Saturday, February 28, 2009

Malang datang bertalu-talu menimpa nasib aku yang malang, pertama kamera yang aku pinjam sudahpun rosak digunakan secara lasak kerana tempat aku berada tidak membenarkan peralatan yang diguna tahan lama. Kemudian komputer riba tempat aku menyimpan segala data sudahpun musnah terkena jangkitan virus kerana membenarkan banyak sangat “pen drive” dicucuk untuk memuat turun segala dokumen kawan-kawan aku di Kapit. Natijahnya segala bentuk visual ataupun dokumen bertulis hilang hingga aku terpaksa bermula seperti pengantin baru untuk melakukan semua kerja. Inilah kelemahan teknologi yang disanjung oleh kita selama ini.
-
Perjalanan aku ke Kapit memakan masa dua hari dengan menggunakan jalan darat (Belaga-Bintulu-Sibu-Kapit) kerana tidak dapat menggunakan jalan air walhal sebenarnya kedudukannya dengan Belaga cuma memakan masa 6 jam. Ini membuatkan tuntutan perjalanan aku meningkat dua kali ganda, seharusnya aku bersyukur kerana Faizal dari Losung Laku untuk keluar menggunakan Hilux ke Kapit harus mengeluarkan wang poket RM900.00 untuk perjalanan sehala menyebabkan mereka hanya keluar empat kali setahun. Aku dan Tom adalah antara yang diletakkan jauh di hulu maka kami berdua adalah yang paling sukar untuk ditatap muka kecuali ada urusan seri paduka baginda di bandar.
-
Masa petang aku habiskan menawan bandar Kapit yang agak luas juga mungkin sebesar bandar Tapah namun jika mengambil kira kawasan perumahan yang rancak dibina ia sebenarnya lebih luas. Malangnya bandar ini dapat dihubungi dengan jalan air, dahulu ia boleh dihubungi dengan jalan udara namun ia tinggal sejarah 10 tahun yang lepas kerana tiada permintaan. Sekarang lapangan terbang tersebut menjadi tempat orang seperti aku untuk menguji tahap kardiovaskular dimana panjangnya lebih kurang satu kilometer dan sangat selesa kerana tarnya masih baik walaupun sudah lama tidak diselenggara. Jika kita berlari di sini kita akan merasakan ia adalah “The Great Lost of Kapit”.
-
Ramai guru-guru yang aku jumpa di sekitar Kapit dan Sibu merungut kerana gaji yang mereka terima tidak mencukupi dan tidak mendapat elaun sebanyak aku. Sebagai langkah penyelesaian aku menawarkan diri untuk mereka tukar sama suka dengan aku dan hingga setakat hari ini belum ada yang berani menyahut cabaran. Elaun itu sebenarnya cuma untuk menghargai jasa guru kerana kesusahan mereka alami duduk di dalam hutan tebal tanpa kemudahan jalan darat, rumah ibadat dan klinik kesihatan. Bayangkan selama aku di sini cuma berpeluang sekali bersolat jumaat di Sibu dan jika sakit hanya makan paracetamol ataupun tidur sahaja menunggu sihat kerana tidak berbaloi pergi ke klinik yang sangat jauh.
-
Moses meminta dibelikan air gula bila mengetahui aku keluar jauh, hingga sekarang aku tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan air gula itu hingga sekarang kerana dia tidak dapat menerangkan kepada aku. Aku pun tidak tahu ia ini dari planet mana kerana perbendeharaan katanya sangat terhad seperti keman (makan), minum, padam, sukan, cikgu, tulis, usik, gaduh dan air gula. Mungkin membelikannya sekotak air Ribena dan beberapa biji gula batu (gula-gula) sudah cukup bermakna kepadanya

