Wednesday, January 09, 2008

Anugerah dari kegagalan

Please understand Johan, kalau you betul-betul cintakan I, you kena lepaskan I”. Ungkapan itu membuatkan jantung aku berdenyut pantas daripada kebiasaan, dada aku merasa sakit yang amat sangat, tangan aku tiba-tiba merasa sejuk dan badan aku menjadi lemah hingga aku terduduk di tangga hadapan Dewan Tuanku Canselor tempat aku berdiri lima minit tadi. Manik-manik jernih perlahan-lahan keluar dari mata lelaki ini, “tapi... kenapa...?” Soalku dengan nada tersekat-sekat. “Entah kenapa i rasakan hubungan kita hambar tidak seperti dulu, terus-terang i sudah tidak mencintai you. Mungkin kita patut menjadi kawan sahaja tidak lebih daripada itu”. Balasnya.
-
Kali ini air mataku mengalir laju sudah tidak di dapat tahan lagi, hujan seperti tahu kesedihan aku turun dengan lebatnya membasahi kawasan perkarangan luar dewan tersebut. Sofea berkali-kali menarik lenganku supaya beredar dari situ namun aku biarkan sahaja kerana ketika itu hujan tidak memberi apa-apa kesan kepadaku yang sedang sarat berduka. Akhirnya dia meninggalkan aku dan berlari-lari anak ke kereta Kelisanya, sempat juga dia juga dia membuka tingkap memalingkan mukanya ke arah aku yang sudah basah lencun sebelum beredar.
-
II
-
“Ha..ha.. kau memang gila Johan, adakah patut kau canang satu universiti di corong radio semasa pesta konvokesyen bahawa kau cintakan dia dan sekarang lihat apa sudah jadi dengan Romeo di depan aku?” Aku membatu membiarkan Kamarul berkata-kata. “Kau kena menerima takdir bahawa dia bukannya jodoh kau. Mana perginya bekas ahli majlis perwakilan pelajar yang pandai berkata-kata dahulu? Sekarang ini jambang dan pakaian kau pun sudah tidak terurus,”
-
Perlahan-lahan Kamarul menghirup kopi o panas yang diminta tadi dan terus mencelah “itu pun nasib baik Profesor Wan memberikan kau peluang kedua menyiapkan latihan ilmiah jika tidak sudah tentu kau tidak dapat menamatkan pengajian”. Langsung aku tidak menafikan kata-kata Kamarul, semenjak menamatkan pengajian, aku langsung tidak mempunyai hala tuju apatah lagi berfikir untuk bekerja di kerusi empuk seperti Kamarul yang penting bagi aku ialah sesuatu pekerjaan seperti di kedai makan tempatku bekerja yang dapat menampung sewa bilik kecil di flat kos rendah, mengisi petrol motor buruk aku dan sedikit duit belanja makan dan rokok.
-
Tiba-tiba terpacul dari mulut aku “cinta memang gila Kamarul dan tidak salah untuk aku menyatakan cintaku”, mata Kamarul agak membesar memandangku mungkin terkejut kerana aku tiba-tiba bersuara agak tinggi. “Kau tahu kenapa Tengku membawa diri ke luar negeri? Kerana kau tidak pernah menyatakan kepadanya bahawa kau sukakannya walhal kau daripada hari pertama minggu haluan siswa asyik bercerita tentangnya kepada aku.” Aku membuka kotak rokokku yang berbaki tiga batang lantas mencucuhnya dengan pemetik api kepunyaan Kamarul dan aku menyambung “Kau suka berteori bahawa kau tidak setaraf dengannya tetapi kau tidak pernah memikirkan perasaannya terhadap kau kerana cinta itu sendiri gila tidak pernah ada batasannya”.
-
Kamarul tersenyum sambil menggelengkan kepalanya “akhirnya kau bercakap juga, inilah Johan yang aku kenal dulu, betul Johan memang aku menyesal kerana takut menyuarakan isi hati aku dan jika aku diberi peluang bertemu Tengku, I will start all over”. Kamarul mencucuh api pada rokoknya kemudian menyambung percakapannya. “Sudahlah tu, rugi jika tidak digunakan bakat yang ada pada kau, cubalah kau cari kerja yang bersesuaian dengan kau, jangan terus menyeksa diri kau begini, ok...”. Terus dia bersalam meninggalkan aku tanpa menghabiskan minumannya sambil meninggalkan wang bayaran di atas meja.
-
Aku melihat Kamarul agak longlai melintas jalan menuju ke kereta Wiranya, rasa menyesal sedalam-dalamnya terbit di hatiku kerana mengungkit hal itu. Kamarul adalah kawan baik aku di dalam segala hal hinggakan pernah juga dia menyelesaikan masalah aku dengan Sofea jika kami berkrisis dan memang kami selalu berkrisis tapi tidak pernah putus hinggalah ke hari itu. Aku merasakan Kamarul selalu takut untuk mencuba perkara-perkara baru dalam hidupnya mungkin kerana dia anak tunggal di mana segala keputusan dalam hidupnya selalu dikawal oleh orang tuanya yang lebih menekankan “tidak boleh” dalam banyak perkara, hinggakan Tengku pernah bersuara kepadaku kenapa Kamarul tidak seberani aku dalam bercinta.
