Monday, February 26, 2007

Azam, Fadhli : Sayonara

From: Maswafi B. Samat
Sent: Monday, February 26, 2007 11:44 AM

To: FDHSB

Subject: Makan-makan

Dear all,
Kindly be informed that, we is inviting all staff of FDHSB to attend makan-makan in conjuction with MIS farewell.
Details are as follows:

Date : 27 Febuary 2007 (Tuesday)
Venue : 19th floor Meeting Room
Time : 8.00 am

Your presence is very much appreciated.

Maswafi Abd Samat
HR Department

Watak Pak Kinto dalam novel Senjakala yang menjadi gelaran pada Cikgu Zuhairi semasa aku di tingkatan empat sudah diterjemahkan kedalam drama di TV1 bermula sabtu lepas, sampai sekarang aku tidak tahu kenapa dia digelar Pak Kinto kerana setahu aku langsung tiada ciri-ciri seorang pemburu padanya melainkan dapat menghuru-harakan pembelajaran sastera di kelas aku dengan menggunakan teori sastera yang diperolehinya dari Indonesia. Jika novel Canggir Negara karya Zaen Kasturi dapat diterjemahkan ke dalam filem aku rasa sudah tentu ia seakan sama seperti filem “Lords of The Rings”.
-
Mak angkat aku sudah berkali-kali memujuk aku supaya berjumpa Aidil dengan harapan kereta Satria itu dapat berpindah tangan kepada aku dengan harga RM14,000.00. Puas jugalah aku mengelaknya untuk selama 2 minggu ini dan semalam aku memberi alasan “cakap sejadah” bahawa sekarang aku sedang mengumpul duit untuk ke Mekah yang akhirnya membuatkan dia sedikit senyap dan berdoa supaya aku cepat sampai ke sana.
-
Puas jugalah Didi, Anaz dan Fendi yang beria-ia mahu menjadi ejen jodoh aku di zon UNITAR Petaling Jaya memujuk aku mendaftar dalam MySpace. Termakan juga aku dengan niat murni mereka ini yang sanggup meletakkan aku sebagai “top friends” dalam laman web mereka disamping menunjukkan aku memang berusaha ke arah itu. Terpaksalah juga aku memantau segala proses itu kerana kalau dibiarkan mereka bermaharajalela, Dato’ Maharajalela pun boleh letak jawatan ini kerana habis semua awek-awek seksi berumur 21 tahun menjadi kenalan aku.
-
Keluar juga Rosli daripada sarangnya setelah 4 tahun tidak berjumpa itupun setelah dia melihat nama aku dalan ruangan iklan jawatan kosong di KOSMO 2 bulan lepas. Perasaan rendah dirinya menyebabkan ia yang bersarang di Pantai Dalam tidak diketahui oleh aku yang tinggal cuma satu kilometer dari rumahnya. Puas juga aku mengajaknya mengikut salah satu aktiviti aku namun pelbagai alasan yang diberi. Apa yang membuatkan muka aku seperti janda anak lima berkahwin dengan anak teruna ialah katanya bahawa aku tidak pernah berubah daripada yang dia kenal dahulu. Aku sendiri tidak pasti sama ada muka aku yang handsome yang tidak pernah berubah ataupun sifat keras kepala aku, iaitu ungkapan yang sama juga dikeluarkan oleh Tengku tahun lepas.

Thursday, February 22, 2007

Sudah banyak nilai tambah yang berlaku di Pos Malaysia selain daripada kepantasan penghantaran surat, sekarang hinggakan mahu memperbaharui insuran motor pun sudah mampu dibuat dan sudah tentu menjimatkan masa kerana dapat memperbaharui cukai jalan di tempat yang sama. Kalau di JPJ sudah tentu ramai pula makhluk yang "menolong" mengambilkan tiket nombor tersebut dengan bayaran tertentu. Perniagaan bas 626 Tanjung Malim-Kuala Lumpur sudah pun diambil alih oleh Star Coach, jika tidak silap aku ini adalah syarikat yang ketiga "bungkus" selepas Naeila Ekspress dan Triton Ekspress di Tanjong Malim. Walaupun semua basnya nampak baru dan selesa tidaklah aku bercadang untuk menaikinya kerana masih selesa dengan perkhidmatan bas Transnasional yang aku kira baik dari segi ketepatan jadual perjalanan, sistem bunyi yang baik dan penyaman udara yang berfungsi dengan baik. Teruk juga aku dikerjakan dengan demam selsema dan sakit kepala kelmarin hinggakan hanya melakukan aktiviti makan dan tidur sepanjang hari, sudah tidak kuat antibodi dalam badan agaknya hingga terpaksa mengkayakan taukeh Panadol Soluble yang telah aku telan sebanyak 12 biji dalam masa 48 jam itu tidak termasuk lagi dengan taukeh 100plus yang turut menerima sumbangan aku sehari dua ini.

Monday, February 19, 2007

Puas aku mencari Eddie di pekan Sungkai, hendak mencari dia di Kg Rahmat Changkat Sulaiman rasanya lebih baik lupakan sahaja kerana nyawa aku lebih penting daripada tebu Makcik Mah yang ditebang itu. Menurut orang yang meniaga di stesen bas dia tidak sihat dan tidak berniaga sejak kebelakangan ini kerana demam dan mungkin penyakit lamanya masih belum pulih. Leteran Makcik Mah selama 4 hari itu ada asasnya kerana tebu yang sudah ditebang 4 hari lalu masih tidak diambil oleh Eddie seperti yang dijanjikan risau juga aku kalau-kalau Makcik Mah menyuruh aku memakan tebu-tebu tidakkah boleh kencing manis aku dibuatnya. Pejabat ADUN Sungkai sudahpun dipindahkan di sebelah pasar lama dan berwajah baru, dan jika tidak silap aku itu adalah bekas kediaman Ali yang merupakan kuartes kerajaan. Pejabat itu akan di buka pada setiap Selasa dan Khamis dan ini mungkin merupakan petanda pilihanraya akan berlangsung dalam masa 6 bulan dari sekarang.
-
Semakin hari semakin teruk pula demam yang melanda walaupun sudah 4 biji buah kelapa muda dan berbotol-botol air barli aku minum. Mungkin kerana alahan limau mandarin yang mempunyai banyak bahan pengawet di dalamnya ataupun aku merindui seseorang agaknya. Selepas Zohor tadi Makcik Hajar mengadakan kenduri untuk cucunya dan pada malam kelmarin Haji Kamaruddin juga mengadakan kenduri sebagai tanda "orang baru di sini, yang pasti masak lemak dan masak tauchu tidak pernah dilupakan berbanding masak tempoyak yang kononnya kegemaran orang Perak.
-
Rasanya perjalanan aku dan Shida sudah menemui jalan buntu, sampai sekarang aku masih belum menemui kimia di antara kami. Dia yang berumur 21 tahun hingga ke panggilan terakhir semalam masih memberi syarahan tentang "do and don't" dalam hidup aku. Pernah juga aku bertekak tentang perkara yang sangat kecil dengannya di KFC Alpha Angel hinggakan kalaulah bakal mak mertua aku berada di situ sudah tentu nama aku akan dipadamkan dalam senarai calon menantunya. Ini bermakna keinginan aku untuk mengetahui siapa makhluk yang memperkenalkan nama aku kepadanya tidak kesampaian.

Thursday, February 15, 2007

Laluan ketiga dari Kerinchi ke Lembah Pantai telah pun dibuka setelah di tutup bertahun-tahun dan kereta Iswara Merah yang menghalang parkir Presiden Persatuan Penduduk telah pun di alihkan. Kasihan aku melihat Azrin yang tekun datang ke pejabat sambil menggunakan tongkat kerana retak kaki bermain futsal samalah ketekunannya jika menyiapkan cerita di dalam blognya. Akhirnya blog Nafastari betul-betul menginsafkan aku dengan ceritanya yang bersahaja tapi penuh makna dan hampir tiada kesalahan tatabahasa di dalamnya membuatkan aku rasa malu pula dengan diri sendiri, mujur juga penyimpangan tatabahasa di benarkan dalam berkarya dalam teori sastera. Tetapi ia belum cukup untuk menginsafkan aku daripada mengutuk kawan-kawan aku dan rasanya tidak salah jika aku menempatkan blognya dalam kasta yang paling tinggi setaraf dengan blog Azrin.
-
Nini sudah menawarkan diri untuk menjadi ejen pencari jodoh cawangan Kuala Lumpur, namun persoalannya adakah aku cukup “berani” untuk itu? Bermacamlah pendapat yang dikeluarkan oleh kawan-kawan aku dan yang kenyataan yang paling berani ialah “tua di dalam seluar”, kalau di ikutkan sifat romantis aku mahu sahaja aku cium dahi orang yang gatal tangannya menekan papan kekunci komputernya itu. Sampai sekarang aku tidak mempunyai jawapan untuk itu atau mungkin benar kata Kak Kursiah yang sebenarnya aku tidak bersedia.
-
Kalau bermain saham memang aku cukup berani dan masih meletakkan 25 peratus untuk bertarung dengan jerung pada harga RM4.26 semalam setelah 50 peratus di jual pada harga RM3.32 jumaat lepas. Aku dapat merasakan Orang Kaya yang memberi kenyataan berani itu amat kecewa kerana kerugian berbelas ribu ringgit, nampak gayanya terpaksalah aku sendiri memantau pintu keluar tingkat 21 sebelum Orang Kaya melakukan perbuatan yang tidak di ingini. Begitu juga aku terpaksa memantau tangga di kondominum Danau Permai kerana di khuathiri pula terpaksa memegang jawatan Presiden Persatuan Orang Bujang Taman Desa jika presiden aku mengikut jejak Rajan tiga minggu lepas.

Wednesday, February 14, 2007

Akhirnya Nini bersuara juga selepas di kutuk berkali-kali di dalam blog ini namun yang membuatkan aku bengang sedikit kenapa disebut-sebut pokok kelapa itu seperti pendapat-pendapat yang sebelum ini. Kalau hendak di ikutkan sifat kepahlawanan yang ada dalam diri aku, mahu sahaja aku tebang pokok kelapa tersebut kerana cuba bersaing dengan aku. Nampaknya Orang Kaya Nik Shafini dan Orang Kaya Kak Su sedang cuba berbaik-baik dengan aku dengan pendapat yang baik-baik sahaja kali ini iaitu jemputan untuk “berkongsi” bersama keuntungan saham yang akan aku terima. Tetapi yang peliknya kedua-dua Orang Kaya ini lupa menjemput aku “berkongsi” keuntungan saham yang diterima mereka semalam. Orang Kaya Azam juga lagi pelik bermula semalam, kerana bersarapan nasi lemak bungkus lauk sotong dengan mengalihkan ke dalam pinggan atas alasan takut mejanya berminyak, tetapi jika aku yang berbuat begitu dikata sebagai lelaki cerewet kerana itulah membujang sehingga sekarang.

Tuesday, February 13, 2007

Suhu di Jalan Travers mencecah 24 darjah celcius pada pukul 6.59 pagi hari ini. Makcik Mah sudah pulang ke Sungkai menaiki bas pukul 8.03 pagi itupun atas belas ihsan pemandunya yang baik hati memberikan aku masa 3 minit untuk mengambil Makcik Mah yang sedang menunggu di atas platform aras 1, Pudu Raya. Jiran aku, Nini akan melangsungkan perkahwinan pada 10 Mac 2007 betul-betul seminggu selepas tarikh perkahwinan Lin, mungkin bulan Mac ialah bulan mengawan agaknya. Tiba-tiba terasa gatal mahu berkahwin yang teramat sangat pula bila melihatkan kad undangan perkahwinan yang disertakan gambar terkini dan sewaktu bayi oleh Nini. Kalau hendak di ikutkan sifat Ifrit yang ada pada aku mahu sahaja aku “publish” gambar tersebut sambil disertakan kutukan murni. Tetapi bila memikirkan Nini mempunyai ramai sepupu dan kedudukannya pun tidak jauh dari kampung aku terpaksalah aku membatalkan niat murni tersebut. Masih lagi soalan yang sama di tanya oleh Nini kenapa tiada satu awek pun di Vista Angkasa yang sangkut dengan aku, rasanya samalah jawapannya kenapa Azam asyik kalah bermain badminton semasa pertandingan akhir.

Monday, February 12, 2007

Aku tidak pasti adakah Zafrul sengaja melewatkan perjalanan ke KLIA menyambut kepulangan Renee daripada Gunung Aconcagua Argentina setinggi 6959 Meter atau cakap melayunya bersamaan dengan 2 kali ketinggian Gunung Kinabalu. Ini kerana aku dipaksa berlari daripada tempat meletak kereta hingga ke balai ketibaan kerana kapal terbangnya sudah mendarat, atau ini mungkin adalah satu bentuk latihan untuk larian 42 km agaknya. Kalau melihatkan cara aku berlari dengan pakaian pejabat itu sudah tentulah ramai yang menyangka bahawa aku sudah ditinggalkan kekasih dan jika bernasib baik mungkin ada awek yang mahu menjadi adik angkat aku. Walaupun Renee yang pergi atas tajaan PRIDE gagal sampai ke puncak kerana cuaca yang buruk namun sikap positifnya bahawa nyawa itu lebih penting dari segala-galanya harus dipuji. Pelik juga “altitude sickness” langsung tidak menjadi masalah kepadanya walaupun sudah berada di tahap kekurangan oksigen di tempat tinggi. Ini kerana “altitude sickness” sudahpun menjadi sedikit masalah kepada aku di puncak Korbu dan kepada sesiapa memikirkan untuk ke Aconcagua walaupun mendapat tajaan, lebih baik rasanya masalah “altitude sickness” ini di selesaikan dahulu.

Friday, February 09, 2007

Makcik Mah akan sampai ke Kuala Lumpur petang ini untuk melihat rumah baru yang di beli oleh Along di Selayang sambil melepaskan rindu kepada tiga orang cucunya. Emel sudah dikeluarkan bahawa akan berlaku “centralisation” di bahagian Teknologi Maklumat atau lebih tepat selewat-lewat bulan Mac ini Azam dan Fadhli akan dicampak ke tingkat 10. Zubir playboy sudah tidak playboy lagi di Vista Angkasa kerana sudah berpindah ke Pantai Hill Park rasanya ini adalah perpindahan nomadnya untuk kali ke enam sejak mengenalinya 5 tahun dahulu.Risau juga aku kerana sudah dua hari berlalu namun bahagian saham sebanyak 50 peratus yang sepatutnya dijual gagal dilakukan kerana harga saham naik turun dalam margin yang tinggi. Kerisauan aku ada asasnya kerana khuathir kawan Azam iaitu Khairy Jamaluddin terlibat dalam permainan ini samalah seperti permainannya membeli saham NSTP dan Utusan pada harga yang rendah kemudian membuat cerita tentang penggabungan kedua-dua entiti ini hingga saham melonjak naik dan menjualnya. Bila untung telah di raih kerajaan pula memutuskan bahawa tidak akan berlaku pengggabungan yang bangang itu kerana ia sememangnya tidak akan berlaku hingga menjatuhkan harga saham tersebut.

Wednesday, February 07, 2007

Kiriman sms “jahat” berbentuk propaganda supaya tidak menjual saham hingga mencecah RM3.50 sudah disebarkan kepada makhluk yang masih lagi tidak menjual saham kononnya harganya pasti naik hingga ke paras RM3.50. Bila aku “dipujuk” supaya menjual saham dahulu seorang pun tidak dapat menjawab soalan aku adakah pasti saham tidak akan naik RM3.00. Rasanya propaganda itu disebarkan oleh “jerung” yang mahu mengaut untung pada harga RM3.00 tetapi tidak mahu pasaran panik hingga harga jatuh menjunam kerana sekarang ini analisis graf kenaikannya sudah seperti kecuraman Gunung Nuang. Pelbagai teori yang dikeluarkan kenapa harga naik mendadak seperti faktor Tahun Baru Cina, pelaburan asing dan kelemahan nilai dolar. Tetapi yang paling merisaukan aku jikalau trend kenaikan ini bermaksud pilihanraya akan berlangsung dalam masa 6 bulan akan datang bermakna kenaikan ini sebenarnya di dorong oleh kawan baik Azam iaitu Khairy Jamaluddin yang mahu mengaut keuntungan demi menggerakkan jentera pilihanraya.
-
Semalam sebanyak 25% saham di lepaskan pada harga RM2.80 dan hari ini aku bercadang untuk melepaskan lagi 50% pada harga RM2.92 dengan mengambil kira untung 100% daripada suntikan modal. Manakala 25% lagi akan di biarkan “bertarung” jerung yang tidak akan tahu di mana kesudahannya. Biarlah aku rugi sedikit yang penting aku dapat menyakitkan hati Azam, Fadhli dan Nik Shafini yang menjual saham pada harga di bawah RM2.00. Kalau setakat mahu membeli tiket bas dan kapal laut Azam untuk ke Jepun mencari Sang Doraemon ataupun membeli stering kereta untuk Fadhli menghantuk kepalanya sudahpun boleh berdasarkan keuntungan yang diperolehi semalam. Sungguh hebat penderitaan Azam hingga di zahirkan dengan segenggam iklan kekosongan jawatan yang dikeluarkan dari poket seluarnya kerana tidak mampu menanggung kekecewaaan yang amat sangat.

