Tuesday, October 31, 2006

Empat bintang


Hingga Syawal tahun ini pun masih ada yang mendapat dosa kering bila mengutuk telefon bimbit Nokia 3210 aku, namun mulut mereka agak terlopong bila aku menunjukkan Motorola L7 aku yang baru. Telefon yang seberat 96 gram ini cuma berukuran 113 x 49 x 11.5 mm mempunyai fungsi dan ciri Bluetooth, internet, MP3, sambungan USB, kamera, kamera video, telefon memori dan kad memori. Namun terdapat sedikit kegagalan pada perisian java powered yang dibina kerana tidak begitu stabil dengan perkakasan Motorola berbanding Nokia. Ini dibuktikan kecatatan perisian itu hanya dapat dibetulkan setelah dua kali di pulangkan ke kedai. Begitu juga dalam soal untuk memindah turun data ke komputer masih lagi gagal walaupun dengan pertolongan Encik Azam dan Encik Fadhli. Namun itu semua dapat di atasi dengan memindah turun menggunakan teknologi Bluetooth dan emel. Rasanya baik lupakan sahaja tentang keboleh-upayaan berfungsi selama 350jam mengikut spesifikasi yang diberi untuk masa “stand by”. Susah juga untuk dibuat penilaian tentang ini kerana kuasa bateri banyak dihabiskan untuk “talk time” dan setakat hari ini bateri itu tidak pernah berfungsi lebih daripada 5 hari.

Melihat dari contoh gambar “Syawal di Sungkai” mutu gambar agak memuaskan untuk perkakasan “multi tasking” atau lebih 3 dalam 1. Cuma kadang-kadang agak lewat telefon ini menerima paparan bergambar dari telefon bimbit jenama lain kerana perlu “memperhalusi” paparan tersebut. Dari segi mutu suara MP3 ia masih menduduki tempat terbaik dari segi mutunya berbanding telefon bimbit Nokia dan masih sedikit leih baik dari telefon bimbit Sony Ericson yang mempunyai perisian dan perkakasan “Sony Walkman”. Walaupun Motorola dikatakan tidak bersifat mesra pengguna, ciri-ciri boleh ubah terhadap hampir semua menu dengan kekunci sangat menakjubkan aku. Hampir semua menu boleh disesuaikan mengikut kekunci yang diidamkan oleh penggunanya. Memori yang tersedia sebanyak 5MB di tambah dengan fizikal kad memori yang sangat kecil dan boleh di tambah sehingga 1GB cukup mengujakan aku.

Secara jujurnya aku memberikan empat bintang secara keseluruhannya dari segi “value for money” kerana cuma perlu membayar RM600.00 berbanding RM800.00 hingga RM1000.00 untuk telefon bimbit jenama lain yang mempunyai keboleh-upayaan yang sama dan yang lebih penting tiada lagi makhluk seperti Encik Fadhli yang sudi meminjam “charger” aku sekarang ini, namun aku masih sayang pada Nokia 3210 yang jarang mengecewakan aku.

Saturday, October 28, 2006

Hanya minoriti

Akhirnya dapat juga aku "tawan" jalan ke Kg Rahmat Changkat Sulaiman dengan masa 55 minit yang aku agak sejauh 10km. Cubaan sebelum ini banyak kali gagal kerana ancaman anjing liar dan rasa tidak sedap hati mana tidaknya tiada kediaman di kiri dan kanan jalan. Yang ada cuma sebuah kuil hindu yang paling "meriah" dan besar di daerah Batang Padang, lombong memancing dan sebuah kilang papan. Mandrem sanskrit yang bermula jam 7.00 pagi datangnya dari kuil itu bergema sejauh 5km itupun sudah cukup menggerunkan sesiapa yang mendengarnya. Sampai sekarang aku tidak tahu apakah rasionalnya kuil Hindu yang baru dirasmikan oleh Dato' Seri Samy Vellu semalam di bina di kawasan penduduknya majoriti orang Melayu, rasanya lebih baik di bina di kawasan Chengai, Nabrough ataupun Batu 3 yang sememangnya majoriti penduduk Hindu. Inilah yang terjadi jika UMNO Sungkai asyik menunggu laba projek membuat longkang, parit dan jalan di Kampung Tersusun hingga memberi peluang kepada parti MIC memerintah walaupun mereka hanya minoriti dibandingkan dengan orang Melayu yang tinggal di Felda Trolak, Besout dan Sg. Klah itu tidak termasuk kampung-kampung tradisi seperti Bikam, Menderang dan Pekan Lama.

