Saturday, June 28, 2008

Sudah lama jari ini tidak dapat menekan papan kekunci komputer riba kerana menjalani ujian amali di Pasir Bogak, Pulau Pangkor. Seronok juga kerana dapat berada di pulau yang mendapat namanya daripada seorang berbangsa cina iaitu Che Pang Kor ataupun mungkin juga mengambil nama bahasa Thai sebagai “pulau sakit” kerana pernah menjadi penempatan orang sakit. Ujian amali yang dijalankan menguji kami daripada aspek berkayak, “abseiling”, “orienteering”, kem solo, perkhemahan dan gadjet. Aku tiada masalah melakukan operasi menyelamat menggunakan teknik H-I dan formasi “diamond” walaupun aku dengan Ann tidak pernah menjadi pasangan aku sewaktu latihan, walaupun sepatutnya Nor yang menjadi pasangan aku. Ini menunjukkan aku dan Ann mempunyai “chemistry” dalam banyak perkara.
-
Untuk “abseiling” aku tiada masalah untuk melakukannya walaupun hanya pernah melakukannya sekali lebih sepuluh tahun dahulu, cuma aku tidaklah dapat membuat terjunan tiga kali seperti Fadhly mahupun “australian run” seperti Mezad. Secara mengejut dilantik mengetuai orienteering membuatkan aku sedikit terkejut, tetapi seperti biasa sebenarnya yang penting adalah bagaimana tugas diagihkan daripada pembaca kompas hinggalah kepada pelapor membuatkan kami mendapat tempat pertama daripada empat kumpulan. Walaupun secara peribadi aku tidak dapat menjalankan tugas dengan baik kerana terlalu mengantuk, namun kerjasama kumpulan menyelesaikan sepuluh tugas di sekitar pulau menutup lompang kelemahan aku.
-
Kem solo yang diadakan di sekitar satu kilometer jalan ke jambatan gantung bukanlah sesuatu yang indah kerana kedudukan stesen 4,5 dan 6 berada sangat jauh daripada kelompok yang lain kerana terletak di atas bukit dan jambatan gantung tempat makhluk tidak bertamadun memuja nombor ekor. Tiga nombor tersebut sebenarnya dikhaskan untuk makhluk-makhluk degil seperti Panjang, Najib, Syafiq, Tom dan aku sendiri. Dengan berbekalkan tiga batang mancis, puncho, hammock, mestin, mee segera dan telur aku terpaksa bermalam bersendirian di lereng bukit betul-betul di bawah jambatan gantung. Nasib baiklah badan aku terlampau penat dapatlah aku tidur nyenyak di sebelah unggun api jika tidak sudah tentu aku terpaksa mendengar segala macam bunyi hilaian dan tapak kaki pada waktu malam seperti kawan-kawan aku yang lain, yang pada hemat aku ia mungkin hilaian siamang dan babi hutan yang banyak di hutan simpan tersebut.
-
Banyak lagi perkara yang aku perlu belajar tentang prinsip-prinsip asas perkhemahan walaupun sudah biasa sangat mendaki gunung sebelum ini terutama tentang pelan atur perkhemahan dan gajet di mana aku sendiri yang ditugaskan untuk merancang ia sejak bulan Febuari lagi. Sangat memenatkan kerana ia mengambil masa yang panjang terutama sekali latihan mengadakan gadjet yang sesuai dan praktikal dengan kehidupan di hutan terutama kepada aku yang tiada asas pengakap di sekolah dulu. Dimarah hampir setiap setengah jam dan berjaga 24 jam memastikan gajet sinki, rak menyimpan barang, pagar, pintu gerbang dan lubang sampah, siap selain daripada empat gajet utama yang dinilai iaitu rak kasut, penyidai kain, meja makan dan dapur siap sepenuhnya membuatkan kadang-kala kami hilang kesabaran. Itu belum termasuk diuji jenis-jenis ikatan secara mengejut oleh penilai luar yang “mengendorse” markah yang kadang-kala mengganggu emosi dengan kata-kata kasar. Namun semuanya berbaloi dengan markah A dan cemerlang oleh penilai luar dan masih diakui menduduki antara tempat teratas di antara 27 institusi di seluruh Malaysia.

Saturday, June 21, 2008

Terasa juga berbaloi dengan wang sebanyak RM375.00 yang dilaburkan di King Tailor Teluk Intan untuk baju beruniform Bulan Sabit Merah kerana dapat digunakan untuk majlis perbarisan Perkhemahan Bulan Sabit Merah Malaysia Zon Selatan, Taman Botanikal, Ayer Keroh Melaka tadi. Selama empat hari hanya memakan makanan dalam tin,bukanlah sesuatu yang indah pada aku kerana jika mengikut Zafrul mendaki gunung pun sehabis teruk kami akan memasak ikan kering, kari ayam dan sayur masak lemak kobis. Sebanyak dua kali aku terpaksa memakan nasi mentah hingga memaksa aku campur tangan dalam soal masak-memasak terutama dalam memasak nasi dalam kuantiti yang banyak.
-
Sebenarnya kemahiran aku di bahagian dapur jugalah yang menyebabkan aku dilantik menerajui kumpulan dimana sewaktu itu aku menyelesaikan masalah menu dengan bekalan mentah kering dan kaedah yang akan digunakan kerana cuma dibekalkan 28 set mestin, 3 dapur penunu bunsen, 1 dapur gas kecil dan 3 dozen lilin sebagai peralatan memasak. Oleh kerana aku ini tidak handal menggunakan 28 mestin untuk 90 orang maka terpaksalah menggunakan segala kebijaksanaan yang ada di dalam kepala “meminjam” periuk besar daripada persatuan kerana aku bukanlah seorang yang bangang untuk mengikut peraturan bangang tersebut.
-
Kumpulan aku mendapat tempat pertama dalam malam persembahan, tempat kedua untuk aktiviti menyelamat, tempat ketiga untuk memasak dan tempat keempat untuk kawad kaki dan gajet. Barulah aku rasa betapa susahnya menjaga karenah sebanyak 90 ahli di bawah aku hingga kadang kala aku terpaksa bersikap secara diktaktor dalam urusan pembahagian tugas untuk setiap pertandingan tanpa ada sifat belas. Secara jujur ia bukan sifat aku yang sebenar kerana aku cuma mengambil kaedah yang di guna pakai oleh Pak Rahim di sini dalam soal pembahagian tugas untuk menjimatkan masa supaya membolehkan aku tidur lena sebelum 12.00 pagi kerana cuma mengambil masa 3 minit berbanding kaedah demokrasi mungkin mengambil masa 1 jam cuma untuk menulis nama mereka yang akan bertanding!

Monday, June 16, 2008

Pagi semalam aku melepaskan rindu pada trek Sikamat yang sudah tiga minggu ditinggalkan, jarang sekali aku memulakan latihan bermula lebih pukul daripada jam 8.00 pagi tetapi itulah yang berlaku pada pagi semalam dan terasa santai sekali. Aku sudah semakin sayang dengan sikap orang di Seremban yang murah hati ini ditunjukkan sekali lagi apabila aku berhenti makan di hadapan kem selepas latihan seorang tua dengan murah hati membelanja aku makan pagi walaupun tidak mengenali aku. Ini adalah kali kedua kejadian ini berlaku terhadap aku dalam tempoh lima bulan sesuatu yang hampir-hampir mustahil sepanjang aku bermaustatin di Kuala Lumpur mahupun tempat aku sendiri. Hendak aku harapkan Nik Shafini dan Kak Su, jika aku bertunang, putus tunang, tunang sekali lagi, kahwin, anak satu dan kahwin lagi sekali lagi pun belum tentu dapat merasai duit mereka.

Thursday, June 12, 2008

100 hari di Perak

Pagi ini di kedai Mak Teh, kedai Brothers mahupun di pasar daripada 10 orang akan ada seorang yang memakai baju batik. Ini bukanlah kerana mereka bekerja kerajaan seperti aku tetapi sekadar meraikan apa yang termaktub dalam manifesto kerajaan Perak yang baru bahawa pilihan raya untuk memilih wakil ketua setiap kampung berlaku di mukim Sungkai. Ustaz Rosli lulusan Pondok Pattani yang cukup tinggi ilmu agama mahupun duniawi akan bertanding dengan Kak Ina yang sangat cemerlang dalam urusan pentadbiran di kampung ini. Bagi aku kedua-duanya mempunyai sama markah untuk dinilai, cuma aku sangat kecewa kerana kerajaan baru yang dipilih oleh rakyat masih dibayangi oleh parti Keris dalam memerintah mungkin kerana manifesto parti mata satu sangat sinonim dengan parti keris.
-
Kesemua yang bertanding adalah dari golongan parti bulan dan mata satu di mana konon-kononnya demokrasi dilaksanakan secara adil di sini, namun sebagai rakyat yang bertanggungjawab aku terpaksa juga memilih salah seorang daripada mereka walaupun aku mendokong parti keris. Begitulah manusia bila berkuasa akan menggunakan kuasanya untuk menentukan definisi “keadilan” mengikut kehendak mereka atau apa sahaja perkataan yang ada di dalam kamus. Di NTV7 telah ditunjukkan dengan megah bahawa parti roket akan berjuang habis-habisan melaksanakan manifesto mereka meminta kerajaan negeri memberikan geran kepada tanah pertanian, aku tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku kerana baru tanah TOL sekarang pun kita hendak lalu di sisi pun dikejar anjing inikan pula tanah geran, silap-silap disondol oleh babi.
-
Aku rasa sekarang semua orang tahu bahawa kemungkinan semua kampung-kampung baru (yang dibina zaman darurat) akan diberikan tanah geran cuma kami semua buat-buat tidak nampak kerana malas sudah unttuk berfikir soal negara yang agak kucar-kacir. Aku rasa lambat pula menanti bulan September ini menunggu mantan TPM mengambil alih Malaysia kerana konon-kononnya ia dapat menurunkan harga minyak kalau boleh biarlah ia berlaku hari ini. Mungkin mengambil kata tokoh akademik Indonesia bahawa penyingkiran TPM sewaktu usahanya meminjam dengan IMF adalah tepat jika tidak ekonomi Malaysia tidak akan pulih seperti Indonesia hingga dikatakan kiamat, hidup kembali, kiamat hidup kembali ekonomi Indonesia tidak akan pulih.

Tuesday, June 10, 2008

Apalah hendak jadi dengan aku sekarang, memasak lempeng pun menjadi masin hendak membuat membuat air oren terbuat air jagung pula. Mungkin itu petanda aku akan menamatkan zaman bujang selepas raya agaknya, harap-harapnya begitulah agaknya. Mungkin selepas raya cina, raya melayu mahupun raya india cuma tahunnya sahaja belum ditetapkan lagi itulah azam aku bila berbicara tentang kahwin. Telefon bimbit aku sekali lagi merajuk kali ini ia membakar dirinya sendiri betul-betul semasa berada di dalam poket seluar aku semasa aku hendak ke Tapah semalam, nampak gayanya aku sekali lagi kehilangan nombor telefon kawan-kawan aku dalam masa tiga bulan.
Aku banyak menerima komen tentang gambar yang sangat seni cerita dua pasang kaki di Tasik Terenggun , biasalah manusia bukan mencari nilai seni yang aku reka tetapi mencari siapakah pemilik kaki tersebut rupanya susah juga menjadi perkarya seni ini lain yang cuba disampaikan lain pula difahami. Di Sungkai adalah paling susah untuk mencari tempat latihan yang sesuai kerana laluan A-A Tin ke Kg. Rahmat bukanlah idea yang baik kerana melalui pokok getah dan kelapa sawit tanpa kawasan kediaman mempunyai risiko diserang babi hutan, maka laluan A-A Tin-Kg. Pekan Lama-Kubur Cina-Taman Permai menjadi pilihan walaupun risiko berada di laluan kenderaan berat. Momentum larian aku agak terganggu di Kg Pekan Lama bila ditegur mempunyai muka yang sama dengan orang yang sudah mati patutlah mereka macam melihat mayat hidup berlari si situ. Konon-kononya muka aku sebijik seperti muka anak Yang Kancil, terpaksalah pula aku berhenti menerangkan bahawa anak Yang Kancil itu adalah bapa aku.

Sunday, June 08, 2008




Saturday, June 07, 2008

Hari ini aku melaksanakan tugas sebagai pelari simpanan menggantikan Kapten yang tercedera, untuk jarak 3.6 km semasa pertandingan 4th Pacemakers Anniversary (Mixed Relay) di Taman Metropolitan Kepong. Pasukan aku menggunakan nama Tsunami dimana Ida pelari pertama mencatat masa 19 minit 39 saat, Hailmi sebagai pelari kedua mencatat masa 14 minit 58 saat, aku sebagai pelari ketiga 15 minit 19 saat dan Farid sebagai pelari terakhir mencatat masa 14 minit 13 saat. Hailmi dapat memintas 4 peserta, aku pula sebanyak 3 peserta dan Farid seorang peserta. Ini bukanlah jarak “favourites” aku hingga sekarang kerana bagi aku jarak ini cuma fasa pemanasan badan untuk aku, namun sebagai lelaki yang “sporting” kita harus mengikut suasana walaupun kadangkala ia memakan diri. Pasukan kami meduduki tempat ke 12 daripada 27 pasukan iaitu betul-betul di belakang kumpulan Sham yang merupakan musuh ketat aku sejak dari azali lagi. Aku memberikan 3.5 bintang kepada penganjur kerana kelancaran pertandingan ini walaupun dalam serba kekurangan kerana Pacemakers bukanlah organisasi yang besar dan pujian juga harus diberi kepada peserta yang “sporting” untuk menghabiskan larian walaupun kalah.
-
Taman ini mempunyai dua nilai sentimental kepada aku iaitu pada sebelah taman ini aku pernah dipinjamkan kepada Rim**nan Melati selama seminggu duduk di dalam pejabat berbentuk kontena untuk membantu kerja-kerja pampasan dan hal-hal pentadbiran perpindahan penduduk setinggan Kg Chim Lee ke PPRT DBKL hingga kadang kala campur tangan polis berlaku bila samseng-samseng tunjuk samseng. Nilai sentimental yang kedua ialah mentor aku Firdaus, Afad dan aku pernah melakar antara 10 pasukan terbaik pada bulan Ramadhan yang lepas.

Friday, June 06, 2008

Pagi ini aku sampai di Hentian Putra, sungguh memenatkan kerana perjalanan aku bermula pada Rabu malam denggan ekspress Mahligai ke Kelantan tersangkut selama dua jam di dalam lingkaran jalanraya Kuala Lumpur akibat kepanikan manusia bila harga minyak melambung. Kelewatan itu satu rahmat sebenarnya kerana jika aku sampai sebelum pukul enam pagi sudah tentu aku terpaksa menunggu lama menanti kawan-kawan aku tiba di stesen bas, sebelum meneruskan perjalanan ke To’ Uban mengambil Helmi seterusnya ke Ranrau Panjang untuk menghabiskan segala elaun yang baru masuk dan seterusnya kembali kepada tujuan asal kami iaitu menghadiri majlis perkahwinan Nasri di Kg. Pulau Gajah sebelum aku menaiki bas ekspress Mutiara jam 10.00 malam di Jalan Hamzah.
-
Jadual hari ini aku cuba padatkan dengan membeli buku yang masih gagal di cari di Kedai Buku Minerva Jalan Tunku Abdul Rahman sebelum bergegas ke Taman Desa kerana temujanji dengan Dr. Yap pada pukul 10.00 pagi. Pelik bin ajaib aku dengan Fa**r kerana semenjak Syahril yang kuat mengampu menjadi ahli jawatankuasa Kelab Sukan dan Rekreasi tidakk semena-mena lokasi hari keluarga di adakan di Awana Kijal. Sesuatu yang hampir mustahil untuk difikirkan apalagi untuk dilaksanakan, kerana setahu aku dahulu pilihan pertama mereka adalah Port Dickson, kedua adalah Port Dickson dan ketiga adalah Port Dickson. Banyak yang indah berlaku selepas aku meninggalkan Taman Desa, pertama Yap Dental mengantikan jururawat yang tua dahulu kepada awek lawa lagi muda, ramai kawan-kawan aku sudah naik pangkat (tetapi aku tidak tahu pula apa yang berlaku kepada Nik Shafini kerana dia tiada sewaktu aku berkunjung), Suhaimi sudah semakin kurus dan banyak pilihan makanan yang dijual pada hari Jumaat di hadapan Masjid Taman Desa.

Tsunami Team

Idazumi (1st runner)
merupakan salah seorang runnner wanita berbangsa melayu yang aktif dan hebat dalam kelasnnya. Tidak pernah gagal membawa pulang medal di setiap running event yang disertai..kalau bernasib baik mampu mendapat kedudukan yang lebih baik.
-
Wafi (2nd runner)
merupakan seorang runner berjarak jauh. untuk larian berjarak 3.6k nanti, ia bukan jarak yang digemarinya. dia ni kalau larian berjarak pendek kerap sangat mengalami sindrom sakit dada. walau bagaimanapun..untuk melakukan catatan dalam lingkungan 15-16min..ia bukan problem besar..
-
Hailmi (3rd runner)
seorang runner yang dah lama berkecimpung dalam aktiviti ni..segenap ceruk rantau sudah di jelajahi dengan berlari...rasanya kat jalanraya kat Malaysia ni musti ada kesan-kesan tinggalan tapak kakinya...huhuh! kalau dulu dia lari...jarang dia mau training...tapi sekarang dia sudah aktif training..dan performancenya semakin meningkat dan meningkat....
-
Farid (4th runner)
merupakan tulang belakang pasukan ni, ia mampu meningkat motivasi dalam pasukan ni. memiliki rekod peribadi 42k dibawah 4 jam. baru pulih dari kecederaan kaki yang sering membelungi dirinya. sekarang dah ok. pasal dia ni tulang belakang.....jadi dia diwajibkan berlari sebagai pelari terakhirNazibrunner bangku simpanan. huhu!!
-
sumber - http://runnaz.blogspot.com/

Tuesday, June 03, 2008

Hutan Lipur Terenggun

Kuala Lipis banyak melahirkan pendekar Melayu zaman penjajah cuma tidak banyak sejarah secara nyata yang ditinggallkan melainkan cerita lisan, jika bertanyakan dimanakah rumah Siti Nurhaliza semua orang di sini tahu di mana ia berada. Terdapat sebuah tasik yang agak ditinggalkan oleh pengunjung di sini di Hutan Lipur Terenggun, ia terletak berhampiran dengan Institut Perguruan Ampuan Afzan dan berada di laluan Kuala Lipis – Gua Musang. Menara yang sudah reput memberi cabaran kepada aku dan Tom untuk naik ke atas dan keadaan menara agak tidak stabil dan membahayakan juga permandangan tasik dari atas dilindungi oleh pokok-pokok besar. Tasik ini dalam pemulihan muungkin untuk menarik lebih ramai pengunjung selepas peristiwa budak lelaki lemas semasa berenang di sini. Terdapat kemudahan tandas, tapak perkhemahan dan taman permainan kanak-kanak di sediakan serta ia mempunyai siarkaki yang baik di sepanjang tasik. Aku membayangkan alangkah indahnya jika Tasik Kepong sebegini rupa silap-silap tiap hari aku berkhemah di situ.

Air Terjun Sg. Pandan

Masyarakat tempatan lebih suka memanggilnya sebagai “Panching” kerana terletak berhampiran dengan Felda Panching. Sebenarnya air terjun yang cantik ini merupakan khazanah dalam Hutan Lipur Sg Pandan yang terletak dalam Hutan Simpan Berkelah. Perjalanan dari Bandar Kuantan ke sini adalah lebih kurang 30 minit dan ia dibuka daripaada jam 8.30 pagi hingga jam 6.00 petang dan setiap pengunjung akan dikenakan bayaran RM1.00 seorang.
Hutan seluas dua hektar ini adalah jenis Diperokarpa Tanah Pamah yang mempunyai ketinggian 78.5 meter dari aras laut. Jika dilihat daripada papan kenyataan yang dipacakkan kononnya ia merupakan kawasan pemuliharaan spesis periuk kera, namun perjalanan aku dari bawah ke air terjun kira-kira satu kilometer satu pokok periuk kera pun tidak aku temui melainkan awek-awek seksi berenang bersama pakwe-pakwe mereka yang boroi. Dan kononnya lagi spesis periuk kera yang terdapat di sini ialah napenthes raflesiana upper, napenthes reflesiana lower, napenthes grasilis dan napenthes ampuilaria.

Pekan

Tidak banyak yang boleh diceritakan tentang Pekan mungkin cerita Batu Belah Batu Bertangkup membangkitkan “mood” bandar ini. Tempat yang boleh dilawati ialah Galeri Pengangkutan Air dimana evolusi pengangkutan air dapat dilihat, tempat-tempat lain ialah Muzium Sultan Abu Bakar, Istana Sultan Abu Bakar dan Kelab Polo Diraja Pahang.

Bukan aku mahu memburuk-burukkan bumi Kuantan tetapi ia selalu mengecewakan aku, kali ini Sham, Kamarul dan Azlan turut terkena badi “Kuantan”. Pagi 1 jun 2008 menyaksikan aku berlari untuk Kuantan Beach Run dari Taman Gelora ke Baluk sejauh 16 kilometer dengan catatan 1jam 31 minit, tersasar seminit daripada matlamat aku. Gagal mendapat “top 50” daripada tidak sampai 250 peserta sudah cukup mengecewakan kami dan hampir-hampir mustahil ia berlaku. Pantai yang terbuka lebih 10 kilometer memungkinkan segalanya berlaku tambahan pula banyak jalan tikus di situ, walaupun penganjur menetapkan 4 “check point” yang perlu dicapai. Keyakinan kami adalah berdasarkan kiraan kasar kelompok di hadapan semasa garisan permulaan dan “rangking” semasa kami. Secara peribadi aku memberikan 3.5 bintang kepada penganjur untuk teknikal, jumlah hadiah dan makanan walaupun semua peserta masih mengungkit cerita duit pendaftaran tahun lepas yang masih belum dipulangkan kerana dibatalkan. Ini adalah trek yang paling aku gemari, mungkin jika tidak memakai kasut adalah lebih baik cuma perlu menjaga kaki pada 2 kilometer pertama laluan bertar (Taman Gelora-Teluk Chempedak) dan sedikit laluan berakar di kawasan bukit di Teluk Chempedak ke Baluk.