Wednesday, December 19, 2012
Tuesday, December 18, 2012
Tuesday, December 11, 2012
Pemakaian Baju Sejuk dimusim salji
Musim sejuk bermakna kita mungkin akan
menghadapi cuaca sejuk kebiasaannya dari 5 celcius hingga negatif 25 celcius.
Kita tidak dapat memakai baju T biasa yang kita pakai di negara khatulistiwa
kerana ia tidak mengekalkan haba, tidak kalis air dan tidak kalis angin. Secara
kebiasaanya kita harus memakai 3 lapisan pakaian iaitu pakaian haba, lapis
tengah dan pakaian luar.
Pakaian haba (inner
thermal wear) selalunya berwarna
hitam atau kuning adalah pakaian yang wajib dibeli. Terdapat pelbagai jenis
pakaian haba iaitu jenis bulu (kambing), fiber dan nano. Kebiasaannya baju dan seluar dijual
berasingan untuk jenis bulu dan nano manakala jenis fiber dijual sekali. Jenis
bulu harga baju dan seluar mencecah hingga RM400, manakala jenis fiber cuma
RM200 dan jenis nano cuma RM60 tetapi malangnya yang paling murah ini cuma kita
boleh perolehi di Korea. Seeloknya cari baju dan seluar yang “fit” dengan badan
supaya ia dapat mengekalkan haba dan cepat kering jika basah.
Pakaian lapis tengah sebenarnya penting apabila
kita berada di dalam bangunan. Adalah tidak sesuai memakai pakaian luar (3
lapis) kerana akan rasa agak panas (kebanyakan bangunan mempunyai alat pemanas).
Memadai membeli baju T tebal lengan panjang atau blaus yang murah, jika ke kedai
pakaian musim sejuk harga yang ditawarkan boleh mencecah hingga RM250.
Pakaian luar pula mestilah kalis air dan angin
kerana hujan salji dan angin boleh membuatkan saat melancong anda menjadi saat
yang paling menyeksakan. Terdapat 2 jenis baju sejuk yang popular iaitu jenis
polyester (nipis) dan jenis bulu (itik atau angsa) (tebal). Untuk jenis bulu
biasanya terdapat campuran bulu kaki (down)
dan bulu pelepah (feather), ia
biasanya ditulis dibahagian dalam baju. Memadai jika memakai seluar jeans tebal
kerana bahagian peha hingga kaki tidak berasa sejuk sangat seperti bahagian
badan (seluar haba wajib dipakai).
Aksesori
Kasut yang baik adalah kasut jenis high cut dan kalis air seperti kasut
mendaki gunung, bahagian dalam kasut salji kebiasaannya diperbuat daripada
polyester. Boleh juga memakai kasut sukan bertapak tebal (sneakers) namun jika berlaku hujan salji lupakan sahaja niat murni
itu.
Memakai sarung tangan dan stoking yang diperbuat
daripada bulu (kambing) amatlah membantu begitu juga memakai selendang pada
leher. Ada baiknya membeli sarung tangan yang kalis air jika mahu bermain
salji.
Posted by Maswafi Abd Samat at 7:12 AM 0 comments
Labels: Pendapat
Jalan-jalan Korea (5 Disember-10 Disember 2012)
5 Disember 2012-Bermodalkan RM8,588 aku dan
isteri menjelajah negara ke 14 terkaya di dunia iaitu Korea selama 4 hari
menggunakan khidmat sebuah agensi pelancongan. Kami menggunakan kapal terbang
Vietnam Airlines kerana harga yang murah namun terpaksa transit selama 2 jam di
Saigon sebelum tiba di Incheon, Seoul pada awal pagi 6 Disember 2012 dengan
suhu mencecah -5 celcius.
Setelah memakai lengkap pakaian musim sejuk di
Lapangan Terbang Incheon kami terus bertolak ke Gapyeong untuk melawat Petite
France atau The Little Prince, yang terletak di kawasan perkampungan (luar
bandar). Ia terkenal sebagai lokasi pengambaran drama yang menjadi pilihan
pengarah seperti “Beethoven Virus”, “Summer Scent”, “Secret Garden” dan
“Running Man”. Secara peribadi tempat ini tidaklah menarik untuk dilawati
kerana musim salji telah menutup 16 buah bangunan yang dibina ala-ala Perancis.
Kemudian kami ke Nami Island (luar bandar) yang
amat sinonim dengan drama Winter Sonata, di sini suasana sangat menarik
terutama untuk mengambil gambar-gambar sebagai kenangan terutama pada
pohon-pohon yang tersusun secara “symmetrical”.
