Sunday, October 31, 2010

Lada

Landak

Bujang Senang

Friday, October 29, 2010

Obses!

Obses! hanya itulah yang dapat dikeluarkan daripada kotak fikiran aku, hinggakan hampir tiada masalah mencari murid yang berkebolehan dalam sukan bila aku bertindak sebagai setiausaha sukan di sini. Jika sebut sahaja pasal sukan seolah-olah mereka mahu matahari awal terbit dan jangan terbenam-benam hingga mereka terlena. Untuk jadual PJK hari esok, hari ini sudahpun mereka merancang kepada guru untuk bermain permainan yang mereka gemari. Pertandingan permainan berjalan dengan baik dan dijadualkan berakhir minggu hadapan sebelum memasuki bahagian balapan pada minggu seterusnya. Ini bermakna kesemua pertandingan ini berlangsung selama lebih sebulan!. Padang olahraga masih belum dibuat kerana menantikan permainan di padang tamat dan masalah baru pula datang kerana aku harus menghadiri kursus pada minggu hadapan pada 3, 4, 5, 8 dan 9 November.

Saturday, October 23, 2010

Moses hilang lagi sudah seminggu walaupun minggu ini adalah minggu peperiksaan, rasa marah aku pada bapanya membuak-buak kerana tidak membenarkan Moses ke sekolah dengan alasan supaya senang untuk menyuruh Moses membeli capek (arak murah). Moses sudah tahun 3 tetapi masih belum mengenal bilangan nombor dan huruf, entah apa akan jadi padanya kelak. Minggu yang paling sibuk buat aku sebagai setiausaha sukan sekolah kerana acara sukan sudah pun bermula daripada semalam, persediaan membaik pulih prasarana masih terus berlangsung dengan bantuan rakan-rakan sekolah seperti meratakan padang, membuat garisan padang dan membaiki meja ping-pong.

Monday, October 18, 2010

Lebih jernih...

Aktiviti ekonomi yang agak ekstrem berjalan rancak seperti memburu kambing batu dan sesekali ada juga beruang. Aku lebih suka mengikut aktiviti ekonomi perikanan yang sungguh lumayan hari ini, hinggakan Cikgu Melvin yang dikenali sebagai teachers without boundries itupun sudah menjadikan ia sebagai kerja part time. Penutupan terowong Bakun telah menyebabkan air sungai menjadi lebih jernih, cetek dan tenang daripada dahulu serta tiada lagi balak-balak yang hanyut merosakkan enjin perahu. Semua kekotoran (lumpur dan batang balak) ini tersangkut di bawah pintu hidraulik empangan Bakun. Ini menyebabkan ikan seperti buris, baung dan mengalan bersuka ria keluar dari kepompong (sungai-sungai kecil) mereka.

Saturday, October 16, 2010

Kenek-keneklah udang

Kenek-keneklah udang

Lembu patahlah tanduk, ah…

Che Mek kenalah godam

Cik Awang kenalah tumbuk

Kenek-keneklah udang

Lembu patahlah tanduk, ah…

Che Mek kenalah godam

Cik Awang kenalah tumbuk

Kenek-keneklah udang

Lembu patahlah tanduk, ah…

Che Mek kenalah godam

Cik Awang kenalah tumbuk

DAYA TAHAN OTOT

Daya tahan otot adalah kompenan kecergasan fizikal berlandaskan kesihatan selain daripada kekuatan otot, kelembutan dan kelenturan, komposisi lemak badan dan daya tahan kardiovaskular. Daya tahan otot merupakan keupayaan otot atau kumpulan otot dalam melakukan penguncupan untuk mengatasi sesuatu rintangan dalam masa yang lama. Daya tahan otot dibahagikan kepada dinamik dan statik. Ianya adalah berkaitan dengan kebolehan otot untuk mengulangi pergerakan submaximal rintangan atau tekanan untuk mengekalkan darjah ketegangan mengatasi masa.

Johnson dan Nelson (1986), menyatakan bahawa daya tahan otot ialah keupayaan otot mengulang pergerakan merentang halangan dan tekanan sambil mengekalkan ke satu tahap ketegangan melepasi satu jangka masa. Menurut Corbin dan Lindsey (1985), daya otot ialah keupayaan otot atau sekumpulan otot melakukan penguncupan untuk mengatasi sesuatu rintangan secara berterusan dalam jangka masa yang panjang.

Menurut Corbin dan Linsey (1985), daya tahan otot terbahagi kepada dua jenis iaitu;

i. Daya tahan otot statik

Kebolehan otot menampung beban kerja pada kedudukan yang tepat pada satu jangka masa. Contohnya gaya siku bengkok.

ii. Daya tahan otot dinamik

Kebolehan otot menguncup dan relaks secara berulang-ulang. Daya tahan otot diukur berdasarkan ulangan yang mampu dilakukan pada satu jangka masa. Contohnya tekan tubi.