-
III
-
Please doctor” suaraku agak meninggi kepada Dr. Sahar. “Johan sudah berapa kali saya pesan dengan kamu bahawa kamu tidak seharusnya bergantung pada ubat tidur sepanjang hidup kamu. Kamu mesti menyelesaikan masalah kamu dahulu dan lama-kelamaan penyakit kamu akan beransur pulih”. Nasihatnya agak panjang lebar. “please doctor” ulangku untuk kali entah ke berapa, namun Dr. Sahar cuma menggelengkan kepala dan memberi isyarat kepadaku supaya meninggalkan biliknya. Aku bangun dengan longlai dari kerusi pesakit berjalan keluar ke arah motor burukku yang diletakkan di hadapan klinik. Fikiran aku asyik melayang bagaimana mahu melupakan Sofea, sudah pelbagai cara aku buat untuk melupakannya dengan membuang segala gambar atau apa sahaja kenangan tentang diri kami, namun dari sehari ke sehari keadaan agak semakin parah.
-
IV
-
Setelah membayar harga majalah Dewan Sastera yang menjadi rutin bacaan aku setiap bulan terus aku berlalu daripada kaunter pembayaran. Sewaktu menolak pintu kaca kedai buku untuk keluar aku terpandang seorang perempuan tua yang memakai kain batik, berbaju kurung kedah dan kepalanya diliputi oleh kain batik seperti orang Minangkabau.
-
Aku mengambil keputusan untuk melihat kehidupan makcik itu dengan bersandar di dinding cermin kedai buku sambil membaca majalah yang ku beli tadi. Tersentuh aku melihatnya dalam keadaan terbongkok-bongkok masih terpaksa membawa bakul plastik berisi kerepek di kiri dan kanan tangannya untuk dijual. Di dalam bakul itu terdapat pelbagai jenis kerepek seperti ubi dan pisang, perempuan tua itu menyapa orang yang lalu-lalang di situ untuk membeli barangannya, aku rasa daripada sepuluh orang yang disapanya hendak mendapat seorang pelanggan pun agak susah.
-
Setelah agak lama memerhati perlahan-lahan aku pergi ke arahnya memegang tangan kanannya meletakkan not RM5 di dalam tapak tangan kanannya sambil mata aku tepat memandang anak matanya. Kemudian aku pun beredar dari situ tapi tangan kirinya memegang pergelangan tangan kanan aku dan memulangkan not RM5 kepada aku, “Anak muda! makcik orang berdagang, makcik bukan mengemis, jika anak tidak mahu membeli jualan makcik tidak mengapa nak” sapanya dengan lembut. Terus dia berlalu dari situ meneruskan pekerjaannya meninggalkan aku kebingungan.
-
Di saat itu aku malu kepada diri aku sendiri kerana selalu beranggapan bahawa hidup aku sudah tidak bermakna tanpa Sofea walhal makcik yang sudah berumur itu mempunyai kesungguhan bekerja dalam kedaifan tanpa mengemis dalam meneruskan kelangsungan hidup. Kenapa aku menyeksa diri aku sampai begini?
-
V
-
4 jam 25 minit 26 saat itulah masa yang terpampang di skrin jam digital sewaktu aku sampai di garisan penamat di hadapan Bangunan Mahkamah Persekutuan Sultan Abdul Samad. Aku menekup muka aku yang masih berpeluh sebagai tanda terharu kerana kejayaan aku menamatkan pertandingan, bukannya untuk menang tetapi untuk memastikan aku berasa di dalam keadaan kekal sihat dan melupakan segala yang berlaku. Walaupun di dalam keletihan yang amat sangat, aku masih teringat sewaktu di kilometer 35, Sani kekejangan dan luka akibat terjatuh dan dirawat oleh pasukan perubatan, sekarang ini mesti dia telah berada di sini menaiki van ambulan, fikirku. Terus aku tidak berlengah ke khemah bantuan kecemasan melihat dirinya, seperti agakan aku dia memang di situ dan kelihatan sedang duduk di atas kerusi sambil kakinya di tuap dengan bekas plastik berisi ais dan lutut kanannya sudah di baluti kain pembalut luka.
-
Riak mukanya kelihatan sangat kecewa kerana tidak berjaya menamatkan pertandingan yang cuma berbaki 7 kilometer, “syabas Johan!” katanya kepadaku separuh hati. Perlahan-lahan aku duduk di atas rumput menghadapnya, sambil mengambil bekas plastik berisi ais yang disediakan dan di tuap pada paha aku bagi mengurangkan ketegangan pada otot yang telah bekerja keras. “Cuba lagi ok!” kataku memberi perangsang, tapi aku lihat dia seperti acuh tidak acuh dengan cakapku. Aku tidak menyalahkan dirinya kerana maraton penuh menuntut komitmen yang tinggi kadang-kadang hampir mustahil walaupun hanya cuma untuk memikirkannya apatah lagi melakukannya. Aku rasa sepanjang pengamatan aku tadi hanya 2/3 sahaja yang berjaya menamatkan larian di bawah masa 6 jam yang ditetapkan kerana ramai yang aku lihat mendapat kecederaan terutama kaki melecet dan kekejangan otot.