Syawal di Sungkai




Aku pulang ke Sungkai sabtu lalu tanpa menempah tiket bas lebih awal kerana jarang ada masalah hanya cuma untuk perjalanan ekspres dari Kuala Lumpur ke Tanjong Malim. Kecewa aku melihat sikap lapuk pemandu kereta yang menggunakan lorong kecemasan yang akhirnya mengundang kesesakan luar biasa bila tiga lorong mengecil menjadi dua lorong terutamanya sebelum melepasi Bukit Beruntung.

Walaupun buluh lemang yang baik dapat dicari berhampiran paya kebun getah aku di Menderang, tahun ini lemang Makcik Mah itu tidak begitu ”kaw” seperti biasa kerana sedikit mentah. Ini mungkin kerana aku terlalu banyak menumpukan perhatian kepada menukar pintu dan tingkap dengan yang baru yang sememangnya menuntut tenaga yang begitu banyak.

Tahun ini orang kampung betul-betul nekad meminggirkan terus Pak Alang dari menjadi imam solat sunat Aildilfitri yang aku kira hingga kiamat kerana "menjatuhkan hukum" secara kasar terhadap isu mengutip derma daripada penduduk kampung semasa rombongan aidilfitri dari rumah ke rumah yang lepas walhal sebenarnya masih menjadi khilaf dikalangan ulama. Rombongan aidilfitri kali ini berbeza dari tahun sebelumnya kerana telah dibahagi kepada dua kumpulan untuk menjimatkan masa. Duit derma yang terkumpul untuk lebih 30 buah rumah ialah RM741.79 dan aku kurang periksa pula siapa yang “tersilap” menderma wang syiling 1 sen tersebut.

Nur Halimathon yang gundah gelana menghubungi aku dari Langkawi memberitahu yang ia bergeruh dengan ibunya pada pagi Syawal hanya kerana soal remeh seperti langsir baru, aku sekadar mendengar kerana tidak tahu pula aku nasihat apa yang harus kuberi untuk perkara yang amat janggal seperti ini. Tahu-tahu sahaja Sham Luncai rakan sekampung yang berkerja di Bukit Aman itu telah mendapat anak melalui isteri keduanya, cukup hebat kawan aku ini memandangkan aku isteri seorang pun masih gagal lagi mendapat.



Rupanya ramai lagi yang tidak tahu bahawa aku sudah kembali bujang dan ramai juga yang menawarkan diri untuk menjodohkan aku dan ada yang menarik diri bila aku secara jujur memberitahu mereka aku sendiri yang memutuskan pertunangan yang lepas. Tapi yang betul-betul serius ialah jiran kiri dan kanan rumah aku yang beria-ria mahu mahu menjodohkan aku dengan anak angkat dan anak saudara mereka tapi rasanya kalau anak jiran di hadapan rumah yang baru habis bersekolah itu sebagai calonnya hujung tahun ini juga aku menikah!

Wednesday, October 18, 2006

Empat huruf

Sungguh maha hebat ujian yang diberi oleh Yang Maha Esa semalam, seorang kakitangan yang bekerja untuk hari terakhir semalam mengeluarkan perkataan lucah sebanyak empat huruf itu kerana aku memintanya mengisi borang “exit interview” sebagai memenuhi syarat untuk pemberian cek gaji terakhir. Sebenarnya sudah terbayang di kepala bahawa aku sedang menumbuk mukanya di saat perkataan itu diucapkan. Bila ditanya dengan lembut barulah aku tahu masalahnya iaitu dia rasa terhina dengan sikap majikannya di saat akhir-akhir dia mahu berhenti dengan secara terhormat. Akhirnya dia memohon maaf pada aku kerana keterlanjurannya dan cukup berterima kasih kerana perkhidmatan yang diberi cukup baik untuk dirinya. Telefon bimbit Motorola L7 aku nampaknya dihantar semula ke “Motorola Centre” kerana masih terdapat sedikit kecatatan pada “Java software” yang tidak mungkin aku terima. Aku juga mengugut mahu mengambil duit aku semula jika masalah itu tidak dapat diselesaikan sebelum hari sabtu ini.