Corbin dan Lindsey (1988), berpendapat bahawa penguncupan otot terbahagi kepada tiga jenis iaitu :

i. Pengucupan isotonik

Kedudukan otot berada dalam keadaan memendek atau memanjang dengan regangan yang tidak sama semasa mengangkat beban yang konsisten. Penguncupan otot jenis ini dikenali juga sebagai dinamik atau ‘phasic’. Penguncupan isotonik pula boleh dikategorikan kepada dua iaitu :

a. Pengucupan kosenterik

Keadaan otot memendek semasa menguncup. Contohnya mengangkat dumbell.

b. Pengucupan esentrik

Keadaan otot memanjang semasa penguncupan. Contohnya semasa menuruni tangga.

ii. Pengucupan Isometrik

Otot dalam keadaan statik di mana regangan bertambah tetapi panjang otot tidak berubah. Contohnya menolak dinding.

iii. Pengucupan Isokinetik

Pergerakan yang melibatkan regangan otot yang maksimum dengan kelajuan yang konstan pada otot yang tertentu. Contohnya ialah latihan menggunakan alat seperti mengayuh (rowing) yang mempunyai kelajuan dan rintangan.


Sumber

Johnson, B. L., & Nelson, J. K. (1986), Practical Measurement for Evaluation in Physical Education, (4th ed.). Minneapolis, Minnesota: Burgess Publishers Co.

Corbin, C. B., & Lindsey, R. (1985). Concepts of Physical Fitness with Laboratories. (6th ed). Dubuque, Iowa: Wm. C. Brown Publishers.

Friday, October 15, 2010

Ia sudah tidak segagah dulu...

Jika dahulu sebut sahaja Batang Rajang, ia satu nama yang maha hebat hinggakan aku yang mahir berenang (bukan berenang kampung) pun takut dengan deras airnya. Aku sendiri pernah terjatuh ke dalam air ini semasa hendak menaiki perahu, walaupun aku terselamat dari dibaham oleh Batang Rajang ia telah merosakkan telefon bimbit dan jam tangan aku. Kesannya masih hingga sekarang hingga acapkali cuba mengelak menyeberangi sungai menggunakan batang balak. Sekarang ia tidak segagah dulu, airnya sudah kelihatan tenang seperti tasik dan semakin cetek. Ia (dari Bakun ke Kapit) sudah tidak mampu untuk membenarkan tongkang besar dan bot ekspress melaluinya melainkan perahu kecil itupun terpaksa berhenti beberapa kali untuk menolak perahu. Rasanya jika mahu berenang merentasi Batang Rajang 50 kali pun bukanlah perkara yang mustahil!.

Wednesday, October 13, 2010

Sepupu Fredie yang sedang menangkap ikan mati lemas di lubang Bakun (Batang Rajang) semalam, hingga ke hari ini mayatnya masih belum dijumpai. Selalunya mayat orang mati lemas hanya akan dijumpai setelah 3 hari ia berlaku dimana ia akan timbul dengan sendirinya. Pihak Bakun telah menangguhkan penutupan terowong air tiga hari yang lepas akibat hujan yang sangat lebat. Namun ia telah dimulakan pada pukul 7 pagi tadi dan tiada apa-apa masalah setakat hari ini.

Thursday, October 07, 2010

Friday, October 01, 2010

DAYA TAHAN KARDIOVASKULAR

Mengikut Safrit (1981), kecergasan daya tahan kardiorespiratori adalah sistem peredaran respitoratori semasa menjalankan aktiviti fizikal atau bersukan di mana ia memerlukan usaha yang tinggi. Corbin & Lindsey ( 1994 ) mendefinisikan daya tahan kardiovaskular sebagai keupayaan saluran darah dan sistem respiratori menyalurkan oksigen ke otot dan keupayaan otot menggunakan tenaga ini untuk aktiviti senaman.

Corbin dan Lindsey ( 1994 ) juga menjelaskan kuasa aerobik maksimun adalah kiraan isipadu maksimun seminit oksigen atau VO2 max. Kadar pengambilan oksigen maksimun ini boleh diukur di dalam makmal melalui larian di atas Treadmill atau Berbasikal Ergometer.

Daripada kenyataan di atas dapatlah dirumuskan bahawa adanya perhubungan antara kadar nadi dan penggunaan oksigen semasa senaman dijalankan. Pada amnya kadar nadi seseorang berubah secara linear dengan penambahan penggunaan oksigen. Keadaan ini adalah sama bagi setiap individu tetapi terdapat perbezaan antara individu terlatih dengan tidak terlatih. Bagi individu yang terlatih, selalunya kadar nadi adalah kurang semasa senaman berbandingan dengan individu yang tidak terlatih.

