Thursday, August 18, 2011

Di Recycle

Seminggu sudah berkampung di Belaga sempena kursus KSSR Pendidikan Kesihatan, ini merupakan kursus yang keempat untuk tahun ini. Untuk sekolah kecil kebiasaannya guru-guru di recycle sebanyak mungkin untuk pergi berkursus akibat kekurangan guru walaupun sebenarnya kursus tersebut kadang-kadang agak tersasar sedikit dari bidang tugas. Agak mengantuk kursus di bulan Ramadhan, namun ia adalah pengalaman baru dan setiap petang selepas berkursus aku dan Andrew akan ke **na* Restoren menempah makanan seperti rusa masak kicap, rusa masak halia dan sup rusa untuk juadah berbuka puasa.

Aku agak terkejut apabila memeriksa tuntutan perjalanan di emaklumweb.amn.gov.my untuk kursus KSSR BM dua minggu yang lalu telah masuk. Ia hampir-hampir mustahil untuk berlaku, namun tahniah diucapkan untuk pihak berkenaan walaupun terdapat pemotongan pada tuntutan tersebut. Ini menunjukkan bahawa tuntutan perjalanan ini tidak perlu mengambil masa sehingga 1 tahun 2 bulan untuk dibereskan ataupun tidak langsung terima seperti yang lepas-lepas.

Sunday, August 07, 2011

Suhu sewaktu berbuka puasa kadang-kadang mencecah 35' celcius membuatkan berpuasa di sini kadang kala amat mencabar. Kepanasan ini ditambah pula dengan pembakaran terbuka untuk membuat huma yang kadang-kadang amat menakutkan bila mendengar letupan-letupan yang tidak berhenti sewaktu pembakaran tersebut. Sebelum-sebelum ini ia tidaklah menakutkan aku sangat namun bila ia sangat dekat datang dari arah timur, barat dan barat daya sekolah secara serentak mungkin harus ada rizab pembakaran di kawasan sekolah secara lisan dengan penduduk kampung. Namun aku lebih panas hati dengan sikap murid suka mengetuk pintu rumah sewaktu aku betul-betul sedang meneguk Ribena sewaktu berbuka, ia selalu sangat berlaku seolah-olah tiada waktu lain untuk berunding dengan aku.



Friday, August 05, 2011

Sudah genap setahun aku tidak melakukan latihan kardiovaskular gara-gara Belaga Rainforest Marathon tahun lepas. Ligamen lutut kiri masih belum mencapai standard untuk larian, namun untuk berjalan tidak menjadi hal yang besar kepada kedua-dua ligamen lutut aku. Berat badan sudah mencapai 68 kg berbanding setahun dahulu paling tinggi cuma 65 kg, aku berharap Ramadhan ini dapat mengurangkan sedikit jumlahnya walaupun aku tahu ia hampir-hampir mustahil bagi aku.

Selama beberapa minggu ini semua guru-guru di seluruh Malaysia sibuk dengan kursus untuk kurikulum baru yang kelihatan lebih dinamik dan komprehensif dan sesuai dengan peredaran masa. Ia sesuatu yang harus dilakukan jika mahukan murid-murid yang berdaya saing. Akupun baru sahaja berkursus Bahasa Melayu minggu lepas berkursus lagi pada 2 minggu akan datang untuk subjek Pendidikan Kesihatan. Itulah kelebihan untuk guru-guru SKM (sekolah kurang murid), kami menerima input (kursus) terus daripada pihak PPD tanpa perlu menunggu guru berkursus pulang untuk memberikan in house training.

Sekolah menerima kedatangan pentadbir yang baru, lain benar rasanya kerana amanah (warden) yang terbeban di bahu selama ini sudah banyak berkurangan kerana ia diagih-agihkan kepada yang lain. Aku lebih dapat menumpukan kepada core business aku iaitu mengajar akademik dan sukan seperti dahulu.