Sunday, February 01, 2009

Hujan tidak berhenti-henti membuatkan air di Sungai Rajang melimpahi jeti Song, tempat dimana bermulanya kontroversi bahawa guru semenanjung tidak patut di hantar ke Sarawak dengan alasan di sini tidak selamat, tetapi bolehkah mereka yang memberi seribu alasan itu memberi jaminan bahawa di tempat mereka itu seratus peratus selamat. Bagi aku pembunuhan ustazah itu adalah kes terpinggir jika hendak memikirkan kes jenayah lagi banyak di felda-felda di semenanjung. Untuk catatan sepanjang perjalanan lebih dari 1330 km mengelilingi Sarawak dalam masa 7 hari melalui jalan darat dan air, tiada satupun “mat gian” yang aku jumpai.

Akhirnya aku sampai juga ke Segaham tempat dimana rengit (agas) sangat banyak hinggakan terpaksa menyalakan ubat nyamuk, keadaannya sama seperti di Lembah Agas yang terletak di tengah-tengah perjalanan Trans Titiwangsa. Aku harus menerima keadaan dengan redha kerana banyak hikmahnya di sini selain daripada merungut tentang rengit, kerana aku betul-betul merasai nikmat dapat makan roti canai di Sg. Asap yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Mungkin betul kata Ejoq bahawa kita akan betul-betul menghargai setiap perjalanan ke bandar apabila duduk di tengah hutan.

Aku sudah hampir menawan 50 peratus keluasan Sawarak dengan perjalanan darat sejauh 730km, dari Rumah Menjawah-Sg. Asap-Bintulu-Sibu-Sarikei-Seri Aman-Serian-Samarahan-Kuching. Sewaktu pulang aku mengambil keputusan menggunakan jalan air dari Kuching ke Segaham sejauh 600km bermula dari Pending-Tanjung Manis-Sarikei-Sibu-Song-Kapit-Belaga-Segaham. Tidak banyak perbezaan menggunakan jalan darat dan air dari segi kos pengangkutan iaitu jalan darat aku menghabiskan RM120 dari Rumah Menjawah ke Kuching manakala dengan menggunakan bot ekspress dari Kuching ke Segaham aku menghabiskan RM 117.00. Masalahnya apabila menggunakan jalan air aku terpaksa menghabiskan wang yang sangat banyak untuk penginapan di hotel tetapi perjalanan lebih selesa kerana mendapat rehat yang cukup. Banyak yang dapat dilihat terutama bila melalui jalan air seperti ombak laut menakutkan, polis menghantar penjenayah menggunakan bot ekspres dari Kapit ke Sibu dan bagaimana ada orang yanng mencari rezeki dengan mengangkat motor seorang diri ke atas bot ekspress.

No comments: