Thursday, September 28, 2006

Mengharapkan Matahari Tidak Terbit...

Sudah empat hari Encik Azam tidak menghadirkan diri ke pejabat kerana memantau program “Simulation Disaster Recovery” di IBM Business Resiliency Center, Cyberjaya dimana esok saya juga akan menyusul untuk urusan pemindahan data. Selama empat hari itulah aku perasan Encik Fadhli telah menunjukkan taringnya dengan mengular selama mungkin dan pernah sekali aku perasan dia menuruni tangga yang sama yang membolehkan kita ke tingkat 21.

Aku tidak tahu tugas mana harus dimulakan dulu kerana sudah banyak pihak hospital menghubungi aku kerana soal kelambatan pembayaran perkhidmatan, pihak Kaizen HR pula sudah menghantar emel peringatan untuk “setup code” yang baru sepatutnya siap isnin lalu dan Mr. Tan pula asyik mengganggu aku dengan karenah nyanyuknya menyebabkan aku melenting semalam. Mengharapkan kerja di pejabat akan habis samalah dengan mengharapkan matahari tidak terbit di waktu pagi kerana kita mahu terus tidur lena atau tidak terbenam pada waktu senja kerana kita mahu terus bermain bola. Mr. Tan yang tidak sedar diri sudah tua dan nyanyuk juga tidak lupa mengingatkan perlawanan larian yang akan diadakan selepas musim perayaan ini bagi menguji stamina, harapnya tiada siapa yang akan menempah katil hospital kali ini!.

Wednesday, September 27, 2006

Tabligh yang sudah kurang adabnya

Tepat jam 12.00 malam tadi sekumpulan Tabligh Vista Angkasa mendatangi rumah kami untuk menjalankan urusannya namun mujur sahaja Mat Khairi mampu menghentikan urusan tersebut dengan bijak sekali. Aku tidak pernah sekalipun menafikan dakwah seperti "hujan membasahi bumi" itu satu sunnah namun dimana adab berdakwahnya jika dilakukan dikala manusia hendak tidur? Itulah akibatnya apabila hanya mengamal sebahagian sahaja sunnah rasul iaitu “iman” dan “amal” tanpa didasari oleh ilmu yang asas. Sudahnya dengan ilmu yang dangkal itu menyebabkan rukun Islam yang kelima itu sudah semacam dilencongkan ke Bangladesh setiap tahun!.

Tuesday, September 26, 2006

Pisang yang hilang

Pulang dari bekerja aku lihat pisang yang dibeli kelmarin sudah hilang sebiji, entah kenapa pula Mat Khairi melenting dan memberikan jawapan bahawa dia tidak mengambil pisang yang hilang walaupun tanpa dipinta oleh aku dan memberi amaran supaya tidak menulis cerita itu di dalam blog ini. Sepatutnya tahun ini aku tidak lagi berbuka puasa dengan Pian, Mat Khairi, Zaini dan Zubir kerana sudah jemu sangat rasanya mengadap mereka berempat untuk lebih empat tahun. Moga tahun hadapan sudah berubah sifatnya kalau tidak berbuka puasa menjadi seorang ayah yang mithali seperti Encik Zafrul setidak-tidak pun menjadi suami yang mithali seperti Encik Azam. Moga tahun hadapan juga Makcik Mah berjaya pergi ke tanah suci selepas percubaan aku memujuknya menjual tanah di Sg. Sumun, Bagan Datoh untuk tujuan itu agak terkesan setelah 3 kali pujukan sebelumnya gagal.

Monday, September 25, 2006

Ramadhan dan 21.


Aida yang bercuti selama 40 hari itu sudah pun terbang ke Amerika Syarikat untuk tujuan melancong dan dapatlah ia menunaikan ibadah puasa dan menyambut syawal di sana nampaknya. Sudah menjadi kebiasaan setiap kali Ramadhan menjelma, tugas-tugas yang melibatkan “third party” berkurangan kira-kira separuh daripada yang asal begitu juga dengan panggilan telefon daripada pekerja bertanyakan seribu pertanyaan yang sudah dihafal skripnya oleh aku. Harapnya kerja yang tertangguh sebelum ini dapat diselesaikan pada bulan yang mulia ini dan markah bonus jika aku dapat mengemaskini semua fail-fail peribadi pekerja. Aku masih tertanya-tanya adakah kedai serbaguna di tingkat 21 yang terletak di “roof top” yang dibuka pada bulan ramadhan yang sebelumnya akan dibuka juga pada tahun ini? adakah Encik Nathan masih mengambil tender untuk segala urusniaga tersebut? Dengan pertolongan Encik Syahril, aku berjaya juga merakamkan gambar kedai tersebut untuk tujuan kepustakaan blog ini.