Sunday, February 22, 2009

Dari Segaham ke Sg. Asap

Belaga

Belaga merupakan sebuah pekan kecil di hulu Batang Rejang di persimpangan Sungai Belaga dan Sungai Balui. Orang-orang Cina mula membuka kedai-kedai di pekan Belaga pada tahun 1900-an. Mereka berurusniaga dengan orang-orang dari hulu sungai dengan membekalkan barangan keperluan seperti minyak tanah, garam dan peralatan memasak.
-
Pelawat berpeluang menyaksikan kehidupan Orang Ulu* yang selalunya akan membawa hasil-hasil hutan dari hulu-hulu sungai untuk dijual di pekan Belaga. Belaga menarik minat ramai pelawat yang ingin mengembara ke pedalaman Sarawak.
-
Terdapat banyak rumah panjang Orang Ulu (contohnya Kayan dan Kenyah) di sini. Pelawat dinasihatkan untuk mengupah pemandu pelancong tempatan untuk mengembara ke rumah-rumah panjang dan kawasan pedalaman. Sila hubungi Pejabat Daerah Belaga (+6086-461339) untuk pemandu pelancong dan nasihat.
-
Pelawat atau pelancong asing mestilah memohon permit di Pejabat Residen Bahagian Kapit terlebih dahulu untuk melawat Belaga. Klik sini untuk permohonan permit. Bagaimana pergi ke Belaga? Klik sini.
-
-
Orang Ulu bermaksud masyarakat yang tinggal di hulu Batang Rajang dan selain masyarakat Iban.

Jeram Pelagus

Jeram Pelagus

Jeram Pelagus, terdiri daripada beberapa siri jeram di antara Kapit dan Belaga, terletak kira-kira 32km di Batang Rajang dari bandar Kapit. Jeram bersiri ini mempunyai sejumlah tujuh buah jeram yang menjangkau sejauh 12.8km (8 batu). Antara jeram yang paling bahaya ialah jeram-jeram sepanjang 1.6km yang berair deras dan bergelora melalui batu-batan yang tajam yang terletak berhampiran dengan Pusat Peranginan Pelagus.
-
Batu tongkol besar yang tonjol sewaktu paras air rendah menjadikan jeram itu tidak dapat dilalui oleh bot-bot besar manakala pada waktu paras air tinggi, air jeram menjadi bergelora dan berpusar menjadikan laluan sungai berbahaya. Pada masa dahulu, Jeram Pelagus menjadi penghalang kepada orang Iban daripada berhijrah jauh ke hulu dan bertembung dengan suku etnik lain yang telahpun menetap awal di sana. Kini. Jeram Pelagus merupakan aset pelancongan yang penting dengan terbinanya Pusat Peranginan Pelagus yang berhadapan dengan jeram itu.
-
Legenda mengatakan bahawa pada zaman purba dahulukala, terdapat seekor ular besar bermitos digelar Nabau. Pada suatu hari, ular itu menjelma sebagai seorang manusia yang cuba bermesra dengan isteri kepada seorang pahlawan. Pahlawan itu berjaya menangkap ular itu, mengeratnya kepada tujuh bahagian dan membuangnya ke dalam sungai. Keratan-keratan ular itu kemudiannya membentuk tujuh ketulan batu-batan iaitu tujuh buah jeram yang ada sekarang.
-
Jeram Pelagus dikatakan berpuaka dan bermitos di kalangan orang-orang tempatan kerana sekali dalam beberapa tahun, seseorang nyawa akan terkorban di jeram tersebut. Sesetengah orang tempatan masih lagi membuat upacara atau persembahan adat untuk menenteramkan roh-roh jeram itu.
-
sumber: www.kapit.net.my

Saturday, February 21, 2009

Feri Kuching-Sibu

Projek Keceriaan

Parang Kayan

Poco-poco (6 jenis langkah)