Menurut McArdle (1991) daya tahan boleh didefinisikan sebagai kemampuan otot-otot atau jantung melaksanakan kerja berulang - ulang kali untuk mengatasi rintangan atau beban yang tinggi pada jangka masa yang panjang dan dapat mengatasi kelesuan.

Daya tahan kardiovaskular merupakan keupayaan jantung dan sistem peredaran darah berfungsi secara berterusan semasa seseorang itu melakukan kerja untuk tempoh masa yang lama. Kecergasan kardiovaskular bergantung kepada kombinasi efisien tiga komponen:-

1. paru-paru .

2. jantung .

3. saluran darah.

Aktiviti yang berat memerlukan keupayaan jantung dan paru-paru yang efisien kerana situasi ini memerlukan tenaga yang banyak dan hanya pengaliran darah yang kaya dengan oksigen yang membolehkan otot dapat menjalankan aktiviti tersebut.

Peringkat daya tahan kardiovaskular boleh menurunkan kadar nadi rehat dan menjadikan jantung lebih sihat. Hasil daripada keadan ini, peredaran darah menjadi lebih efisien serta peningkatan kebolehan peparu ke kapasiti penggunaan yang optima dapat diteruskan dan oksigen boleh dibekalkan kepada otot bagi mengelakkan keletihan dan kelesuan. Daya tahan kardiovaskular juga dikenali sebagai daya tahan aerobik, atau kuasa aerobik kerana komponen kecergasan jasmani melibatkan sistem tenaga aerobik. Kecergasan kardiovaskular dapat mengawal penyakit jantung dan kegemukan.

SUKAN YANG MENGGUNAKAN DAYA TAHAN KARDIOVASKULAR.

i. Marathon

ii. Renang

iii. Trialthon

iv. Lumba jelajah basikal

v. Lumba Basikal bukit

vi. Acara olahraga jarak jauh

- 3000 meter

- 3000 meter lari berhalangan

- 5000 meter

- 10 000 meter

- jalan kaki 10 km dan 20 km.

Sumber

Corbin,C.B.,& Lindsey,R. (1994). Concept Of Physical Fitness With Laboratories (8th ed.).Dubuque : Wm.C.Brown Publishers.

McArdle, W.D., Katch, F.I., & Katch, V.L. (1996). Exercise Physiology : Energy, Nutrition and Human Performance (4th. ed.). Baltimore : Williams & Wilkins.

Safrit, M.J. (1981). Evalution In Physical Education (2nd ed.) New Jersey : Prentice Hall, Inc.

10 hari lagi!

Notis sebesar kertas A4 telah disebarkan sekitar pekan Belaga, ia mengenai penakungan air ke dalam empangan Bakun yang akan membentuk tasik seluas Singapura. Penakungan air akan bermula pada 10 Oktober 2010 dan dijangka berlangsung selama setahun. Penduduk diminta untuk bersiap sedia dengan musim kemarau kerana kemungkinan besar bot ekspress dari Kapit ke Hulu Bakun tidak dapat beroperasi seperti biasa terutama di musim kemarau. Berdasarkan notis tersebut adalah diramalkan perhubungan (jalan air) ke Sibu akan putus, seharusnya ada usaha untuk membaiki jambatan-jambatan (tidak dapat dibilang dengan jari banyaknya) jalan darat (balak) ke Bintulu sebagai pilihan. Jika langkah ini tidak diambil petrol akan melambung tinggi dan meningkatkan harga barang keperluan di sini.

Letakkanlah seorang profesor!

Semalam guru-guru Tahun 1 daerah Belaga berkampung di pejabat untuk berkongsi maklumat keupayaan murid-murid dan kaedah pengajaran bersama pegawai-pegawai dari Putrajaya. Berada dalam kedudukan kadar celik huruf yang paling rendah di Malaysia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan walaupun semua 11 buah sekolah berstatus pedalaman (bukan alasan). Walaupun banyak ilmu yang didapati tentang kaedah pengajaran yang berkesan dikongsi ia bukanlah penyelesai masalah total di sini. Sebenarnya ia tiada langsung ada kena-mengena dengan kaedah pengajaran oleh guru-guru yang tidak berkesan atau kelas yang tidak menarik. Jika diletak seorang profesorpun ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah kerana adalah budaya di sini murid tidak datang seminggu, sebulan, 9 bulan mahupun setahun kerana melakukan pelbagai kerja seperti bekerja di ladang, memburu atau menangkap ikan. Bagaimana seorang profesor hendak mengajar murid (pelanggan) tersebut satu huruf atau angka jika murid tersebut tidak datang sekolah?