Wednesday, November 24, 2010

Jalan ke Kota Kinabalu-Kundasang-Ranau

Lama sudah merancang cuma kali ini sahaja berjaya, itupun dengan secara usahasama dengan Bad seperti biasa. Tiada perancangan yang teliti (seperti penempahan hotel dan pengangkutan), cuma ada membuat sedikit rujukan dengan kawan-kawan tentang 3 tempat tersebut.
Perjalanan dari lapangan terbang Kota Kinabalu 1 (peta disediakan percuma di sini) ke pusat bandar (Jalan Sinsuran) dikenakan bayaran RM30.00 dan cuma dalam 25 minit perjalananan. Hotel murah memang banyak di sini, tetapi kebanyakannya sangat uzur dan seperti tidak selamat. Aku mengambil keputusan berjalan keluar sedikit dari Jalan Sinsuran dan mendapat hotel yang menawarkan harga berpatutan RM65.00 iaitu City Park Inn (backpackers hotel).
Hari Kedua, awal pagi kami berjalan kaki sejauh 15 minit ke Jesselton Point (jeti ke pulau-pulau) untuk ke Pulau Manukan. Di sini banyak agensi pelancongan yang menawarkan tiket, penyewaan snorkel dan jaket keselamatan, pakej parasailing, scuba do dan sea walking. Kami cuma membeli pakej tiket pergi-balik ke Pulau Manukan berjumlah RM17.00, menyewa snorkel dan jaket keselamatan masing-masing RM10.00 serta membeli pakej parasailing berjumlah RM180 untuk dua orang. Pulau Mamutik, Pulau Manukan dan Pulau Sapi terletak bersebelahan, namun adalah lebih baik memilih satu pulau sahaja supaya banyak aktiviti boleh dilakukan.
Jam 9.30 pagi perjalanan ke Pulau Manukan mengambil masa cuma 20 minit menggunakan enjin 75 kuasa kuda, perjalanan pulang telah diatur dengan agensi pada pukul satu namun kita boleh memilih sehingga 5 petang. Pada jam 10.00 pagi kami melakukan aktiviti parasailing (payung terjun ditarik dengan bot laju 250 kuasa kuda) selama 15 minit di antara 3 buah pulau ini dan ia sangat menakutkan tetapi seronok. Kemudian kami melakukan aktiviti snorkeling di sekitar pantai yang mempunyai batu karang (tiada ikan di kawasan berpasir) kerana mempunyai banyak jenis ikan, namun sedikit mengecewakan kerana diserang makhluk kecil yang amat gatal.

Kami check out dari hotel pada jam 3.00 petang (dikenakan bayaran tambahan RM30.00) dan terus mencari bas (van kecil putih) ke Kundasang. Stesen bas tersebut berada di hadapan padang majlis bandaran, dengan tambang RM20.00 (jika menggunakan teksi RM100.00) kami sampai di Kundasang setelah 2 jam setengah perjalanan. Hotel banyak di kawasan sekitar namun perlu mencari teksi sapu kerana terletak agak jauh (5 minit menggunakan kereta) dari pekan. Terdapat beberapa buah hotel yang terletak agak dekat iaitu 15 minit berjalan kaki iaitu Cottage Hotel, Nabalu Resorts dan Kinabalu Pine Resort. Kami mengambil keputusan tinggal di Kinabalu Pines Resort kerana harga yang berpatutan iaitu RM160.00 (harga hotel sekitar sini bermula semurah dari RM30.00-RM250.00) dan menyediakan sarapan pagi dan makan malam.

Hari ketiga awal pagi kami sudah bersiap untuk memastikan tiba di Kinabalu Park sebelum pukul 10.00 pagi kerana selepas itu tiada apa-apa yang dapat dilihat melainkan awan yang menutupi puncak Kinabalu. Di sini pelawat dikenakan bayaran RM3.00, ia adalah laluan para pendaki ke Gunung Kinabalu melalui pintu Timpohon selain pintu Mesilau. Dari sini dapat dilihat puncak Kinabalu yang terdiri daripada batuan pada ketinggian 8 ribu kaki, ia seumpama melihat puncak Gunung Everest dari Kalapattar.

Seterusnya kami terus ke ladang stawberi, dan terus ke Poring (Ranau) kira-kira 40km dari Kinabalu Park. Poring masih terletak di dalam Taman Negara Kinabalu seluas 754 ribu ekar yang menempatkan pelbagai spesis pokok hingga ia diwartakan sebagai warisan dunia oleh UNESCO. Perjalanan tersebut mengambil masa lebih kurang 40 minit (dari Kinabalu Park), di sini terdapat Kolam Air Panas, Canopy Walk, Taman Rama-Rama, Air Terjun Kepungit, Gua Kelawar dan Air Terjun Langanan. Bagi aku cuma Canopy Walk, Air Terjun Kepungit dan Langanan sahaja yang dirasakan berbaloi untuk dilawati kerana kawasan kolam air panas terlalu kecil, Taman Rama-Rama tiada rama-rama dan Gua Kelawar yang sangat kecil.


