Saturday, October 28, 2006

Syawal di Sungkai




Aku pulang ke Sungkai sabtu lalu tanpa menempah tiket bas lebih awal kerana jarang ada masalah hanya cuma untuk perjalanan ekspres dari Kuala Lumpur ke Tanjong Malim. Kecewa aku melihat sikap lapuk pemandu kereta yang menggunakan lorong kecemasan yang akhirnya mengundang kesesakan luar biasa bila tiga lorong mengecil menjadi dua lorong terutamanya sebelum melepasi Bukit Beruntung.

Walaupun buluh lemang yang baik dapat dicari berhampiran paya kebun getah aku di Menderang, tahun ini lemang Makcik Mah itu tidak begitu ”kaw” seperti biasa kerana sedikit mentah. Ini mungkin kerana aku terlalu banyak menumpukan perhatian kepada menukar pintu dan tingkap dengan yang baru yang sememangnya menuntut tenaga yang begitu banyak.

Tahun ini orang kampung betul-betul nekad meminggirkan terus Pak Alang dari menjadi imam solat sunat Aildilfitri yang aku kira hingga kiamat kerana "menjatuhkan hukum" secara kasar terhadap isu mengutip derma daripada penduduk kampung semasa rombongan aidilfitri dari rumah ke rumah yang lepas walhal sebenarnya masih menjadi khilaf dikalangan ulama. Rombongan aidilfitri kali ini berbeza dari tahun sebelumnya kerana telah dibahagi kepada dua kumpulan untuk menjimatkan masa. Duit derma yang terkumpul untuk lebih 30 buah rumah ialah RM741.79 dan aku kurang periksa pula siapa yang “tersilap” menderma wang syiling 1 sen tersebut.

Nur Halimathon yang gundah gelana menghubungi aku dari Langkawi memberitahu yang ia bergeruh dengan ibunya pada pagi Syawal hanya kerana soal remeh seperti langsir baru, aku sekadar mendengar kerana tidak tahu pula aku nasihat apa yang harus kuberi untuk perkara yang amat janggal seperti ini. Tahu-tahu sahaja Sham Luncai rakan sekampung yang berkerja di Bukit Aman itu telah mendapat anak melalui isteri keduanya, cukup hebat kawan aku ini memandangkan aku isteri seorang pun masih gagal lagi mendapat.



Rupanya ramai lagi yang tidak tahu bahawa aku sudah kembali bujang dan ramai juga yang menawarkan diri untuk menjodohkan aku dan ada yang menarik diri bila aku secara jujur memberitahu mereka aku sendiri yang memutuskan pertunangan yang lepas. Tapi yang betul-betul serius ialah jiran kiri dan kanan rumah aku yang beria-ria mahu mahu menjodohkan aku dengan anak angkat dan anak saudara mereka tapi rasanya kalau anak jiran di hadapan rumah yang baru habis bersekolah itu sebagai calonnya hujung tahun ini juga aku menikah!

No comments: