Thursday, May 27, 2010


Cuaca yang sangat baik tetapi sekolah dalam sunyi sepi apabila semua sudah pulang ke kampung apabila keputusan dibuat untuk menutup sekolah awal semalam kerana perayaan Gawai minggu depan walaupun Orang Ulu (terdiri daripada masyarakat Kayan, Kenyah, Kejaman dan Lahanan) tidaklah menyambutnya di sini.

Aku tidak bercadang menukar tiket kapal terbang yang dijadualkan jumaat ini kepada semalam kerana ia akan melibatkan kos yang tinggi, sepatutnya segala perubahan cuti harus diberitahu awal supaya mudah untuk membuat perancangan.

E-school net sudah berfungsi seperti biasa setelah hampir setahun tidak berfungsi, ini memudahkan segala urusan dengan pihak PPD mahupun mengemaskini data sekolah di laman web Kementerian Pendidikan. Mungkin ini dapat mengurangkan aku keluar ke bandar dengan nisbah 3 bulan : 2 kali sahaja ke bandar itupun jika ada urusan yang sangat penting.

Sunday, May 23, 2010


Latihan kardiovaskular dijalankan seperti biasa pagi ini walaupun aku sibuk dengan aktiviti Pra Gawai malam tadi. Adalah penting untuk mengkaji pedih ulu hati yang lepas sama ada ia bersifat sementara ataupun ia kekal dan rasanya ia bukan masalah setelah melepasi beberapa kali latihan. Keadaan sekolah pagi ini agak huru-hara dengan sampah yang bertaburan dan beberapa orang dalam keadaan yang tidak menyenangkan mata aku memandangnya. Mujurlah aku mempunyai banyak askar yang bersiap siaga bila-bila masa menunggu arahan aku tanpa banyak soal.

Pada prinsipnya aku bersetuju dengan penganjuran dengan segala aktiviti kebudayaan kerana Sarawak sangat sarat dengan budaya berbanding dengan Semenanjung Malaysia, Thailand, Singapura mahupun Brunei. Cuma aku tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang kadang kala ia menjadi seakan pesta daripada mencerminkan budaya Sarawak sendiri.

Mungkin kerana itu aku telah banyak-banyak kali menerima ugutan dan amaran serta disingkir daripada melakukan tugas kerana kurang komitmen terhadap perkara-perkara berkaitan dengan pesta. Nasib baiklah aku ini jenis yang tidak peduli pasal pangkat dan tidak peduli pun jika diambil tindakan. Apa yang penting core business perlu dijalankan seperti biasa daripada kerja-kerja sampingan yang tidak mendatangkan faedah

Alangkah ruginya tiada persembahan Datun Julut dan Ngajat tiada malam tadi seperti tahun-tahun yang lepas, apalah maknanya Gawai tanpa ranyai, ngajat dan persembahan kebuadayaan lain. Ia cuma akan menjadi seperti pertandingan karaoke, carca marba dan entah apa-apa!.

Tuesday, May 18, 2010

Sambutan Hari Guru disambut dengan agak hambar kerana semua tenaga ditumpukan kepada Pra Gawai yang akan berlangsung sabtu ini. Semua ini tidaklah menjadi soal kerana core business kami adalah mengajar bukannya menyambut segala macam hari istimewa yang ada dalam kalendar. Yang penting aku mendapat agak banyak kad Hari Guru daripada anak-anak murid aku (itupun setelah aku sendiri yang memberikan kertas dan pensil warna kepada mereka).
-
Cuaca yang sejuk sejak dua minggu lalu memudahkan segala latihan untuk murid-murid kerana tidaklah mereka lelah disebabkan cuaca yang sangat panas seperti selalu. Namun ia tidaklah mudah sangat untuk aku dalam latihan kardiovaskular kerana tersangkut akibat sakit ulu hati pada pusingan ke 37 walaupun badan berada dalam keadaan yang terbaik.

Thursday, May 13, 2010

Masih lagi ramai kakitangan sekolah memperkatakan tentang ular sawa sepanjang 2 meter yang kekenyangan memakan tikus yang tidur di dalam bilik PPSMI semalam. Pelbagai perkara yang dibincangkan iaitu bagaimana untuk mengelak kejadian ini berulang dan kenapa aku tidak berani menangkap ular tersebut semalam. Hendak mengelak kejadian ini hampir-hampir mustahil kerana hutan memang sudah tempatnya bermaindan aku sebenarnya bukan tidak berani cuma aku ini pencinta alam sekitar yang suka melihat alami daripada menghapusnya (escapism yang biasa).

Sebelum pulang ke Perak sempena cuti pertengahan tahun, kami akan melalui minggu-minggu yang sangat sibuk bermula esok iaitu Sambutan Hari Guru, Peperiksaan Pertengahan Tahun, Mesyuarat PIBG, Gotong Royong Perdana dan Pra Gawai yang perlu dilaksanakan. Ini semua tidaklah menjadi hal kerana di sini komitmen daripada guru, kakitangan, murid dan ibu-bapa sangat mudah ditagih tanpa banyak soal.

Saturday, May 08, 2010

Sudah 3 hari umur aku menjengah 36 tahun, namun hari ini aku masih lagi dapat menamatkan 50 pusingan latihan kardiovaskular padang 200 meter yang tidak rata seperti biasa. Kad ucap selamat yang paling besar aku dapat ialah daripada tahun 5 iaitu sebesar meja murid. Pagi-pagi lagi penduduk Rumah Kejaman sudah berlatih bola tampar untuk perlawanan minggu hadapan di Belaga selain dari itu tiada apa-apa perkara baru di sini melainkan kehidupan berjalan baik seperti biasa kerana cuaca yang sangat baik iaitu panas dan hujan datang seiring.

Sunday, May 02, 2010

Latihan kardiovaskular dari Pasar Tamu ke Tanjung Batu sangat memenatkan kerana hujan lebat awal pagi. Aku teruskan juga latihan ekstrem walaupun aku tidak dapat ke Singapura untuk Sundown Marathon pada 29 Mei gara-gara Air Asia menstruktur semula jadual penerbangan untuk laluan Bintulu - Kuala Lumpur. Banyak juga kerugian yang aku alami dalam soal penginapan dan pengangkutan, mungkin ada hikmahnya. Malang bertimpa-timpa buat aku, ketidak bolehan talian internet semasa menginap di Hotel Tanah Mas Sibu dan "out of service" semua mesin ATM CIMB di Bintulu membuatkan aku rasa tidak berbaloi kedatangan aku ke bandar kali ini.

Udang, Sg Perak

Jenis-jenis Keretapi

Giam Pasang, Belaga

Saturday, May 01, 2010

Sudah 7 minggu aku bertapa di Segaham membiarkan wang gaji selama 2 bulan tidak diusik kerana difikirkan waktu-waktu sebelum ini tidak sesuai untuk melakukan urusan. Tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia sebagai pembayar cukai yang baik aku lupakan sahaja kerana tidak begitu mesra dilayan oleh pegawai LHDN Bintulu seperti sepatutnya mungkin kerana terlampau banyak orang waktu semalam. Rasannya biarlah mereka mengejar kami di dalam hutan itupun jika mereka sanggup kerana bila sudah menyerah diri pun tidak dilayan.