Thursday, September 21, 2006

Sibuknya Encik Azam

Selalu sangat aku bersangka jahat dengan mengatakan Encik Azam berwayang hanya kerana agak sangat gaban sibuknya. Rupanya memang ternyata tulen sibuknya itu apabila ia mengganggu hidup aku untuk kesekian kali demi untuk melancarkan pemindahan dan pengurusan data untuk “Simulation Disaster Recovery” yang akan di laksanakan sepenuhnya Cyberjaya atau lebih tepat di IBM Business Resiliency Center. Sudah empat hari juga aku diganggu oleh bidadari-bidadari daripada syarikat Kaizen HR demi untuk melaksanakan tugas mereka dalam memastikan “software” yang baru di beli oleh kami berjaya dilaksanakan sepenuhnya pada januari 2007.

Wednesday, September 20, 2006

Sayonara Zafrul

Hari ni merupakan hari terakhir Zafrul bekerja di Taman Desa setelah memberikan notis berhenti kerja sebanyak dua purnama. Yang paling pelik sebenarnya dia masih lagi belum mencari kerja lain setelah membuat keputusan nekad kerana marahkan bosnya yang autokratik itu. Encik Fuzairi menanyakan aku apakah maksud “nakal” dalam rencana aku sebelum ini. Setelah di teliti niat aku sudah banyak melencong untuk Larian Shah Alam ahad lepas dengan sikap aku yang menunjuk-nunjuk untuk menarik perhatian wanita, mujur sahaja Yang Maha Esa telah mengingatkan aku dengan merosakkan motor si situ juga! baru padan muka aku. Aku masih-tertanya kenapa Encik Azam sudah 2 hari berperangai seperti “membuang habitat” dengan menunjukkan “senyuman makrifatnya”. Adakah dia bermaksud mengiyakan rencana saya yang lepas bertajuk “Di Vista Komanwel ataupun..”?.

Monday, September 18, 2006

Kerana saya nakal agaknya


Sudah dua hari aku betul-betul diuji oleh Yang Maha Esa, pagi sabtu lepas tiba-tiba aku pitam semasa berjogging di kilometer ke 6 hingga mengebaskan kaki dan tangan itu tidak termasuk dengan jantung yang berdegup kencang. Inilah bahana kerana cubaan untuk menjadi secepat “Firdaus mengejar Kenya”.

Zafrul dan Firdaus gagal menghadirkan diri di Shah Alam untuk larian sejauh 10km kerana masyuk dibuai mimpi indah. Mungkin telah ditakdir bahawa aku yang agak nakal pagi itu, berpasangan Marsha walaupun memang ternyata ia sama benar dengan pasangan “beauty and the beast”. Dia berjaya mendapat medal pertama kali mengambil masa selama 1jam 30 minit, berbanding aku yang setengah jam lebih awal dan rasanya kami mendapat tempat dari 80-85 berdasarkan bilangan medal yang tinggal untuk seratus peserta terawal.

Aku cukup rasa bersalah apabila menerima utusan daripada Marsha yang mengatakan dia telah mengalami “demam terkejut” dan emaknya sudah mula meleterinya, harapnya Marsha tidak akan serik mengikut aku seperti Faizal dan Yazid. Farrah Aida nampak begitu kecewa walaupun menduduki tempat ke 11 yang mana telah meninggalkan aku sejauh 1 km di hadapan kerana sepatutnya dia mampu untuk mendapat tempat 10 terbaik. Semak jugalah otak aku memikirkan pelawaannya untuk larian 42km di Singapura pada hujung tahun ini yang memang pernah dirancang namun untuk tempoh 2 tahun lagi.
Selepas melambai nakal pada Marsha, dalam perjalanan pulang ke rumah aku di paksa menolak motor sejauh 2km ke bengkel motor di Wisma MAIS kerana kerosakan pada “bush” tayar aku. Sampai sahaja di bengkel tutup la pula! rasanya inilah balasan Yang Maha Esa kerana bersikap “agak nakal” pagi itu agaknya!.

Wednesday, September 13, 2006

Kempunan sebenarnya

Encik Azam masih tidak percaya aku memujinya hingga ke tahap dewa untuk rencana yang lepas kerana katanya konon-kononnya aku mempunyai agenda yang tersembunyi seperti mahu mengurat adik iparnya. Semalam semasa pertemuan dengan Zahari di MAIS Shah Alam semalam sebenarnya aku terserempak dengan Hazlin yang cantik itu yang juga merupakan peserta “Skim Pegawai Muda” di syarikat aku. Dia yang beriringan bersama seorang jejaka agak tersipu-sipu malu bila aku melihatnya seperti pandangan tanpa seurat benang, tertanya-tanya juga aku tidakkah dia sepatutnya bekerja sewaktu itu. Persoalan itu terjawab akhirnya apabila Encik Fadhli dilihat sudah tidak bersemangat bekerja terutama untuk membuat “trouble shooting” di tingkat 20 kerana Hazlin sudah berhenti. Encik Azam cukup “beriman” kerana tidak pernah sekalipun dapat melihat Hazlin, namun Encik Fadhli rasakan itu tidak benar sama sekali melainkan kempunan sebenarnya!.

Dua cerita

Semalam aku cukup berterima kasih kerana Zahari sanggup mengular dari Intekma Resort hanya untuk menemankan aku makan di Restoran Sup Utara MAIS Shah Alam selepas aku mengambil baju untuk Larian Shah Alam di Wisma MBSA. Rasanya sudah setahun aku tidak bertemu dengannya yang merupakan kawan sepejabat aku semasa syarikat itu belum “syahid’ dulu. Banyak juga cerita yang telah dibualkan daripada soal kegagalan kerjaya hinggalah kepada persoalan jodoh. Rupanya Zahari sudah menjadi ahli nujum kerana sudah pandai menujum bintang seseorang dan meneka hampir tepat karektor aku sebagai lelaki Taurus. Mungkin dua cerita yang terkesan di hati kami ialah apabila Zahari merasa sedih terlihat gambar majlis persandingan bekas teman wanitanya di dalam sebuah blog. Cerita aku pula ialah datang daripada kampung untuk bekerja di Kuala Lumpur kerana tidak boleh berenggang dengan Wati dimana akhirnya dibodohkan olehnya dan sememangnya aku bodoh!.
Sudah banyak yang berubah di Shah Alam rasanya berbanding 5 tahun lepas seperti wujudnya pusat membeli belah SACC berhampiran Kompleks PKNS namun ada yang agak terkebelakang. Ini dapat dilihat tempat berwuduk di Masjid Negeri tiada lagi “sensor” kerana telah digantikan dengan paip biasa mungkin teknologi itu tidak banyak membantu agaknya. Encik Azam telah menyuarakan ketidakpuasan hatinya kenapa aku sudah tidak bercerita tentangnya sudah lebih tiga minggu. Bukannya tidak mahu aku merencanakan tentang dirinya tetapi aku lihat dirinya sangat “beriman” sifatnya sejak akhir-akhir ini hingga tidak melayakkan dirinya dikutuk oleh aku.

Monday, September 11, 2006

Sudah Kembali


Yazid masih belum kembali ke “landasan” kerana kaki kanannya yang tercedera semasa Larian MPAJ. Sepakat dicapai oleh Zafrul dan Firdaus untuk berlari sejauh 7km sahaja untuk Larian Putrajaya semalam untuk memastikan aku betul-betul sembuh sebelum kembali ke acara 21km. Firdaus yang masih unggul menduduki tempat ke 30 berbanding aku di tempat ke 100 dan Zafrul di tempat ke 122. Zafrul yang kegemarannya berlari mengikut belakang peserta perempuan mencatat masa 38 minit iaitu 3 minit dibelakang aku yang telah menunjukkan peningkatan yang sangat gaban sifatnya dan ini mungkin larian yang terakhir kami bersama kerana aku sangat-sangat takut dikalahkan olehnya.

Aku menamatkan larian bersama gadis tinggi lampai seperti Fatin yang datang daripada kumpulan banyak menguasai larian sepanjang tahun ini iaitu daripada TLDM Lumut. Gadis hitam manis bernama Zila yang berusia 22 tahun itu menduduki tempat ke 12 untuk kategori wanita dan hingga rencana ini kami masih berbalas-balas utusan melalui talian bimbit kami seolah-olah “ada kimia” agaknya. Dia begitu mesra terutama bila di sapa oleh aku yang bertanya kenapa namanya “comot” seperti yang tertulis pada bajunya, jawapan yang sebenarnya ialah nama itu diberi oleh jurulatihnya yang berpendapat dia sangat comot kerana itulah masih belum mendapat jodoh konon-kononnya, walaupun dalam hatiku berpendapat sebaliknya.

Tidak disangka pujian yang diberi kepada pemilik Satria Neo jingga yang diletakkan bersebelahan kereta Zafrul rupanya kepunyaan Farrah Arris yang pernah aku ketemu di Larian MPAJ yang lepas. Dia yang masih unggul itu menduduki tempat ke 21 untuk kategori 21km dan kami bertukar-tukar alamat emel yang mungkin boleh digunakan untuk berhubung jika ada program yang akan datang.

Majlis Konvokesyen ke 28 MIHRM


Teruk jugalah aku “dikerjakan” oleh Aishah penyanyi tersohor tahun 90an yang menjadi penyanyi jemputan Makan Malam dan Konvokesyen ke 28 institut kami yang di langsungkan di PJ Hilton sabtu lalu. Aku yang dipaksa menari menjadi bahan ketawa Aida, Rozana, Derick, CK dan Harwanth yang cukup bergaya dengan busana jubah mereka. Aku bersyukur walaupun hanya menjadi tetamu jemputan di majlis konvokesyen sendiri, itupun hanya terlaksana kerana sifat murah hati Aida yang mempelawa menggunakan “kuota” jemputannya kerana aku tidak mampu mengadakan ufti majlis tersebut yang berjumlah RM350.00 itu.

Saturday, September 09, 2006

Semalam Marsha, Zafrul dan Firdaus sudahpun mengesahkan penyertaan Larian Shah Alam ahad depan. Marsha yang aku hubungi semalam agak begitu mengambil berat tentang aku rupanya kerana telah peduli di atas kehilangan aku selama 14 hari dan dia tidak sekalipun “berbalas pantun” dengan aku seperti kawan-kawan aku yang lain. Dia juga bercerita tentang keseronokan menyertai “KL Rat Race 2006” dan menanyakan pendapat aku tentang Teater Puteri Gunung Ledang yang aku hadiri tiga minggu lepas. Semalam juga hidup aku tidak keruan kerana diganggu oleh Mat Khairi yang tidak dapat melelapkan mata yang akhirnya aku selesaikan dengan memujuk dia menelan empat biji ubat selsema!. Pagi-pagi lagi semasa di tempat kerja dia telah mengirim utusan ringkas kepada aku mengatakan dia dalam keadaan mamai dan rasa macam hendak mampus kerana dos ubat berlebihan yang ditelan. Bagi aku, yang penting masalah diganggu olehnya dapat diselesaikan walaupun caranya kadang-kala agak gaban sifatnya.

Friday, September 08, 2006

Sayalah tembok halangan itu.

Akhirnya muncul juga Encik Nizar menukilkan pendapatnya akibat terkesan dengan rencana “Terkena Lagi” rabu yang lepas. Mudahnya Encik Nizar belot pada saya hanya kerana disajikan kek harijadi oleh bidadari-bidadari penganjur walaupun mulanya begitu tidak tertahan untuk mengambil semula ufti yang diberi. Saya tidak pernah sekalipun menafikan bahawa kursus motivasi itu terkesan sekali namun tidak dapat dinafikan bahawa kita telah di lencongkan daripada matlamat asal kita untuk menjadi usahawan. Ini bukan soal ufti RM150.00 ataupun baju yang bernilai RM10.00 Larian Klang tetapi hanya untuk mempertahankan nilai prinsip. Adalah tanggungjawab kita untuk membersihkan “dosa” mereka terhadap kita samada memaafkan mereka ataupun menuntut gantirugi dan mungkin lebih hebat supaya mereka tidak akan melakukan “dosa” itu kepada manusia yang lain pada akan datang. Rasanya saya faham benar maksud Encik Nizar mengenai katak ke 15 yang berjaya merempuh segala dugaan untuk mencapai matlamat setelah tidak memperdulikan “tembok halangan” 14 ekor katak yang lain atau lebih tepat sayalah 14 ekor katak yang dimaksudkan itu!

Thursday, September 07, 2006

En. Maswafi, memang benar pada mulanya saya mengesyaki sesuatu yg tak kene dgn program tersebut daripada ape yg saya inginkan. Tetapi sebenarnya saya menghadiri kursus tersebut adalah dgn pelbagai tujuan. Dan salah satu drpnya adalah Kusahawanan. Bagi saya jika kursus tersebut dapat memberi kesan yg baik terhadap saya..saya akan menerimanya. Tapi jika kursus tersebut memang hampeh!!! Memang saya akan memperjuangkan untuk meminta dan mendapatkan balik duit yang telah dibayar.Memang tak dinafikan memang kita telah ditipu oleh bidadari-bidadari tersebut semasa mula mendaftar program tersebut. Tetapi jika saya boleh menerimanya disebabkan kesan yang baik daripada kursus tersebut, saya akan menerimanya...LET GO....Di sini ingin saya memperbetulkan paradigma En Maswafi bahawa bukan disebabkan layanan kelas pertama daripada bidadari2 tersebut yang mebuatkan saya berubah fikiran, sebab BUKAN LAWA PON bidadari tu. Kalau Lawa takpe la jugak. Ini adalah disebabkan oleh melihat dari cermin mata dan juga saya adalah katak yg ke 15 tersebut. hehehe. dan kalau korang nak tau cerita katak tersebut, saya menyerahkan kepada En Maswafi untuk menceritakannya....
Sekian...
drpd : En Nizar

Ejen Ulu Kelang

Sudah dua kali aku menerima sapaan daripada Fadzil melalui blog ini, nampaknya sudah ada cubaan nakal daripada kawan sekampung aku ini yang memang cukup nakal sejak azali itu untuk menjadi ejen jodoh aku di zon Ulu Kelang. Dalam banyak-banyak kawanku, makhluk yang seorang ini harus berhati-hati bila merencanakan tentangnya takut pula dipecahkan semua rahsia yang ada dimana semuanya dalam genggamannya yang tentu maha benar sifatnya. Terharu aku kerana kesudiannya yang mahu memperkenalkan aku kepada sebanyak mungkin kawan-kawannya yang ada mungkin hanya dengan menghantar alamat blog ini agaknya. Beliau juga tidak akan mendesak aku jika hubungan itu sampai ke jinjang pelamin kerana baginya itu adalah jodoh.

Tembok penghalang.

Alang masih lagi belum mendapat pekerjaan yang setaraf dengan ijazahnya walaupun sudah lebih dua bulan mencari-cari di sekitar Lembah Klang yang merupakan lubuk pekerjaan di Malaysia konon-kononnya. Aku cukup terharu apabila Filla menyanggupi membantu aku dalam hal mencari pekerjaan untuk Alang walaupun kami baharu sahaja berkenalan. Semalam Filla yang berusia 26 tahun itu cuba mencungkil rahsia kenapa aku masih belum berkahwin-kahwin walaupun sudah tua kononnya. Bukannya tidak mahu berkahwin tambahan pula sudah naik miangnya lelaki Taurus ini tetapi orang yang dicari haruslah menerima aku seadanya bukannya mengubahnya menjadi manusia lain. Janganlah pula aku nanti menjadi “tembok penghalang” untuk bakal pasangan aku menempa kejayaan gemilang dan mendapat “lelaki idaman” mereka. Jika itu berlaku akan wujud perkataan “kalau” yang akhirnya meruntuhkan kenangan yang maha indah sebelum itu.

Wednesday, September 06, 2006

Pesanan yang paling gaban


Sudah tertipu Rozana disakat olehku bila aku menyamar sebagai Pegawai Bank Rakyat yang mahu menuntut wang ansuran bulanan yang merupakan kaedah yang sama aku gunakan untuk menyakat Aida namun gagal walaupun berulang kali mencuba. Rozana meyumpah seranah aku habis-habisan kerana disakat, sebenarnya tujuan sebenar aku menghubunginya adalah untuk bertanya tentang Majlis Konvokesyen ke 28 institut kami. Rupa-rupanya hampir semua rakan sekelas aku begitu teruja untuk menyambut majlis yang akan berlangsung di PJ Hilton sabtu ini. Aku masih tertanya-tanya adakah mungkin mereka akan menghabiskan segala harta yang ada untuk membeli kasut tumit setinggi setengah kaki, tudung berbunga-bunga, baju yang beropol-ropol dan anting-anting sebesar duit lima puluh sen bagi tujuan majlis tersebut, maklumlah orang perempuan memang begitu sifatnya sejak azali lagi. Rasanya pesanan penaja yang paling gaban kerana kecederaan aku ialah daripada Rozana yang menasihatkan aku supaya cepat-cepat memanjat “gunung di depan mata” daripada memanjat gunung betul yang sudah tentu memenatkan.

