Sunday, April 25, 2010

Transtormasi Teknologi Maklumat Komunikasi adakah kita bersedia?

Sudah seminggu jam Tag Heuer chap ayam tidak melekat di tangan kanan aku, terasa janggal sangat kerana tidak merujuk kepadanya setiap kali bangun pagi sejak tiga tahun lalu. Masih penuh lagi dengan air keruh Batang Rajang pada cermin dan jarumnya, rasanya ia sudah menemui ajalnya minggu lepas. Penggunaan internet agak meluas di jabatan kerajaan merupakan satu transformasi yang sangat bagus dalam mengekalkan momentum sebuah negara maju.
-
Dari soal mencari pekerjaan hingga kepada mengemaskini data peribadi sudahpun menggunakan talian internet. Begitu juga di peringkat sekolah secara beransur-ansur semua laporan daripada soal perancangan, pentadbiran dan analisis harus dimuat turun di laman sesawang yang telah ditentukan supaya terus dipantau oleh pihak berwajib.
-
Persoalannya adakah kita sudah bersedia dari soal prasarana terutama di kawasan pedalaman?. Memang di sekolah aku mempunyai e-school net (satelit sebesar meja pejabat) namun ia tidak berfungsi walaupun ia lebih cantik daripada kuali memasak rendang di rumah Makcik Mah.
-
Lebih menyakitkan hati bila kita menghadiri bengkel berkaitan Teknologi Maklumat Komunikasi (TMK) pihak berkenaan mengugut akan memantau penggunaan dalam memastikan TMK dijalankan. Macamlah mereka boleh datang ke sekolah aku menaiki kereta, silap-silap sebelum sampai sudah basah di jelatong (jeti kecil).
-
Pihak berkenaan dengan penuh rasa tanggungjawab bertanyakan masalah yang dihadapi oleh sekolah, bila kita memberi maklum balas bahawa tiada komputer di sekolah kita pula yang dimarah. Mereka membalas dengan mengatakan guru harus ‘kreatif’ dalam penggunaan TMK semasa sesi pembelajaran dan pengajaran.
-
Aku sebagai guru Pendidikan Jasmani tiada masalah dengan istilah ‘kreatif’ kerana terdapat pelbagai benda yang boleh dijadikan alat untuk bersukan, lagipun padang sekolah kami tidak pernah rata kerana ia diratakan menggunakan cangkul!.
-
Tetapi bagaimana hendak mengajar TMK kepada 15 pelajar dalam satu kelas menggunakan satu komputer riba kepunyaan sendiri? Hampir mustahil untuk dilakukan tetapi itu yang aku lakukan sejak setahun lepas, kadang-kadang aku mendoakan supaya pegawai tersebut dihantar bertugas di sini membantu aku, barulah dia tahu tinggi rendahnya langit di sini!.

Sunday, April 18, 2010

Jatuh

Alhamdulillah Lawatan Muhibbah SK Ulu Entaih dai Julau selama tiga hari tamat jam 9.35 pagi ini dengan jayanya. Mungkin kami akan melakukan lawatan balas ke sana pula pada masa akan datang. Hari ini Chap Ayam Runners di bawah pimpinan Abang Ramlan mula maju setapak lagi di hadapan dengan mengadakan pertandingan larian yang pertama. Tidak pernah aku terfikir jenamachap ayamyang dicipta di atas meja restoran kedai makan Cina di Bukit Jalil semasa sedang mengisi borang sampai ke tahap ini.

Telefon bimbit Sony Ericson dan Nokia aku rosak kerana dimasuki air semalam, begitu juga jam tangan Tag Heaur cap ayam pecah kacanya. Ini semua kerana terjatuh ke dalam sungai Batang Rajang berhampiran jelatong minyak Ah Keong di Belaga. Semuanya berlaku apabila aku tidak dapat mengimbang badan sewaktu melalui balak yang dijadikan titi untuk ke perahu. Habis semua berterabur barang keperluan dapur aku di permukaan sungai, aku tidak ambil pusing sangat pasal kehilangan dan kerosakan barang tersebut yang penting aku selamat. Jika aku tidak kena hari mungkin esok terkena juga!.

Saturday, April 10, 2010

Air tiba-tiba surut mendadak hari ini, ia memberikan rezeki lebih kepada penduduk kampung yang tidak putus-putus datang ke sekolah menjual ikan kepada kakitangan sekolah. Memang sedap sekali jika ikan segar jika dimasak terus dalam apa jua masakan tanpa dimasukkan ke dalam peti ais, itulah kelebihan tinggal berhampiran sungai. Seminggu berlalu dengan sibuk mengindahkan kawasan sekolah termasuk dengan keadaan di dalam bilik kelas kerana akan ada pelawat yang datang dari Julau pada Jumaat depan.

Latihan kardiovaskular tetap dijalankan walaupun cuaca sangat panas dan keadaan padang yang sangat teruk kerana rumput terlampau tinggi. Pelik juga kerana pokok bunga dapat dijaga tetapi padang langsung tidak terurus kerana tiada siapa yang mahu melihatnya melainkan guru Pendidikan Jasmani dan muridnya.

Friday, April 02, 2010

Sunyi kawasan sekolah dan tiada bunyi perahu mudik ke Bakun mencari ikan seperti selalu kecuali bot ekspress mudik ke Sibu. Mungkin kerana itu tiada orang kampung datang ke rumah untuk menjual ikan sungai pada kebiasaan hari cuti. Hari ini mungkin ramai yang ke gereja menyambut hari kebesaran Good Friday dan akan berlanjutan ke hari Ahad iaitu Hari Easter. Ada yang berpuasa dan tidak memakan benda yang berdarah serta petang ini Kak Flora sibuk dengan periuk besarnya untuk membuat kuih menyambut Hari Easter.

Daerah Belaga berjaya menjadi johan dalam pertandingan bola baling di Kapit di mana semuanya terdiri daripada murid-murid Segaham. Alhamdulillah 5 murid Segaham akan ke peringkat negeri itupun jika ada peruntukan lebih!.