Tarian Singa

Makanan Orang Ulu

Peta Belaga


Wednesday, February 18, 2009

Awan nampak berat hari ini tapi masih belum turun hujan yang dinanti yang diharapkan untuk menyiram pokok bunga yang baru ditanam. Banyak juga pokok bunga yang mati membuatkan aku sedikit tertekan. Mandi juga aku di Sungai Rajang setelah di tolak oleh Sati di Jelatong walaupun pada awalnya tercungap-cungap kerana airnya masih dalam di musim kemarau. Ini adalah satu perkara yang tidak masuk akal dan tidak pernah terfikir bahawa aku akan bermandi manda di sungai yang terpanjang di Malaysia!.
-
Setelah lebih sebulan baru hari ini aku mengambil keputusan memohon kebenaran Andrew untuk menyamak segala pinggang mangkuk di rumah untuk memudahkan urusan kami berlima memasak, alhamdulillah dia dapat menerima dengan hati yang terbuka. Cuma aku agak pelik dengan perangainya semenjak dua menjak ini yang mengajak melakukan perkara yang bukan-bukan seperti memukul orang.
-
Moses sudahpun boleh menangkap bola dan berlari mengikut garisan tetapi masih lemah dengan kemahiran kaki, banyak yang perlu dibentuk tentang dirinya yang baru keluar dari “dunianya”. Aku berharap dapat memberinya kemahiran kaki secepat boleh supaya ia dapat belajar kepada bidang permainan pula kerana walaupun berbadan kecil dialah satu-satunya yang mempunyai kemampuan mengikut aku berlari walaupun kadang-kadang berhenti di “pit” mengambil nafas sementara aku sampai di “pit”.

Tuesday, February 17, 2009

Aku sudahpun menempah perahu ke Belaga dengan kos RM40.00 dan satu tempat duduk kenderaan pacuan empat roda pada hari sabtu ini untuk perjalanan Belaga ke Bintulu dengan kos RM50.00. Semuanya hanya kerana perjalanan air ke Kapit terencat kerana ketiadaan bot ekspress akibat musim kemarau.

Sunday, February 15, 2009

Perjalanan dari Sg. Rajang ke hulu Segaham sangatlah mengerikan kerana selain dari khazanah hutannya yang sangat tebal tiada penempatan tamadun di situ kerana masyarakat hulu tidak tinggal di sungai-sungai kecil seperti masyarakat iban sebaliknya mendiami sepanjang Sungai Rajang. Ikan yang aku perolehi sangat banyak walaupun sudah dibahagi lima di antara kami menunjukkan bahawa sumber protien utama di sini sangat banyak yang penting adakah kita berani meneroka tempat yang yang dua kali seram daripada banjaran Titiwangsa. Kami menggunakan kaedah elektrik merupakan satu-satu kaedah yang paling berkesan sewaktu musim kemarau kerana air yang cetek setinggi lutut pun akan diijumpai baung yang besar termasuk palau, tilan, putih, sebarau, dan haruan.

Friday, February 13, 2009


Hari ini sangat panas walaupun hujan turun sekejap petang semalam namun ia tidak betul-betul membasahi bumi. Awal pagi lagi nenek Jousha sudah mengiringinya ke kelas yang malas bersekolah walaupun sudah tahun empat, masalahnya suasana panas itu dipanaskan lagi kerana neneknya cuma berkemban dengan batik sarung!. Musim kering menyebabkan rengit tidak mengganggu aku lagi tetapi menyebabkan urusan lain terganggu kerana bot ekspress tidak boleh melepasi Jeram Pelagus secara tidak langsung perhubungan ke Kapit terputus. Ini merisaukan aku yang perlu ke sana untuk menjalani kursus EduTvWeb kerana terpaksa melalui Bintulu-Sibu-Kapit iaitu 14 jam perjalanan dan mungkin terpaksa bermalam di Bintulu dan Sibu sebelum tiba di Kapit.

Thursday, February 12, 2009


Air terpaksa dicatu kerana air yang turun dari gunung sangat sedikit dan tadahan hujan pula hanya tinggal sedikit kerana sudah empat hari hujan tidak membasahi bumi. Fenomena luarbiasa tiada lagi berlaku namun tekak aku mula kering dan sakit kerana kepanasan yang sangat melampau. Namun itu tidaklah bermakna aku tidak gembira kerana aku ketawa keseorangan sepanjang hari ini apabila seluruh murid tahun 4 menjemur lukisan mereka di hadapan kuarters aku walaupun aku sekadar melawak. Nasib baik aku tidak menyuruh mereka menjemur lukisan di hadapan rumah Guru Besar jika tidak sudah tentu aku kena memberi tunjuk sebab dan dirotan, mungkin ini petunjuk dari tuhan yang menunjukkan hati mereka cukup bersih seperti kain putih.