Tuesday, February 06, 2007

Linda yang aku ikut rentaknya selama hampir empat tahun sudah membisikkan kepada aku awal-awal pagi semalam supaya menjual saham secara berperingkat-peringkat. Saham sudahpun mencapai paras tertinggi RM2.73 dan di tutup pada harga RM2.65 semalam serta menjadi “top gainer” sejak aku berada di puncak Korbu lagi. Azam sudah berkira mahu menempah tiket ke Jepun untuk mencari Sang Doraemon dengan harapan dapat kembali ke masa belakang. Fadhli pula merasakan sekarang ini barulah ada kegunaan lain “stering” keretanya selain untuk memandu arah iaitu untuk menghantuk kepalanya. Aku membuat keputusan untuk menjualnya pada harga RM2.80 pada fasa pertama hari ini walaupun jika menjual pada harga semalam sudahpun dapat menandingi jumlah yang diterima oleh Azam dan Fadhli yang mempunyai jumlah unit dua kali ganda daripada aku.
-
Faizal akhirnya berjaya juga dikeluarkan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya petang semalam yang dimasukkan ke wad Jumaat lepas akibat kecairan darah merahnya. Banyak sangat karenah birokrasi di situ hinggakan Faisal terpaksa mencari sendiri surat rujukan doktor yang sepatutnya di lakukan oleh pentadbiran hospital. Mujur dia mampu bergerak jika tidak terpaksalah dia membayar dahulu semua belanja perubatannya kerana tiada siapa yang akan mengambil tahu surat jaminan yang aku hantar melalui fax ke situ.

Monday, February 05, 2007

2183 Meter

Dengan bermodalkan RM150.00 aku mengambil masa empat hari bermula khamis lepas untuk sampai ke puncak Korbu, itupun terpaksa menaiki Hilux ke kaki gunung selama 40 minit. Perjalanan dari kaki gunung ke puncak banyak diselangi dengan kem-kem persinggahan yang semestinya mempunyai punca air. Hari pertama perjalanan memakan masa 8 jam 30 minit bermula dari kaki gunung, Kem Pangkin dan Kem Air Terjun Senoi hingga menyebabkan Mahendran mengalami kecederaan kaki. Perjalanan ke puncak kurang dua orang apabila keputusan dibuat untuk merehatkan Mahendran di Kem Air Terjun Senoi sambil ditemani oleh Warren.
-
Perjalanan ke puncak pada hari kedua melalui Kem View, “Last Water Point”, Kem Permatang dan Bonsai Tonggek mengambil masa 8 jam 6 minit. Perjalanan ini merupakan laluan yang baru kerana laluan yang lama telah ditelenggami air kerana pembinaan empangan. Mata air di Kem Permatang telah kering kontang akibat musim kering walaupun sebenarnya adalah mustahil hujan tidak turun di atas gunung walaupun musim kering.
-
Menu masakan ialah nasi goreng untuk sarapan dan masak lemak kobis bersama ikan kering untuk makan malam, manakala untuk makan tengahari pula adalah bergantung kepada snek yang di bawa untuk menjimatkan masa. Semua menu berjaya di masak dengan baik walaupun aku kekurangan 4 liter air semasa di puncak akibat kebangangan antara 9 makhluk yang tidak mengikut arahan Zafrul termasuklah Black yang kononnya sudah khatam G7 dan Kala Pattar.
-
Namun bagi aku masih berbaloi kerana sekurang-kurangnya ia telah menyelesaikan misteri kegagalan aku memasak nasi di Yong Belar yang semuanya mentah. Dalil yang diberikan oleh Fuzairi bahawa kadar PH pada sumber air di Kem Tudung Periuk pada ketinggian 6000 kaki menyebabkan air lambat mendidih bukannya kerana cuaca sejuk adalah benar. Ini dibuktikan apabila aku tiada masalah untuk memasak nasi sebanyak dua kali di ketinggian 7162 kaki di puncak Korbu. Namun Korbu pula meninggalkan misteri yang perlu diungkap bagaimana ada sepohon pain yang matang berada sebelah kanan di atas puncak selepas Bonsai Tonggek kerana setahu aku ia cuma hidup di luar negara.
-
Bandaraya Ipoh boleh di lihat dengan jelas dari puncak dan Kem View semasa berkhemah di situ. Secara keseluruhannya laluan ini adalah yang paling mencabar setakat ini kerana merupakan gunung yang kedua tertinggi selepas Tahan dan perjalanannya mengambil masa 16 jam 36 minit namun masih belum dapat merendahkan martabat Nuang daripada segi kecuramannya. Empat perkara yang asyik di bincangkan oleh aku, Ayob dan Zafrul iaitu “kehilangan” Farrah, berjimat cermat untuk ke Mekah balik hari, sifat-sifat Yahudi yang ada pada aku dan kebangangan Warren yang tidak memberitahu perkara asas mendaki gunung kepada Thomas, Mahendran dan Sassi yang menjadi tanggungjawabnya. Pujian harus di berikan kepada "Silver Outdoor Sports" kerana telah memaku plat-plat nama pada setiap kem.