Tuesday, October 17, 2006

Encik Yazid yang nakal.

Aku betul-betul dikejutkan dengan kiriman "sms" tepat jam 7.48 pagi tadi oleh Encik Yazid yang cuba menskandalkan aku dengan Marsha yang dilihat berbual mesra dengan aku sewaktu berbaris panjang untuk mengeluarkan wang di tembok batu CIMB. Seingat aku cuma bekas tunang aku sahaja yang pernah menghantar "sms" seawal ini, ini satu lagi cubaan nakal untuk menjatuhkan karier saya sebagai Timbalan Presiden Persatuan Orang Bujang Taman Desa. Sebenarnya aku juga terkejut disapa manja oleh Marsha yang kelihatan cantik berkebarung walaupun sebenarnya dia memang cantik walaupun tanpa kebarung itu. Tiada apa yang penting sangat dibualkan cuma dia sekadar memberitahu dia tidak dapat mengikutku ke Larian MPSJ pada 5 November 2006 kerana kurang latihan, yang mana urusan pendaftarannya masih gagal diselesaikan oleh aku. Emaknya juga meleteri dirinya yang mengadakan latihan pada bulan Ramadhan kerana khuathir akan akan demam lagi seperti selepas Larian Shah Alam yang lalu.

Monday, October 16, 2006

Sudah penat...

-----Original Message-----
From: Maswafi B. Samat
Sent: Monday, October 16, 2006 12:22 PM
To: 'wati@.com.my'

Subject: RE: UCAPAN PENGGANTI KAD
You are welcome and thanks for the lovely e-card given.
Alhamdulillah aku masih sihat namun masih seorang, masih di Kuantan rupanya Wati harapnya masih sihat dan cantik seperti dulu. Aku masih bingung kenapa sudah dua kali bermimpi kau di bulan Ramadhan walaupun tanpa diminta (maksud aku secara khusus seperti solat istikharah)rasanya sudah aku pulangkan semua gambar kau dalam simpanan. Bila dicari buku tafsir mimpi jawapannya sudah tentu bukan mainan syaitan kerana ia berlaku pada Ramadhan selepas tengah malam. Dua jawapan sahaja yang tinggal iaitu kerana jiwa yang tidak keruan ataupun petunjuk dari Yang Maha Esa. Bila difikirkan kembali mungkin jiwa aku sudah penat mencari apa salah aku hingga kita berpisah.

Thursday, October 12, 2006

Awal sangat

Gaji akan dimasukkan pada hari esok sempena perayaan Aidilfitri, aku bukannya kisah sangat dengan kerja yang mendesak untuk penyediaan gaji tetapi kenapalah perlu awal sangat dimasukkan gaji? Bila perkara ini dibincangkan ramai yang mengatakan aku tidak memahami masalah orang yang telah berkahwin kerana aku sendiri belum berkahwin. Bukankah baik jika hanya duit pendahuluan Aidilfitri sahaja dimasukkan pada esok hari dan kemasukan duit gaji dilakukan seperti biasa? Bagaimana mahkluk di sini akan menghadapi 43 hari tanpa gaji sedangkan menanti hari ke 30 sudah tercungap? Sudah tentu Yahudi cukup suka dengan keadaan ini kerana kita akan terperangkap dengan “lingkaran kehidupan” kad kredit tanpa diminta.

Tiba-tiba sahaja tugasan meningkat dua kali ganda sejak isnin lalu apabila banyak tuntutan yang dihantar mungkin untuk mendapat duit untuk keperluan Aidilfitri agaknya. Encik Azam pula dilihat diam-diam mengamalkan amalan “zikir perang” semata-mata untuk pergi temuduga esok hari, beria-ia benar ia mahu meninggalkan Taman Desa. Playstation 2 yang dipinjam oleh Encik Nizar sudahpun dipulangkan malam tadi setelah empat bulan bermaustatin di Shah Alam itupun setelah beberapa peringatan di hantar.