Kami ke sini menaiki feri sambil melihat suasana tasik dan gunung yang sangat
cantik. Menggunakan tripod dan self timer
apabila mengambil gambar di sini adalah digalakkan kerana susah hendak mendapat
gambar yang berkualiti jika mengharapkan orang lain membantu kita menangkap
gambar. Korean pancake (lempeng tepung
pulut) di sini merupakan makanan yang tidak dapat aku lupakan kesedapannya
manakala jagung rebus pula adalah sebaliknya.
Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Ski
Resort di Oak Valley (luar bandar), dalam perjalanan kami singgah di sebuah
restoran berasaskan ikan dan kimchi untuk makan dan singgah di beberapa kedai
menjual dan menyewa pakaian musim sejuk. Kami bermalam di Ski Resort dan di
sini terdapat cabaran berkomunikasi menggunakan telefon untuk mendapatkan
khidmat pekerja hotel apabila kami memerlukan tuala dan pembaikan elektrik.
Mereka ini baik orangnya cuma mereka mengelak untuk bercakap kerana tidak dapat
berbahasa inggeris. Cara yang terbaik ialah cakap sepatah-sepatah dan kurangkan
perkataan ramah yang tidak perlu, sebagai contoh jika mahukan tuala:- “room one zero eight (108), two towel.”
7 Disember 2012 cuaca semakin dingin hingga -8
celcius, kami amat bernasib baik kerana hujan salji turun di saat kami
merencana untuk bermain ski. Tiada masalah kesejukan kerana baju sejuk yang
disewa (termasuk google) dapat mengekalkan haba dengan baik dengan kos won 67,000.00
(+-RM180). Inilah tujuan utama kami
datang ke sini kerana mahu bermain ski dan terjatuh di atas salji manakala yang
lain-lain acara adalah bonus kepada kami.
Setelah “check
out” dari ski resort kami bergerak ke Lotte World di bandar Seoul, dan kami
singgah di food court sambil menguji
kebolehan kami mencari makanan halal. Aku dan isteri membeli sotong goreng dan
kentang goreng kerana itulah sahajalah makanan halal yang ada dikalangan
berpuluh-puluh gerai yang ada. Lotte World iaitu taman tema terbesar di Korea
yang terbahagi kepada dua; taman tertutup dan taman terbuka. Lotte World
menjadi lokasi utama drama “Stairway To Heaven” namun secara peribadi tempat
ini tidaklah menarik sangat kerana di Malaysia sudah mempunyai taman tema yang
sehebat ini.
Kemudian perjalanan kami diteruskan dengan
melihat keindahan kota ini dari kapal pelayaran menyusuri Han River (Han River
Cruising)yang sering muncul dalam drama-drama Korea seperti “Secret Garden”,
“Lie To Me”, dan “Boys Over Flowers”. Namun permandangannya tidaklah berapa
indah seperti di Nami Island kerana hanya melihat hutan batu Seoul namun air
sungainya yang jernih harus dijadikan teladan buat kita.
Kemudian kami makan makanan di restoran India
muslim di Itaewon Street sebelum check in
di Capitol Hotel yang terletak 15 minit berjalan kaki dari Itaewon Street.
Makanan di restoran di sini sangat pedas rempah jauh kurang sedap berbanding di
Malaysia adalah lebih baik makan makanan Korea yang halal jauh lebih sedap.
Tiada masalah berkomunikasi dengan kakitangan Capitol Hotel kerana semuanya
dapat berbahasa Inggeris dengan baik. Walaupun hari sudah malam dan suhu
semakin jatuh hingga -9 celcius aku dan isteri terpaksa keluar mencari adapter soket 2 pin di merata kedai
Iteawon kerana tiada soket 3 pin di
mana-mana bangunan di Korea untuk mengecas bateri bateri kamera dan telefon
bimbit.
8 Disember 2012- Suhu semakin menurun hingga -11
celcius banyak bangunan sudah diliputi sajli dan menyusahkan pergerakan
kenderaan, kelihatan di awal pagi semua pekerja bertungkus-lumus membersihkan
kawasan bangunan masing-masing. Kami minum pagi di Iteawon Street lagi dengan
menu India Muslim di kedai lain sama seperti semalam rasa seperti tidak mampu
lagi perut menerima makanan berempah walaupun boleh menghangatkan badan.
