Sunday, September 28, 2008

Berbondong-bondong manusia pergi ke pekan pagi ini untuk membeli keperluan Hari Raya samada bahan mentah, kuih raya dan baju raya. Alangkah indahnya jika usahawan Ramadhan ini meneruskan perniagaan “ad hoc” ini pada bulan-bulan mendatang seperti pendapat Ann Wan Seng. Dapat juga aku buluh lemang berkualiti tinggi berhampiran dengan sungai Menderang itupun setelah puas memilihnya daripada beberapa batang buluh yang di tebang. Cuma tahun ini tiada ayam kampung yang dapat disembelih kerana Makcik Mah sudah tidak membelanya lagi namun sudah menjadi tradisi keturunan pendekar seperti aku suka mengasah parang hingga ia menjadi haus. Tidak banyak kuih raya banyak yang Makcik Mah buat tahun ini cuma biskut cornflakes, kerepek pisang, tempeyek, dodol dan agar-agar kering. Sebagai anak yang soleh dan taat pada ibu, aku menggunakan kuasa “veto” yang ada pada menyuruh Alang dan Ude melengkapkan kuih-kuih yang lain dan sehingga sekarang aku masih belum mengeluarkan wang untuk persiapan Hari Raya.

Saturday, September 27, 2008

Pelik juga bagaimana aku boleh mendapat tiket bas Transnasional ke Tanjung Malim di saat semua orang bercerita bahawa tiket di kaunter sudah habis kerana sebelum ini jika mahu pulang ke kampung selalunya tiket sudah habis dijual walaupun bukan musim perayaan. Harga tiketnya sudah naik 30% daripada nilai sebelumnya begitu juga bas berhenti-henti dari Sikamat ke Terminal One sudah naik 40 sen yang mana sebelumnya cuma seringgit. Keadaan Terminal One pada jam 8. 53 pagi sangat sibuk dengan orang yang mahu pulang ke kampung dan petang semalam keadaan di Tol Seremban juga sangat sesak dengan kereta yang mahu ke utara dan selatan. Syukur aku kerana di Sungkai harga barang makanan masih tidak berlaku kenaikan mendadak seperti Ampangan kerana kuih masih lagi berharga 3 seringgit dan taufufa masih berharga seringgit dibandingkan di Ampangan seringgit setengah begitu juga dengan tambang bas masih dengan kadar lama.

Friday, September 26, 2008

Ramadhan sudah tinggal beberapa hari sahaja lagi di kesempatan bulan yang mulia orang kuat parti dajal mata satu sudah beberapa kali memberikan harapan kepada rakyat tentang rancangan gilanya. Pelik sungguh manusia hari ini sudah beberapa kali ditipu olehnya masih juga percaya teori-teori idealisme yang pernah diamalkan semasa menuntut di universiti tertua di Malaysia. Di Malaysia cuma seorang sahaja yang mempunyai sifat-sifat “six elements of leadership” bukan Chedet jauh sekali Pak Lah paling dekat yang mampu menyainginya pun mungkin Sukarno. Tanpa Max yang bertenet dengan Ikin semalam, aku mengambil keputusan melakukan latihan untuk jarak 11 km, mujur cuaca yang sentiasa mendung membantu aku melakukan catatan 56 minit dikira cukup bagus untuk meninggalkan bulan Ramadhan dengan penuh makna.


Monday, September 22, 2008

Road Relay: Raja Melewar

Tarikh : 11 Oktober 2008
Kumpulan PJK 2008
Maswafi Abd Samat ataupun digelar sebagai Abang Long bukanlah kerana dia mempunyai banyak duit untuk diberi pinjam kepada rakan-rakan tetapi kerana umurnya sudah hampir kepada ketegori lelaki masters. Beliau boleh berlari sejauh 42.195 km yang sama jaraknya dari Nilai ke Kuala Lumpur di mana catatan masa peribadinya yang terbaik ialah 2 jam 42 minit untuk jarak 30.1km. Terkini beliau menduduki rangking ke 52 Seremban Half Marathon untuk jarak 21.0975km dengan catatan masa 1 jam 56 minit. Beliau selalu menghadapi sindrom sakit dada apabila berlari di bawah jarak 5km kerana lambat “panas” dan bukan acara “favorites”nya namun untuk berlari 11 minit untuk jarak 2km bukanlah masalah besar baginya.

Mohd Zairey dikenali sebagai Panjang, ini mungkin kerana ia paling tinggi di kalangan kami kerana hal-hal lain kami tidak pernah ambil tahu. Beliau merupakan pelajar bekas Sains Sukan UITM dan sangat mahir dalam hal-hal sains sukan hingga kami menggelarnya perpustakaan bergerak. Beliau boleh berlari untuk jarak 2.4km tanpa henti walaupun agak perlahan pada “finishing”nya, diharap dengan pengetahuan beliau yang luas dalam bidang Sains Sukan dan "kepanjangan" yang beliau ada dapat membantunya menyelesaikan masalah tersebut.



Tomo Hardjo Zakaria ataupun dikenali sebagai Tom mungkin dia perasan dia orang putih agaknya walaupun mukanya macam Jawa. Beliau dikenali sebagai lelaki misteri di sini kerana kerap tiada di bilik di atas urusan “seri paduka baginda”. Beliau seorang pencinta seni yang tulen dan juga seorang yang mempunyai stamina yang sangat mengagumkan kerana boleh mendaki Gunung Angsi di bawah masa I jam 45 minit. Meminati sukan renang dan marathon tetapi tidak serius untuk memasuki mana-mana pertandingan. Di kalangan kami dia adalah yang kedua terpantas selepas Jega kerana melakukan catatan 10 minit 45 saat untuk jarak 2.4km serta mampu berlari 10km di bawah masa 60 minit.

Jagathis ataupun nama “glamour”nya Jega pernah mewakili Malaysia semasa kejohanan sukan antara Universiti Asean. Beliau selalu tertidur di dalam kelas bukanlah kerana melakukan qiamulail tetapi terlalu banyak bermain “game” hingga ke Suboh. Beliau sangat mahir dalam semua acara balapan dan padang di tambah dengan pengalamannya sewaktu menjadi athlit di Universiti Utara Malaysia. Walaupun beliau tidak menyukai acara larian melebihi 1000 meter tetapi beliau mampu berlari sepantas 9 minit 45 saat untuk jarak 2.4km dan dinobatkan sebagai yang terpantas dikalangan kami.


Nasri Abd Salam merupakan bekas pelajar Sains Sukan Universiti Malaya, di situ beliau sangat aktif dengan kegiatan lasak juga merupakan anggota PALAPES. Beliau sangat komited dan tegas dalam menjalankan amanah hinggakan kadang-kala kami merasakan beliau lebih Belanda dari Belanda. Beliau pernah dianugerahkan “ironman” sewaktu Pendidikan Luar di Pasir Bogak pada bulan Jun yang lalu menggambarkan beliau seorang yang kental. Peningkatan larian beliau sangat ketara sejak akhir-akhir ini kerana mampu melakukan catatan masa di bawah 11 minit untuk jarak 2.4 km dan merupakan pelari ketiga terpantas di kalangan kami.

Urusan pembelian pelari ke empat telah pun berjaya pagi semalam apabila Tom bersetuju dengan tawaran yang aku beri sewaktu dia sedang menonton filem Hindustan kegemarannya. Ini bermakna pasukan aku terdiri daripada Panjang, Jega, Nasri dan Tom, harapnya dapat memberi saingan pada kumpulan Max dan Isa yang rata-ratanya athlit di sini untuk pertandingan “road relay” yang akan di adakan seminggu selepas menyambut Syawal di sekitar Sikamat. Sudah banyak kali apabila tiba waktu berbuka puasa aku dan Nizam lewat menerima makanan, sebenarnya salah aku dan Nizam juga kerana sering sampai apabila hampir waktu berbuka. Cuma kalau melihat orang yang datang lewat daripada kami menerima makanan dahulu, hati aku amat terbakar dan disaat itu mahu rasanya aku membakar sahaja Restoren Aless.

