Friday, July 30, 2010

Jalan ke Kuching



Perahu Tambang RM0.50

Perjalanan ke Kuching sangat memenatkan walaupun cuma 50 minit perjalanan menaiki kapal terbang dari Bintulu ini kerana perjalanan air dan darat dari Segaham yang mengambil masa 4 jam dari Jalan Menjawah, Bakun (jika mengikut Jalan Belaga mungkin mengambil masa 6 jam). Sebelum ini aku pernah melakukan perjalanan dari Segaham ke Kuching (kira-kira 600 km) menggunakan jalan darat (hilux dan bas) mengambil masa 19 jam manakala menggunakan jalan air menggunakan bot ekspress dan feri hingga ke Pending, Kuching mengambil masa 2 hari.
Kampung Budaya

Perjalanan dari lapangan terbang Kuching ke Waterfront cuma mengambil masa 15 minit dengan kos RM26.00, aku dan Bad memilih Transit Point (Jalan Tabuan) sebagai tempat bermaustatin dengan kos RM39.00 satu bilik dua katil, tempat yang sangat bersih cuma tandasnya berada di luar dan sedikit jauh dari Waterfront. Namun sebagai kategori hotel buget aku memberikan 4 bintang kepadanya.
Waterfront

Hari kedua selepas bersarapan di restoran berhampiran Waterfont kami pergi ke Kampung Budaya dengan menaiki Kuching-Damai-Kuching shuttle bus (van) dari Grand Margarita Hotel. Dengan dikenakan pakej RM75 perjalanan pergi balik (RM15) beserta tiket (RM60) masuk Kampung Budaya, kami sampai ke Santubung dalam masa 45 minit. Di sini ia seakan muzium hidup kerana kita akan melihat budaya Rumah Panjang Bidayuh, Iban, Orang Ulu dan Melanau, juga dapat melihat Pondok Penan, Rumah Melayu Sarawak dan Rumah Cina. Walaupun tidaklah sama dengan keadaan sebenar di rumah panjang namun memberi maklumat secara makro tentang etnik Sarawak yang lebih daripada 29 itu.
Kampung Budaya

Sebenarnya perkara yang menarik di Kampung Budaya bukanlah rumah-rumah panjang yang pelbagai jenis itu, tetapi persembahan tarian kebudayaan selama 45 minit di Rumah Teater sebanyak dua kali sehari iaitu pada jam 11.30 pagi dan jam 4.00 petang.
Kampung Budaya

Petangnya kami ke Kilang Kek Lapis Dayang Salhah yang terletak di Kampung Gersik, rasanya tidak perlu bertanya dengan sesiapa untuk ke tempat ini kerana jawapan yang diterima ialah “tidak sedap kek yang dibuat di kilang itu, sedap lagi kek yang kami buat”. Bila kita mempersoalkan bolehkah kita membeli terus dari mereka jawapannya “kenalah menempahnya dahulu”. Caranya sangat mudah untuk ke situ kita hanya perlu menaiki perahu tambang RM0.50 ke jeti Pengkalan Hj. Omar (dapat di lihat food court yang sangat besar dari arah Waterfront) dan berjalan terus ke kanan sejauh 150 meter. Di syurga kek ini aku menghabiskan wang sejumlah RM476 hanya untuk membeli kek lapis beserta upah pos. Pada sebelah malam kami makan malam di sini, walaupun terdapat banyak pilihan makanan ia bukanlah syurga seperti di Padang Kota Lama namun masih mengenyangkan perut aku yang tidak memilih.
Cat Museum

Hari kedua awal pagi lagi kami ke Pasar Satok, dengan tambang teksi sebanyak RM12 ia cuma mengambil masa 10 minit dari Waterfront. Di sini kita dapat mencari Terubuk Masin yang masih segar dengan harga yang murah namun masuk kos pos laju untuk barangan ini sangat mahal mencecah 120% dengan nilai barang yang dibeli. Pelbagai barang dapat dicari di sini seperti sayur-sayuran dan ikan-ikan yang segar dan juga pelbagai barangan cenderamata selepas pukul 10.00 pagi.
Kampung Budaya
Kampung Budaya

Dari Pasar Satok kami meneruskan perjalanan ke Cat Museum dengan kos teksi sebanyak RM15, masuk ke sini adalah percuma. Bayaran RM3 hingga RM5 cuma dikenakan untuk kamera yang dibawa masuk namun ia sangat berbaloi dengann koleksi kucing yang bakal disajikan. Di sini kucing dilihat dalam perspektif seni, perniagaan, sains dan sejarah bukan hanya sebagai binatang kesayangan.
Kampung Budaya
Kampung Budaya
Kampung Budaya

Kemudian kami ke empat muzium yang berhampiran Waterfront iaitu Muzium Seni, Muzium Semulajadi, Muzium Islam, Muzium Etnologi yang terletak berhampiran. Muzium Seni walaupun mengenakan bayaran RM4 rasanya sangat berbaloi kerana menempatkan fosil kayu yang menakjubkan. Kepada yang pernah berkunjung ke Brunei, Muzium Etnologi, Muzium Islam dan Muzium Seni sudah tentu sangat mengecewakan jika mahu mendapat maklumat tentang Borneo. Namun aku sebagai orang yang tinggal di Belaga berasa bangga kerana sebuah tiang Salong yang menempatkan mayat para bangsawan di ambil dari Segaham (Rumah Panjang bersebelahan sekolah) pada tahun 1974 oleh pihak Muzium Sarawak tersergam gagah di sini.
Kampung Budaya
Kampung Budaya
Pasar Satok
Salong

Petang kami sekali lagi menaiki Perahu Tambang ke bangunan ADUN Sarawak dan Astana namun tiada apa yang boleh diceritakan di sini, kemudian kami mengambil sekali llagi Perahu Tambang ke Fort Margarita (Bangunan Usang tapi terpelihara dengan baik) tempat di suatu masa dulu digunakan oleh Rajah Charles Brooke untuk mengawal Bandar Kuching dari musuh.
Dewan ADUN Sarawak
Fort Margarita
fosil kayu berusia berjuta tahun

Trivia

Hotel Transit Point 082-239961

Kuching-Damai-Kuching (shuttle bus) 082-846999

Pembekal Ikan Terubuk (Pakcik Rus) 017-2221302

Dayang Salhah Kek Lapis 082-445040

Teksi Kuching (Pakcik Bayong) 013-8265315

Wednesday, July 28, 2010

Petua Mendaki Gunung

Alatan Ikhtiar Hidup

Kebiasaannya para pendaki gunung akan membawa peralatan ikhtiar hidup yang paling asas sebelum masuk ke hutan. Peralatan tersebut mestilah ringan, kecil dan mudah dibawa seperti di bawah:-

  • Pisau
  • Pemetik api
  • Lampu suluh
  • Ubat makan (panadol, pil chi teck aun dan garam berhidrasi)
  • Ubat sapu (yoko-yoko dan plaster luka)
  • Makanan yang tahan lama (mi segera, nestum dan biskut)
  • Garam
  • Telefon bimbit yang telah di charge baterinya.

Mencegah sesat

Ada yang berkata kenapa tidak menggunakan kompas? Secara teorinya memang nampak mudah menggunakan kompas, namun jika tersalah kiraan lebih besar kesan sesatnya. Secara jujurnya ramai pendaki tidak tahu menggunakan kompas, cara yang terbaik ialah menanda jalan menggunakan alat GPS sejak mula mendaki, namun tidak praktikal kerana peralatannya sangat mahal.

Cara yang termurah ialah melantik seorang penanda untuk melakukan tugas tersebut. Tanda-tanda yang dibuat menggunakan parang pada pokok hendaklah seragam untuk mengelakkan terkeliru dengan bekas tanda dibuat oleh pemburu. Tidak perlu banyak tanda memadai pada pokok jika denai itu mempunyai simpang yang mengelirukan dan lintasan sungai.

Ada juga pendaki yang menanda menggunakan plastik awas yang boleh dibeli di kedai hardware, namun boleh juga menggunakan plastik terpakai. Boleh juga pendaki mengambil kertas terpakai yang dipotong sebesar duit lima sen dan menaburnya pada tempat-tempat yang difikirkan sesuai seperti simpang dan lintasan sungai.

Elakkan mengambil tumbuh-tumbuhan yang pelik-pelik seperti bunga, jika perlu mengambilnya untuk tujuan tertentu seperti perubatan minta izin dahulu dan ambillah sekadar yang perlu sahaja. Jangan bercakap besar kerana hutan adalah tempat dugaan yang terbaik untuk orang bercakap besar.

Jika sesat

Perkara pertama jika tersesat ialah kembali ke pangkal jalan tempat asal ia bermula, selalunya teknik ini adalah yang paling berkesan walaupun meletihkan tetapi paling selamat. Jika kaedah ini gagal, berehat dahulu jangan buang tenaga jika hari hampir gelap pasangkan khemah atau buat khemah dari alam sekitar.

Keesokannya cuba cari sungai dan menghala ke hilir (air yang mengalir ke arah laut) dengan cara ini kita berkemungkinan dapat menjumpai kampung-kampung. Jika gagal mencari sungai boleh juga mencari wayar elektrik dan terus ke arah tanah rendah juga berkemungkinan dapat bertemu perkampungan terdekat.

Jika kaedah ini gagal, seeloknya carilah tempat tinggi (puncak) untuk mendapatkan bantuan melalui kaedah telefon bimbit. Namun pastikan ini langkah terakhir kerana anda akan dimaki hamun oleh pihak berkuasa yang dibatalkan cutinya kerana mencari anda.

Tiga Perkara

Tiga perkara yang biasa berlaku di dalam hutan iaitu altitude sickness, kekejangan dan lemah badan. Kebiasaannya altitude sickness menyebabkan pendaki sakit kepala dan marah-marah kerana kekurangan oksigen, kaedah rawatan yang harus diberikan ialah rehat dan memakan panadol.

Kekejangan berlaku akibat kekurangan garam di dalam badan, pesakit harus meminum air garam berhidrasi, jika tiada boleh juga menggunakan air garam biasa ataupun air perencah mi segera!. Menyapu ubat seperti yoko-yoko memberikan kesan fizikal dan psikologi yang baik kepada pendaki.

Lemah badan kebiasaanya disebabkan kekurangan tenaga di dalam badan, jika ini berlaku berikan sedikit makanan dan minuman (garam berhidrasi) kepada pesakit jika perlu berhenti untuk memasak makanan. Menahan diri daripada melakukan nature call seperti kencing dan berak juga menyebabkan lemah badan kerana toksin berlebihan di dalam badan. Pujuk pesakit (kebiasaannya wanita kerana sifat malu) untuk melakukan nature call tersebut.

Namun ada juga beberapa perkara yang jarang sangat berlaku seperti histeria atau cedera teruk bila berada di dalam hutan. Jika berlaku histeria ikat pesakit pada pokok supaya ia tidak menyerang orang lain ataupun melarikan diri. Jika berlaku kecederaan cuba bawa mangsa keluar dari hutan sedaya boleh (kerana perkara yang sama juga akan dilakukan oleh penguatkuasa untuk membantu anda), jika gagal hantar rakan untuk meminta bantuan. Jika tiada orang menemankan pesakit, buat unggun api untuk mengelakkan binatang buas sebelum pergi meminta bantuan.

Tumbuhan hutan

Cium atau hidu

Renyuk daun atau buah yang hendak diuji sehingga hancur atau lembut. Cium dan buat penilaian sendiri. Tumbuhan yang berbau busuk atau tengik mungkin beracun dan memabukkan.

Sapu pada kulit

Sekiranya tiada bau yang kurang menyenangkan, sapu tumbuhan tadi ke bahagian kulit yang lembut seperti lengan atau perut. Gosokkan lama-lama dan tunggu 15 minit. Sekiranya terasa gatal atau miang, tumbuhan itu mungkin beracun.

Haiwan

Jika terjumpa ular hendaklah diamkan diri, tetapi jika ular tedung selar, gajah, harimau dan babi nasihat saya “run for your life”!. Agak sukar hendak menjumpai binatang di dalam hutan kecuali kita gatal kaki cuba memasuki denai binatang (laluan yang agak terang tetapi tidaklah jelas seperti denai manusia selalunya laluan ini menghala ke punca air dan garam bukit).

Perkara betul yang harus dilakukan

  • Mi segera, nestum dan biskut adalah makanan yang paling akhir patut dihabiskan, seharusnya pendaki mempunyai menu yang berat seperti nasi, sardin dan sayur kobis untuk mengekalkan tenaga.

  • Mitos bahawa senang hendak menjumpai sumber air di atas gunung adalah palsu, (kecuali anda melakukan Trans Titiwangsa) kebanyakan air terletak di kaki gunung, pastikan membawa air yang cukup.

  • Di atas gunung sentiasa basah, hendaklah sentiasa menyimpan pakaian dan barang penting di dalam plastik.

  • Ideal jumlah pendaki ialah 5 orang, sesuai untuk sebuah khemah, memasak, kecemasan dan keselamatan.

  • Lampu gas berbahaya dipasang di dalam khemah.

  • Jika berkhemah di puncak, tutup talian bimbit dan lari ke kawasan rendah jika berlaku hujan lebat untuk mengelakkan bencana kilat.

  • Peralatan ikhtiar hidup mesti dibawa walaupun tidak berniat untuk berkhemah (1 day trip) kerana bannyak kes pendaki terpaksa berkampung di dalam hutan.

  • Elakkan berada berhampiran dengan pokok buluh selepas hujan kerana ia akan merembeskan jarum-jarum kecil selama lebih kurang 10 minit.

  • Jangan gantung barang seperti cerek di luar beg kerana ini akan menyukarkan pendakian apabila asyik berhenti untuk memastikan cerek tidak hilang.

  • Beg tidak perlu mahal cuma tidak membeli yang imitation, isipadu (tertulis pada setiap beg) 55 liter sesuai untuk pendakian 2 hari 1 malam manakala 80 liter sesuai untuk pendakian 3 hari 2 malam.

  • Matress lebih penting daripada sleeping bag, kerana susah hendak tidur di atas tanah batu.

  • Ikan yang telah digoreng (di rumah) dibalut menggunakan alumunium foil (dirumah) dapat bertahan 3 hari, manakala ayam selama 2 hari.

  • Jika menjumpai sumber air cuba hidu air tersebut, jika berbau hancing elakkan kerana dikhuatiri ada kencing tikus hutan.

  • Selalunya pendaki akan menggantung botol air mineral di denai yang mempunyai sumber air sebagai penanda, selalunya tempat ini dijadikan tempat perkhemahan.

  • Bawalah sedikit gula-gula untuk diberi kepada kanak-kanak di pedalaman sebagai tanda terima kasih kita melalui kawasan mereka.

  • Jangan risau mendaki gunung (selalunya orang tua menakutkan orang muda dalam hal ini walhal mereka sendiri pun tidak pernah pergi) kerana kebanyakan denai ke gunung yang popular mempunyai jalan yang agak jelas seperti Gunung Nuang, denai yang tidak jelas adalah seperti Trans Titiwangsa kerana jarang orang melaluinya.

  • Kadang-kadang kasut mendaki gunung yang berjenama seperti Hitech pun tidak tahan kena air, mungkin lebih baik membeli kasut menoreh getah seperti adidas kampung.

Artikel ini cuma pandangan penulis berdasarkan pengalamannya di Banjaran Titiwangsa dan Hutan Borneo.

Asal Usul Kuching

Di masa lalu Sungai Sarawak dan di seluruh negeri Sarawak termasuk Bandar Kuching dikenali sebagai Sarawak. Tiada siapa yang tahu bagaimana ibu negeri ini akhirnya dikenali sebagai Kuching.

Kuching ialah satu perkataan Melayu yang bermakna haiwan kucing dan mungkin dimasa lalu terdapat banyak kucing di sepanjang Sungai Sarawak, lalu di beri nama Kuching (Bahasa Melayu Sarawak kucing dieja sebagai kuching). Pada tahun 1839, James Brooke (Raja Putih pertama di Sarawak) memanggil Bandar tersebut Kuching mungkin bermaksud Cochin atau pelabuhan seperti di India atau Indo-China.

Pada tahun 1870 an, terdapat sebuah sungai bernama Sungai Kuching yang mengalir melalui sebuah bukit yang ditumbuhi oleh pokok buah-buahan mata kucing (Nephelium Malaiense). Lalu pada tahun 1876 bandar tersebut dengan rasminya dikenali sebagai banadar Kuching.

Sumber: The Cat Museum, Kuching

Sunday, July 18, 2010

Asal Usul Kucing

Mengikut sumber-sumber Israiliyyat ia bermula semasa 3000 s.m sewaktu nabi Nuh bersama 83 pengikut yang beriman belayar menggunakan bahtera yang diperbuat daripada 4,340 papan dan 50 buah layar. Kapal tersebut mempunyai 7 tingkat di mana tingkat 1 untuk menyimpan barang pusaka nabi Adam, Hawa, nabi Syith dan nabi Idris. Tingkat ke 2 tempat nabi Nuh dan pengikutnya, tingkat ke 3 dikumpulkan segala jenis burung, tingkat ke 4 pelbagai jenis binatang jinak (berpasangan), tingkat ke 5 binatang liar (berpasangan), tingkat ke 6 ditempatkan segala jenis rumput-rumpai dan tingkat teratas (7) diletakkan benih-benih pokok dan biji-bijian.

Disebabkan pelayaran yang sangat lama iaitu selama 7 bulan akibat banjir besar, timbul masalah najis-najis yang tidak terkawal di dalam bahtera nabi Nuh. Nabi Nuh meminta pertolongan malaikat Jibrail untuk menyelesaikan masalah tersebut, dengan itu nabi Nuh diarahkan untuk menggosok belalai gajah untuk menyelesaikan masalah tersebut. Apabila baginda melakukan perkara tersebut keluarlah beberapa ekor babi dari bebalai gajah yang akhirnya memakan segala najis di dalam bahtera tersebut.

Perbuatan itu dilihat oleh salah seorang pengikutnya (syaitan yang menyamar), lalu melakukan perkara yang serupa tetapi menggosok belakang babi maka dengan itu keluarlah beberapa ekor tikus yang memakan dan merosakkan dinding bahtera. Sekali lagi malaikat Jibrail membantu baginda menyelesaikan masalah tersebut, kali ini baginda diarahkan untuk menggosok belakang harimau dengan serta merta keluarlah beberapa ekor kucing yang akhirnya memakan tikus-tikus tersebut.

Bagaimana kucing tersebut sampai ke Tanah Melayu?

Mengikut sumber Sejarah Melayu (karangan Tun Sri Lanang Bendahara Kesultanan Johor abad ke 16) ia bermula apabila jumlah tikus yang sangat banyak di istana Melaka membuatkan keadaan tidak terkawal. Keadaan tikus di istana sangat berkurangan apabila saudagar dari Parsi (Iran) menghadiahkan Sultan Melaka beberapa ekor kucing. Kucing-kucing ini telah memakan tikus-tikus yang bermaharajalela kerana sifatnya memang dicipta untuk memakan tikus sejak 5 ribu tahun lalu. Kucing di istana Melaka inilah merupakan nenek moyang segala kucing yang ada di Tanah Melayu sekarang ini.

*Pengiraan Kalendar sebelum kelahiran Nabi Isa adalah disebut dengan panggilan ‘sebelum Masihi’. Perkataan ‘Masihi’ di sini adalah sempena gelaran al-Masih bagi Nabi Isa atau ringkasannya BC yang bermaksud ‘before Chirst’. Bagi tahun-tahun sebelum Masihi, kiraannya adalah terbalik berbanding zaman selepas Masihi. Selepas Masihi ditulis dengan singkatan AD yang berasal daripada perkataan Latin Anno Domini yang bermaksud tahun Masihi.

Wednesday, July 14, 2010

Klinik Panadol

Sudah masuk hari keempat Imang sakit perut, nasib aku masih mempunyai bekalan Pil Chi Kit Teck Aun (herba cina) untuk aku berikan kepadanya, nampak berkurangan penyakitnya. Jika bercerita bab sakit inilah perkara yang aku paling kecewa di sini (sebenarnya banyak benda yang baik di sini), aku membawa Imang murid tahun 6 ke Klinik Kesihatan Belaga yang sakit perut berlanjutan selama dua hari hanya diberi paracetamol oleh Klinik Kesihatan Belaga.

-

Walaupun aku bukanlah seorang doktor cuma hampir-hampir pernah menjadi bomoh, namun aku tahu kegunaan paracetamol yang hanya boleh diapplikasi untuk demam atau sakit kepala, sia-sia sahaja perjalanan air selama sejam ke Pekan Belaga. Begitu juga tahun lepas aku yang demam teruk hanya diberi paracetamol yang berlambak di rumah aku. Semenjak itu aku tidak pernah menjejakkan kaki ke Klinik Kesihatan Belaga jika aku sakit melainkan menghantar murid yang sakit!.

Saturday, July 10, 2010

Malam hingga pagi yang sangat sejuk seperti di puncak Korbu ataupun gunung yang mempunyai ketinggian 6000 kaki membuatkan aku tidak mahu bangun dari tidur melainkan memeluk bantal dan menarik selimut. Ironiknya pada pukul 7.30 pagi, matahari yang menyinar sudah terasa terik menyilaukan mata apatah lagi jika terpaksa menghadapnya selama 50 kali semasa melakukan latihan kardiovaskular 10 ribu meter. Ini yang membuatkan kadang-kadang aku lebih selesa melakukan latihan pada sebelah petang kerana keadaan sudah agak gelap pada jam 6.00 petang dan urat retina mata kiri aku yang sedikit rosak dapat menahan silau yang agak kurang.

-

Keadaan agak kelam kabut kerana berhadapan dengan catuan elektrik selama 10 jam, banyak kerja-kerja tergendala seperti pentadbiran dan hiburan. Semalam urusan melakukan kemaskini maklumat di laman web Kementerian Pelajaran Malaysia hampir gagal kerana masalah catuan elektrik dan sistem Vsat satelit yang sangat perlahan. Kadang-kadang sukar untuk aku memilih jawatan apa yang ada di sekolah kerana semua jawatan (sesuai untuk sekolah besar) dilambakkan kepada guru yang sangat sedikit. Hinggakan jawatan Guru Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) di berikan kepada aku yang memiliki Ijazah Pengajian Melayu, bayangkan apalah yang akan terjadi kepada piring Vsat satelit tersebut setahun akan datang ditangan aku!.

-

Pagi ini sedang melihat cerita telemovie terkandas keseronokannya kerana tidak dapat melihat endingnya yang masih berbaki sejam. Sekarang jika mahu menonton televisyen lebih baik melihat jadual televisyen dengan jadual catuan elektrik jika tidak ia hanya menjadi sia-sia sahaja. Kalau susah sangat kepala hendak memikirkan apa yang perlu ditonton aku membuka sahaja Astro Awani, siaran muzik ataupun siaran radio.

Enjit-Enjit Semut

Enjit-enjit semut,

Siapa sakit naik atas,

Enjit-enjit semut, ulang

Siapa sakit naik atas.

-

Pisanglah emas bawa belayar,

Masak sebiji di atas peti,

Hutanglah emas boleh dibayar,

Hutanglah budi dibawa mati.

-

Enjit-enjit semut,

Siapa sakit naik atas,

Enjit-enjit semut, ulang

Siapa sakit naik atas.

-

Batu Feringgi jalan mendaki,

Jalannya redup di tepi bukit

Janganlah hati dihinggap dengki,

Jasmani hidup rohani tak sakit

-

Enjit-enjit semut,

Siapa sakit naik atas,

Enjit-enjit semut, ulang

Siapa sakit naik atas.

-

Padang dan kota jalannya lebar,

Bilalah penat duduk di kereta,

Eloklah kita banyak bersabar,

Dengki khianat usah di cita

-

Enjit-enjit semut,

Siapa sakit naik atas,

Enjit-enjit semut, ulang

Siapa sakit naik atas.

Monday, July 05, 2010

Apabila terlampau ke hadapan!

Windows 7 itulah Operating System yang terbaru dipasarkan di Malaysia (sebenarnya sudah lama di AS) bagi menggantikan Windows Vista (hanya dipasarkan di negara membangun) yang sangat berat untuk komputer yang hanya mempunyai 2GB RAM. Sebagai orang yang bergiat cergas dalam perniagaan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) secara skala kecil bersama Azam (kadar keuntungan cukup untuk menampung tambang aku pulang ke Perak), aku tidak ketinggalan menggunakan applikasi tersebut dalam komputer riba aku. Itupun setelah 3 (tiga) hari 3 (tiga) malam aku yang memiliki Ijazah dalam Pengajian Melayu melakukan format berkali-kali walaupun masa sebenar tidak sampai 2 (dua) jam sahaja bagi orang yang mahir seperti Azam.
-
Segalanya berjalan dengan baik kerana Windows 7 dapat menyesuaikan diri dengan semua Freeware yang berada di laman web. Masalah mula timbul apabila ia tidak dapat menyesuaikan diri dengan peranti output seperti pencetak dan pengimbas, tambahan pula peranti berjenama tersebut tidak melakukan kemaskini terhadap driver tersebut di laman web mereka. Window 7 juga tidak package seperti Windows Vista kerana perisian seperti Windows Movie Maker tidak disediakan.
-
Untuk menambah kekalutan, aku telah bertungkus lumus menyediakan alat bantu mengajar dalam bentuk softcopy selama satu hari semalam, malangnya hari ini ia tidak dapat digunakan kerana elektrik dicatu mulai hari ini selama 10 jam sehari (satu perkara yang tidak patut dilakukan jika sesebuah kerajaan mahu kekal memerintah). Ini membuatkan aku terpaksa menggunakan kaedah alat bantu mengajar dalam bentuk hardcopy seperti 15 tahun yang lampau. Percaya atau tidak walaupun kita rasa kita sudah mendahului yang lain dalam sistem applikasi di komputer kita, apabila kita bangun pagi esok sudah ada applikasi baru menggantikannya, persoalannya adakah kita dapat menggunakannya?


Saturday, July 03, 2010

Beberapa urat pada retina mata kiri yang sudah rosak menyebabkan aku sentiasa diserang sakit kepala terutama bila suhu mencecah 37 darjah celcius. Keadaan yang berlarutan menyebabkan aku terpaksa bergantung kepada Panadol Active Fast walaupun sedaya upaya aku cuba tidak memakan ubat. Daerah Belaga yang seluas 19,403.19km persegi ini (sebesar negeri Johor) terletak betul-betul di tengah Borneo, mungkin di sinilah Hearts of Borneo yang sebenar-benarnya. Cuaca panas yang sangat panas hingga mencecah 37 darjah celcius mengundang kesusahan jika berlangsung 3 hari tanpa hujan kerana menyebabkan air surut secara mendadak hingga menyukarkan kegiatan ekonomi atau sosial dijalankan. Jika hujan berlaku ia akan berterusan beberapa jam hinggga mengganggu siaran Astro menyebabkan kaki bola yang kempunan empat tahun sekali mahu sahaja mencampakkan piring Astro itu ke dalam Batang Rajang. Alhamdulillah walaupun begitu cuaca pada tahun ini dikira sangat bagus berbanding pada tahun lepas kerana musim kemarau berlanjutan berbulan-bulan hingga menyebabkan perjalanan kursus ke Kapit yang cuma 5 jam menggunakan jalan air mengambil masa selama 2 hari menggunakan jalan darat!.