Sunday, April 06, 2008

Gunung Angsi - 2702 kaki

Sudah tiga kali aku ke Angsi cuma kali ini aku dapat memahami renatsan muka buminya lantas mendokumentasinya. Aku rasa lebih daripada 50 orang yang aku ajak kali ini tetapi seperti biasa jika bercerita tentang gunung dapat 5 orang pun sudah dikira berjaya seperti kata mentorku Zafrul. Bagi Zainab lebih baik tidur di atas katil daripada menyusahkan diri dengan aktiviti tahap gaban. Ditambah pula dengan manusia yang asyik berjiwa kacau seperti Nizam suka membatalkan perancangan di saat-saat akhir, begitulah susahnya melayan orang sedang angau bercinta dan begitulah aku di suatu masa dulu malahan lebih teruk lagi.
Angsi boleh didaki dari dua arah samada dari tempat letak kereta 3km sebelum Ulu Bendul dari arah Seremban ataupun dari renjer Hutan Lipur Ulu Bendul. Seperti biasa tanpa melaporkan diri aku, Tom, Imad, Hilmi dan Nasri memulakan perjalanan tepat jam 9.05 pagi. Jalan sudah banyak berubah daripada dua bulan lepas kerana pokok tumbang dan tebing runtuh membuatkan beberapa trek baru dicipta. Tepat jam 10.05 pagi kami menamatkan “river trekking” menandakan kami perlu melintas sungai Batang Terachi untuk ke kaki gunung, di sini kami bertemu dengan pelatih IKM seramai lebih kurang 100 orang yang menuju tempat yang sama.

Di sini aku terpaksa membuka kasut untuk memastikan Hi-tec yang bernilai RM179 tidak rosak, lainlah kasut murah “bundle” kepunyaan Tom rosak banyak-banyak kali pun tidak mengapa. Selepas 15minit aku sampai ke jalan balak dan mengambil simpang ke kiri untuk sampai ke anak sungai dimana inilah punca air yang terakhir. Perjalanan mendaki agak teruk kerana trek yang licin walaupun hujan belum bermula dan aku sampai ke bukit botak pada jam 11.16 pagi. Keadaannya sangat terhakis dan merbahaya namun tali yang disediakan oleh pendaki sebelumnya sangat kukuh rasanya masih boleh bertahan sehingga aku berkahwin. Tepat jam 11.46 pagi aku sampai ke puncak dimana beirutnya sudah uzur ditiup ribut namun kawasannya rata dan boleh memuatkan 10 biji khemah.




Kelihatan kesemua pelatih IKM nampak lesu kerana kekurangan air di dalam badan ini semua gara-gara idea bangang oleh ketua mereka kerana mengatakan wujudnyya air terjun dan mata air dipuncak maka mereka cuma perlu membawa 500ml air. Ini adalah kenyataan yang paling bangang yang pernah aku dengar kerana setahu aku cuma Tahan sahaja yang mempunyai air di puncak, mujur Nasri membawa bekalan air glukos dan “cloud 9” untuk diberikan kepada seorang pelatih yang tidak bermaya jika tidak terpaksa diusahakan juga untuk membawanya turun sebelum malam.






2 comments:

Kak Aishah said...

Wafi, mcm kurang sesuatu pada artikel kali ni. Sebab tak ada "sayur lemak kobis kut"....
ha..ha..ha..

Maswafi Abd Samat said...

Memang tak de. sebab Zafrul tak de!!!