Saturday, February 28, 2009

Malang datang bertalu-talu menimpa nasib aku yang malang, pertama kamera yang aku pinjam sudahpun rosak digunakan secara lasak kerana tempat aku berada tidak membenarkan peralatan yang diguna tahan lama. Kemudian komputer riba tempat aku menyimpan segala data sudahpun musnah terkena jangkitan virus kerana membenarkan banyak sangat “pen drive” dicucuk untuk memuat turun segala dokumen kawan-kawan aku di Kapit. Natijahnya segala bentuk visual ataupun dokumen bertulis hilang hingga aku terpaksa bermula seperti pengantin baru untuk melakukan semua kerja. Inilah kelemahan teknologi yang disanjung oleh kita selama ini.
-
Perjalanan aku ke Kapit memakan masa dua hari dengan menggunakan jalan darat (Belaga-Bintulu-Sibu-Kapit) kerana tidak dapat menggunakan jalan air walhal sebenarnya kedudukannya dengan Belaga cuma memakan masa 6 jam. Ini membuatkan tuntutan perjalanan aku meningkat dua kali ganda, seharusnya aku bersyukur kerana Faizal dari Losung Laku untuk keluar menggunakan Hilux ke Kapit harus mengeluarkan wang poket RM900.00 untuk perjalanan sehala menyebabkan mereka hanya keluar empat kali setahun. Aku dan Tom adalah antara yang diletakkan jauh di hulu maka kami berdua adalah yang paling sukar untuk ditatap muka kecuali ada urusan seri paduka baginda di bandar.
-
Masa petang aku habiskan menawan bandar Kapit yang agak luas juga mungkin sebesar bandar Tapah namun jika mengambil kira kawasan perumahan yang rancak dibina ia sebenarnya lebih luas. Malangnya bandar ini dapat dihubungi dengan jalan air, dahulu ia boleh dihubungi dengan jalan udara namun ia tinggal sejarah 10 tahun yang lepas kerana tiada permintaan. Sekarang lapangan terbang tersebut menjadi tempat orang seperti aku untuk menguji tahap kardiovaskular dimana panjangnya lebih kurang satu kilometer dan sangat selesa kerana tarnya masih baik walaupun sudah lama tidak diselenggara. Jika kita berlari di sini kita akan merasakan ia adalah “The Great Lost of Kapit”.
-
Ramai guru-guru yang aku jumpa di sekitar Kapit dan Sibu merungut kerana gaji yang mereka terima tidak mencukupi dan tidak mendapat elaun sebanyak aku. Sebagai langkah penyelesaian aku menawarkan diri untuk mereka tukar sama suka dengan aku dan hingga setakat hari ini belum ada yang berani menyahut cabaran. Elaun itu sebenarnya cuma untuk menghargai jasa guru kerana kesusahan mereka alami duduk di dalam hutan tebal tanpa kemudahan jalan darat, rumah ibadat dan klinik kesihatan. Bayangkan selama aku di sini cuma berpeluang sekali bersolat jumaat di Sibu dan jika sakit hanya makan paracetamol ataupun tidur sahaja menunggu sihat kerana tidak berbaloi pergi ke klinik yang sangat jauh.
-
Moses meminta dibelikan air gula bila mengetahui aku keluar jauh, hingga sekarang aku tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan air gula itu hingga sekarang kerana dia tidak dapat menerangkan kepada aku. Aku pun tidak tahu ia ini dari planet mana kerana perbendeharaan katanya sangat terhad seperti keman (makan), minum, padam, sukan, cikgu, tulis, usik, gaduh dan air gula. Mungkin membelikannya sekotak air Ribena dan beberapa biji gula batu (gula-gula) sudah cukup bermakna kepadanya

1 comment:

Pakwar said...

back to 1998, I was the one who used the Kapit road every evening putting up my fitness level and stopped at dewan suarah for a mscle training.