Monday, January 31, 2011

Masuk hari ketiga melakukan latihan kardiovaskular sejauh 1000 meter, namun ia bukan seperti biasa seperti 6 bulan yang lepas iaitu di padang sekolah atau di Tanjung Batu (Pantai Temasya). Ini kerana tempat latihannya sangat berbeza dan agak ekstrem iaitu di kolam renang awam Bintulu bersaiz 50 meter. Tiada langsung masalah lutut kiri yang menghantui aku selama 6 bulan sewaktu berenang, dan aku masih mampu mengekalkan momentum 1000 meter walaupun sudah 2 tahun meninggalkan latihan ini sejak 2008.

Suasana bank-bank di Bintulu hari ini sentiasa penuh dengan pelanggan kerana "hari terimak" dan Tahun Baru Cina. Keadaan menjadi lebih kelam kabut kerana duit di dalam ATM mesin sentiasa habis sejak hari Sabtu dan jumlah pelanggan bank yang beratur sangat panjang di setiap mesin. Ekonomi di Bintulu akan "lumpuh" seketika sewaktu Tahun Baru Cina kerana hampir semua kedai ditutup hinggakan hendak membeli top up akan menjadi masalah pada hari Khamis dan Jumaat ini. Di Belaga dua tahun lepas sewaktu bot ekspress (Sibu-Bakun) masih menjalankan perkhidmatannya, ia akan berhenti rehat selama dua hari. Minyak pula akan menjadi masalah yang besar kerana taukeh-taukeh minyak sedang beraya!.


Sunday, January 30, 2011

Saturday, January 29, 2011

Labi-labi

Kayu Belian, Sarawak

Gunung Bunga Buah (4690 kaki)

Wednesday, January 19, 2011

Masalah Teknikal

Aku mungkin mempunyai pelari sekolah yang terpantas yang dapat mewakili sekolah ke sukan MSSRD Belaga, namun sebenarnya cabarannya lebih daripada itu. Walaupun Dylon agak pantas berlari namun dia tidak berapa memahami beberapa perkara yang bersifat teknikal seperti passing baton. Begitu juga dengan pasukan bola jaring yang masih ditahap yang sangat membimbangkan kerana masih melakukan beberapa kesalahan teknikal seperti walking dan tidak berhenti pegun semasa menyambut bola. Kesihatan lutut kiri aku tiba-tiba menjadi teruk hingga terasa mahu patah kerana terlebih berjalan sewaktu melakukan tunjuk ajar latihan olahraga.

Saturday, January 15, 2011

Janji PM kepada Rakyat Belaga

Sudah seminggu helikopter berlegar-legar di atas sekolah semuanya kerana risikan untuk memastikan kedatangan Perdana Menteri berjalan lancar. Hari ini hujan turun dengan lebatnya menyambut kedatangan Perdana Menteri ke Belaga untuk perasmian Klinik 1 Malaysia. Klinik ini sepatutnya adalah sebuah hospital namun diturun taraf kerana sebab-sebab yang tidak diketahui. Mungkin ada logiknya sebuah klinik yang kebiasaanya menyediakan panadol kepada pesakit (aku sendiri) yang demam kritikal (untuk ke klinik ini aku harus menaiki perahu selama sejam dengan menggunakan 5 gelen minyak) mempunyai 20 buah katil.
YB Liwan jelas mempunyai hala tuju terhadap plan pembangunan Belaga secara makro, ia di hadapan penduduk Belaga tanpa ucapan meleret-leret seperti yang biasa dilakukan oleh pemimpin di sini meminta jalan raya, rumah ibadat (masjid, gereja {SIB&RK}, tokong), klinik di kawasan lain, kemudahan eletrik, kemudahan air, Belaga Waterfront, jambatan dan stadium, daripada Perdana Menteri.

Perdana Menteri telah berjanji akan memberikan kemudahan jalan raya bernilai RM65 juta dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (kaedah yang sama digunakan di Bakalalan). Dengan cara ini kos dapat dikurangkan daripada kos sebenar iaitu RM400 juta oleh Jabatan Kerja Raya, apabila jalan raya ini siap secara automatik barangan keperluan akan turun. Terdapat juga perkara-perkara lain yang dijanjikan iaitu mesin pengimbas di klinik Belaga, memastikan terdapat doktor yang menetap di klinik Belaga (kebiasaannya doktor diterbangkan dari Kapit) dan jambatan pasang siap di Sg Linau, Losung Laku.

{1 gelen=3.78 liter}

Thursday, January 13, 2011

Minggu kedua bertindak sebagai warden tiada masalah besar yang berlaku cuma sesekali menghadapi masalah murid yang tidak biasa dengan waktu makan malam (di sekolah pukul 5.30 petang) yang berlainan dengan waktu makan di rumah mereka. Latihan secara intensif dilakukan mulai hari selasa bagi menghadapi sukan MSSRD yang dijangkakan selepas Tahun Baru Cina. Aku masih mengekalkan jawatan sebagai penyelaras Pusat Sumber, ICT, Sukan dan Panitia Kajian Tempatan serta mendapat jawatan baru sebagai Warden. Cuma jawatan sebagai penyeleras 3 K dilepaskan kepada guru lain oleh Guru Besar akibat bebanan tugas.

Tuesday, January 04, 2011


Hari-hari pertama di Segaham agak muram kerana hanya separuh sahaja murid yang menghadirkan diri, mungkin kerana ketiadaan perkhidmatan bot ekspres akibat air yang sangat cetek walaupun hujan turun dengan lebatnya. Ini menyebabkan ibu bapa sukar untuk menguruskan anak mereka terutama yang tidak mempunyai perahu. Empangan Bakun yang akan membentuk tasik seluas Singapura itu naik cepat daripada yang diramal hingga menyebabkan penduduk di kawasan hulu (atas empangan) seperti Rumah Naha Jaley tidak dapat menyelamatkan rumah mereka. Untuk penyelesaian sementara mereka tinggal di jelatong (rumah rakit) hingga air berhenti di kawasan biomas (kawasan tebing air yang dijangka).


Gambar ihsan: Melvin Maichael

Sunday, January 02, 2011

Azam 2011

empangan bakun: sumber internet

Hari kedua tahun baru 2011, perjalanan ke Segaham masih macam dulu tidak berubah, aku masih tersangkut di pekan Belaga kerana ketiadaan perahu. Aku masih tidak menyukai perjalanan darat dan air yang sangat panjang dan memakan masa berjam-jam walaupun secara ironiknya aku boleh berlari selama 5 jam tanpa jemu dan telah berada di sini selama dua tahun. Namun bila sampai di sekolah aku tiada masalah dengan semua itu kerana kuarters terletak di dalam sekolah dan dapat menumpukan perhatian kepada P&P. Azam aku pada tahun ini adalah untuk menjadikan pusat sumber sekolah satu kenyataan tanpa bantuan dari luar seperti dua tahun yang lepas kerana aku tahu bantuan itu adalah hampir-hampir mustahil untuk diperolehi.