Sunday, January 25, 2009

Semalam aku dapat merasa roti canai di Sg. Asap sebelum ke Bintulu, disaat itu seperti mahu menitik air mata aku kerana merasa kuah kari, kerana sebelum ini jangankan kuah kari daun kari pun tidak pernah aku jumpa. Aku mengambil keputusan untuk terus menjelajah Sarawak bermula dari Sg Asap ke Kuching (utara-timur) yang aku kira perjalanannya melebihi 700km. Aku perlu ke Bintulu menaiki Hilux yang mengenakan tambang sebanyak RM50.00 dan seterusnya 12 jam ke Kuching menaiki bas yang mengenakan RM60.00.

Aku bernasib baik kerana Arshad dari Sungai Koyan sudi menumpangkan aku ke Bintulu dengan hanya membayar duit petrol, malangnya kedua-dua tayar sebelah kiri Pesonanya pecah dalam perjalanan ke Bejauh. Kami bernasib baik kerana sebuah kereta peronda polis lalu di kawasan ladang kelapa sawit untuk memberi bantuan kepada kami. Sampai di Bintulu pada jam 2.00 petang aku cuma dapat tiket pada jam 11.30 malam ke Kuching. Bintulu sebuah bandar yang sangat maju mungkin tiga kali lebih daripada Sibu tidak seperti yang diwar-warkan yang kononnya di sini cuma menjual belacan. Kedai makanan halal (di sini disebut sebagai kedai makanan Islam) dan kompleks membeli belah bercambah di sana-sini tidak seperti di Sibu dan kemudahan internet cuma RM2.50 sejam. Di sini setiap makanan akan dihidangkan bersama dengan sup kosong dan harga kebanyakan makanan bermula RM4.00 ke atas.

Perjalanan 12 jam sangat memenatkan dimana bas akan berhenti di beberapa perhentian untuk menurunkan penumpang seperti di Sibu, Sarikei, Saratok, Seri Aman dan Serian dan berhenti makan disebuah tempat sebelum Sibu dan di Jelukong, Engkili. Sampai di Sarikei jumlah penumpang sudah tidak sampai separuh dan diisi oleh penumpang baru pada jam 5 pagi. Cuma tinggal 33km ke Kuching bas kami kehabisan minyak di Tapah tetapi mujurlah ia berhenti berhampiran stesen minyak shell.

Sampai di terminal bas Kuching awal-awal lagi aku sudah disembelih oleh pemandu teksi ke Kuching Waterfront sebanyak RM18.00 untuk perjalanan sejauh 6km. Tidak kisahlah kerana yang penting aku dapat berkumpul dengan rakan-rakan lama aku seperti Mizi, Atan dan Nasri. Kadang-kadang di sini sama keadaaannya di Semenanjung kerana asyik terjumpa kenalan semenanjung bermakna tidaklah boleh berbuat “nakal” di sini. Terdapat banyak kompleks membeli belah seperti Springs, Boulevard dan Sarawak Plaza sama standardnya dengan Shah Alam Shopping Centre tetapi sebenarnya tempat yang baik untuk membeli belah ialah di pasar Satok dimana menjual ikan segar, ikan terubuk masin dan pelbagai makanan dengan harga yang murah. Untuk membeli barangan cenderamata dengan harga berpatutan adalah lebih baik membelinya di Sarawak Waterfront Bazaar daripada di tepi jalan yang sebenarnya lebih mahal.

No comments: