Sunday, November 30, 2008

Shah Alam Green Adventure

Hari ini adalah hari yang paling teruk dalam hidup aku sepanjang tahun 2008, dari hujung kepala hingga ke hujung kaki masih terasa bisanya. Hendak mengetuk papan kekunci komputer riba aku dirasa amat sukar kerana luka pada jari aku dan pembengkakan yang berlaku dan hendak berjalan ke Restoren Salmah Beevi dirasakan amat sukar sekali kerana luka pada tapak kaki kanan. Semuanya mungkin tidak akan berlaku jika Ayob tidak menghubungi aku untuk melibatkan diri dengan sukan ekstrem Shah Alam Green Adventure di Taman Tasik Shah Alam anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam dengan kerjasama Hikers Climber Adventure Team semalam. Tawaran hadiah yang lumayan setinggi RM3000, yuran ditanggung oleh UEM Builders dan pelbagai acara disediakan adalah faktor-faktor yang membuatkan tidak boleh tidur seminggu memikirkannya.

Masalah tidak dapat mengadakan latihan akibat kecederaan lama dan cuaca yang tidak baik membuatkan persiapan tidaklah sebagus seperti yang direncanakan. Pihak penganjur tidak memberikan maklumat awal mengenai acara tersebut untuk bersikap adil kepada semua peserta. Untuk memastikan ia berlaku penyediaan lokasi acara dilakukan pada malam sebelum pagi sabtu dan taklimat pada krew mereka diadakan pada saat-saat akhir untuk mengelakkan kebocoran maklumat kepada peserta. Dari segi mental ini akan membuatkan ramai peserta yang tidak bersedia begitu juga dengan persediaan peralatan yang sesuai digunakan.

Pertandingan dibahagikan kepada tiga seksyen iaitu seksyen A, B dan C dan ia diadakan secara tidak serentak mengikut undian. Aku dan Ayob yang menggunakan nama pasukan UEMB Drift walaupun secara peribadi aku selesa menggunakan nama “Chop Ayam” untuk pertandingan ini. Kami memulakan pertandingan dengan Seksyen B iaitu aktiviti air. Aku memulakan larian pada tahap perlahan berbanding dengan peserta lain hingga tiba di check point (CP) 1 kami dikehendaki menangkap itik dan ia berjaya dilakukan oleh Ayob, pada CP 2 kami dikehendaki berenang sejauh 200 meter di dalam tasik yang kotor dan berbau. Ayob sentiasa berada di depan aku kerana aku tidak selesa memakai jaket keselamatan kerana menggangu momentom aku.

Di CP 3 kami dikehendaki membuat rakit berasaskan dua tayar, sebatang buluh dan seutas tali rapia. Ia juga sejauh 200 meter tetapi keadaan amat memenatkan kerana cuma diberi satu pendayung membuatkan Ayob berenang di belakang rakit bertindak sebagai “motorboat”. Perjalanan ke CP 4 dirasakan amat rumit walaupun ia cuma berada dihadapan kami, kami sudah mula hilang punca dan fokus begitu juga kepada peserta lain. Kami sudah tersasar jauh dari CP 4 kerana tiada panduan daripada krew yang sepatutnya berada di situ, apabila menjumpai Poonton Brigde” aku telah kerugian 20 minit hingga tidak dapat melaksanakan aktiviti kayak pada CP 5 dan tanpa membuang masa aku berlari ke Fiza yang menawan selaku urusetia untuk catatan masa.

Keadaan amat memenatkan aku berharap di seksyen A dapat membantu kerana ia lebih kepada acara darat. Kali ini aku dan Ayob merancang strategi untuk lebih berhati-hati dan mengikut segala panduan yang ada tanpa perlu mengikut kumpulan yang lain. Seperti yang dijangka tiada masalah untuk “road running” sejauh 3 km di CP 1, golek tayar di CP 2, kereta sorong di CP 3, berbasikal di atas kayu di CP 4, mengergaji kayu di CP 5, mengira pokok di CP 6 dan kukur kelapa di CP 7. Kami telah berjaya mendapat kayu sebesar peha setelah diundi oleh Ayob tetapi mengejutkan penganjur dapat memotong kepada tiga bahagian dengan masa yang sedikit. Kesilapan peserta lain ialah menggunakan dua gergaji berbanding kami yang hanya menggunakan satu gergaji untuk tugas tersebut, di sini teknik yang betul amat membantu. Aku tidak berpuashati dengan penganjur untuk acara kukur kelapa kami perlu memakan isi kelapa yang telah diparut sebagai tugas. Apakah yang akan terjadi jika nafas kami tersekat dengan isi kelapa kerana kami baru melaksanakan aktiviti kardiovaskular?

Jam sudah menunjukkan 12.30 tengahari apabila acara mahu dimulakan jumlah peserta sudah mula berkurangan, kami harus melaksanakan seksyen C dimana kami bertekad untuk memenuhi semua check point untuk mengelakkan ditolak masa oleh penganjur. Di CP 1 (oreintering) kami harus mencari 10 tempat antaranya ialah Laman Budaya, Aquarium, Wet World, Taman Anggerik, New Boat House, sampan di tasik, air terjun, restoren terapung, dan pondok Pulau Undan. Masalah besar mula bermula di CP 2 iaitu “traversing” menggunakan kabel besi menyeberangi tasik. Ayob sudah keletihan dan luka pada pada tangannya akibat memegang kabel membuatkannya tidak dapat bergerak dan tergantung hingga memaksa aku ke tengah tasik untuk melepaskan karabiner Ayob pada kabel untuk menjatuhkannya. Kami kerugian masa yang sebanyak 15 minit di sini dan kelihatan semua peserta lain sudah mendahului kami.

Di CP 3 kami dikehendaki melakukan “wall climbing”, ini membuatkan aku agak gayat kerana pertama kali melakukannya hingga terpaksa berehat di tengah untuk menenangkan diri. Di CP 4 kami dikehendaki memanjat pokok kelapa dengan bantuan tali, namun dengan tiba-tiba kecederaan “hamstring” berlaku pada kaki kiri aku sewaktu memanjat. Aku diturunkan kembali dan direhatkan sementara Ayob memanjat dua kali pokok tersebut sebagai menggantikan tempat aku. Di CP 5 aku diberikan 5 peluru untuk menembak dengan tepat sasaran yang diberikan, kalau tidak silap aku tidak ada satupun sasaran yang mengena. Seterusnya dengan baki tenaga yang ada, aku meninggalkan Ayob yang keletihan untuk mengejar Fiza bagi catatan masa.

Apabila keputusan diumumkan aku dan Ayob agak terkejut kerana hampir berada di kedudukan 10 terbaik iaitu di tempat ke 12 di dalam 27 pasukan. Untuk seksyen A masa kami ialah 43.5 minit, seksyen B - 91 minit dan seksyen C - 78.46. Setelah di tolak dan campur mengikut kaedah tugas yang berjaya kami laksanakan kami mengambil masa 213 minit untuk ketiga-tiga seksyen. Pasukan pertama (Dwi Unggul) mengambil masa 133.66 minit, kedua (Score Boad TV3) 147.13 minit dan ketiga (Kenobi Advanture Team) 149.91 minit.

Rumusannya aku cuma memberikan 3 bintang untuk penganjurannya kerana masih terdapat banyak kelemahan iaitu krew sendiri tidak faham tentang tugas mereka dan kebanyakannya tidak berada di “check point” dan beberapa arahan manual yang tidak jelas. Namun pujian harus diberi kepada penganjur kerana dengan tegas telah mengeluarkan peserta elit yang cuba menipu semasa orientering walaupun mengugut untuk melaporkan kepada media. Penggunaan peralatan yang sesuai untuk sukan ini seperti kasut air dan sarung tangan banyak membantu disamping penggunaan teknik yang betul untuk semua acara.

2 comments:

farrah said...

Masih masih!!!

12-14 Dec yer? Nuang? Tak bahaya ke sekarang kan musim hujan? Lagipun banyak dengar cerita pasal Nuang lately kan hihi.

Nanti I check macamana. I akan bagitau u yer!

Maswafi Abd Samat said...

Haa..ha.. seperti kata Ustaz Kamal, saya cukup gila kerana faktor cuaca langsung tidak mempengaruhi keputusan saya untuk naik gunung. Anggap shj hujan pada hari tersebut yg ptg bw puncho dan headlamp (beli yg murah kat tesco-RM10). Psl cerita yg tidak elok kita berdoa minta dijauhkan.

Yg dah confirm saya, Max dan Paan yg lain2 otw.

Tentatif
12 Dis 5 ptg -berkumpul di pangsun
7.00mlm khemah di Lolo
13 Dis-7.00pg-naik puncak & turun
14 Dis-8.00 pg-bertolak ke pangsun

apa2 hal sms sy @ emel saya kat maswafi2@yahoo.com

Lg satu jgn lupa bw kamera!!!