Tuesday, February 10, 2009


Baru dua hari hujan tidak turun di bumi Belaga sudahpun menyebabkan fenomena luar biasa di sini, pertama paras air menurun lebih dari 10 kaki dari tangga pelantar hingga mengeringkan sungai-sungai kecil. Kedua sungguh banyak ikan yang mabuk akibat keadaan luar biasa tadi mungkin kerana paras asid dalam air sudah berubah hingga menyebabkan kekurangan oksigen ataupun kepekatan lumpur menutup insang ikan. Kelihatan perahu kecil mudik dari Belaga ke Empangan Bakun seperti pesta mencari ikan terutama di muara sungai sepanjang Sungai Rajang. Jika kita selalu melihat suratkhabar joran ikan besar yang berjaya ditangkap oleh peserta yang kononnya sangat “terror” di sini beratus-ratus ikan sebesar itu berjaya ditangkap menggunakan sauk dan pukat. Setakat ini ikan Tapah adalah yang paling besar aku lihat iaitu sepanjang 4 kaki, manakala ikan lain seperti baung, palau, jelawat, tilan dan putih memenuhi perahu mereka. “Boarding pass” Air Asia yang di pos oleh Along menggunakan pos biasa pada 4 febuari sudahpun diterima, pelik juga kerana masa yang diambil oleh pos biasa dan pos ekspress adalah sama.

Monday, February 09, 2009


Hari ini tiada setitikpun hujan yang turun dan cuaca sangat panas serta kering namun suasana malam sangat dingin seperti berada di dalam banjaran Titiwangsa. Dua pelancong Jerman singgah di bilik guru petang ini semasa aku sedang menyediakan “lesson plan” untuk esok, terpaksalah aku menjadi PR di dalam hutan ini menjawab serba sedikit yang aku tahu. Johaimi sudahpun mengeluarkan jadual latihan yang padat untuk setiap hari walaupun pertandingan masih terlalu jauh, aku mengambil peluang mengajar permainan bola-baling dimana separuh murid langsung tidak tahu dari segi teknikalnya. Namun aku dikira bernasib baik kerana semua murid mempunyai stamina yang tinggi cuma Moses dan Jessica masih perlu dibentuk kerana tidak berupaya menangkap bola dengan baik.

Sunday, February 08, 2009


Akhirnya berjaya juga aku melakukan latihan larian sejauh 6 kilometer itupun terpaksa menanggung kesakitan pada kaki setelah menggunakan kasut getah kerana padang yang berlumpur. Aku masih boleh mengekalkan masa 30 minit untuk lima kilometer tetapi untuk 10 kilometer di bawah 60 minit masih terlalu sukar kerana tidak dapat menggunakan “sneakers” adidas atau admiral aku. Air Sungai Rajang sudahpun mencapai tangga pelantar Segaham menandakan air sangat dalam kerana banjir ada di sekitar Sarawak seperti Sibu, Mukah dan Miri dimana ia telah menyebabkan kejadian tanah runtuh hingga memutuskan perhubungan darat di sini.

Saturday, February 07, 2009


Aku bernasib baik kerana dapat pulang ke Segaham petang semalam selepas berpeluh mencari perahu di sekitar Belaga. Jika tidak sudah tentu aku terpaksa tidur di hotel hanya semata-mata untuk membeli barang keperluan harian itulah harga yang terpaksa dibayar oleh aku untuk hidup di sini menggambarkan betapa sukarnya hanya untuk keluar “shopping” itu belum lagi untuk pulang ke semenanjung. Perahu itupun aku dapat dengan terpaksa mengurangkan 10 kilo beras walhal aku perlu membeli 20 kilo beras untuk keperluan lima orang kerana muatan perahu yang santak. Untuk mengeluarkan wang aku terpaksa beratur selama 45 minit di pejabat pos menanti ibu jari kiri aku di cop pada borang keluar ASB dimana itulah satu-satunya cara untuk mengeluarkan duit di sini.