Monday, October 09, 2006

Cuma Tikus Putih


Semasa dalam perjalanan pulang ke kampung Jumaat lepas, Putra LRT membuat “perangai lama” lagi, maka skrip “masalah teknikal” itu dikeluarkan lagi untuk menenangkan semua umat manusia. Mungkin semua umat manusia akan lebih faham jika terus terang sahaja katakan sebenarnya projek LRT yang asalnya berjumlah 4.0 billion dan naik kepada 5.0 billion itu cuma merupakan “tikus putih” daripada Bombardier yang terpaksa dilaksanakan kerana kita mendapat projek Sukan Komanwel 98 selepas Kanada beralah dengan bersyarat.

Nampaknya perjalanan daripada Kuala Lumpur-Tanjong Malim-Sungkai sudah diBelanda oleh syarikat MARA yang ternyata baik segi perkhidmatannya berbanding bas yang sedia ada. Begitu ketara sangat pengguna memulau Bas Ekspress 626 dan Mogah Ombinuss yang satu ketika dulu sahamnya pernah dimiliki oleh Yang Kancil kerana begitu teruk perkhidmatan yang disediakan sebelum kerabat aku menjualnya dengan “sepenuh hati”.

Makcik Nor yang selalu aku pergi ke gerainya sewaktu pulang ke sekolah untuk makan mee rebus dan air kacang 3 kupang telahpun menemui Yang Maha Esa awal Ramadhan lalu. Masjid Jamek Sungkai yang baru di bina berdekatan Sekolah Abbasiyah sudahpun beroperasi ketika Ramadhan yang sebelum ini banyak tertangguh walaupun sudah mendapat peruntukan sejak tahun 1994. Yang menentangnya pun bukanlah orang kafir tetapi sebaliknya ialah mereka yang menduduki takhta jawatankuasa masjid kerana konon-kononnya masjid lama yang terletak di Pekan Lama itu mempunyai “nilai sentimental” yang tidak dapat ditukar ganti walaupun banyak kali ditimpa bah. Ceteknya pemikiran mereka ini samalah seperti ceteknya sungai Sungkai yang semakin cetek itu!.

Thursday, October 05, 2006

Kelam betul jerebu yang melanda Kerinchi dan sekitarnya petang semalam hingga menggagalkan rutin latihan aku. Peluang keemasan ini aku ambil untuk membeli juadah berbuka di Pasar Ramadhan Kerinchi bersama Mat Khairi namun hampa kerana anak Pakcik Murtabak dan anak Kak Wan Ayam Percik tidak kelihatan seperti sepatutnya. Hampa lagi bila Motorola SLVR L7 yang baru dibeli tidak dapat memasuki “Flash Card” seperti yang sepatutnya, namun lega juga sedikit apabila fungsi-fungsi yang lain seperti bluetooth berfungsi dengan baik. Aku tidak menafikan teguran Zubir bahawa aku seperti tiada tuah membeli barang baru kerana ada sahaja yang rosak walaupun akan mendapat ganti kerana masih dalam tempoh jaminan.

Wednesday, October 04, 2006

Saya akan menyusul...

Rupanya senyuman makrifat Encik Azam begitu bermakna berbanding hari-hari sebelumnya, tiba-tiba dia telah menempah rencana “Sayonara Azam” untuk diterbitkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Dia yang akan melalui proses temuduga di Subang Jaya pada pertengahan bulan ini begitu yakin akan berjaya keluar dari Taman Desa untuk sekian kali lebih setengah dekad bekerja di sini. Pelbagai persiapan yang akan dilakukan seperti sembahyang hajat, berjumpa bomoh dan persiapan yang terakhir ialah bertapa di Gunung Dato’ pada hari Sabtu ini. Pergilah Encik Azam jika hanya itu yang dapat menyukakan hati Encik Azam yang gundah gelana dan pastinya saya juga akan menyusul setelah berjaya menamatkan pengajian diploma saya yang masih tersangkut diperingkat akhir. Telefon bimbit zaman P. Ramlee aku pula sudah mula menunjukkan ciri-ciri untuk menyembah bumi, dimana aku sudah tidak boleh menghantar utusan dan baterinya sudah tidak dapat bertahan dengan lama. Bila difikirkan baterinya yang pernah berganti dua kali itu bernilai RM 90.00 keputusan dibuat semalam tidak sampai lima minit untuk membeli Motorola SLVR L7 berharga RM600.00 di Dynamic Cellular yang akan tiba pada hari ini.