengahwini gadis tempatan di sini kerana lelaki Semenanjung selain daripada askar adalah sangat dihormati di sini, cuma banyak yang terjadi apabila sudah berkahwin mereka, pasangannya akan terikut-ikut dengan agama asal mereka. Barangan “hardware” di Kapit sangat mahal seperti gas memasak (camping) yang boleh dibeli RM5.50 di Seremban dijual RM12.80 di sini, tetapi barangan runcit dan barang basah tidaklah mahal seperti yang diwar-warkan. Bandar ini walaupun terlalu ceruk ia lengkap dengan beberapa buah bank dan 3G Celcom berfungsi dengan baik di sini begitu juga internet.

Masyallah! Itulah yang terkeluar daripada mulut Ustaz Mursinul semasa menghubungi aku semalam, beliau sendiri tidak menyangka bahawa doanya supaya aku di hantar ke pedalaman di kawasan pedalaman Sarawak menjadi kenyataan kerana malas sangat ke surau. Sudah ada yang mengambil tiket pulang ke semenanjung kerana tidak mampu memikirkan apa yang bakal terjadi, berat mata memandang berat lagi bahu yang mendapat elaun kesukaran. Aku, Mezat, Atan dan Fadhly membeli seberapa banyak barang keperluan di Sibu kerana di Kapit barang tersebut sangat mahal. Rata-rata peniaga di sini boleh menguasai bahasa Melayu cuma jika mereka tidak boleh berbahasa Melayu kebolehan berbahasa Iban dan Melayu Sarawak satu kelebihan.

Monday, January 05, 2009





Aku semacam tidak percaya sudah berada di Sibu, kerana tempat yang paling jauh mampu aku pergi dengan duit sendiri pun hanyalah Trans Titiwangsa itupun setengah mati. Tidak banyak halangan untuk ke sini kerana aku datang dengan urusan kerajaan, maka aku dilayan seperti anak raja walaupun aku sedar aku adalah anak Makcik Mah. Layanan di Kingwood Hotel yang terletak berhampiran dengan jeti sangat baik hinggakan ke tahap mereka sanggup mencarikan peta lengkap Sarawak dengan percuma untuk aku. Cuma kemudahan tandas di sini agak pelik kerana tidak menyediakan paip air untuk membasuh “natural call”. Bandar Sibu adalah bandar pelabuhan yang sangat sibuk di sepanjang Sungai Rejang yang sangat besar dan hampir mustahil untuk kita rentasinya dengan kudrat yang ada. Perjalanan aku masih berbaki 240 km dengan menaiki dua bot ekspress ke Kapit dan seterusnya ke Belaga dan kalau terlajak dengan sengaja bolehlah aku “honey moon” di Kalimantan Indonesia.