Thursday, December 11, 2008

Benarkah seni beladiri dunia adalah pancaran dari seni silat Melayu?

Terdapat pelbagai pendapat yang wujud tentang ilmu persilatan Melayu, mungkin keyakinan dan pegangan Perguruan Seni Silat Sejati Insaniah Qudsiah Satria Warisan bahawa seni bela diri yang wujud di dunia ini berasaskan seni silat Melayu boleh membuatkan kita menilai persoalan ini secara kritis.

Menurut mereka perkembangan silat Melayu ke China dan Jeppun bermula pada zaman kerajaan Srivijaya yang berpusat di Palembang (Sumatera) sekitar 683 M-1290 M. Berpandukan fakta tentang seorang ahli pengembara China yang beragama Buddha iaitu I-Tsing dalam kisah pelayarannya ke India, pada zaman kerajaan Melayu Srivijaya terdapat satu masyarakat rahib rahib-rahib Buddha seramai lebih kurang 1000 orang telah pergi ke negara China dan Jepun disamping membawa agama Buddha dan ilmu persilatan Melayu bersama mereka.

Jika dibuat perbandingan seni bela jepun Shorinji Monastry dengan Silat Sendeng terdapat persamaan dengan permainan senjata tembong, begitu juga dengan permainan tangan kosong Karate mirip kepada Silat Sendeng dan Belebat Melayu. Manakala seni Ninja merupakan pancaran idea dari permainan Ibu Gayong dalam seni beladiri Melayu. Jika kita melihat seni Kung Fu di China ia kelihatan mirip kepada seni Silat Rajawali, Gayong Fatani, Cimande dan Kuntau Jawa.

Pada kurun ke 11 di Srivijaya terdapat seorang sarjana Melayu bernama Dharmakirti yang pakar dalam ilmu persilatan Melayu dan mengajarkannya kepada rahib-rahib Buddha yang lantas membawa ia ke India hingga wujudnya seni Silambam. Antara muridnya yang terkenal ialah Atisa yang berbangsa Tibet telah mengembangkan agama Buddha dan seni silat Melayu di Tanah Besar Asia Tenggara. Di atas usaha beliau seni Bando berkembang di Burma dan Tibet serta Tomoi berkembang di Siam dimana seni ini tidak jauh berbeza dengan seni Silat Lintau.

Kajian dewasa ini yang dibuat oleh Drs. Abdul Rahman Al Ahmadi seorang penulis ensiklopedia mendapati orang Jepun mendakwa seni beladiri di Korea berasal dari Jepun, manakala orang Cina mendakwa seni beladiri Jepun berasal dari China, dan beliau membuat hipotesis bahawa semua seni beladiri berasal dari Nusantara berasaskan sejarah zaman Sriivijaya. Ini dikuatkan oleh A. Rahman Hasan dalam pembentangan kerta kerja seminar Pencak Silat Nusantara pada tahun 1997 menegaskan bahawa sehingga kini belum terdapat mana-mana pihak yang menafikan bahawa seni silat berasal dari rantau ini, atau lebih tepatnya alam rumpun Melayu.


Disesuaikan dengan Maswafi bin Abd Samat. 1998 “Jampi Mantera : Peranannya Dalam Ilmu Persilatan Melayu. Latihan Ilmiah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

No comments: