Inilah kali pertama aku tidak mengambil bahagian dalam latihan semenjak berada di sini, suatu kerugian juga kerana ia adalah latihan lari berpagar dan lompat jauh. Orang lain di sini seperti Nizam jatuh cinta, namun aku pula jatuh ke dalam lubang dan sungguh perit rasanya. Jika dulu tulang rusuk ditumbuk pun cuma sehari sahaja sakitnya, ini sudah masuk hari kedua sakitnya masih belum berbeza dengan sepuluh jam yang lepas. Rupa-rupanya Ann yang menyelamatkan aku semalam daripada tubuh aku terus masuk ke dalam lubang tersebut, aku langsung tidak sedar apa yang berlaku kerana menanggung sakit yang amat sangat. Pelbagai spekulasi yang dibuat iaitu patah, dijahit, masuk wad dan luka berdarah, tapi aku tidak kisahkan semua itu kerana langkah-langkah menyimen penutup lubang telah dilakukan tengahari tadi.
Friday, February 29, 2008
Thursday, February 28, 2008
Posted by Maswafi Abd Samat at 9:36 PM 3 comments
Wednesday, February 27, 2008
Kevin tiba-tiba menghubungi aku, sudah lama benar aku tidak mendengar suaranya barangkali tahun lepas sebelum bulan Ramadhan aku ada berjumpa dengannya. Semenjak menukar rutin aku daripada soal-soal pentadbiran kepada sumber manusia, kami sudah jarang berjumpa hinggakan hanya hari ini dia baru tahu bahawa aku sudah berada di Seremban. Kebanyakan “runners” sudah pun menghantar sistem pesanan ringkas kepada aku untuk melaporkan kesediaan mereka untuk Kuala Lumpur International Marathon pada penghujung bulan mac. Terasa juga seolah-olah masih berada di Kuala Lumpur menguruskan “runners” di bawah seliaan aku seperti tahun lepas. Jika jadual aku tidak padat mungkin aku boleh melakukan latihan untuk marathon penuh, tapi untuk waktu sekarang hampir-hampir mustahil untuk dilakukan dengan bebanan tugasan yang banyak. Juga pada tarikh marathon itu aku terpaksa menyiapkan folio PBS untuk dihantar pada keesokan harinya.
Posted by Maswafi Abd Samat at 8:49 PM 0 comments
Tuesday, February 26, 2008
Tranksasi berjumlah hampir tiga ribu ringgit sudahpun dimasukkan ke dalam akaun aku pada pukul 11.59 malam semalam menandakan betapa bekas majikan aku mengamalkan profesional yang cukup tinggi dalam melangsaikan segala saham aku yang tertunggak. Nyong menegur aku pagi ini sama ada Azam itu Azam sebenar ataupun jelmaan hantu raya kerana bangun awal semenjak dua-menjak ini. Jika tidak Papa Rahim asyik mencarinya setiap pagi kerana tidak hadir dalam perhimpunan setiap pagi. Hari ini Wan Baling ada berucap di perhimpunan namun suaranya macam kucing yang sedang mengawan dengan loghat Kedahnya yang pekat. Aku pun bernasib baik kerana borang pencalonan yang di hantar oleh Tom supaya aku bertanding dalam pilihanraya dibakulsampahkan kerana lewat dihantar, jika tidak tidak pasal-pasal aku kena menghadap mikrofon setiap hari.
Posted by Maswafi Abd Samat at 11:13 AM 1 comments
Monday, February 18, 2008
Nizam sudah semacam orang yang baru dapat pegang stering kereta kerana asyik melakukan pelbagai jenis gaya renang, al-maklumlah baru tahu cara-cara berenang, jika tidak sebelum ini masuk ke dalam air pun takut-takut macam dikejar kucing jantan. Catatan masa 11 minit 10 saat yang di buat di trek Paroi untuk enam kali pusingan bersamaan 2.4km memadamkan kontroversi mengatakan bahawa trek di depan astaka itu tidak mengikut standard. Kompleks Sukan Paroi amat “happening” kerana baru pukul 7.40 pagi sudah penuh umat manusia berbanding dengan Komples Sukan Kampung Pandan.
Posted by Maswafi Abd Samat at 7:43 PM 2 comments
Saturday, February 16, 2008
Aku sudah semakin suka dengan Seremban, kerana setiap pagi Sabtu dan Ahad dapat menjamah nasi lemak bersama telor goreng kurang minyak di hadapan kem artileri selepas memperhalusi trek jalan Sikamat dan juga karenah Wan Baling yang tidak habis-habis menyusahkan aku. Minggu ini aku sedikit kasihan padanya kerana telah ditimpa najis di bilik air kelmarin dan kehilangan terompah kuningnya pagi tadi. Tapi kasihan aku tidak berpanjangan kerana apabila ia dalam riang gembira hendak berjumpa dengan aweknya di Melaka yang tidak pernah mengaku pun dia pakwenya, aku terpaksa mendengar nyanyian sumbangnya dari pagi hinggalah sewaktu aku menghantarnya ke Terminal One.
-
Sama ada aku yang ramah atau orang di Seremban yang ramah aku tidak pasti, tetapi dengan modal air liur sahaja aku, Eddy, Nizam dan Tom merasa cendol Hj. Shariff yang popular di sini di atas kebijaksanaan aku memanipulasi Uncle Mani yang duduk bersebelahan meja kami. Hendak aku harapkan Nik Shafini dan Kak Su belanja jangan haraplah walaupun aku memakai bikini buat persembahan untuk mereka. Hingga ke hari ini masih ada lagi yang bercerita bagaimana lembing itu boleh patah semasa Kak Long melakukan rejaman di padang walaupun sebelum itu kami berkata ia adalah sesuatu yang mustahil untuk berlaku, bagi aku itulah kebesaran tuhan sebenarnya.
Posted by Maswafi Abd Samat at 4:07 PM 2 comments
Thursday, February 14, 2008
Hari ini aku menerima sistem pesanan dari Yazid yang mengatakan Ayob telah kehilangan bapanya yang mana teks asal adalah melalui teknologi pesanan bersepadu UEM Builders. Sibuk sedikit talian telefon aku daripada biasa jika ada hal-hal sebegini. Lega aku kerana kerja kursus mengenai pedagodi telah berjaya dirumuskan pagi tadi dan yang menyusul petang ini adalah berkenaan merejam lembing yang akan di adakan di tengah padang pada hari yang panas. Mungkin selepas petang ini aku akan rasa bernafas sedikit kalau hendak dibandingkan pada hari-hari sebelumnya hinggakan hendak kentut pun tidak lawas rasanya.
-
Sudah banyak kali aku mengisi air minuman di dalam botol 1.5 liter namun selama itulah juga ia sentiasa kosong, ia bukanlah kerana ada anak jin menemankan aku tetapi lebih kepada Wan Baling yang menjadi jin meminum air tersebut dan banyak kali mengambil botolnya sekali dikumpul untuk dibuat sarang jin di dalam biliknya agaknya. Aku rasa selepas ini lebih baik diletakkan racun tikus di dalam air minuman aku supaya Wan Baling yang meminumnya akan cepat arwah dan jika aku tersasul bolehlah aku ikut menjadi arwah sepertinya.
Posted by Maswafi Abd Samat at 3:12 PM 2 comments
Wednesday, February 06, 2008
Posted by Maswafi Abd Samat at 5:55 PM 4 comments
Sunday, February 03, 2008
Pagi-pagi lagi Nyok dikejutkan untuk mendaki Gunung Angsi oleh Wan Baling menggantikan Luqman yang demam, agak terkejut tupai dia juga kerana pelawaan itu datang mengejut, lagipun aku ini memang jenis yang spontan dalam melakukan tahap gaban. Walhal lelah petang semalam melakukan latihan renang di Pusat Aquatik Paroi masih belum hilang walaupun jarak yang dicuba secara bersungguh cuma 100 meter kerana masa aku banyak dihabiskan mengajar Raymos, Imad dan Nizam berenang dan mengapung diri, alangkah bahagianya jika mereka bertiga itu ialah Azie, Asmah ataupun Erlina. Perjalanan ke puncak Angsi mengambil masa tepat 3 jam lewat sejam berbanding masa yang aku lakukan bersama Zafrul, Ayob dan Farrah tahun lepas, ini kerana Imad, Nyok dan Raymos pertama kali mendaki gunung dan ada sedikit kesukaran mendaki di bukit berhampiran puncak akibat hakisan. Kasihan juga aku melihat mereka yang keletihan tapi terpancar riak gembira di wajah mereka sewaktu turun untuk mandi di Ulu Bendul. Entah kenapa hingga sekarang hujan masih mahu belum berhenti…
Posted by Maswafi Abd Samat at 10:43 PM 2 comments
Labels: Gunung