-
Semenjak tersentuh melihat kesungguhan makcik menjual kerepek itu aku sudah tidak lagi menyesali hidup aku, dan aku mengambil keputusan menguruskan tekanan yang membelenggu hingga aku mengalami insomnia yang teruk dengan melakukan aktiviti berlari. Secara perlahan-lahan derita yang ditanggung hilang perlahan-lahan walaupun tidak sembuh sepenuhnya dan aku tidak perlu lagi meminta-minta dengan doktor supaya membekalkan aku ubat tidur seperti dahulu. Sekarang aku sudah berjaya mengenali potensi diri yang baru selain daripada menguruskan pentadbiran organisasi yang sudah hadam dalam jiwa aku. Betullah kata Tengku aku ini jenis yang bersungguh-sungguh jika melakukan suatu perkara dan tidak pernah memikirkan sama ada aku melanggar kebiasaan yang dilakukan oleh orang lain dalam menguruskan organisasi mahupun bercinta. Mungkin kerana itu agaknya aku berjaya menamatkan maraton penuh dan selalu mendapat tempat 100 terbaik untuk suku maraton walaupun semasa di universiti mahupun di sekolah aku memang tidak pernah bersukan.
-
VI
-
“Johan, awak tahu bukan awak kena bersaing dengan ramai graduan di luar sana yang mahukan jawatan ini di kementerian kami?” soal penemu duga kepadaku. Aku mengangguk mengiakan katanya. “Malah jurusan sastera awak langsung tiada kena mengena dengan jawatan yang awak minta, bagaimana awak begitu yakin dengan kebolehan diri awak tanpa jurusan sains sukan?” Soalnya lagi. “Tuan, di dalam sesebuah organisasi ada dua jenis manusia iaitu yang pertama jenis yang hanya bercakap tentang teori manakala yang kedua akan cuba melaksanakan teori itu sama ada benar atau tidak dan kadangkala perbuatannya melanggari kebiasaan” balasku.
-
“Maka saya adalah orang jenis kedua itu, tuan boleh melihat hasilnya pada semua sijil-sijil penyertaan dalam semua maraton yang saya sertai”. Aku menyambung. “Saya percaya dengan kebolehan yang ada pada saya, saya mampu mendukung Dasar Sukan Negara jika diberi kepercayaan oleh pihak tuan”. Aku menambah. Sesi temu duga berakhir dengan soalan-soalan berkaitan dengan anatomi hinggakan aku kehilangan punca kerana tiada pengetahuan asas dalam bidang itu, namun aku bernasib baik kerana penemu duga menyatakan kekagumannya terhadap kesungguhan aku dalam sukan sebelum ini dan memberikan pendapatnya supaya aku mengambil kursus kejurulatihan dalam bidang olahraga selepas ini jika mahu pergi lebih jauh.
-
Selepas temu duga secara lisan aku dan calon-calon temu duga yang lain di bawa ke dewan sukan untuk menjalani ujian saringan secara fizikal seperti larian “bleep”, bola keranjang dan tekan tubi, seperti yang dijangka aku tiada masalah untuk ujian fizikal. Ketika ini aku teringat kata-kata Kamarul untuk tidak mensia-siakan bakat yang ada pada aku dan aku seharusnya lebih bersungguh-sungguh memperbaiki kehidupan aku walaupun Sofea tanpa di sisi. Dengan bantuan Kamarul yang sentiasa menyokong aku di dalam kesusahan, kami sepakat untuk memilih jawatan ini. Dialah juga yang membantu aku mendaftarkan temu duga secara “online” di Internet memandangkan keadaan aku yang serba kekurangan sekarang ini.
-
VII
-
Berdebar-debar aku membuka sampul surat putih yang mempunyai tulisan berwarna biru yang mencatat “urusan seri paduka baginda” yang diberi ambil dari peti surat bertingkat di flat kos rendah aku, sudah tentu ini keputusan temu duga yang lepas, getus hatiku. Tanpa berlengah aku menaiki lif ke tingkat tujuh tempat aku menumpang teduh, terus masuk ke bilik aku dan menutup pintu. Terasa berdebar-debar dalam hati aku, perlahan-lahan aku membuka kepala surat tersebut dan melihat isi kandungannya. Aku tersenyum sendirian bila aku di kehendaki melaporkan diri di kementerian pada awal bulan depan. Sesungguhnya selepas aku gagal memenangi hati Sofea, aku berjaya mengenal potensi diri yang baru walaupun hampir-hampir kecundang di tengah jalan, mungkin ini adalah anugerah dari kegagalan dan sekali lagi seperti kata Tengku aku selalu sangat melanggari kebiasaan!.
-
Dataran Sastera, Universiti Malaya
25 Disember 2007
Maswafi Bin Abd Samat
maswafi2@yahoo.com

