Sunday, December 21, 2008

Tentang Lion



Bosan betul pagi ini menunggu jiranku Johan pulang dari berjogging, bukannya apa aku sebenarnya mahu tidur di katilnya yang bersepah tetapi sangat selesa untuk makhluk seperti aku. Peluang tersebut muncul jika pintu rumah itu dibuka oleh Johan yang selalu lalai dengan kehadiran aku. Lagipun Johan jarang pulang untuk aku merasai nikmat tidur di atas katil yang bersepah seperti sarang ular sawa. Setiap kali pulang Johan pasti memeluk aku walaupun muka aku sangat hodoh, itu yang yang membuatkan aku selalu ke rumahnya, nasib baik Johan itu seorang jantan jika tidak sudah tentu aku menguratnya.

“Lion, lion!!! aaahhh!!! ibuku memanggil pula, aku berlari menyeberangi jalan pulang ke rumah aku, mesti ibuku sudah menyediakan makanan sedap yang dibeli untukku. Telahanku betul, aku makan dengan gelojohnya makan makanan tersebut sambil ibu mengusap-ngusap kepala aku. Dialah ibu aku semenjak ibu kandungku dimakan oleh makhluk bernama anjing sebelah rumah.

Dulu namaku kuning kerana badanku yang kuning, namun ia telah ditukar kepada lion kerana keberanian aku melawan anjing yang membunuh ibu kandungku. Tetapi ternyata makhluk tersebut sangat kuat berbanding aku yang masih kecil lantas aku tewas dan cedera parah. Ibu tidak putus-putus menangis melihatkan keadaan aku, aku dihantar berjumpa dengan doktor dan bomoh untuk menerima rawatan namun aku masih belum pulih.

Selama sebulan ibu sentiasa bersama aku sebelum pergi dan pulang menjual goreng pisang untuk mencari rezeki, ketika itu aku merasakan sangat sukar untuk menjamah makanan kerana tulang rahangku sudah rosak dan aku cuba boleh meminum susu. Sekarang aku sudah pulih, sihat dan kuat cuma mukaku sedikit hilang dan mata kananku telah tiada tetapi semua makhluk kucing di kawasan ini tunduk kepadaku!

1 comment:

Aishah Jamal said...

Huhu....syabas untuk Lion yg berani.