Thursday, June 12, 2008

100 hari di Perak

Pagi ini di kedai Mak Teh, kedai Brothers mahupun di pasar daripada 10 orang akan ada seorang yang memakai baju batik. Ini bukanlah kerana mereka bekerja kerajaan seperti aku tetapi sekadar meraikan apa yang termaktub dalam manifesto kerajaan Perak yang baru bahawa pilihan raya untuk memilih wakil ketua setiap kampung berlaku di mukim Sungkai. Ustaz Rosli lulusan Pondok Pattani yang cukup tinggi ilmu agama mahupun duniawi akan bertanding dengan Kak Ina yang sangat cemerlang dalam urusan pentadbiran di kampung ini. Bagi aku kedua-duanya mempunyai sama markah untuk dinilai, cuma aku sangat kecewa kerana kerajaan baru yang dipilih oleh rakyat masih dibayangi oleh parti Keris dalam memerintah mungkin kerana manifesto parti mata satu sangat sinonim dengan parti keris.
-
Kesemua yang bertanding adalah dari golongan parti bulan dan mata satu di mana konon-kononnya demokrasi dilaksanakan secara adil di sini, namun sebagai rakyat yang bertanggungjawab aku terpaksa juga memilih salah seorang daripada mereka walaupun aku mendokong parti keris. Begitulah manusia bila berkuasa akan menggunakan kuasanya untuk menentukan definisi “keadilan” mengikut kehendak mereka atau apa sahaja perkataan yang ada di dalam kamus. Di NTV7 telah ditunjukkan dengan megah bahawa parti roket akan berjuang habis-habisan melaksanakan manifesto mereka meminta kerajaan negeri memberikan geran kepada tanah pertanian, aku tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku kerana baru tanah TOL sekarang pun kita hendak lalu di sisi pun dikejar anjing inikan pula tanah geran, silap-silap disondol oleh babi.
-
Aku rasa sekarang semua orang tahu bahawa kemungkinan semua kampung-kampung baru (yang dibina zaman darurat) akan diberikan tanah geran cuma kami semua buat-buat tidak nampak kerana malas sudah unttuk berfikir soal negara yang agak kucar-kacir. Aku rasa lambat pula menanti bulan September ini menunggu mantan TPM mengambil alih Malaysia kerana konon-kononnya ia dapat menurunkan harga minyak kalau boleh biarlah ia berlaku hari ini. Mungkin mengambil kata tokoh akademik Indonesia bahawa penyingkiran TPM sewaktu usahanya meminjam dengan IMF adalah tepat jika tidak ekonomi Malaysia tidak akan pulih seperti Indonesia hingga dikatakan kiamat, hidup kembali, kiamat hidup kembali ekonomi Indonesia tidak akan pulih.

1 comment:

Ahmad WM Omar said...

Lama tak berkunjung ke sini. Terharu pula dengan kesetiaan penyokong parti keris...