Tuesday, February 17, 2015

Gunung Berembun


Berketinggian hampir 7 ribu kaki iaitu 6817 kaki (2077 M) ia merupakan destinasi wajib bagi pendaki gunung jika ke tanah rata. Walaupun tidak secantik Gunung Irau namun kepelbagaian tumbuhannya amat menakjubkan kerana amat mudah untuk menemui pelbagai jenis lumut, bunga hutan, tanduk rusa, pokok langsuir dan jika bernasib baik orkid hutan. Gunung ini tahap kesukarannya lebih sedikit dari Gunung Angsi namun yang paling sukar bagi saya ialah apabila terpaksa memikirkan simpang yang terlampau banyak. Ini bermakna untuk kumpulan besar ia memerlukan ratio pemandu arah 1:10 untuk mengurangkan risiko sesat. Ia mempunyai 5 pintu masuk atau keluar iaitu 1. Parit Falls 2. Jabatan Hutan 3. Brinchang (Tokong Cina) 4. Robinson Falls dan 5. MARDI.









Perjalanan mendaki dari Parit Falls, Jabatan Hutan dan Brinchang ke puncak mengambil masa 2 jam setengah hingga 3 jam di mana ketiga-tiga jalan ini akan bertemu di sebuah pondok rehat sebelum sampai ke puncak. Perjalanan dari ketiga-tiga tempat ini ke pondok rehat mengambil masa kurang 2 jam dan bukitnya tidaklah tinggi namun perjalanan dari pondok rehat ke puncak agak menegak umpama dari Kem Pacat ke Puncak Nuang namun perjalanannya cuma mengambil masa 40 minit sahaja.
















Terdapat beirut yang sudah tidak bermaya di puncak, jika bernasib baik kita boleh melihat Tanah Rata dan Brinchang dari sini. Puncak ini dapat menempatkan 10 buah khemah dan sangat bersih dari pembuangan sampah sama seperti sepanjang perjalanan. Perjalanan turun melalui MARDI cuma  mengambil masa 1 jam 15 minit dan keadaannya agak curam, ramai juga orang yang menggunakan laluan ini untuk mendaki dan turun di laluan yang lain. Perjalanan melalui Robinson Falls ke puncak mungkin mengambil masa 2 jam setengah melalui pengamatan mata kasar yang mana trek ini paling jarang di daki.



















Sunday, February 08, 2015

Gunung Jasar

Gunung ini berketinggian 5564 kaki (1696 M) namun ia merupakan antara gunung yang paling selamat dan mudah untuk didaki di Malaysia. Mungkin tidak salah jika saya menyamakan tahap kesukaranya sama dengan Bukit Gasing.
 


Mempunyai 3 pintu masuk iaitu dari Oly Apartment, Carnation Park dan dari Kg Sg Ruil. Jika masuk melalui Oly Apartment anda akan lihat kawasan nursery  persendirian manakala dari Carnation Park haruslah mencari sebuah tokong kecil dibawah bukit berhampiran tempat letak kereta. Dari Oly Apartment ke puncak mengambil masa 45 minit, manakala dari Carnation Park pula cuma mengambil masa 30 minit. 

Perjalanan sangat santai kerana cuma melalui permatang dan rabung bukit sebelum sampai ke pencawang. Di sini kita dapat melihat kawasan pembangunan di Tanah Rata dan Ladang Teh dengan jelas.Kemudian berjalan mendaki sedikit saya kira cuma 5 minit kita akan sampai ke puncak yang dapat menempatkan kira-kira 4 khemah dengan selesa. 















Tiada beirut kelihatan mungkin telah dimamah usia namun terdapat batu sempadan negeri Perak dan Pahang di sini. Setelah mendaki gunung ini barulah aku tahu selama ini rumah aku berada betul-betul pada laluan angin yang menyusur Lembah Jasar hingga menyebabkan minyak masak (di rumah) sentiasa beku sepanjang tahun!.