Thursday, February 05, 2009

Hari ini aku dapat membaca suratkhabar yang sudah berusia tiga hari sampai di bilik guru, bukannya aku tidak mendapat maklumat yang tidak cukup melalui Astro cuma rasa lebih selesa membaca suratkhabar yang boleh dipegang dan dicampak jika marah. Bos sekali lagi melantik aku dengan jawatan baru iaitu sebagai Guru Media yang akan berurusan dengan pejabat pendidikan daerah kecil dalam hal-hal berkaitan dengan EduWebTv oleh Kementerian Pendidikan. Aku tidak pasti ini adalah jawatan yang keberapa yang aku terima semenjak sampai ke sini.

Wednesday, February 04, 2009

Andrew sudah pun sampai ke sini semalam selepas terpaksa mengharungi banjir di Serian dan begitu juga keadaanya dengan beberapa orang guru yang lain. Untuk mesyuarat yang ke enam aku dilantik pula sebagai penyelaras Program 3k, maka aku sudah mula bergerak dengan program pertama aku petang semalam iaitu program keceriaan. Tiada masalah untuk mengadakan program di sini walaupun memberi notis secara mengejut begitu juga ketiadaan peralatan langsung tidak mengganggu perjalanan gotong-royong betapa hebat masyarakat di sini dalam bekerja. Surat yang di hantar secara pos ekspress dari semanjung cuma diterima sesudah tujuh hari oleh Bat maka tidak dapat aku bayangkan slip “boarding pass” Air Asia yang di hantar oleh Along menggunakan pos biasa ke sini!.

Sunday, February 01, 2009

Hujan tidak berhenti-henti membuatkan air di Sungai Rajang melimpahi jeti Song, tempat dimana bermulanya kontroversi bahawa guru semenanjung tidak patut di hantar ke Sarawak dengan alasan di sini tidak selamat, tetapi bolehkah mereka yang memberi seribu alasan itu memberi jaminan bahawa di tempat mereka itu seratus peratus selamat. Bagi aku pembunuhan ustazah itu adalah kes terpinggir jika hendak memikirkan kes jenayah lagi banyak di felda-felda di semenanjung. Untuk catatan sepanjang perjalanan lebih dari 1330 km mengelilingi Sarawak dalam masa 7 hari melalui jalan darat dan air, tiada satupun “mat gian” yang aku jumpai.

Akhirnya aku sampai juga ke Segaham tempat dimana rengit (agas) sangat banyak hinggakan terpaksa menyalakan ubat nyamuk, keadaannya sama seperti di Lembah Agas yang terletak di tengah-tengah perjalanan Trans Titiwangsa. Aku harus menerima keadaan dengan redha kerana banyak hikmahnya di sini selain daripada merungut tentang rengit, kerana aku betul-betul merasai nikmat dapat makan roti canai di Sg. Asap yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Mungkin betul kata Ejoq bahawa kita akan betul-betul menghargai setiap perjalanan ke bandar apabila duduk di tengah hutan.

Aku sudah hampir menawan 50 peratus keluasan Sawarak dengan perjalanan darat sejauh 730km, dari Rumah Menjawah-Sg. Asap-Bintulu-Sibu-Sarikei-Seri Aman-Serian-Samarahan-Kuching. Sewaktu pulang aku mengambil keputusan menggunakan jalan air dari Kuching ke Segaham sejauh 600km bermula dari Pending-Tanjung Manis-Sarikei-Sibu-Song-Kapit-Belaga-Segaham. Tidak banyak perbezaan menggunakan jalan darat dan air dari segi kos pengangkutan iaitu jalan darat aku menghabiskan RM120 dari Rumah Menjawah ke Kuching manakala dengan menggunakan bot ekspress dari Kuching ke Segaham aku menghabiskan RM 117.00. Masalahnya apabila menggunakan jalan air aku terpaksa menghabiskan wang yang sangat banyak untuk penginapan di hotel tetapi perjalanan lebih selesa kerana mendapat rehat yang cukup. Banyak yang dapat dilihat terutama bila melalui jalan air seperti ombak laut menakutkan, polis menghantar penjenayah menggunakan bot ekspres dari Kapit ke Sibu dan bagaimana ada orang yanng mencari rezeki dengan mengangkat motor seorang diri ke atas bot ekspress.