Pada jam 3.00 petang kami sampai ke Desa Cattle Farm iaitu ladang tenusu, pada ketika ini dirasakan amat sesuai untuk melawat (dikenakan RM3.00) iaitu susu lembu sedang diperah menggunakan mesin moden. Ternakan lembu di sini amat cantik seperti berada di negara sejuk berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu. Tempat yang terakhir ialah Memorial Perang Kundasang yang dibina untuk memperingati kematian askar Australia dan British dibunuh secara kejam oleh askar Jepun, di sini diadakan juga tayangan video mengenai cerita sebenar. Perjalanan kami hari ini dibantu oleh Wan, penduduk kampung di sini dengan bayaran yang berpatutan.

Hari keempat awal pagi kami sudah berada di pekan Kundasang mencari pengangkutan ke Kota Kinabalu. Pengangkutan sukar dicari selepas pukul 10.00 pagi, setelah 15 minit menunggu ditepi jalan yang sarat dengan penjual sayur kami berjaya mendapat pengangkutan tersebut. Jam 8.30 pagi kami meninggalkan kawasan yang paling sejuk di Sabah iaitu suhu di sekitar 21 darjah celcius. Aku rasa sesiapa yang tidak biasa dengan kawasan tinggi sangat senang diserang “altitude sickness” di sini, simptom-simptomnya ialah seperti sakit kepala, telinga berdengung dan loya , mungkin memakan paracetamol dan memakan asam dapat membantu.




Kami check in di hotel yang sama seperti hari pertama supaya memudahkan urusan membeli belah di kawasan pasar. Terdapat beberapa kawasan membeli belah yang menarik di sekitar Pasar Filipina yang menjual pelbagai barangan makanan laut kering seperti rumpai laut, ikan bilis dan sotong. Pasar krafttangan pula menyediakan pelbagai cenderamata seperti barangan mutiara, kain dan key chain. Tetapi sikit mengecewakan kerana tiada pisau atau parang yang dapat dijadikan cenderamata dijual di sini.

Nabalu Lodge 088-889789

Kinabalu Pine Resort -088-368775

Wan (Pengangkutan Kundasang) -013-8572720

Taman Negara Kinabalu-088-889095

Via Ferrata-Gunung Kinabalu-088-268126

Friday, November 19, 2010

Tarian Melanau, Kg Budaya

Tarian Selamat Datang Bidayuh, Kg Budaya

Tarian Pahlawan Orang Ulu, Kg Budaya

Tarian Iban, Kg Budaya

Tarian Bidayuh, Kg Budaya

Rumah Tinggi Melanau, Kg Budaya

Salong (Keliring Kaum Kejaman)

Ritual Kematian Kaum Kejaman, Belaga

Orang Utan, Semenggoh Kuching

Tuesday, November 16, 2010


Alhamdulillah hari sukan permainan selama tiga minggu, sukan olahraga dan rakyat yang masing-masing selama sehari berjaya dijayakan oleh semua kakitangan, murid dan ibubapa yang berakhir kelmarin. Seperti biasa tiada masalah besar bila bercerita tentang sukan di sini kerana ibubapa dan murid-murid sangat obses tentang perkara yang satu ini. Sejak semalam hujan turun dengan lebat tanpa menunjukkan belas, nasib baik hari sukan telah dijalankan jika tidak ia mungkin menyebabkan kekangan masa kepada guru-guru. Batang Rajang telah kembali kepada keadaan asal sepenuhnya seperti sebelum terowong empangan Bakun ditutup hingga menidakkan mitos bahawa ia akan kering!.

Tuesday, November 09, 2010

Membuat Padang 200 Meter

Umum tahu bahawa padang sekolah rendah kebanyakannya hanya berukuran 200 meter bersesuaian dengan fizikal murid juga sesuai dengan saiz sekolah. Sebelum memulakannya kita haruslah menyediakan beberapa peralatan yang sesuai iaitu:-

i. Tali rapia

ii. Pisau

iii. Kayu pancang

iv. Pita pengukur

v. Kotak/bata

vi. Cat sembur

vii. Kayu tajam/bebendul

viii. Minyak Hitam

ix. Span

x. Penyiram bunga

Pertama sekali ialah kita harus mencari sudut tepat (segiempat tepat) untuk sebuah padang. Cuba buat segiempat tepat berbentuk kotak kasut semaksimum mungkin. Caranya dengan memastikan tali selari dengan kotak (boleh digantikan dengan benda lain seperti bata), tali haruslah dipancang jauh dari kotak (untuk memudahkan proses menuang minyak).