7 comments:

Anonymous said...

ehem..
wafi..wafi...
x sangka sastera mu itu makin menjadi2 iya...apa pon selamat berjuang di medan ilmu iya.. tersentuh hatiku bile menbaca apa yang kau coretakan di sini.
-aYob-

Anonymous said...

ciannn.... kat Johan kan.. rasa2nye Johan dah success sekarang ni..

Anonymous said...

alhamdulillah.... akak suka baca coretan wafi kali ini.
Tulisan awak 'umpama sireh di dalam tepak' indah tersusun...

teruskan menulis ye...
Bila nak karang novel ni?
jgn lupa pesanan akak dulu...

@FaD said...

Sy respect la kat 'aku' who ever he is..

Tabik3x..

Anonymous said...

Wah...3x makin hebat ko skrg yer...Ha nilah yg aku nak dr seorang lelaki bernama kang Mas..Sofea(bkn nama sebenar) tu cinta pertama ko ye...

kyazz said...

Salam,

Enjoy reading ur blog.Especially when ur mention about sungkai, cikgu wazer, kinto, lombong dan sebagainya. Aku rindu kampung halaman. anyway, uda adik u tu berapa umur sekarang. dulu i ada rakan sekelas bernama uda tinggal di aa.tin. uda kawan i tu should be sebaya dgn, i born in 1980.
Waaaa waaaa, aku bebtui rindu dng kehijauan mesia. dah lama tak memanjat gunung. G7 tinggal mimpi je. haaa haaa skang aku dah boleh join kelab lelaki boroi kottt... haaa haa

Maswafi Abd Samat said...

Wahai kawan-kawanku & anonnymous yang dirahmmati Allah!

Cerpen ini adalah rekaan semata-mata. Thank 4 any commennts.

Kyzazz!

Semua yang u katakan itu benar belaka tetang Cikgu Wazer, Cikgu Kinto dan lombong juga.

Uda yang kau maksudkan bukan adik aku tapi aku kenal dia dan sekarang bekerja di KL boleh dihubungi di hp 017-2131538