Saturday, September 20, 2008

Sangat susah menjawab 100 soalan peperiksaan pegawai Teknik KOAM yang berlangsung serentak di seluruh negara hari ini. Rasanya kalau setakat cukup makan itu mungkin boleh dicapai dengan markah lulus 65 markah untuk mendapat sijil gred 3, harapnyanya berbaloilah usaha aku mentelaah buku undang-undang KOAM di Restoran Beevi pukul 3 pagi tadi. Sudah dua hari aku tidak berlatih kerana menerima jemputan berbuka puasa di rumah Kak Jun dan di tempat kerja, syukur masih ada yang sudi menjemput aku walaupun sebenarnya aku boleh juga makan di Masjid Sikamat cuma tidak terasa nilai-nilai sentimentalnya.

Latihan Litar

Thursday, September 18, 2008

Kaki aku masih belum juga pulih seolah-olah seperti sendi antara tapak kaki dan tulang kaki tidak melekat seperti yang sepatutnya tetapi aku masih boleh mengikut Max melalui trek D sejauh 6.2 km dengan catatan masa 32 minit semalam. Kadang-kadang aku malas melayan penyakit datang yang menghalang aku daripada berlari selalunya ia akan pulih dengan sendirinya tanpa aku mengurutpun. Bila Julie meminta alamat aku untuk menghantar Kad Hari Raya barulah aku sedar bahawa aku sudah meninggalkan rutin setiap kali tiba bulan puasa. Mungkin sudah tiba masanya aku menghantar e-kad raya mengikut peredaran teknologi namun tetapi dimana nilai “sentimentalnya” jika tidak boleh digantung untuk ditunjuk pada jiran sebelah mengatakan aku ini “glamour” daripada anak mereka.
-
Aku terpaksalah juga membeli jam loceng yang baru jenama Sony Ericsson (W200i) kerana jam loceng jenama Motorola pemberian Azam Orang Minyak sempena hari lahir aku yang lepas telah rosak. Terbangla juga duit aku sebanyak RM330.00 kerana jam loceng itu mempunyai pelbagai fungsi lain seperti “walkman, radio, telefon, kamera dan banyak lagi. Sedar tidak sedar sudah sebelas minggu aku bekerja di Sungai Gadut maknanya minggu depan adalah minggu terakhir aku di situ dan selepas itu aku akan masuk pula ke kelas untuk mengenali fungsi aku di jabatan kerajaan.

Monday, September 15, 2008

Sudah dua hari kaki kiri aku terseliuh dan sedikit membengkak dimana silapnya aku sendiri tidak pasti mungkin kerana terlalu mengejar Max mendaki bukit Temiang sewaktu berlatih agaknya. Kertas kerja ke Gunung Telapak Burok telah pun siap pukul satu pagi tadi untuk kelulusan jabatan dimana tarikh cadangan ialah pada 18 Oktober 2008. Sebenarnya kertas kerja ini dibuat adalah di atas permintaan Puan Suraya supaya mengadakannya di bawah jabatan, jika tidak lulus pun aku tidak ambil pusing sangat kerana ia tetap akan dijalankan secara “underground” seperti yang aku lakukan sebelum ini. Kerana aku menganggap ia adalah sumbangan aku di sini dan bukannya mengharap sumbangan institut kepada aku semata-mata. Aizat tidak hadir hari ini kerana cirit-birit mungkin kerana terlebih makan agaknya, sudah empat hari Azam kembali ke sini menguruskan kes rayuannya nampak semacam tiada harapan walaupun sudah ke Putrajaya dan ke HEP.