Kedua bolehlah kita membuat lengkungan untuk empat lorong 200 meter di hujung kedua belah padang. Caranya mengukur jarak 20 meter di hujung padang lalu dibawa ke arah dalam, kemudian cari titik tengah antara garisan 20 meter tersebut (untuk padang balapan 400 meter jaraknya ialah 36.5 meter). Buat bebendul pada titik tengah tersebut ambil tali yang diikat pada kayu tajam dan mulakan menggariskan padang. Gunakan cat sembur untuk menanda lengkungan tersebut yang telah digaris tadi.

Jarak lorong yang sesuai adalah 1 meter, cara yang sama juga diperlukan untuk membuat lengkungan sebaliknya, kemudian ambil tali, tanda pada sisi padang sebanyak empat lorong, manakala untuk sisi yang berlawanan adalah 8 lorong (termasuk 4 balapan 100 meter). Bentuk padang dari atas adalah hampir menjadi huruf ‘a’ kecil dimana batang huruf ‘a’ kecil adalah balapan 100 meter, manakala bulatan huruf ‘a’ merujuk kepada balapan 200 meter.

Semasa menuang minyak hitam adalah baik dimulakan dengan kedua-dua lengkung 200 meter diikuti empat lorong 200 meter dan akhir sekali adalah lorong 100 meter. Ini untuk mengelakkan berlaku kesilapan, untuk garisan permulaan dan penamat warna berlainan mungkin juga membantu untuk mengelakkan kekeliruan.

Jika sekolah tidak mempunyai kereta penggelek boleh menggunakan kaedah menuang minyak hitam sepanjang garisan dan dengan menggunakan span yang diikat pada batang kayu gosok minyak hitam tadi secepat mungkin (berdua adalah ideal). Namun cara ini tidaklah digalakkan kerana menggunakan minyak hitam yang sangat banyak iaitu 5 tong berbanding 2 tong sahaja menggunakan kereta penggelek.

Friday, November 05, 2010

No food for 250 school children in the interiors!

“MIRI: About 250 pupils from three remote primary schools in Belaga SK Punan Bah, SK Telawan and SK Long Segaham have run out of food a few days after the contractor failed to deliver their weekly rations.”

By Stephen Then

The Star, 4 November 2010

Aku terkejut besar dengan kenyataan tersebut yang ditulis oleh saudara Stephen Then dari akhbar perdana lagi tersohor The Star. Apakah agenda beliau melalui tulisannya? Untuk membantu pihak sekolah atau sekadar menaikkan nama beliau dalam zon kewartawanan. Memang tidak dapat dinafikan penutupan terowong Bakun menjejaskan ekonomi di sini terutamanya pada hari pertama tetapi tidaklah sampai pihak kontraktor gagal menjalankan tugas mereka.

Tiada siapa yang mahukan kesusahan ini berlaku dan kadang-kala marah dengan pihak Bakun (Sarawak Hydro Sdn Bhd) bila sukar mahu melakukan kegiatan ekonomi dan sosial di sini terutama apabila Batang Balui (sebahagian daripada Batang Rajang) gagal membenarkan bot ekpress bergerak seperti biasa kerana cetek.

Sudah hampir tiga minggu terowong Bakun ditutup, semua murid SK Long Segaham tidak pula “kebulur” seperti yang dinyatakan. Hidup kami memang semakin susah tetapi “life must goes on” mungkin lebih baik wartawan tersebut turun padang ke sekolah-sekolah yang dicanangkan “kebulur” tersebut melihat sendiri suasananya. Manalah tahu mungkin dia dapat memberi bantuan untuk membina pusat sumber, makmal komputer dan makmal sains yang tiada di sekolah aku.!

Wednesday, November 03, 2010

Sumber: Internet

Hujan turun dengan lebatnya sejak 3 hari lalu tetapi cuma pada sebelah malam dan awal pagi sahaja. Namun Batang Rajang masih tetap tidak berubah masih cetek seperti biasa atau secara analoginya seperti seorang pemain bola sepak yang tidak gembira setelah menjaringkan gol kemenangan. Disebabkan tekanan untuk pergi berkursus yang akan berlanjutan selama 2 minggu, jadual membuat padang olahraga 200 meter terpaksa diawalkan. Mujur rakan-rakan di sekolah dan soldadu-soldadu kecil banyak membantu dalam hal ini, sebanyak 4 gelung tali rapia dan 5 tong (setinggi lutut) minyak hitam digunakan. Mengikut pengalaman aku jika menggunakan kereta sorong minyak hitam cuma 2 hingga 3 tong sahaja diperlukan, tetapi jika menggunakan kaedah yang paling asas di planet bumi (tuang dan sapu) ia memerlukan hingga 5 tong untuk keluasan yang sama.