Hari pertama


Hari ini merupakan hari pertama aku memulakan tugas yang sudah tentunya banyak akibat direhatkan 14 hari kerana kecederaan bengkak dan sedikit luka di dalam peha. Mujur sahaja tidak bernanah jika tidak mungkin dua purnama aku akan direhatkan, di pejabat suasana tidak banyak yang berubah cuma Encik Azam sedikit kecewa kerana kisahnya tidak direncanakan dalam beberapa rencana sebelum ini kerana saya tiada ilham apabila berjauhan dengannya namun sempat juga dia meninggalkan pesanan penaja iaitu bila aku maku mahu berhenti melakukan aktiviti tahap gaban. Sudah penat aku “berbalas pantun” dengan kawan-kawan aku kerana kecederaan tersebut yang akhirnya aku mengaku kalah tetapi aku sekalipun tidak menyesal untuk jalan yang dipilih dan selepas ini sudah pasti aku akan lebih berhati-hati.
Aku perasan juga terdapat beberapa “muka baru” yang rupanya “graduan segar” sedang menjalani “skim pegawai muda” yang sudahpun seminggu bekerja, untuk hari ini nampaknya belum sempat untuk bertanya khabar mereka kerana tugas yang terlampau banyak untuk disiapkan. Zaini rakan serumah aku yang mengidap “Sindrom Hikimori” telah diberitakan oleh Puan Nik Shafini terlibat dengan kemalangan di simpang Taman Desa pada awal pagi tadi. Beliau yang pernah direncanakan melalui rencana “Komputer itu Rosak Lagi” pada Mei lepas sebenarnya baru sahaja ditimpa malang minggu lepas kerana monitor komputernya di rumah dicuri orang.

Monday, September 04, 2006

Terkena Lagi

Peluang keemasan direhatkan hampir setengah purnama dimanfaatkan menghadiri kursus kusahawanan anjuran Jabatan Tenaga Rakyat di NIOSH Bangi pada 1 hingga 3 September 2006. Memang tidak dapat dinafikan input-input motivasi itu terkesan kepada aku tapi rasa bengang tertipu tidak dapat disembunyikan apabila hingga ke akhir program tidak sampai 1/10 pun "keusahawanan" yang dibincangkan seperti yang diwar-warkan. Nampaknya aku bergeruh lagi selepas isu baju 'T' dengan Majlis Perbandaran Klang telah ditamatkan minggu lepas. Selepas perbincangan dilakukan dengan Encik Syed selaku penganjur, akhirnya kata sepakat dicapai dengan dia memohon maaf dan akan memulangkan semula ufti yang berjumlah RM150.00 selepas menyiasat perkara ini dan terbukti mereka yang bersalah. Encik Nizar, Encik Shahrul dan Encik Nikman yang pada asalnya berkobar-kobar mahu menuntut wang mereka akhirnya "cair" selepas ditarbiyah oleh Encik Syed dan layanan kelas pertama oleh bidadari-bidadari penganjur. Encik Nizar sungguh kurang sopan mengatakan aku ini sangat degil walaupun ternyata ia sangat benar.
Nur Halimaton gadis hitam manis yang berasal dari Langkawi itu sudah tidak mahu berenggang dengan aku selama 3 hari berada di sana. Entah kenapa ramai mengatakan aku "ada kimia" dengan gadis yang berusia 21 tahun yang baru sahaja putus tunang itu. Aku berpesan dengannya jangan terlalu memuji lelaki Taurus hanya kerana sudi mendengar masalahnya kerana mereka mudah perasan hingga disambut dengan hilai ketawa olehnya. Rasanya tidak patut aku menangguk di air keruh kerana tidak kekal sifatnya dan sampai sekarang aku tidak ada jawapan kenapa dia menangis semasa aku mahu pulang ke rumah!