Selepas makan dengan cepat sempat aku dan isteri
singgah di sebuah kedai pakaian membeli baju jaket dengan harga yang murah
berbanding di tempat lain. Kemudian kami ke War Memorial Museum yang terletak
berhampiran untuk menyelami suka duka perang Korea. Kemudian kami ke Korea
Broadcasting System Exhibition Hall untuk melihat bagaimana sesebuah stesen
televisyen berfungsi. Kemudian kami ke Kimchi School untuk belajar menyediakan
Kim Chi (makan terkenal Korea yang terdiri daripada sayur). Kemudian kami makan
tengahari di sebuah lagi restoran India Muslim di Itaewon Street hingga perut
tidak berapa menerimanya lagi dan sempat juga aku singgah di Seoul
International Mosque untuk bersolat .
Kemudian kami di bawa melawat tempat pembuatan Amethyst
(sejenis batu permata) dan penghasilan ginseng Korea. Kami ditawarkan dengan
harga yang tidak masuk akal untuk dua benda ini yang kononnya baik untuk
kesihatan padahal tiada satupun orang Korea yang datang ke sini untuk membeli
belah!.
Setelah menghabiskan banyak masa melayan
promoter Amethyst dan ginseng korea kami ke Coex Aquarium sama hebat seperti
Aquaria KLCC. Kemudian kami makan malam di Itaewon seperti biasa tekak aku
tidak dapat menjamah masakan India Muslim berbanding masakan Korea.
9 Disember 2012- Suhu sudah mencecah -13 celcius
hingga menyebabkan isteri aku demam teruk sejak malam tadi. Aku mengambil
keputusan untuk berehat hingga isteri aku pulih manakala para rombongan
meneruskan lawatan ke puncak Seoul N Tower Observatory yang menjadi
lokasi pengambaran drama “Boys Over Flowers”, “Princess Hours” & “Loyal
Family” dan Teddy Bear Museum. Setelah isteri aku pulih aku mengikut semula
rombongan ke Nandaemum Market untuk membeli cenderamata, menonton Nanta Show
theater iaitu teater muzikal yang sangat energatik dan komedi dan akhir sekali
singgah di Myung-Dong Street untuk membeli-belah membeli pakaian.
10 Disember 2012- Suhu sudah kembali stabil
kepada -8 celcius. Kami semua bergerak awal pagi ke Lapangan Terbang Incheon
dan transit di Saigon. Kami semua mengambil peluang menukar matawang WON kepada
ringgit kerana dirasakan sangat berbaloi. Korea adalah kawasan salji yang
paling murah untuk dilawati namun ada beberapa tempat yang dilawati tidak
berapa outstanding seperti yang
diharapkan namun itu tidaklah merosakkan percutian kami ke Korea.
Senarai semak
·
Pouch bag kalis air
·
Beg sandang
·
But kalis air
·
Kamera, bateri dan memori kad.
·
Botol mineral
·
Sarung Tangan
·
Selendang
·
Baby wipes
·
Duit
·
Pakaian haba/ Thermal pants base layer
·
Pakaian sejuk tengah/mid layer
·
Pakaian sejuk luar yang kalis air dan angin
Trivia
·
Ramen-Mee korea
semuanya tidak halal.
·
Perkataan sotong
dalam bahasa Korea bermaksud “bullshit”.
·
Susah hendak
mencari orang Korea yang boroi apatahlagi yang gemuk kerana tabiat mereka suka
makan sayur.
·
Jika berminat
dengan sesuatu barang dan ingin membelinya boleh membuat tawaran tidak perlu
mendengar cakap Tour Leader
mengatakan tempat itu mahal dan tempat ini murah.
·
Tiada air paip
tandas di Korea.
·
Barang makanan
akan diperiksa secara teliti di lapangan terbang.
·
Harga barangan
berbeza mengikut wilayah.
·
Semua makanan
yang dijual menggunakan minyak sayur.
·
Barang yang kita
tertinggal di mana-mana bangunan mendapat peluang kembali adalah 90%.
·
Adalah baik
menukar matawang RM ke WON di Malaysia dan menukar WON ke RM di Korea.
·
LRT boleh
didapati di luar bandar di sini.
Setengah kedai tidak menyediakan gula dalam
minuman tetapi madu.
Harga barang
Sewa peralatan ski Won 67,000 (RM180.00)
Kopi panas WON 5000 (RM15.00)
Jagung rebus WON 1000 (RM3.00)
Korean Pancake WON 2000 (RM6.00)
Selendang WON23,000 (RM65.00)
Sarung Tangan WON15,000 (RM45.00)
Sotong goreng WON1,800 (RM6.00)
Jus Oren WON1,800 (RM6.00)
Tali pinggang WON20,000 (RM60.00)
Posted by Maswafi Abd Samat at 7:11 AM 4 comments
Labels: Santai
Subscribe to:
Posts (Atom)