Saturday, September 13, 2008

Pagi-pagi lagi Panther aku sudah membuat perangai tidak dapat dihidupkan enjinnya, mungkin kerana enjinnya basah ditimpa hujan lebat, nasib baik aku dapat menumpang kereta Aizat jika tidak sudah tentu akan akan mendapat surat amaran. Petang ini aku dan Wan berbuka puasa di rumah Pak Lang yang terletak di Paroi, sungguh mesra layanan keluarga Wan. Kalaulah sikap orang Seremban semesra ini di jalan-raya alangkah bagusnya malangnya orang Seremban suka meletakkan kenderaan di tengah jalan, memaksa orang di depan mereka melanggar lampu merah dan melajukan kereta mereka jika kita cuba untuk melintas di jalan yang sibuk. Kadar tolak ansur mereka dengan orang KL di jalan raya umpama langit dengan bumi mungkin kerana jalan di sini tidak sesesak jalan di KL dengan itu tidak perlunya tolak ansur di sini.

Monday, September 08, 2008

Pitam juga aku tahun ini dan ia berlaku di bulan Ramadhan mungkin kerana terpaksa mengikut rentak Max yang agak laju dengan catatan 27 minit untuk jarak melebihi 5 km. Secara peribadi Max, Tom dan Isa cuma boleh dikalahkan apabila melepasi jarak perbatuan 8 km jika tidak jangan mimpi untuk melakukannya. Mungkin juga badan aku sedang menyesuaikan diri dengan pemakanan di bulan Ramadhan, biarpun pitam aku kira itu lebih baik daripada terpaksa menanggung pedih ulu hati kerana mengejar Max yang terlalu jauh pada hari pertama latihan sewaktu berpuasa.

Friday, September 05, 2008

Harga makanan sudah tidak masuk akal sekarang ini, di Paroi kuih sebiji yang semakin mengecil berharga RM0.40 sebiji dan taufufa pula berharga RM1.50 sebekas. Senang sahaja mulut peniaga menyalahkan kerajaan kerana menaikkan harga minyak, jika perlupun kenaikan kuih tidak perlulah semuanya berpakat mengecilkan saiz kuih dan menaikkan harga taufufa hingga 50% dari harga asal. Aku boleh menerima kenaikan harga kuih tetapi biarlah ia pada saiz “standard” dan kenaikan RM0.10-RM0.15 pada harga taufufa adalah lebih munasabah. Syabas aku ucapkan kepada peniaga kurma yang menyediakan harga yang agak relevan pada kurma sekotak iaitu pada kadar RM9.00-RM10.00. Bilakah agaknya orang Malaysia mahu berfikir untuk menyumbang kepada negara selain daripada negara menyumbang kepada mereka?

Wednesday, September 03, 2008

Marah betul aku dengan telefon bimbit aku kerana gagal menghubungi Azie untuk ucapan selamat hari lahir, mungkin dia sibuk agaknya lagipun aku bukanlah pakwenya, balaknya, dan abangnya pun bukan apatah lagi menjadi abang angkatnya. Sebenarnya sebelum ini aku tidak pernah pun menghubunginya walaupun semua orang tahu aku suka separuh mati padaanya kerana ini merupakan salah satu teknik berjimat cermat di musim minyak yang mahal ini. Hari ini kali keempat aku berjumpa Dr. Aniza, walaupun sebenarnya mata aku yang jahat ini suka sangat mengintai doktor pelatih di situ. Urusan gigi geraham bongsu aku berjaya diselesaikan apabila jahitannya telah berjaya dibuka cuma terasa sengal-sengal sedikit dan hingga sekarang aku masih memegang pendapat bahawa doktor di sektor kerajaan lebih baik kerjanya berbanding doktor di sektor swasta kerana pengalaman mereka menyelesaikan kes-kes yang teruk. Aku masih belum mendapat “tiun” untuk berbuka puasa dan bersahur di sini seperti kebanyakan yang lain cuma aku melakukan tugas di atas padang seperti biasa walaupun di tegur oleh kawan-kawan.