Tuesday, October 31, 2006

Empat bintang


Hingga Syawal tahun ini pun masih ada yang mendapat dosa kering bila mengutuk telefon bimbit Nokia 3210 aku, namun mulut mereka agak terlopong bila aku menunjukkan Motorola L7 aku yang baru. Telefon yang seberat 96 gram ini cuma berukuran 113 x 49 x 11.5 mm mempunyai fungsi dan ciri Bluetooth, internet, MP3, sambungan USB, kamera, kamera video, telefon memori dan kad memori. Namun terdapat sedikit kegagalan pada perisian java powered yang dibina kerana tidak begitu stabil dengan perkakasan Motorola berbanding Nokia. Ini dibuktikan kecatatan perisian itu hanya dapat dibetulkan setelah dua kali di pulangkan ke kedai. Begitu juga dalam soal untuk memindah turun data ke komputer masih lagi gagal walaupun dengan pertolongan Encik Azam dan Encik Fadhli. Namun itu semua dapat di atasi dengan memindah turun menggunakan teknologi Bluetooth dan emel. Rasanya baik lupakan sahaja tentang keboleh-upayaan berfungsi selama 350jam mengikut spesifikasi yang diberi untuk masa “stand by”. Susah juga untuk dibuat penilaian tentang ini kerana kuasa bateri banyak dihabiskan untuk “talk time” dan setakat hari ini bateri itu tidak pernah berfungsi lebih daripada 5 hari.

Melihat dari contoh gambar “Syawal di Sungkai” mutu gambar agak memuaskan untuk perkakasan “multi tasking” atau lebih 3 dalam 1. Cuma kadang-kadang agak lewat telefon ini menerima paparan bergambar dari telefon bimbit jenama lain kerana perlu “memperhalusi” paparan tersebut. Dari segi mutu suara MP3 ia masih menduduki tempat terbaik dari segi mutunya berbanding telefon bimbit Nokia dan masih sedikit leih baik dari telefon bimbit Sony Ericson yang mempunyai perisian dan perkakasan “Sony Walkman”. Walaupun Motorola dikatakan tidak bersifat mesra pengguna, ciri-ciri boleh ubah terhadap hampir semua menu dengan kekunci sangat menakjubkan aku. Hampir semua menu boleh disesuaikan mengikut kekunci yang diidamkan oleh penggunanya. Memori yang tersedia sebanyak 5MB di tambah dengan fizikal kad memori yang sangat kecil dan boleh di tambah sehingga 1GB cukup mengujakan aku.

Secara jujurnya aku memberikan empat bintang secara keseluruhannya dari segi “value for money” kerana cuma perlu membayar RM600.00 berbanding RM800.00 hingga RM1000.00 untuk telefon bimbit jenama lain yang mempunyai keboleh-upayaan yang sama dan yang lebih penting tiada lagi makhluk seperti Encik Fadhli yang sudi meminjam “charger” aku sekarang ini, namun aku masih sayang pada Nokia 3210 yang jarang mengecewakan aku.

1 comment:

Anonymous said...

Bila pulak henpon tu nak kena hantar repair lagi...haii guna henpon macam guna mesin taip nampak..