Saturday, June 30, 2012

Kita Serumpun Tapi Tak Sama


Selama berhari-hari di Indonesia, keangkuhan Malaysia (seperti yang digambarkan oleh media elektronik Indonesia) mendaftarkan Tarian Tor-Tor dan Gendang Sembilan menjadi warisan negara menjadi tajuk utama berita. Tunjuk perasaan membaling telur di kedutaan Malaysia dan sepanduk mengajak berperang kembali lagi seperti sebelum ini apabila Malaysia mendaftarkan batik sebagai warisan Negara. Dimana silapnya? Mungkin tanggal 17 Mac 1824 semasa perjanjian Inggeris-Belanda menjadi penyebabnya  kerana memisahkan Malaysia-Indonesia.

Bahasa, keris, batik, baju kurung, angklung dan makanan antara perkara yang dikongsi oleh bangsa serumpun ini. Tetapi persoalannya sejauh manakah ia dekat dihati masing-masing atau pengamalannya? Jika diamati betul-betul orang di Malaysia lebih menghayati perkara-perkara tersebut. Jika mengambil daripada persoalan bahasa Bahasa Melayu agak terbatas kata pinjaman bahasa asing kecuali ia sangat diperlukan tetapi tidak untuk Bahasa Indonesia.

Sama juga untuk industri kreatif penghibur di Malaysia mengamalkan penggunaan Bahasa Melayu walaupun berlaku penyimpangan tatabahasa (istilah lain ialah kebebasan penyair). Ini kerana penyimpangan tatabahasa dibenarkan ketika berkarya namun kenapa penghibur Indonesia menggunakan Bahasa Melayu Riau ketika menyanyi? Kenapa tidak menggunakan Bahasa Indonesia? [Riau asalnya adalah dalam Kesultanan Johor sebelum tanggal 17 Mac 1824.]

Tidak dinafikan keris memang asalnya berasal dari Majapahit dimana hulu kerisnya berbentuk patung-patung hindu, namun setelah asimilasi hulunya telah berubah menjadi kepala burung seperti sekarang.  Menurut Winstedt keris dengan orang Melayu hampir tidak dapat dipisahkan, jika tidak memakainya seperti bertelanjang rasanya. Itulah keluhan orang Melayu pada zaman British apabila pemakaiannya diharamkan oleh penjajah British. Semasa pertarungan Tamingsari-Hang Tuah kedua-dua pahlawan tersebut menggunakan keris semasa berlawan, ini menunjukkan keris sudah merupakan warisan orang Melayu pada masa itu. Ini diperkukuhkan dengan pemberian keris Tamingsari kepada Hang Tuah sebagai tanda cenderamata daripada Raja Majapahit.

Daripada soal pakaian (batik dan baju kurung) kerajaan Malaysia sudah menerapkan pakaian tradisi sejak di bangku sekolah lagi hingga ke alam pekerjaan.  Indonesia? Buktinya ada pada sinetron mereka. Ini juga terjadi pada alat muzik angklung, alat muzik ini dijadikan salah satu alat dalam pembelajaran dan Pengajaran muzik di sekolah Malaysia berbanding di Indonesia.

Terdapat juga usaha oleh usahawan  Indonesia untuk mematenkan perkataan kopitiam kononnya ia hanya untuk orang Indonesia dan tidak layak usahawan Malaysia menggunakan perkataan tersebut sebagai tanda perniagaan. Jika diikutkan tuntutan mereka ini tiada lagi nama warung Nasi Lemak Kak Kiah atau Nasi Ayam Pak Tam wujud dimuka bumi Malaysia!.

Tuesday, June 19, 2012

Mengosongkan Bangunan


Petang ini kami dikejutkan dengan siren yang tidak berhenti-henti daripada sistem amaran banjir yang tiba-tiba berbunyi. Rasa bangga menyelinap di sanubari kerana semua murid dengan spontan berkumpul di kawasan yang ditetapkan apabila mendengar apa-apa bunyi yang panjang tanpa berhenti-henti walaupun  bunyi siren itu sangat asing bagi kami. Itulah hasil doktrinisasi aku kepada 76 orang murid sejak januari lepas, ini bermakna secara teorinya jika berlaku kebakaran atau banjir aku akan berjaya mengosongkan bangunan sekolah dalam masa 1 minit.


Sebenarnya bunyi itu dilakukan secara manual oleh Sarawak Hydro bagi memastikan ia berfungsi dengan baik. Kekuatan bunyi siren sejauh 1km itu telah mengundang kerisauan ibu bapa dan ada yang telah datang ke sekolah mahu mengambil anak mereka kerana menyangka empangan Bakun telah pecah. Pelbagai soalan yang dilontarkan oleh murid kepada aku apa akan berlaku jika empangan itu pecah yang kadang-kadang memeningkan kepala untuk menjawabnya. Adalah lebih baik jika semua murid dapat dibawa melawat ke Empangan Bakun supaya mendapat gambaran yang sebenar daripada mendengar cakap-cakap orang. Apapun jika siren sebenar berbunyi adakah aku dapat melaksanakan tugas dengan baik? Yang pasti ia suatu tugas yang sangat sukar.