Sunday, November 02, 2008

Gunung Batu Puteh -6993 kaki

24 Oktober 2008 (Jumaat)


Ini adalah kali kedua aku mengikut OGKL dalam pendakian cuma kali ini jumlahnya cukup ramai iaitu seramai 32 orang. Sejak jam 9.00 malam aku sudah berada di Restoran Yusof Zakir yang terletak berhampiran Pasar Seni menanti Zafrul dan Jo Han. Selepas pukul 11.00 malam barulah pihak OGKL dapat mengaturkan perjalanan dengan menggunakan 11 buah kereta. Kami bermalam di kawasan rekreasi Kuala Woh pada jam 2.00 pagi sementara menantikan matahari terbit. Kami perlu ke kaki Bukit Tapah yang terletak berhampiran Empangan Sg. Odak untuk memulakan pendakian, perjalanan cuma mengambil masa 20 minit dari Kuala Woh dan jalannya adalah bertar tetapi sangat kecil tidak sesuai untuk kenderaan besar.25 Oktober 2008 (Sabtu)

Secara jujurnya urat di belakang kaki aku masih terasa sakit, aku cuma mengharapkan janji Zafrul dan Jo Han akan membantu aku jika berlaku masalah semasa perjalanan. Tepat jam 9.50 pagi semuanya mula bergerak dalam satu kumpulan bergerak ke “check point” pertama iaitu jambatan buluh Sungai Y, perjalanan tersebut cuma mengambil masa sejam sahaja. Melintasi jambatan tersebut perlulah berhati-hati kerana struktur binaannya sama taraf dengan jambatan MRR2 yang hendak runtuh itu.


Kami cuma berhenti rehat pada jam 12.30 tengahari di Sungai Tengas untuk makan tengahari. Menurut perkiraan aku yang gagal matematik ini terdapat 16 anak sungai dari perjalanan Bukit Tapah ke Sungai Tengas. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Kem Balak 1, keadaan mula mendaki menyebabkan kumpulan yang satu berpecah-pecah kepada kumpulan kecil, tumbuhan berduri mula memenuhi kiri dan kanan laluan mengganggu momentum kami.


Zafrul dan Jo Han asyik bermain teka-teki berapa jam perjalanan untuk Kem Balak 1 yang mana seorangpun di antara mereka tidak berjaya meneka dengan betul, lebih kurang dua jam kami sampai ke Kem Balak 1. Belum sempat aku merehatkan diri, Pak Syeikh telah membulatkan keputusan untuk terus ke Gua Azan dengan tujuan bermalam di situ kerana masa yang masih panjang. Dari sudut fizikal Kem Balak mampu menampung lebih 6 buah khemah “4 men tent” dan mempunyai sumber air yang dekat sangat sesuai untuk berkhemah. Perjalanan kami di teruskan ke Gua Azan dengan perjalanan mendaki dan menurun melalui bukit-bukau selepas melalui Kem Balak 2 dengan mengambil lorong kiri, jika mengambil lorong kanan ia akan terus menuju ke Puncak Batu Kak yang tiada punca air di situ.

Tepat jam 5.10 petang aku memandang ke atas dan terpegun melihat sebongkah batu yang sangat besar mungkin sebesar separuh kapal terbang” boeing 747” terletak pegun di atas tebing sebuah bukit, kalaulah aku dapat memberikan hadiah sebegini besar kepada awek aku sudah tentu menitik air mata bakal mak mentua aku melihatnya. Secara fizikalnya ia berbentuk agak leper dan seolah-olah sebuah UFO yang sedang mendarat dan kami boleh tidur dengan selesa pada “sayapnya”. Pada “kakinya” ia mengeluarkan air dari batu yang cukup untuk semua pendaki mandi hadas jika perlu.
Walaupun kami tidak dapat berdiri dengan selesa pada sesetengah bahagian gua kami masih merasakan ia selesa kerana “kehangatan” yang diberi, di ketika itu apa yang merunsingkan aku ialah jam sudah menunjukkan jam 8.30 malam tetapi “sweeper” masih belum kelihatan bersama-sama pendaki terakhir hingga Pak Syeikh terpaksa menghantar bantuan. Syukur lebih kurang pukul 9.00 malam aku sudah terdengar suara kepenatan mereka, apa yang membuatkan aku tabik pada mereka ialah sebaik sahaja sampaai terus memasak ayam masak merah untuk kami!.
26 Oktober 2008 (Ahad)

Keadaan pagi tidaklah sejuk seperti yang disangka tetapi cukup untuk melenakan kami supaya dibuai mimpi. Selepas bersarapan kami mula mengemaskan barang kerana pihak OGKL merancang untuk tidur di puncak, walaupun pada asalnya mahu melakukan pendakian secara “day pack”. Aku mula tertanya-tanya adakah tindakan mereka betul kerana berdasarkan pemerhatian aku terdapat beberapa pendaki yang kelihatan tidak bermaya. Kami meneruskan pendakian pada jam 10.05 pagi dan berhenti sekejap di simpang tiga antara Gua Azan-Kem Balak-puncak Batu Putih untuk meletakkan barang-barang yang tidak diperlukan.

Selepas sejam perjalanan bentuk muka buminya lebih banyak kepada batu-batu besar hingga menyukarkan pendakian kerana terpaksa berpaut pada kayu dan tali yang ditinggalkan oleh pendaki terdahulu. Terdapat juga sebuah batu besar yang betul-betul terletak di sebelah gaung yang cukup bahaya mengingatkan aku kepada Batu Hampar di Ledang. Sampai di Puncak Batu Kak kami singgah sekejap melihat puncak Gunung Batu Putih mengikut masyarakat asli dan mengikut peta (tentera). Bagi aku unjuran Gunung Batu Putih yang diberikan oleh masyarakat asli lebih menepati maksudnya kerana ia tersergam seperti batu putih yang licin disekelilingnya sebesar banglo Siti Nurhaliza. Apapun permandangan 360 darjah dari Puncak Batu Kak sangat indah jika mahu melihat Gunung Batu Putih, samala indahnya melihat Everest dari puncak Kala Pattar.
Kemudian kami menuruninya dan meneruskan perjalanan ke Air Terjun Terbunuh iaitu “last water point” untuk mengisi bekalan air, tidak sampai 10 minit kami menjumpai kawasan yang sesuai untuk berkhemah tetapi tiada punca air. Perjalanan seterusnya berlangsung selama tiga jam melalui permatang yang curam di kiri dan kanan tetapi tiada pokok-pokok duri yang mengganggu perjalanan kami. Di “last water point” terdapat kawasan perkhemahan yang boleh memuatkan 6 khemah “4 men tent” pada satu-satu masa. Semasa mengambil air barulah aku tahu kenapa air terjun tersebut bernama begitu kerana kita boleh terbunuh untuk menuruninya.
Kami meneruskan perjalanan ke puncak setelah memastikan bekalan air mencukupi, sepanjang satu jam setengah kami melalui kawasan berlumpur, celah-celah batu besar dan rimbunan daun-daun pokok pokok pain yang cukup subur di sini. Pelbagai teori doreamon yang dikeluarkan oleh Zafrul dan Jo Han bagaimana pohon bukan tropika itu boleh berada di sini hingga kami tidak sedar kami sudah berada di puncak yang sebesar padang bola jaring di mana terdapat sebuah beirut yang masih teguh di situ sayangnya aku tidak dapat melihat permandangan di sekeliling kerana dikelilingi oleh pokok-pokok renek.

Ahad sudah menjalankan tugasnya memasang “flysheet” besar yang dapat menampung jumlah pendaki yang besar dan kelihatan kumpulan-kumpulan lain memasang khemah. Cuaca sangat sejuk biarpun jam menunjukkan jam 5.10 petang, aku sudah mula membuat anggaran bahawa Pak Syeikh cuma dapat sampai pada jam 9.00 malam berdasarkan pengamatan aku terhadap pendaki yang dibawanya. Telahan aku betul, mereka seperti semalam masih lagi komited menyediakan makanan berlaukkan daging untuk kami walaupun dalam kepenatan.


26 Oktober 2008 (Isnin)

Pagi di sini sangat sejuk hingga sampai ke tulang sum-sum membuatkan kami tersasar memulakan perjalanan iaitu pada jam 9.10 pagi. Perjalanan menurun di rasakan sangat lambat kerana keadaan muka buminya yang curam, aku lebih mengambil langkah berhati-hati kerana menjaga “minyak gris” pada kaki. Terdapat beberapa pendaki yang laju di hadapan, aku berhenti di “last water point” dan Kem Balak mengisi perut setibanya di suatu kawasan lapang selepas Kem Balak, Johan mengalami kekejangan otot yang teruk. Zafrul menyuruh Jo Han berjalan perlahan-lahan walaupun ia sudah berputus asa, kami bersependapat bahawa Jo Han perlu dikeluarkan dari perut Batu Putih sebelum malam menjelma. Kami memberikan tekanan dengan berjalan di belakang Jo Han yang sudah bertongkat dua. Hujan yang sangat lebat menyukarkan usaha kami kerana banyak kali tergelincir di tebing yang curam.

Melepasi Sungai Tengas kami sudah mula kelaparan, tiba-tiba kami dikejutkan dengan kehadiran sungai yang sangat besar terjadi akibat hujan lebat hingga menghilangkan jejak pendaki. Aku terpaksa melakukan “rekke”, nasib aku baik kerana sungai tersebut cetek, melalui pemerhatian aku jalan mendaki di sebelah kanan menuju ke kebun orang asli ini bermakna jalan menyusur tebing sungai yang bahaya ke sebelah kiri adalah jalan yang betul. Kami membuat keputusan mengeluarkan Jo Han hingga melepasi tebing batu sungai walaupun tindakan itu bahaya kerana tidak pasti jarak Pak Syeikh di belakang yang dirasakan amat jauh.
Kami berjaya melakukannya walaupun dengan pergerakan yang perlahan dan meneruskan perjalanan ke jambatan gantung Sungai Y, bila melepasinya Jo Han serta merta memeluk aku dan Zafrul kerana baginya ia seperti berjaya melepasi “near to death”. Tepat jam 9.30 malam kami sampai ke Bukit Tapah, Jo Han direhatkan serta merta dan di hantar pulang ke Kuala Lumpur. Selesai membersihkan diri jam menunjukkan 11.00 malam, tetapi Pak Syeikh bersama sebelas pendaki yang masih belum sampai.
27 Oktober 2008 (Selasa)

Aku menidurkan diri pada jam 4.00 pagi kerana menjangkakan Pak Syeikh berehat sementara menanti pagi. Aku tidak bersetuju dengan cadangan Tok Batin supaya melakukan laporan polis di atas kelewatan Pak Syeikh dan kumpulannya, bagi aku Pak Syeikh, Tok Gajah dan Amy adalah orang sangat berpengalaman dalam bidang ini. Jika polis dan renjer melakukan tugas menyelamat pun mereka akan melakukan pendakian dengan membawa makanan kepada pendaki yang lemah. Jam 5.30 pagi aku terjaga dimana semuanya selamat tiba, perjalanan mereka perlahan kerana terdapat beberapa pendaki yang mengalami kecederaan ringan.


Secara peribadinya puncak gunung Batu Putih tidaklah hebat seperti yang di war-warkan kerana kami tidak dapat melihat permandangan di sekililingnya melainkan pokok-pokok renek dan rangka beirut yang usang. Yang indah ialah bagaimana melihat alur air menjadi sungai yang besar, melihat permandangan gunung-gunung dari Puncak Batu Kak, kehebatan Gua Azan dan Air Terjun Terbunuh. Walaupun terdapat pendaki yang sampai ke empangan seawal pukul 2.30 petang ia bukanlah suatu kejayaan yang boleh dibanggakan. Apa kejayaan yang membanggakan aku ialah “survival” Pak Syeikh, Amy dan Tok Gajah dalam memastikan semua anak buahnya selamat sampai ke puncak dan selamat pulang ke empangan.

Sumber gambar: aleng05@multiply.com

4 comments:

aRRy said...

congratulations to all....jalan backwards pun janji sampai daaaa...adakah counterpain yang diberikan olehku berjaya membantu jo-han mengurangkan kesakitan dia? heheh...

nyOng.is.me said...

aku pun teringin nk g batu putih ni... nnt bawak aku yek uncle... hara2 ada lah awek macam dalam gmbar tu. Kalu uncle jek ada xmau lah....

Bila Diary Bercerita said...

Wafi,
gambar-gambar yang sungguh cantik. Pasti membuatkan pengemar gunung-ganang teruja.

Maswafi Abd Samat said...

Arry,

Jo Han tengok muka u pun dia dah sihat!!! hee...hee..

Ustaz,

Boleh ustaz no problem!!

Kak Aishah,

Memang lawa tapi perjalanan amat memenatkan.